|

BERTAUBAT SEBELUM DATANGNYA AZAB
BERTAUBAT atau meminta ampun kepada Allah Subhanahu Wata’ala atas dosa-dosa yang pernah kita lakukan adalah suatu amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Dosa dan kesalahan ada kalanya kita lakukan tanpa disedari, kerana perbuatan maksiat itu sungguh mudah dilakukan memandangkan kosongnya iman di dalam hati sanubari kita.
Orang yang benar-benar beriman akan sentiasa mengawal diri mereka serta mengawasinya agar terhindar daripada perbuatan yang dilarang oleh Allah. Seluruh anggota badannya tetap dijaganya sehingga terpelihara daripada perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar. Mereka sentiasa berhati-hati memikirkan sesuatu pekerjaan dan memastikannya sehingga dapat membezakan di antara yang baik dan buruk, halal dan haram, juga antara hak dan batil.
Dosa-dosa manusia itu ada kalanya dibalas oleh Allah Subhanahu Wata’ala di atas muka bumi ini sebagai teguran dan peringatan kepada orang yang melakukannya. Allah menurunkan azab-Nya bukanlah suatu perkara yang susah bagi-Nya, bahkan jika kita perhatikan pada masa sekarang ini, hampir setiap hari kita mendengar berita-berita bencana alam yang menimpa di beberapa buah negeri di dunia ini. Kesemua ini datangnya di luar dugaan dan perhitungan manusia sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Az-Zumar ayat 55 yang bermaksud :
“Dan turutlah – Al-Qur’an sebaik-baik (panduan hidup) yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak menyedarinya”.
Allah telah menjanjikan terhadap orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tidak diredai-Nya dengan mengazab dan melaknat seseorang itu sama ada di dunia ataupun di akhirat kelak sebagaimana firman-Nya lagi dalam Surah Al Ahzaab ayat 57 yang bermaksud :
“Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan Rasul-Nya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.”
Allah Subhanahu Wata’ala menurunkan azab kepada hamba-hamba-Nya di dunia ini dengan bermacam-macam bentuk, seperti berupa penyakit di dalam anggota badan, gangguan fizikal, faktor ekonomi dalam keluarga dan sebagainya, di mana kesemuanya itu diazabkan supaya manusia segera sedar dan insaf di atas segala perbuatan dosa yang telah dilakukan.
Keadaan manusia itu sangat mudah lupa terhadap Tuhannya yang menjadikan. Jika mereka tidak selalu dicuba atau diuji lebih-lebih lagi jika manusia itu sentiasa dalam kemewahan dan senang-lenang, maka mudahlah pula timbul sikapnya yang sombong dan angkuh. Oleh kerana itulah, supaya manusia tetap menyedari akan kelemahan dan kekurangannya lalu mereka itu pun diuji dengan tidak henti-hentinya, diuji dengan mendatangkan berbagai-bagai kejadian seperti bencana alam, penyakit-penyakit yang dahsyat dan sebagainya. Tujuannya supaya manusia sentiasa sedar dan memerhatikan bahawa di atas segala-galanya itu ada kuasa Yang Maha Berkuasa iaitu Allah Subhanahu Wata’ala.
Semua kejadian-kejadian itu bukanlah percuma atau kosong tidak mengandungi makna apa-apa, tetapi ia berlaku dan terjadi dengan hikmat. Sebab menurut hikmat, sesuatu yang terjadi itu ada dengan musababnya seperti terjadinya kemalangan mungkin disebabkan dari kecuaian, maka terjadinya malapetaka dan bala bencana tidak mustahil disebabkan dari kecuaian dan kelalaian manusia mentaati perintah-perintah Allah Subhanahu Wata’ala, tidak mustahil juga disebabkan dari perbuatan maksiat dan derhaka kepada-Nya.
Bagi orang-orang beriman, dengan adanya bala yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala itu, mereka akan segera menilai dan menyedari segala kesalahan yang telah dilakuannya, akhirnya mereka menginsafi dan terus memohon keampunan kepada Allah, di samping memperbanyakkan amal soleh. Dengan melakukan amal kebajikan dan bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata’ala maka tergolonglah ia ke dalam golongan orang yang mendapat suatu kejayaan yang besar di dunia dan di akhirat, sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Qashash ayat 67 yang bermaksud :
“… Adapun orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka semoga akan menjadilah ia dari orang-orang yang berjaya.”
Hakikatnya azab dan bala itu bila-bila masa sahaja Allah kehendaki, ianya pasti akan berlaku, tiada suatu kuasa yang dapat melebihi dari kuasa Allah dan belum ada sesuatu kekuatan yang dapat menggagalkan kehendak dan kekuatan Allah.
Oleh yang demikian sebelum azab Allah menghampiri kita, marilah kita sama-sama menilai dan sentiasa muhasabah diri kita apakah kita berada di landasan ajaran Islam yang sebenarnya atau apakah kita benar-benar telah melaksanakan titah perintah Allah dan menjauhi segala apa yang ditegah-Nya. Mudah-mudah kita semua sentiasa berada di dalam lindungan-Nya serta terhindar dari azab dan bala bencana.
Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala itu tidak pernah lalai, tidak tidur dan tidak leka dari mengetahui setiap gerak laku kita, bukan sahaja oleh anggota kasar bahkan bisikan hati yang halus pun diketahui-Nya. Ertinya punca malapetaka dan cubaan Allah itu tidak sahaja bersebab dari tindakan-tindakan lahir kita atau dosa-dosa yang nampak di mata bahkan dosa-dosa batin juga boleh berkesan mempengaruhi segala-galanya. Allah juga Yang Maha Memerhatikan lagi Maha Berkuasa.
Kembali ke muka utama
|