KELUARAN KHAS
SEMPENA ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA KE-62


WAWASAN BRUNEI 2035
Oleh : JAAFAR IBRAHIM
jaafar.ibrahim@information.gov.bn

PERENCANAAN kemajuan jangka panjang Negara Brunei Darussalam telah digubal bagi tempoh 30 tahun akan datang (200 jadikan negara menjelang tahun 2035, dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya diukur melalui piawaian tertinggi antarabangsa, kualiti kehidupan yang tinggi di kalangan sepuluh negara teratas dunia dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan di antara sepuluh buah negara teratas dari segi pendapatan per kapita.

Wawasan negara yang dikenali sebagai Wawasan Brunei 2035 merumuskan wawasan untuk masa hadapan yang dapat memenuhi cita-cita dan harapan rakyat dan penduduk bagi tempoh jangka panjang. Perencanaan negara 30 tahun bermula dari tahun 2007 itu mengandungi tiga fasa penting iaitu Wawasan Negara, Rangka Strategi dan Dasar Bagi Pembangunan (OSPD) 2007-2017 dan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 2007-2012.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah perutusan dalam Buku Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam menekankan bahawa usaha yang dibuat itu akan dapat memberikan satu harapan dan keyakinan yang teguh untuk generasi akan datang.

Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang telah mendapatkan penjelasan dari pelbagai lapisan rakyat dan penduduk berkenaan hasrat mereka untuk Negara Brunei Darussalam dalam tempoh 30 tahun dari sekarang. Ketika ini nanti anak-anak akan menamatkan perkhidmatan mereka dan generasi cucu-cucu kita pula, akan mengambil alih tanggungjawab bagi menerajui hal ehwal negara dan memenuhi harapan rakyat kita.

"Beta percaya usaha yang telah dibuat ini akan dapat memberikan satu harapan dan keyakinan yang teguh untuk generasi akan datang. Apabila semuanya dapat dilaksanakan dengan sesempurnanya nanti, nescaya wawasan ini akan menjadi satu warisan kepada rakyat negara ini," titah baginda.

WAWASAN NEGARA

Menjelang 2035, kita berhasrat menjadikan Negara Brunei Darussalam dikenali di seluruh dunia global dengan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan. Bagi mencapai wawasan ini kita mustahak bersatu dalam kesetiaan kepada sultan dan negara, keyakinan terhadap nilai-nilai Islam dan keharmonian sosial serta amalan tradisi berbaik-baik.

Untuk menghadapai cabaran ini dengan jayanya menjelang tahun 2035, kita berhasrat mencapai kecemerlangan dalam bidang utama berikut:
Rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya - Terus berusaha membangunkan sistem pendidikan kelas pertama dengan memberikan peluang kepada seluruh lapisan rakyat jelata untuk memenuhi kehendak ekonomi yang sentiasa berubah, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat serta kejayaan dalam sukan dan kesenian.

Kualiti kehidupan rakyat - Kita berusaha menyediakan taraf kehidupan yang tinggi, kestabilan politik dan memastikan pemedulian terhadap alam sekitar serta menyediakan kemudahan yang diperlukan oleh semua lapisan masyarakat. Berazam mencapai taraf kehidupan rakyat sehingga termasuk dalam kalangan sepuluh negara teratas di dunia menurut Indeks Pembangunan Manusia Program Pembangunan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).

Ekonomi negara yang dinamik dan berdaya tahan - Kita berazam meninggikan ekonomi negara supaya mampu mendukung taraf kehidupan yang tinggi yang dihasratkan dan mengangkatnya ke kedudukan sepuluh teratas di dunia dari segi pendapatan per kapita. Membangun pola ekonomi yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan di sektor awam dan swasta serta peluang ekonomi yang sentiasa berkembang.

OSPD 2007-2017
OSPD 2007-2017 menyenaraikan 50 haluan dasar bagi memudahkan kerajaan merancang program-program pembangunan bagi tempoh sepuluh tahun akan datang (2007-2017) yang mengandungi lapan strategi utama bagi pendidikan, ekonomi, keselamatan, pembangunan institusi, pembangunan usahawanan tempatan, pembangunan infrastruktur, jaminan sosial dan alam sekitar. Haluan dasar tersebut bertujuan bagi memberikan keyakinan kepada rakyat dan penduduk untuk mengharungi cabaran dunia moden.

Strategi pendidikan mengandungi lapan haluan; strategi ekonomi mengandungi sebelas haluan; strategi keselamatan- enam haluan; strategi pembangunan institusi dengan enam haluan; strategi pembangunan perniagaan tempatan dengan tujuh haluan; strategi pembangunan infrastruktur - empat haluan; strategi jaminan sosial - tiga haluan dan strategi alam sekitar mengandungi lima haluan.

STRATEGI PENDIDIKAN

Strategi pertama ini bertujuan mempersiapkan belia negara ini dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi dan seterusnya berjaya dalam suasana dunia moden dengan menggariskan lapan haluan dasar:

1. Melabur dalam pendidikan awal kanak-kanak.
2. Menggunakan amalan terbaik antarabangsa dalam pengajaran dan pembelajaran.
3. Mengadakan pendidikan yang bertaraf tinggi di peringkat menengah, pengajian tinggi dan sekolah vokasional bagi negara menghasilkan pakar, ahli profesional dan juruteknik yang diperlukan bagi menggerakkan sektor perniagaan dan perindustrian.
4. Memperkukuhkan keupayaan (kompetensi) para penuntut, guru dan pentadbir pendidikan dalam teknologi infokomunikasi (ICT) termasuk integrasi ICT ke dalam kurikulum sekolah.
5. Membentuk program yang dapat menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat (long life learning) dan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi.
6. Menggalakkan penyelidikan, perkembangan dan inovasi di institusi kerajaan dan institusi yang dibayai bersama oleh perkongsian sektor awam-swasta dan antarabangsa.
7. Menggunakan kaedah mengajar yang cost-effective melalui penggunaan teknologi.
8. Memperbaiki taraf pengurusan semua institusi pendidikan.

STRATEGI EKONOMI

Sebanyak sebelas haluan dasar akan ditekankan dalam strategi ini bagi mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat, di samping meluaskan peluang iklim perniagaan. Haluan dasar ini menekankan:

9. Memastikan kestabilan ekonomi makro yang berterusan.
10. Memastikan kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi bagi menjana pekerjaan untuk memudahkan para belia memasuki pasaran buruh setiap tahun.
11. Mewujudkan sebuah pasaran modal yang kukuh termasuk pasaran bon Islam (sukuk) bagi membantu menyediakan kewangan ke arah pertumbuhan ekonomi.
12. Meningkatkan daya saing ekonomi negara melalui dasar yang menggalakkan produktiviti, ekonomi terbuka dan persaingan.
13. Melabur dalam industri hiliran dan lain-lain ‘economic clusters’ yang dipilih berasaskan kepada kemantapan daya saing negara, potensi eksport dan peluang pekerjaan bagi rakyat.
14. Melabur dalam infrastruktur bertaraf dunia yang diperlukan bagi menarik pelaburan asing dan domestik dalam industri eksport yang baru.
15. Membentuk satu dasar tenaga yang lebih mengutamakan kepada industri minyak dan gas, di samping memberi pertimbangan sewajarnya kepada keperluan memperkembangkan industri baru (new industry) melalui pelbagai aktiviti hiliran.
16. Penswastaan perkhidmatan kerajaan kepada sektor swasta untuk dijalankan secara berkesan.
17. Meningkatkan kemahiran dan kepakaran bagi keperluan sektor perniagaan dan industri melalui pelaburan di bidang institusi pendidikan, penyelidikan dan pembangunan melalui kerjasama dengan syarikat perniagaan di negara ini.
18. Menggalakkan kerjasama ekonomi antarabangsa dua hala dan berbagai hala.
19.Menggalakkan pemberian peluang yang sama kepada kaum wanita dalam tenaga kerja dan juga pembangunan negara.

STRATEGI KESELAMATAN

Strategi keselamatan ditempatkan di tempat ketiga dalam OSPD di mana enam haluan dasar akan dilaksanakan bagi memelihara kestabilan politik dan kedaulatan negara. Haluan berkenaan ialah:

20. Meningkatkan penyelarasan di antara institusi diplomatik, pertahanan dan perisikan negara bagi memastikan pendekatan bersepadu terhadap tahap keselamatan negara.
21. Memperkukuhkan agensi keselamatan termasuk angkatan bersenjata, polis dan agensi perisikan yang terkenal dengan profesionalisme, latihan dan kepakaran dalam teknologi yang bertaraf tinggi.
22. Melaksanakan pendekatan baru ke arah memajukan infrastrukur tentera dan perolehan bagi memastikan kecekapan dan ‘cost-effectiveness’, melalui perkongsian sektor awam dan swasta, jika perlu.
23. Menggalakkan ‘good governance’ dalam sektor awam dan swasta dengan memberi penekanan kepada kejujuran dan kebertanggungjawaban bagi memastikan keyakinan serta kepercayaan orang ramai.
24. Memajukan lagi sistem dan organisasi yang sesuai bagi menangani dengan segara dan berkesan sebarang ancaman mala petaka, penyakit berjangkit, keganasan dan lain-lain bentuk kecemasan.
25. Memelihara pola keharmonian sosial, budaya dan kehidupan dengan penuh tanggungjawab.

STRATEGI PEMBANGUNAN INSTITUSI

Bagi memastikan institusi kerajaan mengekalkan tahap ‘governance’ yang tinggi dalam sektor kerajaan dan swasta, strategi pembangunan institusi akan memberi penekanan kepada:

26. Memastikan sistem perundangan moden yang lebih jelas dari segi peruntukan dan penggunaannya dan sistem kehakiman yang bebas, adil dan saksama.
27. Memperkenalkan rangka kerja perundangan yang sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa seperti yang berkenaan dengan ‘special economic zone’ bagi memudahkan persaingan menarik pelaburan langsung asing (FDI).
28. Membina Perkhidmatan Awam yang moden dan berkesan bagi mendukung pembangunn negara.
29. Memperkesankan prosedur dan peraturan kerajaan bagi memastikan ketetapan yang cepat, mengadakan Perkhidmatan Awam yang berkualiti tinggi dan mengurangkan kerenah ‘red-tape’.
30. Membentuk institusi baru seperti ‘ombudsman’ yang berkecuali untuk memastikan kebertanggungjawaban dalam kerajaan dan swasta.
31. Memastikan dasar ekonomi berperancangan baik dan dilaksanakan di kalangan agensi utama kerajaan dan agensi lain yang terlibat.

STRATEGI PEMBANGUNAN PERNIAGAAN TEMPATAN

Sejumlah tujuh haluan dasar akan dilaksanakan dalam strategi ini yang semata-mata untuk membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sedarhana (PKS) dan membolehkan rakyat Melayu Brunei untuk menjadi pemimpin dalam bidang perniagaan yang lebih kompetitif.

