SERUAN SUCI


RAJA PAYUNG NEGARA

Hadis Riwayat Al-Imam At-Thabarani dari Abu Hurairah Radhiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :

"Sultan adalah payung Allah di bumi, siapa yang menghormati sultan maka Allah akan menghormatinya dan siapa yang menghinanya maka Allah akan menghinanya.’’

Raja adalah umpama payung, tempat rakyat bernaung dan berlindung. Raja merupakan pemerintah, ketua negara yang memegang tampuk kerajaan yang akan menentukan hala tuju sesebuah negara.

Dalam sistem pemerintahan beraja yang berteraskan ajaran agama Islam, raja itu mempunyai kedudukan tertinggi dalam negara dan menjadikannya berkedaulatan dan berkedudukan. Kedaulatan inilah yang menjadikannya tonggak pemerintah dan pemegang amanah untuk menjaga dan memelihara keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Negara kita mempunyai seorang raja yang berpandangan jauh dan kuat berpegang dengan ajaran Islam serta sentiasa menerapkan ciri-ciri keislaman dalam kepimpinan baginda. Maka dengan kepimpinan dan usaha serta kegigihan baginda itulah yang membawa Negara Brunei Darussalam dikenali dan dihormati di mata dunia.

Dalam hal ini, kita selaku rakyat yang bernaung dan berlindung di bawah pemerintahan baginda sudah sepatutnya melahirkan ketaatan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi serta memberikan sokongan yang padu ke arah usaha baginda bukan sebaliknya menjadi manusia yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah An Nisaa’ ayat 59 yang tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada rasul dan kepada ulil amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikan kepada kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnah rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya."

Dan hadis riwayat Al-Imam Al-Bukhari dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Barang siapa taat kepadaku, maka sesungguhnya ia telah taat kepada Allah dan barang siapa menderhakaiku, sesungguhnya ia telah menderhakai Allah. Barang siapa taat kepada raja atau pemimpin, maka sesungguhnya ia telah mentaatiku dan barang siapa menderhaka kepada raja atau pemimpin, maka sesungguhnya ia telah menderhaka kepadaku. Sesungguhnya imam (ketua) itu tidak lain melainkan perisai, di mana orang-orang berperang dari belakangnya dan berlindung dengannya. Maka jika ia menyuruh bertaqwa kepada Allah dan berlaku adil, maka ia mendapat ganjaran dari yang demikian itu dan jika ia berkata selain itu, maka ia mendapat dosa dari perkataannya itu.’’

Taat kepada pemimpin dalam konteks bernegara mempunyai pengertian yang amat luas. Ianya bukan sahaja terhad kepada mematuhi segala perintah dan arahan yang diberikan secara lisan sahaja bahkan ketaatan yang dimaksudkan meliputi segala peraturan dan dasar negara, undang-undang dan fatwa-fatwa kerajaan mahupun peraturan-peraturan pejabat.

Sebagai rakyat, sudah menjadi kewajipan kepada kita mentaati dan setia kepada pemimpin yang berpegang dengan ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dari Ibnu Umar Radhiallahu anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Mendengar dan taat itu adalah hak iaitu kewajipan yang mesti ditaati selagi mana ia tidak disuruh melakukan maksiat, maka jika ia disuruh untuk melakukan maksiat, maka janganlah kamu mendengar dan mentaatinya.’’

Perlu diingat, sesebuah negara tidak akan maju jika tidak ada kerjasama dan persefahaman yang erat dari semua pihak. Apatah lagi tanpa adanya kejujuran dan sifat amanah kerana sifat-sifat itulah faktor utama yang boleh menggerak ke arah kemajuan dan kejayaan. Dan dengan faktor inilah juga perpaduan, kemakmuran dan kestabilan negara dapat dinikmati.

Untuk menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa- ta’ala dan ketaatan kepada raja sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala, maka sama-samalah kita berdoa kepada Allah semoga raja kita dilanjutkan usia, sihat walafiat dan memimpin negara dengan hidayah Allah Subhanahu Wata’ala dan negara kita akan aman makmur di bawah kepimpinan baginda.