|

Rabu , 18 Mac 2009
21 Rabiulawal 1430
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
KAJIAN, 'JAWAPAN TEPAT'
ATASI PROJEK TERBENGKALAI
SEMASA merasmikan Persidangan Musim Majlis Mesyuarat Negara Kali Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelima pada 12 Mac 2009, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memandang serius mengenai beberapa projek kerajaan yang terbengkalai dan memerlukan penyiapan yang segera. Apa yang merisaukan baginda, setengah projek itu baru sahaja hendaklah bermula tetapi telah diberhentikan begitu sahaja. Trend ini sememangnya bukan sahaja tidak sihat tetapi banyak membawa kesan yang negatif dan membawa implikasi yang buruk.
Kegagalan menyiapkan projek-projek kerajaan dalam waktu yang telah ditetapkan mungkin sahaja mengundang kepada berbagai kemungkinan dan merupakan salah satu sebab penyumbang kepada banjir kilat.
Perkara ini baginda timbulkan mengambil kira pengalaman Negara Brunei Darussalam yang baru-baru ini ditimpa bencana luar biasa iaitu kejadian tanah susur dan banjir. Sesuatu kejadian yang jarang berlaku di negara kita apatah lagi ianya berlaku di ibu negara, Bandar Seri Begawan. Memang benar ianya merupakan kejadian alam, tetapi dalam waktu yang sama juga berpunca daripada tangan-tangan manusia yang rakus pembangunan tanpa menghiraukan alam sekitar sehingga memudaratkan dan menjejaskan penghidupan manusia.
"Beta melihat, masih banyak kerja-kerja terbengkali, yang perlu dipercepat. Setengah projek itu, baru saja berjalan tiba-tiba berhenti. Mengapakah ia terhenti? Di manakah salahnya ini ? Apakah ini tidak mungkin' menjadi salah satu sebab' penyumbang kepada banjir besar? Semua itu memerlukan kajian dan ’jawapan tepat’ untuk mengatasinya.’
Kajian dan jawapan tepat amatlah mustahak dalam mengatasi kemelut ini, jangan sampai berlarutan dan menjadi budaya dalam pentadbiran kerajaan. Kerana kita perlu juga menjaga imej dan kredibiliti kerajaan di mata masyarakat dan orang ramai. Adalah menjadi tanggungjawab semua pegawai dalam Perkhidmatan Awam yang diamanahkan bagi memastikan perkara sedemikian tidak berulang di kemudian hari.
Sebagai merista, fenomena projek-projek kerajaan terbengkalai bukanlah perkara baru ianya telah lama berlaku, cuma ianya tidak dihebohkan melalui media-media massa, sebab itu ianya ’tertutup’ begitu sahaja tanpa ada orang yang memeduli, namun orang ramai sudah sering membuat teguran dalam perkara ini, tetapi apa yang mendukacitakan tidak diambil serius malahan dibiarkan begitu saja. Maka sudah sampai masanya masalah seumpama ini diambil perhatian yang sewajarnya oleh anggota Perkhidmatan Awam yang diamanahkan, jangan dibiarkan berlarutan tanpa adanya tindakan susulan.
Teguran baginda sepatutnya diambil perhatian yang serius dan menyegerakan tindakan yang cepat dan bukan ’dimalamkan’. Melengah-lengahkan projek pembangunan dan kemajuan setentunya memberi kesan sampingan yang berpanjangan. Maka adalah wajar pihak pemaju yang diberikan tanggungjawab mengendalikan projek kerajaan dengan sejujur-jujurnya. Pemaju atau syarikat-syarikat yang telah diberikan tender mengendalikannya mestilah menyiapkan projek itu dalam masa yang telah ditetapkan dan bukan sebaliknya. Bagi mereka yang gagal menyiapkan projek-projek kerajaan hendaklah dikenakan ’penalti’ yang sudah menjadi syarat dalam pemberian kontrak. Denda ini perlu dikenakan ataupun dengan menyeneraihitamkan pemaju dan syarikat-syarikat yang gagal mematuhi kehendak kerajaan.
Kita tidak mahu kegagalan mereka menyiapkan projek-projek khususnya yang berdekatan dengan perumahan menjejaskan kehidupan orang-orang kampung seperti kejadian tanah susur dan banjir kilat. Fenomena hujan lebat luar biasa yang membawa banjir ’besar’ dan tanah susur sudah cukup memberikan kita pengajaran berguna untuk dijadikan iktibar dan kita tidak mahu ’pisang berbuah dua kali’.
Selain itu amatlah mustahak mengambil langkah ke hadapan pada mengemaskinikan rangkaian infrastruktur negara sehingga tidak ada lagi apa yang disebut sebagai kemudahan-kemudahan asas yang lemah atau keperluan-keperluan utama yang ditangani. Bagi tujuan mempercepatkan lagi usaha atau langkah-langkah pembaikan, pemeliharaan dan penaik taraf infrastruktur dan lain-lain kemudahan awam, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah BND30 juta. Peruntukkan khusus ini bagi membaik pulih infrastruktur dan lain-lain kemudahan kerajaan yang telah terjejas teruk akibat banjir dan tanah susur. Apa yang diharapkan agar agensi-agensi kerajaan yang berkaitan serentak dan senada dalam tanggungjawab masing-masing dan bukannya melengah-lengahkan atau melambat-lambatkan. Gagal atau lengah berbuat demikian akan menjejaskan reputasi dan nama baik kerajaan.
Semua pihak dalam agensi-agensi kerajaan termasuk Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara tidak akan terlepas pandang begitu sahaja terhadap fenomena itu tetapi perlu lebih komited serta memberikan perhatian yang secukupnya kepada apa-apa jua yang menyangkut dengan kebajikan rakyat dan negara tanpa takut-takut, atau malu-malu dan ragu. Kerana kita merasakan sudah tiba masa bagi semua warga Perkhidmatan Awam dalam agensi-agensi kerajaan menitikberatkan hal ehwal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk diutamakan dan bukannya mengambil remeh-temeh tentang kesusahan dan kepayahan yang ditanggung oleh orang ramai dan masyarakat kampung.
Kembali ke muka utama
|