32. Memperkenalkan program yang direka dengan sempurna dan lengkap dengan pembiayaan, dan memperkenalkan kaedah kemudahan kewangan yang berkesan bagi perusahaan tempatan untuk membantu PKS dan usahawan tempatan mendapatkan kemahiran perniagaan dan menjadikan mereka lebih berdaya saing.
33. Memajukan lagi pusat ‘incubation’ untuk membantu dan menggalakkan PKS dan usahawan tempatan dalam bidang ICT.
34. Memaksimumkan manfaat dan pelaburan langsung asing (FDI) untuk PKS dan usahawan tempatan.
35. Menggalakkan peniaga dan industri besar untuk menggunakan produk tempatan, pembekal dan pemborong tempatan.
36. Penswastaan, mengkomersialkan dan outsourcing perkhidmatan kerajaan sebagai cara menambahkan peluang perniagaan bagi PKS dan usahawan tempatan.
37. Mengurangkan kos operasi perniagaan bagi PKS dan usahawan tempatan dengan memudahkan prosedur kerajaan.
38. Memastikan kerajaan membuat keputusan dan pembayaran kepada pemborong dan pembekal tempatan dan cepat.

STRATEGI PEMBANGUNAN INFRASTRUKTUR

Empat haluan dasar penting diberikan penekanan dalam strategi pembangunan infrastruktur bagi memastikan pelaburan kerajaan dan swasta dalam infrastruktur yang bertaraf dunia, khusus dalam bidang pendidikan, kesihatan dan industri:

39. Menyediakan dengan secukupnya infrastruktur sosial terutama dalam penyediaan perumahan awam, kesihatan dan pendidikan.
40. Menggunakan rangka kerja perundangan dan peraturan yang bersesuaian bagi menarik pelaburan di bidang sosial dan infrastruktur perindustrian termasuk melalui penswastaan dan perkongsian sektor awam dan swasta sejajar amalan terbaik antarabangsa.
41. Memastikan peruntukan tersedia bagi semua projek-projek infrastruktur kerajaan yang diberikan prioriti.
42. Meneliti semula kaedah kerajaan dalam pemberian dan pengendalian kontrak pembinaan infrastruktur bagi memastikan perlaksanaan kontrak berkenaan menepati waktu dan secara ‘cost-effective’.

STRATEGI JAMINAN SOSIAL

Ke arah memastikan semua rakyat diberi perhatian sempurna melalui penyediaan jaringan sosial, haluan dasar berikut adalah diberikan penekanan:

43. Menyediakan satu sistem jaminan sosial yang berdaya tahan bagi mereka yang kurang upaya.
44. Memperkukuhkan program yang akan menggalakkan semangat keusahawanan dan berdikari di kalangan penduduk.
45. Mewujudkan peluang kepada pekerja di sektor swasta untuk menikmati ‘sense of security’ yang sebanding seperti apa yang dinikmati oleh pekerja dalam sektor awam.

STRATEGI ALAM SEKITAR

Lima haluan dasar akan dilaksanakan dalam strategi alam sekitar untuk memastikan alam sekitar dan persekitaran budaya dilindungi dan dipelihara dengan sempurna yang meliputi:

46. Meneruskan usaha untuk memelihara biodiversiti, hutan hujan tropika dan persekitaran semula jadi.
47. Melaksanakan piawaian alam sekitar terbaik bagi industri sedia ada dan baru di negara ini berdasarkan kepada piawaian dan amalan antarabangsa yang sudah mantap.
48. Menyediakan garispanduan yang jelas bagi mengekalkan bangunan dan mercutanda yang mempunyai nilai budaya dan sejarah.
49. Menguatkuasakan peraturan yang bersesuaian ke arah memelihara alam sekitar yang boleh mempengaruhi kesihatan dan keselamatan awam.
50. Mendukung sebarang usaha antarabangsa dan serantau bagi menangani masalah alam sekitar yang merentasi sempadan dan serantau.
OSPD menyediakan rangka kerja untuk membentuk dasar yang diperlukan bagi merealisasikan pencapaian matlamat wawasan yang telah ditentukan. Walau bagaimanapun, kejayaan bagi perlaksanaan dasar berkenan bergantung kepada empat faktor utama iaitu seluruh peringkat dalam kerajaan mustahak komited terhadap wawasan, semua kementerian dan agensi kerajaan hendaklah melibatkan diri bersungguh-sungguh dalam penyelarasan kerja yang ada kaitan dengan kerajaan dan swasta, kefahaman dan dokongan penuh sektor swasta ada perlu untuk mencapai wawasan di samping itu orang ramai pula dapat mengongsikan kefahaman yang jelas mengenai Wawasan Brunei 2035.

RKN 2007-2012

Kerajaan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperuntukkan sejumlah BND9.5 bilion untuk menggerakkan serta melaksanakan program pembangunan dan projek bagi tempoh lima tahun akan datang dalam RKN Siri Pertama.(2007-2012).

RKN ini mengandungi sembilan sektor utama iaitu Perindustrian dan Perdagangan yang diperuntukkan sejumlah BND1,025.000.000 juta, Pengangkutan dan Perhubungan -BND1,067,000,000 juta; Perkhidmatan Sosial - BND3,055.700,000 juta; Penggunaan Awam - BND1,492,700,000 juta; Bangunan Awam - BND673,000,000 juta; Keselamatan - BND596,800,000 juta; Sains dan Teknologi dan Penyelididikan dan Pembangunan - BND165,200,000 juta; Teknologi dan Komunikasi - BND1,145,700,000 juta dan Rampaian - BND278,900,000 juta.

Sektor Perindustrian dan Perdagangan yang meliputi pertanian BND1,771,500; perhutanan BND368,000; perikanan BND,839,960; kemajuan perusahan BND,334,000, perdagangan dan kemajuan perusahaan BND514,000 dan Pulau Muara Besar BND,138,000.

Pengangkutan dan perhubungan mengandungi projek-projek jalan raya sebanyak BND 568,535,000, penerbangan awam BND114,527,000, laut dan pelabuhan BND26,753,000, telekom BND 116,517,000, radio dan televisyen BND228,241,300 dan perkhidmatan pos BND12,465,000.

Perkhidmatan Sosial yang antaranya mengandungi pendidikan BND822,468,500, perubatan dan kesihatan BND 149,152,000, hal ehwal ugama BND 27,180,600, pembangunan sumber manusia BND 295,466,800, perumahan kerajaan BND 23, 281,000, kemudahan awam dan alam sekitar BND 182,500,800 dan perumahan negara BND 1,555,670,000.

Peruntukan Penggunaan Awam yang melibatkan sektor elektrik BND 587,904,000, pembetungan BND 178,013,000, bekalan air BND 524,573,900 dan pengaliran air BND 202,227,000. Bagi bangunan awam sejumlah BND 672,958,800 diperuntukkan.

Sains dan Teknologi dan Penyelidikan dan pembangunan yang mengandungi sektor S&T dan R&D berjumlah BND 166,178,400

Teknologi Info-Komunikasi (ICT) menerima peruntukan BND 1,145,687,800,

Sektor Keselamatan yang meliputi Angkatan Bersenjata Diraja Brunei sejumlah BND 421,286,000 dan Polis Diraja Brunei BND 175,503,000.

Sementara Perkhidmatan Rampaian yang mengandungi simpanan gagasan BND 244,844,640, kemajuan tapak BND 15,000,000, yuran perunding BND15,000,00 dan tanggungan bagi projek yang sudah siap BND 4,000,000.

Peruntukan yang berjalan dalam jangka masa lima tahun bagi membiayai perlaksanaan 826 projek yang terkandung dalam 257 program yang telah dirancang. Peruntukkan tersebut merupakan pertambahan sebanyak 30 peratus daripada peruntukan RKN8 (2001-2005) sejumlah BND7.3 bilion.

Dari jumlah tersebut, bidang ICT mempunyai 87 projek, diikuti dengan sektor bangunan awam dengan 76 projek, pendidikan 68 projek dan sains dan teknologi, penyelidikan dan pembangunan 58 projek. Senarai rancangan kemajuan itu juga meliputi bidang pertanian 34 projek; perhutanan 15; perikanan 28; kemajuan perusahan 29; perdagangan dan kemajuan keusahawanan 12; jalan raya 49; penerbangan awam 15; laut dan pelabuhan 13; elektrik 30; telekom 3; radio dan televsiyen 8; perkhidmatan pos 10; perumahan kerajaan 16; perubatan dan kesihatan 20; pembetungan 35; bekalan air 30; kemudahan awam dan alam sekitar 45; perumahan negara 46; hal ehwal ugama 15; pembangunan sumber manusia (PSM) 13; Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) 15; Polis Diraja Brunei )PDB) 11; pengaliran air 44 dan Pulau Muara Besar 1 projek.

Pelancaran RKN 2007-2012 menandakan peralihan strategik dalam perlaksanaan program pembangunan negara. Yang lebih jelas ianya merupakan RKN pertama yang digubal berasaskan matlamat Wawasan Brunei 2035 yang akan kita capai dalam masa tempoh 30 tahun dari sekarang. RKN 2007 -2012 adalah kesinambungan daripada rancangan pembangunan negara jangka panjang selama 20 tahun yang bermula pada tahun 1986 dan berakhir pada tahun 2005 dengan RKN8.

Selama tempoh 20 tahun membangun, pencapaiannya amatlah signifikan. Pelbagai sektor pembangunan dan kemajuan telah gapai dalam merealisasikan matlamat untuk meningkatkan kualiti kehidupan, mengekalkan inflasi dan mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat. Pada akhir tempoh RKN8 (2005), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada harga semasa berjumlah BND 15.9 bilion. Sementara pendapatan per kapita adalah yang tertinggi di dunia di mana per kapita KDNK pada tahun berkenaan bernilai BND43,000 atau USD26,800 dan meningkatkan sehingga mencecah kepada BND 47,964 pada tahun 2006. Manakala pelaburan negara berjumlah BND909 juta pada tahun 2005 di mana BND845 juta datangnya daripada sektor swasta. Ekonomi negara berkembang perlahan dalam pertumbuhan global (2000-2004), berbanding dengan purata pertumbuhan 3.8 peratus setahun dan lebih perlahan berbanding dengan 5.0 peratus setahun bagi negara-negara Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam tempoh yang sama.

Komitmen kerajaan akan berterusan dalam jangka masa lima tahun mendatang semata-mata bagi mengekalkan kestabilan ekonomi makronya dan untuk menyediakan asas yang kukuh bagi pembangunan. Ini termasuk memajukan kegiatan hiliran minyak dan gas. Unjuran harga minyak yang tinggi akan terus menyumbang secara positif kepada ekonomi. Begitu juga ekonomi serantau berkembang secara positif. Dinamisme ini akan mempengaruhi kegiatan ekonomi di negara ini dengan adanya aspirasi yang meningkat bagi taraf hidup yang lebih tinggi.

