|

Rabu, 17 Februari 2010
3 Rabiulawal 1431
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
MENGANGKAT MASYARAKAT PRODUKTIF DAN BERDIKARI
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah melahirkan keyakinan Anugerah Kampung Cemerlang Peringkat Kebangsaan yang pertama kali diadakan di Negara Brunei Darussalam mampu untuk menjadi landasan dan platform yang cukup berkesan kepada perubahan sosioekonomi masyarakat setempat. Tegasnya anugerah tersebut berperanan pada mewujudkan perubahan dinamik dan inovatif kepada kampung-kampung di pelusuk tanah air dalam merangka apa-apa jua kegiatan yang berfaedah dan memberikan manfaat yang cukup besar dan lumayan. Penganugerahan ini juga menurut baginda adalah selaras dengan usaha berterusan kerajaan bagi meningkatkan kemajuan dan perkembangan serta kesejahteraan seluruh lapisan rakyat ke arah lebih 'sustainable' dan berdaya tahan.
Harapan dan keyakinan baginda selayaknyalah direbut oleh rakyat dan penduduk negara ini khususnya yang mempunyai badan yang sihat agar rajin berusaha dan meningkatkan diri dengan kemahiran-kemahiran dalam pelbagai bidang. Kita yakin banyak perkara yang boleh dilakukan dan boleh dijadikan mata pencarian asalkan saja kita sanggup dan mempunyai kemahuan yang tinggi, kerana tanpa ada kesungguhan dan keterlibatan yang berterusan mana mungkin hasilnya akan dapat kita tuai. Perkara ini mudah dicapai kerana banyak kampung-kampung yang telah berupaya menghasilkan produk-produk yang boleh diketengahkan antaranya termasuklah produk kraf tangan, kuih-muih tempatan dan pelbagai lagi seni ukiran yang budaya kita orang-orang Brunei yang cukup hebat di masa lampau. Maka alangkah baiknya hasil-hasil orang kitani sejak dulu dikembangkan lagi dengan membuat perubahan yang disesuaikan dengan peredaran masa, kerana kita percaya jika misalnya kraf tangan dan ukiran-ukiran diberi nafas baru dengan mengambil kira teknologi-teknologi baru, para pelancong pasti akan terpesona untuk membelinya sebagai buah tangan. Ini setentunya bukan sahaja akan meningkatkan ekonomi anak-anak kampung, tetapi dalam waktu yang sama membantu pihak kerajaan ke arah memajukan industri pelancongan yang sedang rancak diusahakan oleh pelbagai agensi dalam kerajaan dan pihak swasta.
Tegasnya kerajinan berusaha dan berdikari tanpa meminta pertolongan atau bantuan daripada sesiapa setentunya yang pasti boleh menolong seseorang itu mencari rezeki yang halal dan secara tidak langsung akan menambahkan pendapatan. Ini selaras dengan titah baginda di Majlis Anugerah Kampung Cemerlang Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada 13 Februari 2010. Antara lain baginda menekankan:
"Beta percaya dengan adanya usaha ini akan membolehkan kita menikmati banyak manfaat terutama manfaat percaya pada diri sendiri dan membuang sikap lemah suka bergantung semata-mata kepada bantuan-bantuan. Perubahan sikap seperti ini, di samping menolong diri sendiri juga boleh mempercepatkan lagi usaha kerajaan meninggikan taraf hidup rakyat."
Kalau kitani pisi-pisi secara terperinci, inilah sebenarnya hasrat kerajaan mengadakan Anugerah Kampung Cemerlang bukan sahaja untuk mencari juara tetapi yang penting untuk melahirkan budaya kerja yang rajin di kalangan anak-anak kampung. Menggalakkan anak-anak kampung akan lebih tekun dan rajin bekerja mengusahakan tanah-tanah yang terbiar dengan bercucuk tanam dan berladang. Menanamkan semangat berdikari dan semangat 'bekarih' dan bukannya semata-mata terus mengharapkan bantuan-bantuan atau sumbangan orang lain. Dalam zaman moden sikap rajin berusaha amatlah disukai oleh agama kerana darinya akan melahirkan seseorang itu menjadi lebih berdikari dan percaya kepada diri sendiri. Kepada masyarakat dan negara pula, nisbahnya tentu pula akan mengangkat mereka ke tingkat masyarakat produktif yang berkualiti. Inilah yang kerajaan mahukan. Inilah yang diinginkan oleh negara dan bangsa Brunei.
Ingatlah peribahasa Melayu 'Usaha itu tangga kejayaan' dan jadikanlah ianya kamus yang cukup baik dalam menempuh kehidupan harian. Biarlah banyak orang kitani yang bekerja sendiri dan melakukan usaha-usaha pertanian, kerana bila ini tercapai kita akan dapat membasmi jurang kemiskinan yang ada di negara ini yang jumlah sehingga bulan Oktober mencecah lebih 4,000 orang.
Harapan kita dari anugerah ini, biarlah produk-produk kampung kitani akan meningkat bukan secara kecil-kecilan, tetapi menjadikan produk tempatan berskala besar yang mendapat pasaran lebih meluas. Kerana ini merupakan langkah murni dalam merealisasikan hasrat kerajaan bagi projek 'Sebuah kampung, satu produk'. Sama-samalah kitani mengalamnyatakan impian tinggi kerajaan itu agar anugerah ini akan meningkatkan budaya rajin bekerja dan berusaha. - Ketua Bahagian PELITA BRUNEI.
Kembali ke muka utama
|