Tumpuan RKN 2007-2012 meningkatkan keupayaan dan daya saing negara dalam menghadapi persaingan global yang kian meningkat. Oleh itu, pembangunan sumber manusia, pendidikan berteraskan kemahiran dan inovasi dan penghasilan dan penggunaan teknologi berperanan sangat penting dalam agenda pembangunan. Selain itu, penyediaan kemudahan dan perkhidmatan yang bermutu tinggi juga akan diberikan penekanan sebagai usaha berterusan kerajaan untuk memperbaiki dan meningkatkan kualiti kehidupan rakyat agar setanding dengan negara-negara maju di dunia.

Dari empat RKN yang lalu 1986-1900 (RKN5), 1991-1995 (RKN6), 1996-2000 (RKN7) dan 2001-2005 (RKN8), usaha pembangunan telah ditumpukan bagi mencapai sembilan matlamat antaranya memperbaiki kualiti kehidupan rakyat dan penduduk, mempergunakan dengan maksimum sumber negara dengan sebaik-baiknya, memajukan perusahaan-perusahaan bukan minyak, mempercepatkan kemajuan sumber tenaga manusia bagi memenuhi permintaan negara dalam keadaan ekonomi yang semakin canggih, mempertahankan guna tenaga penuh dan meningkatkan tahap daya pengeluaran, mempertahankan inflasi pada kadar yang sederhana, memupuk sebuah masyarakat yang lebih berdisplin, berdikari dan pemedulian, menggalakkan dan memimbing rakyat Melayu menjadi pemimpin dalam bidang industri dan perniagan dan mewujudkan suasana alam sekitar yang bersih dan sihat.

Cabaran utama RKN 2007-2012 ialah bagi mempercepatkan kadar pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan keupayaan negara dalam melaksanakan inisiatif pembangunan. Ke arah tujuan itu, pengukuhan institusi merupakan salah agenda penting dan utama pembangunan dalam tempoh lima tahun akan datang sebelum Siri Kedua RKN. Dalam pada itu proses birokrasi yang menentukan keberkesanan pengendalian kerajaan akan dikemas kini bagi meningkatkan kualiti dan keberkesanan projek.

Melihat trend dan trajektori masakini, kadar peruntukan RKN akan beransur-ansur meningkat dari sekitar BND0.5 bilion pada permulaan RKN tahun 2007 kepada BND 1.7 bilion pada penghujung tahun 2012. Trajektori tersebut akan menjana kadar purata pertumbuhan sebanyak lima peratus dalam tempoh lima tahun itu.

Kerajaan dijangka akan berbelanja sekitar BND 1.7 bilion setahun dengan jangkaan perlaksanaan penuh RKN, dengan kombinasi pembaikan keupayaan untuk berbelanja (mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus dari jumlah peruntukan BND9.5 bilion itu. Ini juga bermakna akan menjana purata kadar pertumbuhan sebanyak enam peratus.

Bagi menjayakan perlaksanaan dan program dan projek yang telah disusun dalam RKN tersebut, Perkhidmatan Awam yang cekap dan prosedur birokratik yang telus amat memainkan peranan penting. Kerajaan dan pihak swasta perlu saling bekerjasama dan berperanan secara kolektif bagi membolehkan negara mempunyai daya saing yang kuat di peringkat global. Tegasnya pihak swasta dituntut melipatgandakan usaha bagi menghadapi cabaran di depan di mana pihak kerajaan akan terus menyediakan infrastruktur bagi sama-sama membangun negara.

Kejayaan RKN ini hanya akan tercapai jika semua kementerian dan jabatan kerajaan bertindak bersepadu bagi memastikan rancangan kemajuan yang dirancang dilaksanakan lebih licin dan berkesan, sementara pihak swasta pula mustahak memainkan peranan yang aktif bagi mempercepatkan poses mempelbagaikan pertumbuhan ekonomi. Begitu juga rakyat dan penduduk negara ini peranan sama dalam menggerakkan RKN 2007-2012.

Pelan Pembangunan Jangka Panjang yang dirangka sebegitu cantik merupakan usaha kerajaan bagi membawa bumi tercinta ke mercu kegemilangan dalam semua bidang kemajuan seperti yang digariskan dalam strategi pembangunan 30 tahun mendatang terutama di bidang pendidikan tinggi dan ekonomi yang berdaya tahan. Ini setentunya akan menjadikan negara kita setanding dan setara dengan negara-negara di dunia.

Untuk itu elok rasanya kita merenung titah pemimpin kita, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusalam semasa bertitah di Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan ke-4 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada 4 Mac 2008. Antaranya baginda menekankan:

"Beta berharap, dengan wawasan ini, tujuan kita untuk menjadikan orang-orang Brunei berpengetahuan tinggi lagi berkemahiran akan berjaya dicapai. Demikian juga ekonomi yang berdaya tahan dan dinamik, yang menjadi matlamat utama kita akan juga dapat dinikmati."

Belum terlambat bagi kita mengucapkan sekalung tinta emas kepada Badan Perencana Kemajuan Jangka Panjang yang telah bersusah payah, berkerja keras serta penuh lutanan dalam menghasilkan Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam, serta juga di atas usaha-usaha gigih mereka tanpa mengira penat lelah ke arah membentuk perencanaan negara yang sangat komprehensif bagi menempatkan Brunei sepuluh negara teratas dunia menjelang tahun 2035.

Wawasan yang digubal dengan penuh bijaksana melibatkan semua lapisan rakyat dan penduduk bumi Darussalam yang serba lengkap dengan keperluan teknikal, kewangan dan lain-lain keperluan strategik tetap akan menjadi kenyataan dalam tempoh 30 ke hadapan yang merupakan masa penukaran satu generasi ke satu generasi selanjutnya. Wawasan Brunei 2035 akan menjadi satu warisan kepada rakyat negara ini apabila semuanya dapat dilaksanakan dengan sempurnanya nanti. Bagi merealisasikan hasrat murni itu, semua pihak dalam negara tanpa mengira apa jua pangkat dan jawatan perlulah bekerjasama, bergerak seiring dan mempunyai komitmen jitu bagi memenuhi aspirasi itu dengan penuh kepakaran dan profesionalisme.


MENINGKATKAN KERJASAMA DENGAN NEGARA LUAR

Oleh : Zabaidah Haji Salat
zabaidah.salat@ information.gov.bn

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam genap berusia 62 tahun pada hari Selasa 15 Julai 2008 ini nanti. Semua lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam menyembahkan ucapan 'Selamat Hari Keputeraan' dan mendoakan kesejahteraan dan kesihatan baginda, semoga baginda dilanjutkan usia dan kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam.

Kepimpinan dan kebijaksanaan baginda menerajui, memerintah negara ini lebih 40 tahun yang lalu telah mencatatkan pelbagai kejayaan sama ada dari segi politik, sosial dan ekonomi. Kepimpinan baginda diakui dan digalati oleh para pemimpin dunia. Dengan adanya kewibawaan baginda ini juga Negara Brunei Darussalam terkenal di arena antarabangsa.

Salah satu usaha baginda agar Negara Brunei Darussalam sentiasa dikenali dan digalati ialah meningkatkan kerjasama dan hubungan yang mesra bersama dengan negara-negara luar, terutama negara-negara serantau dan antarabangsa. Perkara ini baginda lakukan sama ada dengan membuat lawatan-lawatan negara, rasmi atau lawatan kerja ke negara-negara sahabat. Ataupun baginda sendiri berkenan menerima para pemimpin negara luar membuat lawatan kerja, lawatan rasmi atau lawatan negara ke negara ini.

KUKUHKAN KERJASAMA

Meninjau usaha yang baginda lakukan sepanjang tahun lalu, di mana pada pertengahan bulan Ogos 2007 Negara Brunei Darussalam dan Malaysia terus mengukuhkan kerjasama dua hala berasaskan kepentingan bersama dan saling hormat-menghormati. Kenyataan ini terkandung dalam Konsultasi Tahunan Kali Ke-11 antara kedua-dua buah negara, di mana dalam konsultasi itu baginda telah berkenan menerima mengadap Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi dan rombongan.

Dalam kenyataan itu, kedua-dua pemimpin berpuas hati atas hubungan mesra dan persahabatan yang telah lama wujud di antara kedua-dua buah negara. Kedua-dua pemimpin juga mengkaji semula hubungan dua hala secara menyeluruh dan mengambil maklum mengenai kemajuan yang dicapai dalam bidang perdagangan dan pelaburan, kewangan, pengangkutan, teknologi infokomunikasi, pertahanan, kesihatan, pendidikan dan pelancongan.

Baginda dan Perdana Menteri Malaysia juga menekankan kepentingan untuk meneruskan kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan dan pelaburan yang dilaksanakan oleh pegawai-pegawai kanan kedua negara, termasuk bidang fasilitasi perdagangan, industri produk halal, perbankan Islam dan pelancongan, di samping meneroka peluang-peluang perniagaan dua hala di sektor swasta terutama bagi masyarakat peniaga Negara Brunei Darussalam, Sabah dan Sarawak.

SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN

Hubungan mesra antara Negara Brunei Darussalam - Malaysia lebih kukuh lagi apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar berkenan berangkat ke sambutan Hari Kemerdekaan Ke-50 Tahun di Kuala Lumpur, Malaysia pada 31 Ogos 2007. Hubungan erat dan mesra antara kedua-dua buah negara jelas terpancar dengan adanya keberangkatan baginda di majlis sambutan itu.

Kebawah DYMM seterusnya memperbaharui hubungan erat dan mesra yang sedia ada dengan mengadakan pertemuan dan perbincangan isu-isu dua hala dan serantau bersama Perdana Menteri Malaysia semasa baginda mengadakan lawatan kerja ke Kuala Lumpur, Malaysia pada 6 Mei 2008 yang lalu.

PENGGUNAAN FTC

Pencapaian yang membanggakan telah termeterai antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia termasuklah Pelancaran Penggunaan Kad Perjalanan Kerap (FTC) pada bulan September 2007, di mana kejayaan projek penggunaan FTC kedua negara menjadi realiti berdasarkan kepentingan dan kemanfaatan bersama dengan wujudnya manifestasi persefahaman, perpaduan, kerjasama, kepercayaan, sikap saling menghormati disertai dengan kegigihan dan komitmen di semua peringkat di kedua buah negara.

Dengan pencapaian yang membanggakan itu, melakar satu lagi sejarah kejayaan kedua negara, malah juga di peringkat ASEAN dalam memupuk semangat kejiranan sesama ASEAN khususnya kepada pengguna FTC dan para peniaga.

Pertukaran lawatan

Usaha merapat dan mengukuhkan hubungan dua hala dengan negara-negara luar, bukan saja dilakukan oleh baginda tetapi juga dilakukan oleh para menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negara ini. Pada bulan November tahun lepas, adinda baginda iaitu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan telah berkenan berangkat mengetuai rombongan Negara Brunei Darussalam ke Republik Singapura melalui Program Pertukaran Lawatan Negara Brunei Darussalam-Republik Singapura.

Siri lawatan tahunan yang bermula dalam tahun 1990 oleh Perdana Menteri Republik Singapura ketika itu, Tuan Yang Terutama Goh Chok Tong bertujuan untuk menggalakkan interaksi antara kedua-dua buah negara dalam suasana rasmi.

Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura menjalin hubungan yang sangat rapat dan kerjasama yang sangat erat dalam pelbagai bidang seperti perdagangan,pertahanan, kesihatan, pendidikan dan kewangan.

Kerjasama yang paling ketara ialah Perjanjian Kesalingbolehtukaran Matawang kedua negara yang telah pun mencapai ulang tahun ke-40 pada 27 Jun 2007. Dalam bidang kewangan ini juga, kedua negara telah pun menandatangani Perjanjian Cukai Beranda pada 19 Ogos 2006 yang bertujuan untuk mengalakkan pengaliran 'cross border' perdagangan, pelaburan dan kepakaran di antara kedua-dua buah negara yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2007.

MENINGKATKAN BIDANG PERDAGANGAN

Republik Sosialis Viet Nam, salah sebuah lagi negara ASEAN yang telah mempunyai hubungan dua hala yang erat dan mesra dengan Negara Brunei Darussalam sejak penubuhan hubungan diplomatiknya pada tahun 29 Februari 1992. Hubungan dan persahabatan kedua negara terus bertambah baik dengan adanya lawatan rasmi Perdana Menteri Republik Sosialis Viet Nam, Tuan Yang Terutama Nguyen Tan Dzung ke negara ini pada 15 - 16 Ogos 2007.

Kebawah DYMM ketika bertitah bagi meraikan lawatan rasmi pemimpin Republik Sosialis Viet Nam itu menegaskan: "Sehubungan dengan itu kita akan terus melihat ke hadapan kepada peluang-peluang masa depan untuk meningkatkan bidang perdagangan dan mengembangkan kerjasama dalam pelbagai bidang."

Baginda berharap hubungan mesra yang dinikmati oleh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan Viet Nam akan dapat membuka serta memperluaskan lebih banyak peluang-peluang kerjasama antara kedua negara. Hubungan itu, titah baginda bukan sahaja bermakna di peringkat hal ehwal serantau tetapi juga hubungan dua hala.

Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana memainkan peranan dalam membantu Republik Sosialis Viet Nam memajukan negaranya melalui pendidikan dan latihan, di samping bertambahnya bilangan rakyat Viet Nam bekerja di negara ini bagi membantu pembangunan Negara Brunei Darussalam.

Selain itu, Negara Brunei Darussalam dan Republik Sosialis Viet Nam juga telah banyak meneroka banyak kerjasama yang memberikan banyak manfaat yang sangat berguna kepada rakyat kedua-dua negara,antaranya termasuklah ekonomi, pelancongan, pendidikan, sukan, perburuhan, pertahanan,kesihatan dan bantuan teknikal.

MENINGKATKAN BIDANG EKONOMI

Lawatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha pada bulan April lepas ke Republik Indonesia mengukuhkan lagi keakrapan dan persahabatan erat antara kedua-dua buah negara yang memang terjalin sekian lama. Lawatan bersejarah itu menandakan kesinambungan yang berterusan dalam membina rangkaian kerjasama yang lebih meluas dalam pelbagai bidang antara kedua buah negara.

Negara Brunei Darussalam Republik Indonesia kini lebih 20 tahun berganding bahu membina hubungan dua hala yang rapat iaitu sejak 1 Januari 1984. Hubungan tersebut bukan sahaja di bidang bahasa dan budaya, malahan juga hubungan peribadi yang erat dan mesra di antara penduduk kedua-dua buah negara. Di samping itu bidang perdagangan juga menunjukkan kepada peningkatan yang memerangsangkan. Bagi tujuan itu baginda telah bertitah: "Kita mesti teruskan kerjasama ini dan malah saya berpendapat, masih banyak lagi peluang untuk diteroka oleh para pengusaha kita, sebagai langkah ke hadapan meningkatkan lagi perdagangan dua hala."

Dalam Kenyataan Bersama Brunei dan Republik Indonesia sempena lawatan itu, Kebawah DYMM dan Presiden Republik Indonesia komitmen meningkatkan kerjasama bagi menciptakan iklim perdagangan dan pelaburan yang lebih menarik dan memberikan peluang pekerjaan yang baru. Negara Brunei Darussalam sendiri telah meningkatkan dan mengembangkan pela-buran di Republik Indonesia, khususnya di kawasan ekonomi di Kepulauan Batam, Bintan dan Karimun.

Kebawah DYMM juga yakin kedua-dua negara akan dapat menghadapi perubahan dan cabaran global ketika ini, iaitu dengan adanya semangat setia kawan yang sentiasa digilap dan dipupuk.

MOU BIDANG KEBUDAYAAN

Sempena dengan Lawatan Negara itu Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia juga telah memetrai Memorandum Kerjasama (MOU) dalam bidang kebudayaan. Penandatanganan perjanjian yang disaksikan oleh baginda dan Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dr. Haji Susilo Bambang Yudhoyono itu meliputi kerjasama kebudayaan di antara kedua negara meliputi pertukaran lawatan, latihan, kursus, bengkel, mesyuarat, pameran persembahan kesenian dan pertandingan sukan.

Dalam titah baginda sempena lawatan itu berharap agar kerjasama di bidang kebudayaan ini diberikan penekanan kepada para belia di antara kedua-dua buah negara. Kerana para belia adalah merupakan aset paling berharga untuk mengangkat martabat bangsa dan negara.

Bagi tujuan itu penglibatan para belia antara kedua negara termasuk dalam program pertukaran lawatan di bidang-bidang kebudayaan dan pendidikan perlu digalakkan. Sebagai contoh Pertandingan Membaca Al-Qur’an Belia ASEAN yang dianjurkan oleh Negara Brunei Darussalam juga telah melibatkan belia dari Republik Indonesia dan ianya merupakan contoh penglibatan dan kerjasama dalam bidan tersebut yang amat bermanfaat untuk para belia kedua negara bertukar-tukar pengalaman. Sementara Republik Indonesia sendiri mempunyai kemahiran dan pengalaman di bidang pendidikan teknikal dan vokasional.

Dalam bidang pertahanan pula, kedua negara telah mengadakan kerjasama meliputi latihan-latihan ketenteraan bersama dan juga pertukaran lawatan yang membolehkan tentera-tentera kedua negara meraih pengetahuan dan pengalaman yang sangat berguna bagi meningkatkan kemahiran bagi menghadapi cabaran semasa.

KOMITED KEKAL KEAMANAN

Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia juga komited mengekalkan keamanan dan juga meningkatkan kemakmuran, sebagai asas kepada kestabilan serantau bagi peningkatan pertubuhan ekonomi.

Dengan adanya keamanan kedua negara telah dapat menyaksikan peningkatan ekonomi dan Republik Indonesia sendiri telah memberi laluan kepada peningkatan pertumbuhan ekonominya sehingga membawa negara itu mencapai 6.2 peratus pada tahun lepas.

Di peringkat serantau, kedua negara juga telah menandatangani bersama Deklarasi 'Heart of Borneo' tahun lepas, yang memberi komitmen bersama ke arah usaha-usaha memelihara dan mengekalkan khazanah semula jadi Borneo.

Persahabatan Brunei - Jordan terus kukuh

Hubungan antara Negara Brunei Darussalam dan Negara Kesultanan Jordan yang sememangnya erat, terus diperkukuh lagi dengan Lawatan Negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Abdullah II Ibni Al-Hussein, Raja Kesultanan Jordan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Permaisuri Rania Al-Abdullah serta rombongan ke negara ini pada 13 hingga 15 Mei 2008.

Hubungan diplomatik Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Jordan telah terjalin sejak 18 Februari 1985. Semenjak itu pelbagai kerjasama telah terjalin seperti bidang pertahanan, pendidikan, perdagangan dan pelaburan.

Kebawah DYMM ketika bertitah di Majlis Santap Negara bagi mengalu-alukan rombongan di raja Jordan itu, gembira dengan hubungan yang akrab dalam saling hormat-menghormati antara kedua negara terutama sekali apabila bertemu di arena antarabangsa. Demensi hubungan tersebut semakin menyerlah semasa Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) di Mekah pada tahun 2005.

Kebawah DYMM juga menghargai hala tuju yang ditetapkan Raja Jordan dan kerajaan baginda untuk rakyat Jordan di mana menempatkan Jordan bukan saja di laluan perdamaian dan kemajuan moden tetapi juga kemuhibahan dan toleransi antarabangsa di Jordan dan juga Timur Tengah.

Negara Brunei Darussalam sendiri sentiasa memberikan sokongan padu kepada kerajaan Kesultanan Jordan di atas segala usaha Jordan dan rakyatnya mempelbagaikan ekonomi yang mirip diusahakan sama oleh Negara Brunei Darussalam sendiri.

Kebawah DYMM Raja Jordan bertitah melahirkan kegembiraan persahabatan dengan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan menghargai keakrapan dan menyanjung tinggi kedaulatan Kebawah DYMM.

Raja Jordan bertitah,"Hari ini negara di seluruh dunia melihat kepada Negara Brunei Darussalam sebagai pemimpin dalam kerjasama bagi pembangunan dan dalam ASEAN, hubungan antara Asia dan Timur Tengah dan juga masyarakat Islam sejagat, Kebawah DYMM telah menggalakkan kerjasama rapat dan berkesan yang mana sangat diperlukan di masa kini."

MEMPERKUKUH HUBUNGAN PERSAHABATAN

Keberangkatan Kebawah DYMM selama empat hari ke Republik India pada bulan Mei tahun ini, melakar satu lagi sejarah antara Negara Brunei Darussalam dan Republik India bagi mengukuhkan persahabatan yang sedia terjalin sejak tahun 1984. Keberangkatan baginda kali ini telah mencapai kejayaan yang membanggakan dalam usaha berterusan Negara Brunei Darussalam mengeratkan lagi persahabatan dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang.

Penandatangan satu perjanjian dan empat MOU antara Bandar Seri Begawan dan New Delhi, membuktikan misi baginda meningkatkan kerjasama dengan luar terlaksana. Perjanjian itu meliputi Perjanjian Bagi Memajukan Timbal Balik dan Perlindungan Pelaburan (BIPPA); Memorandum Persefahaman Bagi Kerjasama Dalam Teknologi Infokomunikasi; Memorandum Persefahaman Bagi Kerjasama Dalam Bidang Kebudayaan, Kesenian dan Sukan; Memorandum Persefahaman Bagi Penubuhan Jawatankuasa Perdagangan Bersama; Memorandum Persefahaman Bagi Kerjasama Dalam Pengendalian Stesen Pengesan Telemetri dan Telearah bagi Satelit dan Pelancaran Jentera serta Kerjasama Dalam Bidang Penyelidikan Sains dan Pemasangan Ruang Angkasa.

PERJANJIAN BIPPA

Perjanjian Bagi Timbal Balik dan Perlindungan Pelaburan (BIPPA) antara Negara Brunei Darussalam dan Republik India bertujuan bagi melindungai kepentingan pelabur-pelabur dan 'stakeholder' dari kedua-dua buah negara.

BIPPA akan memberikan pelabur-pelabur, terutama sekali ahli-ahli perniagaan kemudahan memperolehi peluang-peluang pelaburan baik di Negara Brunei Darussalam mahupun di Re- publik India. Perjanjian ini juga akan membantu syarikat Brunei dan India mengurangkan kos perbelanjaan dalam memulakan perniagaan dan menggalakkan lebih banyak pelaburan masuk kedua-dua buah negara.

Perjanjian BIPPA merupakan 'chapter' baru dalam kerjasama ekonomi dan pelaburan. Ianya juga sebagai ‘testimony’ komitmen yang berpanjangan ke arah mendalami lagi kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Republik India.

LAWATAN KE REPUBLIK PERANCIS

Lawatan kerja Kebawah DYMM ke Paris, Republik Peranchis pada 11 Jun lepas, meningkatkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Perancis.

Baginda dan Presiden Republik Perancis, Tuan Yang Terutama Nicolas Sarkozy ketika mengadakan mesyuarat dua hala di Istana Presiden, Paris telah melahirkan rasa puas hati dengan perkembangan positif antara kedua negara terutama dalam kerjasama pertahanan dan pelaburan dan seterusnya mengalakkan perkembangan hubungan dua hala dalam bidang-bidang lain seperti pendidikan dan kebudayaan.

Bertemu PM Britain

Pertemuan Kebawah DYMM dengan Perdana Menteri Britain, Yang Amat Berhormat Gordon Brown di 10 Downing Stree, London pada 25 Jun lepas mengukuhkan lagi hubungan baik dan mesra antara Negara Brunei Darussalam dan Britain.

Di pertemuan itu kedua pemimpin telah membincangkan berbagai-bagai topik, termasuk hubungan dua hala dalam pendidikan dan perdagangan. Dalam bidang pendidikan Kebawah DYMM dan Perdana Menteri Britain bersetuju menawarkan biasiswa yang memfokuskan ke arah meningkatkan persefahaman di antara dua budaya yang berlainan.

Negara Brunei Darussalam dan United Kingdom mempunyai hubungan tradisi dan sejarah yang panjang dan seterusnya menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1984.


PERTAHANAN MAPAN PASAK KESELAMATAN, KEAMANAN NEGARA

Oleh : Haji Ahat Haji Ismail
ahat.ismail@ information.gov.bn

SELAIN sentiasa perihatin terhadap kehidupan dan kebajikan rakyat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga peka terhadap keselamatan dan keamanan negara.

Keselamatan dan keamanan merupakan perkara yang amat dititikberatkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan dalam menanganinya, kerjasama dikalangan masyarakat amat diperlukan terutama dalam memberikan maklumat berguna terhadap aktiviti-aktiviti yang mencurigakan yang dianggap boleh mengganggu keselamatan negara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia melihat aspek ini sama pentingnya dalam menjaminkan suasana aman damai dan justeru itu perhatian setentunya perlu diberikan dengan mengemaskinikan pasukan pertahanan negara.

Sebagai pasak pertahanan dan keselamatan, keutamaan turut sama diberikan dalam Rancangan Kemajuan Negara (RKN) 2007 - 2012 dengan dipandu oleh beberapa dasar yang antara lainnya adalah ‘Defence White Paper 2004’ yang menggariskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan adalah bersandarkan kepada tiga tunggak iaitu:
* Perpaduan rakyat dan kestabilan negara.
* Suasana serantau yang stabil.
* Pemeliharaan ke atas keupayaan pertahanan.

Dalam RKN Ke-Vlll 2001 - 2005, sejumlah BND350 juta telah diperuntukkan kepada sektor keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Pasukan Polis Diraja Brunei.

‘Defence White Paper 2004’ menggariskan peranan ABDB dalam menangani beberapa tindakan kepada pelbagai jenis ancaman dan krisis, termasuk kemunculan ancaman dari keganasan.

Pasukan pertahanan negara ABDB yang kini sudah memasuki usia 47 tahun, sejak penubuhannya pada 31 Mei 1961 berkembang pesat dan bersedia bagi memenuhi keperluan pertahanan negara.

Bermula dengan hanya satu seksyen perahu dan dua buah pesawat helikopter jenis Sikorsky (S55), ABDB kini dilengkapi dengan beberapa buah kapal yang lengkap dengan senjata peluru berpandu, kapal peronda pantai dan pesawat canggih yang terdiri helikopter Sikorsky S70A, Blackhawkh, Bell 212, 206, Bolkow 105, pesawat pengangkut CN 235, kenderaan-kenderaan darat kereta perisai dan kereta kebal.

Seiring dengan kecanggihan peralatan tentera terkini, selepas negara mencapai kemerdekaan penyusunan semula struktur ABDB kepada lima unit besar yang terdiri daripada Angkatan Tentera Darat Diraja Brunei, Angkatan Tentera Laut Diraja Brunei, Angkatan Tentera Udara Diraja Brunei, Angkatan Tentera Perkhidmatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pusat Latihan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Selepas itu, tiga tahun kemudian (1 Januari 2005) unit-unit berkenaan kini dikenali sebagai Tentera Darat Diraja Brunei, Tentera Laut Diraja Brunei, Tentera Udara Diraja Brunei, Perkhidmatan Bantu ABDB dan Institut Latihan ABDB.

Melihat betapa besarnya tanggungjawab dan peranan ABDB terhadap memelihara keamanan negara, baru-baru ini pula Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei mempunyai pangkalan rasminya di Lumut Daerah Belait.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah di Majlis Sambutan Hari Ulang tahun ABDB Ke-47 menyatakan penubuhan batalion ketiga itu merupakan petunjuk bahawa tahap profesionalisme ABDB meningkat.

Baginda bertitah, "Pembukaan perkhemahan Batalion Ketiga ini tidak syak lagi merupakan petunjuk nyata bahawa tahap profesionalisme dan keupayaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei adalah meningkat.

"Ini juga menandakan betapa besarnya keprihatinan kita untuk menyediakan persekitaran yang lebih selesa bagi para anggota, di samping bertujuan untuk mewujudkan suasana yang lebih profesional, sesuai dengan sebuah angkatan pertahanan yang sedang berkembang.

Selain mempunyai markas baru batalion ketiga, baginda juga menyatakan rasa gembira menyaksikan pertumbuhan pesat pembangunan infrastruktur. Bukan saja Kementerian Pertahanan telah mula menduduki sebuah bangunan yang lebih baik, bahkan kemudahan prasarana bagi perajurit kita yang bertugas di Pulau Baru-Baru juga berhasil disediakan.

Keperluan pertahanan itu bukan saja kepada pembangunan infrastruktur dan persenjataannya malahan, ABDB juga kini melangkah ke bidang akademik dengan menubuhkan akademi tentera tahun ini dan juga penubuhan Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di samping kerja-kerja peningkatan kepada Institut Latihan.

Kemudahan-kemudahan ini tentu saja akan memperluaskan lagi perspektif dan visi para anggota ABDB. Dalam pada itu perancangan strategik pertahanan memfokus kepada apa yang perlu diusahakan oleh Kementerian Pertahanan dan ABDB di tahun-tahun mendatang dalam bentuk keupayaan yang diperlukan untuk membantu dasar negara.

Kesungguhan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menjaminkan keamanan bukan saja setakat dalam negeri malahan juga dengan melihat sendiri tahap persediaan yang dilaksanakan oleh negara-negara luar dalam menghadapi ancaman keselamatan.

Keberangkatan baginda melawat Republik Indonesia pada bulan April lepas dengan dianugerahkan 'Honorary Pilot Wing' dan 'Honorary Member Of The Special Air Force Corps of the Indonesian Air Force', jelas memperlihatkan usaha sama kedua-dua buah negara di bidang pertahanan.

Begitu juga dengan keberangkatan ke Kem Tentera Iskandar di Johor Malaysia, pada bulan Mei lalu setentunya memperluaskan pengetahuan baginda di bidang pertahanan sebagaimana yang pernah baginda ikuti ketika menuntut di Akademi Tentera Diraja Sandhurst England tahun 1966.

Semasa keberangkatan di Pusat Latihan Regimen Payong Terjun di India pula baginda menyaksikan keupayaan unit-unit khas tentera melakukan pelbagai aksi dan demonstrasi pertahanan.

Dengan melihat sendiri pasukan-pasukan pertahanan di ketiga-tiga buah negara berkenaan cukup jelas bahawa pasukan pertahanan memainkan peranan utama dalam menghadapi ancaman musuh. Secara tidak langsung dengan persiapan yang rapi dan ketahanan yang mantap pada sesebuah pasukan pertahanan akan dapat mengekalkan keamanan.

Di peringkat serantau pula, ABDB tidak ketinggalan sama-sama berperanan apabila menyertai misi keamanan di bawah payung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu dengan menyertai United Nation Transitional Authority di Cambodia (UNTAC) 1992.

Kemudian pada tahun 1998, Yang Dimuliakan Pehin Datu Singamanteri Leftenan Kolonel (B) Dato Seri Paduka Haji Awang Mohammad Yasmin bin Haji Umar telah mengetuai rombongan negara ini ke Pasukan Pemantau Antarabangsa semasa pilihan raya di Kemboja.

Pada masa ini pula ABDB juga telah menghantar anggota-anggotanya untuk bertugas menjadi Pasukan Pemantau Antarabangsa di Cotabato City, Kepulauan Mindanao Republik Filipina dan misi membantu di Aceh yang dilanda bencana Tsunami 2005.

Dalam Pertubuhan Negara-Negara Anggota Asia Tenggara (ASEAN), usaha menangani keselamatan dan keamanan juga telah ditingkatkan apabila Negara Brunei Darussalam menjadi ‘vanue’ kepada Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi jenayah merentas sempadan ke Vl tahun lepas.

Semasa mesyuarat tersebut para menteri ASEAN bersetuju bagi mempertingkatkan penggunaan rangkaian kerja (net work) dan perhubungan berhubung dengan usaha-usaha mengenai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Melalui rangkaian kerja itu akan dapat memantapkan pertukaran maklumat serta perkembangan tenaga manusia di antara negara-negara ASEAN, ASEANAPOL dan Interpol.

Usaha membendung jenayah tersebut menggariskan tatacara mengukuhkan komitmen dalam mempertingkatkan dan memantapkan kerjasama serta pertukaran maklumat khususnya di kalangan agensi-agensi penguatkuasaan di rantau ASEAN dalam sama-sama membanteras dan menangani isu jenayah merentas sempadan seperti pengganasan, pengedaran dadah, penyeludupan senjata api, penyeludupan manusia, jenayah siber dan jenayah ekonomi antarabangsa serta kegiatan lanun.

Pada asasnya agensi penguatkuasaan isu jenayah merentas sempadan ini bekerjasama rapat dengan agensi-agensi penguatkuasaan di rantau ASEAN melalui jabatan-jabatan negara masing-masing.

Selain daripada itu, agensi-agensi berkenaan juga mengadakan pertukaran-pertukaran maklumat tertentu bersama rakan-rakan yang lain.

Di peringkat antarabangsa pula, Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara anggota ASEAN yang lain juga mengadakan hubungan kerjasama bersama Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea dalam membendung penganasan dan penyeludupan manusia.

ASEAN bersama ketiga-tiga negara itu sering mengadakan pertemuan bagi bertukar-tukar pandangan dalam memantapkan dan mengukuhkan kerjasama ASEAN +3 dalam memerangi jenayah rentas sempadan dengan lebih memfokus pada cabaran jenayah siber berkenaan.

Di kalangan menteri-menteri bersetuju supaya negara-negara anggota ASEAN dapat berkongsi kemahiran serta pengelaman yang luas ASEAN +3 dalam bidang berkenaan terutama peralihan teknologi terkini dan pembangunan keupayaan manusia.

Selain daripada itu, kesepakatan bersama juga telah diambil bagi memastikan perlaksanaan berkesan pelan kerja ASEAN +3 dalam memerangi jenayah sempadan, kajian perlu dilaksanakan untuk mengenalpasti kaedah perlaksanaan yang tepat bagi keutamaan projek.

Kerjasama ASEAN + 3 juga membolehkan rantau berkenaan memerangi ancaman jenayah rentas sempadan secara lebih berkesan dan meningkatkan usaha yang diambil semasa pertemuan peringkat dua hala, pelbagai hala dan serantau.

Usaha mempercepatkan penubuhan masyarakat ASEAN menjelang 2015 juga adalah komitmen bersama ASEAN + 3 selain kepentingan meneruskan tindak balas bersama-sama rakan dialog yang lain dalam melaksanakan pendekatan Program Tindakan Vientane (VAP) untuk masyarakat keselamatan ASEAN (ASEAN Security Community).

Negara Brunei Darussalam menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh ASEAN + 3 dalam memberikan bantuan dan sokongan kepada ASEAN melalui kemahiran serta sumber dalam mengekalkan keamanan serantau.

Komitmen berkenaan menunjukkan keazaman penuh bersama ke arah memperkukuhkan lagi kerjasama dalam menangani isu keselamatan dan perkara keselamatan serta strategi bagi kepentingan bersama.

Kerjasama rapat ASEAN bersama Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea melalui ASEAN + 3 ini setentunya akan dapat memperkukuhkan lagi agenda utama mengekalkan keamanan sejagat sebagaimana yang dikehendaki oleh masyarakat antarabangsa.

Agenda ini sememangnya amat bertepatan sebagaimana yang pernah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bahawa dalam menangani bidang keselamatan ini juga kerajaan akan terus meningkatkan kerjasama serantau dan antarabangsa bagi faedah-faedah bersama.

Menerusi hubungan dengan negara-negara sahabat dan juga pertubuhan-pertubuhan dunia kita mempunyai banyak peluang untuk mencapai hasrat tersebut.


PENGKORPORATAN DAN PENSWASTAAN NADI PEMBANGUNAN EKONOMI
Oleh : SAHARI AKIM
sahari.akim@information.gov.bn


PENGKORPORATAN dan penswastaan sektor awam merupakan salah satu langkah ke arah menjana dan mempelbagaikan ekonomi negara. Ini dijadikan sebagai salah satu haluan dasar strategi ekonomi negara dalam Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam yang dihasratkan mampu memperluaskan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat dan penduduk negara ini.

Seperti juga negara-negara lain Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah dan sedang berusaha mengkorporat dan menswastakan sektor-sektor awam yang berpotensi dan bersesuaian.

Langkah ini antara lain juga akan dapat meringankan beban kerajaan menanggung kos yang begitu besar dalam pemberian perkhidmatan dan penyediaan infrastruktur termasuk pemberian subsidi secara langsung.

Selain dari itu, pengkorporatan dan pengswastaan sebagai sifatnya berorientasikan 'keuntungan' juga merupakan mekanisme yang boleh meningkat dan mempercepatkan perkembangan sesuatu agensi atau institusi berkenaan.

Pengkorporatan dan penswastaan juga diharapkan akan dapat memberikan pelayanan dan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan selain menyediakan prasarana canggih seiring perkembangan semasa, di samping mampu bersaing di peringkat global.

Menyentuh usaha pengkorporatan di negara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda ke-51 pada 15 Julai 1997 antara lain menekankan:

"Usaha untuk memperkembangkan sektor swasta itu, akan juga melibatkan rancangan penswastaan, perancangan belanjawan serta penyusunan semula perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan dan pengurusan ekonomi keseluruhannya."

Sementara itu sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda ke-56, pada 17 Julai 2002 baginda bertitah:
"Di samping itu, kerajaan beta akan memperbadankan Jabatan Telekom Brunei mulai 1 April, 2003. Dengan pengkorporatan JTB ini, kerajaan mempunyai satu lagi asas pertimbangan bagi melihat seterusnya kemungkinan pengkorporatan perkhidmatan-perkhidmatan lain yang bersesuaian."

PERHUBUNGAN
Perhubungan merupakan salah satu sektor yang mempunyai ruang dan potensi ke arah pengkorporatan meliputi penyediaan prasarana dan perkhidmatan udara, darat dan laut termasuk telekomunikasi dan infokomunikasi.

Bidang-bidang tersebut antaranya berhubung kait dengan agensi-agensi di bawah Kementerian Perhubungan seperti Jabatan Penerbangan Awam, Jabatan Pengangkutan Darat, Jabatan Pelabuhan-Pelabuhan, Jabatan Laut dan Jabatan Perkhidmatan Pos.

Penglibatan swasta secara langsung dan tidak langsung dalam sektor perhubungan sangat ketara kerana ia melibatkan mobiliti pengangkutan orang dan kargo melalui udara, darat dan laut.

Penyediaan rangkaian prasarana dan perkhidmatan pengurusan pelancong, kargo dan seumpamanya (udara, darat dan laut) telah mampu mewujudkan pelbagai jenis perniagaan dan peluang pekerjaan.

Selain dari itu penggunaan dan perhubungan melalui sistem telekomunikasi dan info komunikasi yang berkembang pesat dan cepat ketika ini juga membuka ruang perniagaan yang begitu luas kepada para pengusaha dari segi penjualan peralatan dan aksesori serta penyediaan perkhidmatan.

PENGKORPORATAN
Perencanaan dan program ke arah peningkatkan pelan strategik Kementerian Perhubungan antara lain memberikan tumpuan kepada pengkorporatan dan penswastaan sektor perhubungan sebagai salah satu keutamaan. Limpahan dari kemajuan perkhidmatan dan industri perhubungan akan diraih keuntungannya oleh pihak swasta.

Perkara ini ditekankan dalam (petikan mesej) Menteri Perhubungan, Timbalan Menteri Perhubungan dan mantan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dalam Buku Plan Strategik Kementerian Perhubungan 2008 - 2017.

Menurut Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, sumbangan sektor perhubungan meliputi pengangkutan, Perkhidmatan Pos, telekomunikasi dan teknologi infokomunikasi kepada perkembangan ekonomi negara adalah sangat penting terutama dalam usaha untuk sama-sama membantu mencari jalan supaya tidak terus bergantung kepada industri minyak dan gas.

Menurut Yang Berhormat perkembangan sektor perhubungan perlu dipertingkatkan untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta menjana pendapatan tambahan bagi masyarakat.

Sementara itu Timbalan Menteri Perhubungan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Yusof bin Haji Abd. Hamid antara lain menyatakan kementeriannya sedang berusaha mempergiatkan perlaksanaan agenda pengkorporatan untuk perkhidmatan yang diberikan oleh jabatan-jabatan di bawah Kementerian Perhubungan supaya menjadi entiti korporat bagi membolehkannya bersaing dengan lebih efektif dengan sektor swasta.

Jika perlu katanya, Kementerian Perhubungan akan menyediakan inisiatif untuk terus memastikan peningkatan penyertaan pihak swasta melalui konsep perkongsian swasta-awam.

Mantan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Dato Paduka Awang Haji Md. Yusof bin Md. Hassan pula menekankan pentingnya Kementerian Perhubungan mengoptimakan sektor swasta dengan mengambil kira peranan yang dimainkan ke arah mencapai visi dan misi kementerian tersebut.

Menurutnya penyertaan efektif daripada ‘stakeholder’ yang relevan terutama sektor swasta akan menjadi penggerak kepada pelan strategik kementerian itu.

TelBru
Salah satu lagi pengkorporatan yang dianggap berjaya ialah Jabatan Telekom Brunei yang dengan rasminya menjadi Telekom Brunei Berhad (TelBru) pada tanggal 1 April 2006. Dalam tempoh yang singkat TelBru telah mengalami perkembangan yang begitu pesat.

TelBru yang ditubuhkan pada 30 Mei 2002 di bawah Bab 39 sebagai Syarikat Awam Berhad merupakan syarikat milik Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sepenuhnya.

Visi TelBru ialah untuk menjadi syarikat telekomunikasi dan teknologi maklumat yang unggul di rantau ini. Misi TelBru bagi pelanggan pula ialah menyediakan rangkaian produk Perkhidmatan Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat yang terbaik melampaui pelanggan; mengatasi persaingan dengan memperbaiki bahagian pasaran produk dan Perkhidmatan Telekomunikasi dan teknologi maklumat (bagi pertumbuhan perniagaan); Membina perniagaan yang bercorak serantau dan antarabangsa (bagi pertumbuhan akan datang) dan memaksimumkan keuntungan syarikat (bagi pemegang saham).

Sementara itu slogan TelBru 'Menjana Perubahan' pula bermaksud untuk membawa perubahan dalam hidup masyarakat, industri, telekomunikasi serta perubahan dalam memajukan negara.

TelBru mempunyai lebih dari 700 tenaga kerja meliputi berbagai kebolehan dan kemahiran dalam bidang teknikal seperti prasarana kabel, penyuisan dan pemancaran, jalur lebar termasuk bidang bukan teknikal seperti kewangan, pentadbiran, perkembangan produk, guaman, jualan dan pemasaran, perkhidmatan pelanggan dan sumber tenaga manusia.

PENJENAMAAN

TelBru telah menjalani proses penjenamaan semula ke atas portfolio tradisinya bagi empat produk dan perkhidmatan utama - suara, jalur lebar, data dan global. Konsep reka bentuk diwujudkan untuk memudahkan pelanggan mengenalinya.

Selain dari itu, TelBru juga menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk pembayaran bil, pertanyaan dan permohonan perkhidmatan baru melalui 13 buah pusat urus niaga telekom di seluruh negara.

Sejajar dengan identiti penjenamaan itu TelBru juga terus meningkatkan konsep kedai runcit (Kedai TelBru) yang mengetengahkan jenama kedai, persekitaran yang unik dan penjualan peralatan telefon dan infokomunikasi.

PERKHIDMATAN

Sebagai perkhidmatan yang teras semenjak tahun 1952, talian telefon tetap terus menjadi salah satu perkhidmatan penting yang disediakan oleh TelBru bagi rakyat di negara ini. Ia masih menjadi sumber pendapatan TelBru yang utama. TelBru berhasrat untuk mengekalkan kedudukannya sebagai penyelia rangkaian perkhidmatan tetap yang utama bagi pelanggan perniagaan dan persendirian di negara ini.

TelBru juga telah menyusun beberapa pakej baru dalam pelan produknya tawaran minit percuma dan Perkhidmatan tambah nilai dengan harga yang bersesuaian. TelBru mengambil langkah ke hadapan dengan menawarkan 'Worldfon', Perkhidmatan VoIP berasaskan teknologi SIP dan direka bagi membolehkan aplikasi interaktif termasuk suara, video dan chat yang disalurkan di dalam persekitaran paket IP.

WAVE kad prabayar perkhidmatan jalur lebar TelBru pertama yang telah diperkenalkan pada Februari 2007 merupakan perkhidmatan prabayar perdana bagi akses ‘wayarles’ di mana setiap pengguna akan diberikan lebar jalur sekurang-kurangnya 300kbps. Selain dari melayari internet, kad WAVE juga dapat digunakan untuk memuat turun berbagai perisian dari portal WAVE seperti nada dering , imej latar belakang, aplikasi telefon bimbit, MP3 dan video yang akan disediakan tidak lama lagi.

Pada masa ini terdapat 1,200 buah telefon awam dipasang di tempat strategik seperti kompleks membeli-belah, tempat rekreasi, sekolah, lapangan terbang, jabatan kerajaan dan kawasan awam. TelBru juga telah meningkatkan ketersediaan Perkhidmatan Awam sehingga 95 peratus dengan menjalankan pemeliharaan secara proaktif dan melaksanakan Remote Acess Maintenance System (RAMS). Pemasangan lebih banyak lagi set telefon awam berasaskan kepada penetrasi penduduk satu set bagi 300 pengguna pada akhir tahun 2007 juga dilaksanakan.

JALUR LEBAR

Inisiatif tahun 2006 bagi peningkatan kadar lebar jalur untuk semua pengguna eSpeed TelBru telah mencapai pertumbuhan yang ketara dalam perniagaan jalur lebar dengan tambahan melebihi 4,000 pelanggan eSpeed baru. Ini menjadikan jumlah pelanggan jalur lebar keseluruhannya melebihi 8,900 orang pada penghujung tahun 2006.

PERKHIDMATAN DATA

Tahun 2006 menandakan pencapaian yang baik bagi TelBru dari segi penjualan kepada sektor korporat melalui penyediaan perkhidmatan penyelesaian komunikasi secara menyeluruh. TelBru telah berjaya mendapatkan tawaran Projek EG Bandwidth bagi menyediakan rangkaian ‘Virtual Private Network’ (VPN) kepada lebih 800 buah jabatan kerajaan dan agensi di bawah 12 kementerian.

Projek EG Bandwidth merupakan mercu tanda projek e-Kerajaan di mana TelBru telah diamanahkan bagi menyediakan rangkaian berurus bagi internet, Extranet dan akses Internet yang membolehkan agensi kerajaan berhubung menggunakan penyambungan tunggal. Kejayaan Inisiatif VPN ini adalah merupakan hasil dari program untuk mendidik pelanggan mengenai teknologi ini dan menjadikannya popular.

Untuk menembusi pasaran perusahaan kecil dan sederhana (SME) yang kian berkembang, TelBru juga membantu dalam meningkatkan perniagaan syarikat-syarikat berkenaan dengan mengenalkan pakej 'SME starter pack'. Pakej ini mengandungi semua perkhidmatan dan telekomunikasi bagi melicinkan operasi perniagaan harian bagi satu-satu syarikat pada kos yang rendah dengan potongan harga yang menarik. Ini dapat membantu ke arah mencapai pertumbuhan dan kecemerlangan perniagaan syarikat.

PERKHIDMATAN GLOBAL

Perniagaan global merupakan pemacu bagi perniagaan telekomunikasi di antara TelBru dan penyedia perkhidmatan antarabangsa. TelBru Mempunyai 30 hubungan terus langsung antarabangsa dengan syarikat telekomunikasi dari 20 buah negara. TelBru juga mempunyai lebih dari 250 hubungan tidak langsung ke destinasi di seluruh dunia.

TelBru berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai kepada semua pelanggannya dengan kadar yang kompetitif sebagaimana tercermin dalam usaha bagi membekalkan penyambungan rangkaian Sistem Satelit dan Sistem Kabel Dasar Laut yang boleh dipercayai.

Usaha berterusan juga dibuat bagi mendapatkan laluan trafik antarabangsa dengan kos yang terbaik serta kadar yang kompetitif melalui penyediaan perkhidmatan antarabangsa di rantau ini dan global. Beberapa inisiatif penjimatan kos bagi para pengguna juga telah dijalankan.

RANGKAIAN

TelBru merupakan penyelia dominan bagi penyambungan kabel fiber dan kuprum di Negara Brunei Darussalam. Pada masa ini, kabel kuprum telah banyak digantikan dengan fiber selaku tunjang utama rangkaian di seluruh negara. Selain menyediakan telekomunikasi asas kepada penduduk negara ini TelBru kini juga merupakan penyedia eksklusif penyambungan bagi rangkaian stesen tapak 3G B.mobile seluruh negara.

AKSES

Kakitangan yang mahir ditugaskan bagi menyediakan dan memelihara lebih dari 80,000 talian telefon dengan pencapaian produktiviti dan kecekapan tinggi.

Sejumlah lebih kurang 1,000 lokasi meliputi inisiatif e-kerajaan dari 12 buah kementerian yang menghubungkan ke pusat data e-Kerajaan telah dimantapkan bagi pencapaian yang optima tanpa sebarang kerosakan.

Lebih dari 50 peratus kawasan pula sudah siap sedia untuk dihubungkan dan kerja-kerja sedang giat dijalankan bagi perlaksanaan inisiatif sepenuhnya. Dalam pada itu kira-kira 80 peratus dari kawasan yang menggunakan penyambungan fiber bagi keperluan jalur lebar 100Mbps sudah dapat digunakan.

NGN
Dalam usaha berterusan memberikan perkhidmatan bagi memberikan perkhidmatan yang menyeluruh dan bertahap tinggi kepada negara ini, TelBru telah mengambil langkah menggantikan rangkaian Suis Telefon Awam (PSTN) kepada Rangkaian Generasi Akan Datang (NGN) mulai Januari 2006.

NGN menyatukan semua perkhidmatan telekomunikasi yang disediakan oleh TelBru kepada satu rangkaian bersepadu yang tidak lagi memerlukan rangkaian berasingan bagi setiap perkhidmatan yang diberikan. Ini bererti penjimatan dalam kos operasi, pemeliharaan serta penjimatan ruang berbanding dengan sistem sebelumnya

RANGKAIAN DATA KORPARAT

Dengan adanya peningkatan pada keperluan EG Bandwidth di Negara Brunei Darussalam, kerja peningkatan Ethernet Laju (FE)/VPN bagi menampung pertumbuhan inisiatif e-Kerajaan telah selesai dilaksanakan pada September 2006 dengan fasa kedua pada tahun 2007.

Ini bagi memenuhi permintaan pelanggan kerajaan dan korporat yang semakin meningkat. Projek peningkatan ini juga tediri dari peluasan liputan rangkaian pemancaran yang sedia ada melalui ‘fiber optic’ ke Daerah Temburong. Dalam dua lagi projek yang berasingan, liputan dan kapasiti rangkaian pemancaran TelBru turut diperluaskan bagi menampung perkhidmatan B.mobile di seluruh negara.

RANGKAIAN JALUR LEBAR

Pada bulan April 2006, pelanggan eSpeed 1 telah dipindahkan kepada eSpeed 2 menggunakan teknologi ADSL seperti eSpeed 1. eSpeed 2 merupakan peringkat kedua bagi program perkembangan jalur lebar yang dihasratkan untuk menyediakan perkhidmatan ke seluruh negara yang sebelumnya tidak dapat disalurkan melalui eSpeed 1.

eSpeed berasaskan teknologi NGN dan pengguna dapat mengakses berbagai perkhidmatan dan menggunakan kemudahan seperti jalur lebar yang lebih tinggi, perkhidmatan ‘Triple-Play’ dan liputan jalur lebar yang lebih luas.

RANGKAIAN ANTARABANGSA
Rangkaian antarabangsa TelBru terdiri daripada sistem kabel dasar laut dan perhubungan satelit yang memberikan penyambungan perkhidmatan telekomunikasi berterusan dan bermutu tinggi. Sistem Kabel Asia Tenggara-Timur Tengah Eropah Barat 3 atau lebih dikenali dengan SEA-ME-WE 3, membekalkan jumlah yang besar bagi litar perkhidmatan telefon, data dan internet antarabangsa.

Beroperasi sejak tahun 1999, SEA - WE- WE 3 sekarang menampung 71 peratus keperluan litar bagi berbagai perkhidmatan (talian telefon, data, ISDN) manakala jumlah selebihnya adalah menggunakan Malaysia Domestic Cable Sistem (MalDom) yang dihubungkan melalui kabel darat fiber optic Trans-Borneo serta menggunakan perhubungan satelit.

SISTEM ASIA AMERICA GATEWAY

Sistem kabel dasar laut Asia America Gateway (AAG) akan menjadi sistem terbaru di Negara Brunei Darussalam dan dijangka siap pada suku ke empat 2008. Sistem kabel tersebut yang mempunyai keluasan sepanjang 20,000 kilometer akan menggunakan teknologi terbaru ‘Dense Wavelength Division Multiplexing’ (DWDM) dengan kapasiti kira-kira 1,92 terabit/s.

Sistem ini berpotensi sebagai laluan untuk memperluaskan kapasiti ke lokasi di Timur laut dan Asia Tenggara, India, Australia, Afrika dan Eropah kerana ia direka untuk memberikan penyambungan tinggi dengan sistem lebar jalur tinggi yang sedia ada dan yang telah dirancang.

AAG akan membuka peluang-peluang perniagaan yang lebih baik dan berterusan melalui sokongan selari kepada kabel SEA-ME-WE 3 yang akan meningkatkan daya saing negara ini serta posisinya sebagai pusat pemulihan data yang stabil dan boleh dipercayai bagi syarikat antarabangsa.

KEUNTUNGAN

Tahun 2006 merupakan tahun yang sangat mencabar dalam usaha membina dan meletakkan TelBru sebagai sebuah badan korporat. Bagaimanapun, TelBru telah berjaya memperolehi keuntungan bagi tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Mac 2007.

Pencapaian bagi tempuh setahun menunjukkan hasil pendapatan operasi meningkat sebanyak tujuh peratus berbanding dengan jumlah jangkaan sebelumnya. Peningkatan yang ketara ini adalah didorong oleh kelebihan yang ada pada TelBru untuk menguasai pasaran internet jalur lebar dan data komunikasi.

PELABURAN

Untuk mengembangkan lagi peluang perniagaan, teknologi dan perkhidmatan baru, sama ada di dalam mahupun di luar negeri, Telbru telah membuat beberapa pelaburan dalam penyediaan perkhidmatan dan kapal kabel: Intelsat, ACPL, ACASIA, ATH Ltd dan B.Mobile.


BUMI HIJAU TERAS PEMAKANAN NEGARA

Oleh : Dk. Hajah Fatimah Pg. Hj. Md. Noor
fatimah.noor@information.gov.bn

JABATAN Pertanian mempunyai visi 'Ke Arah Agribisnes Yang Mapan dan Berpandukan Pasaran'. Aktiviti agribisnes yang mendukung industri pertanian ini telah dipromosikan secara meluas yang mengutamakan pertanian secara komersial. Ini meliputi semua aktiviti yang berkaitan dengan pertanian termasuklah pengeluaran, pemprosesan, pemasaran dan juga agrimakanan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah semasa Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Keempat Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada 4 Mac lepas, menekankan supaya bidang pertanian dimajukan untuk memenuhi keperluan penduduk, di samping diperniagakan secara komersial di peringkat negara dan global bagi meningkat dan mempelbagaikan lagi sumber ekonomi negara.

Baginda bertitah satu lagi matlamat negara ialah ke arah meningkatkan taraf hidup melalui pelbagai projek dan program pembangunan terutama yang melibatkan sosioekonomi. Ekonomi itu dalam pengertiannya ialah sistem pengendalian sumber kekayaan yang antaranya turut disumbangkan oleh pertanian.

Menurut titah baginda, pertanian tidak syak lagi adalah satu bidang penting untuk mempelbagaikan ekonomi di mana semua negara di dunia adalah bergantung kepada pertanian kerana peranannya menyediakan makanan sama ada dengan cara menghasilkannya sendiri ataupun mengimport.

Jabatan Pertanian menjunjung kasih inti pati titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang memberi penekanan kepada sektor pertanian untuk meningkatkan ekonomi negara. Perkara ini dianggap sebagai satu dasar yang jelas dan hala tuju dan landasan ke arah peningkatan produk-produk pertanian dan agrimakanan.

Jabatan Pertanian pada masa ini memberi perhatian kepada bukan sahaja pasaran domestik, tetapi juga penerokaan pasaran eksport. Untuk pasaran domestik yang terhad, Jabatan Pertanian mempunyai program dalam menangani faktor-faktor yang memberi sumbangan kepada persaingan dengan produk-produk import. Ini termasuklah dari segi kualiti, keselamatan, kehalalan dan kesegaran (lepas tuai). Dari segi penerokaan eksport pula, Jabatan Pertanian mempunyai program yang spesifik termasuklah membentuk garis panduan dan piawaian-piawaian yang dikehendaki oleh negara-negara pengimport.

Menurut jabatan tersebut, pengeluaran kasar pertanian bagi tahun 2007 menunjukkan pertumbuhan yang positif iaitu BND199 juta mengikut nilai pasaran berbanding BND172 juta pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak 16.17 peratus atau BND28 juta.

Penyumbang utama, jelasnya ialah industri ternakan ayam pedaging yang berjaya menghasilkan sumbangan bernilai BND81.21 juta, diikuti industri proses agrimakanan berasaskan produk tanaman berjumlah BND30.34 juta.

Manakala industri lain seperti sayur-sayuran BND23 juta, telur ayam BND19 juta, penetasan anak ayam BND15 juta, proses agrimakanan berasaskan produk ternakan BND9.88 juta, telur berbenih BND8 juta, buah-buahan BND7 juta, beras BND3 juta, tanaman hiasan dan bunga kertas BND2 juta, pelbagai tanaman BND1 juta, daging (kerbau dan lembu) BND0.9 juta, tenusu BND0.06 juta dan daging kambing BND0.05 juta.

INDUSTRI TERNAKAN

Dalam Rancangan Peningkatan Pengeluaran Industri Ternakan, beberapa hala strategik digariskan. Ini termasuklah mengukuhkan sumbangan ternakan melebihi 70 peratus kepada ekonomi Keluaran Dalam Negara Kasar pertanian yang menekankan perlunya untuk menarik pelaburan dalam industri ternakan.

Di samping itu, adalah juga perlu bagi industri ini memperluaskan bidang, rangkaian perniagaan dan pasaran produk ternakan dengan sasaran utama pasaran eksport. Kekuatan negara dalam penghasilan daging-daging yang tidak diragui kehalalannya hendaklah diperkukuhkan dengan menggabungkannya dengan kekuatan mutu produk yang maksimum.

Pada tahun 2007 ternakan ayam pedaging menyumbangkan sebanyak BND81.21 atau 66 peratus dari keseluruhan sumbangan sektor ternakan, disusuli oleh telur ayam berjumlah BND18.73 juta. Pada masa ini pengeluaran ayam pedaging mencapai ke tahap 95 peratus sara diri begitu juga pengeluaran telur ayam telah mencapai 99 peratus sara diri.

Menurut Jabatan Pertanian, sasaran pasaran ayam pedaging dan telur ayam ialah Republik Singapura. Perkembangan perusahaan ini dimestikan menggunakan sistem rumah tertutup bagi memastikan produktiviti yang tinggi, kadar kematian dan kos pengeluaran yang rendah dan menguntungkan, sistem tertutup juga menjadi salah satu syarat bagi pengeksportan. Ianya lebih terkawal dan mudah untuk mengenalkan 'Good Agriculture Husbandary Practices' (GAHP).

INDUSTRI TANAMAN

Pencapaian industri ini pada tahun 2007 telah pun meningkat iaitu sebanyak BND35.77 juta dari keseluruhan nilai pengeluaran berbanding BND32.02 juta di tahun sebelumnya. Bagi pengeluaran buah-buahan tempatan ianya belum mencapai peratus yang tinggi. Hasil-hasil tropika telah mencapai hanya 34 peratus yang bernilai sebanyak BND7.14 juta iaitu 4,372 tan metrik. Jumlah import ialah sebanyak 14,322 tan metrik pada nilai BND21.5 juta. Rancangan untuk meningkatkan pengeluaran buah-buahan tempatan ialah melalui pembukaan ladang-ladang yang ditawarkan oleh Jabatan Pertanian yang mana pada masa ini di kawasan pengeluaran buah-buahan tempatan bertempat di Kampong Kupang dengan 109 hektar, Kampong Batang Mitus 27.2 hektar dan Kampong Labu Estate, Temburong 35 hektar.

Keperluan buah-buahan pada tahun 2007 berjumlah 18,694 tan metrik dengan nilai pasaran BND41.92 juta. Pengeluaran hasil buah-buahan tempatan pada tahun 2007 berjumlah 4,372 tan metrik (23 peratus dari jumlah keperluan) yang bernilai BND7.14 juta berbanding dengan hasil pada tahun 2006 yang berjumlah 3,765 tan metrik bernilai BND5.70 juta. Hasil tahun 2007 adalah meningkat sebanyak 607 tan metrik (atau 16.1 peratus) dari hasil tahun 2006. Pencapaian buah tropika adalah 34 peratus.

Sementara itu, jumlah import buah-buahan ialah 14,322 tan metrik bernilai BND21.46 juta (termasuk 8,407 tan metrik atau 58.6 peratus buah tropika) nilai C.I.F. BND8.85 juta. Keperluan per kapita buah-buahan ialah 47.9 kilogram.

Lebih kurang 22 peratus pengeluaran buah-buahan tempatan disumbangkan oleh buah-buahan yang bermusim berbanding pada tahun 2006 dalam sekitar sepuluh peratus. Jenis buah-buahan bermusim yang banyak menyumbang hasil pada tahun tersebut ialah cempedak, rambutan, tarap, durian putih, nangka, durian kuning, langsat, kembayau, mambangan dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, tanaman limau manis sebanyak 812.4 tan metrik (atau 23.3 peratus) dan pisang sebanyak 793.6 tan metrik (atau 18.1 peratus) merupakan jenis buah-buahan utama menyumbang kepada hasil buah-buahan negara.

Jumlah keluasan projek buah-buahan yang berdaftar dan dimajukan pada tahun 2007 ialah 2,258 hektar berbanding 1992 hektar pada tahun 2006. Peningkatan ini adalah dari ladang KPLB dan ladang sedia ada.

Jumlah pengusaha yang bergiat ialah 2,395 orang berbanding 1921 peladang / pengusaha pada tahun 2006. Peningkatan ini juga adalah dari pengusaha KPLB dan ladang sedia ada.

Purata produktiviti ladang buah-buahan secara keseluruhan ialah 1.9 tan metrik per hektar.

Dari semua kategori ladang tersebut, prestasi ladang sedia ada komersial telah menunjukkan prestasi yang terbaik di mana produktiviti ladang telah mencapai sasaran (empat tan metrik per hektar) dengan purata produktiviti 5.4 tan metrik per hektar.

Dalam pengeluaran buah-buahan tropika tempatan, sasarannya ialah untuk meningkatkan pengeluaran sebanyak 24,650 tan metrik yang bernilai BND49 juta atau ke tahap seratus peratus sara diri pada tahun 2023.

Industri sayur-sayuran penyumbang ketiga terbesar selepas komoditi ayam pedaging dan telur dalam sektor pertanian. Pada tahun 2007, keperluan sayur-sayuran negara ini berjumlah 16,918 tan metrik di mana 11,598.3 tan metrik atau 68.6 peratus adalah sayur-sayuran jenis tropika dan selebihnya dari jenis sayur-sayuran jenis tropika atau tempatan.

Dari keseluruhan jumlah ini juga, pengeluaran tempatan menyumbangkan sebanyak 9,793 tan metrik dengan nilai BND22.60 juta berbanding dengan pengeluaran tahun 2006 iaitu sebanyak 9,518 tan metrik iaitu peningkatan sebanyak 275 tan metrik atau 2.89 peratus. Tahap sara diri bagi pengeluaran tempatan bagi sayur-sayuran tropika telah mencapai 84.4 peratus. Sayur-sayuran jenis tropika tidak dihasilkan di negara ini memandangkan ianya memerlukan cuaca yang sejuk dan suhu yang rendah.

Pengimportan sayur-sayuran tropika juga didapati meningkat dan secara keseluruhannya. Negara kita telah mengimport sejumlah 7,126 tan metrik yang bernilai BND11.06 juta berbanding dengan 6,581 tan metrik bernilai BND9.61 juta pada tahun 2006 dengan peningkatan sejumlah 545 tan metrik.

Faktor-faktor pendorong peningkatan hasil pengeluaran sayur-sayuran tempatan ini disebabkan oleh peningkatan keluasan kawasan dan bilangan pengusaha penanaman sayur dengan mempraktikkan amalan perladangan yang baik (GAP) dan permintaan pasaran yang meningkat serta bantuan insentif yang berterusan daripada Jabatan Pertanian.

Walau bagaimanapun, terdapat penurunan beberapa jenis sayur-sayuran ini adalah disebabkan oleh pengurusan ladang yang kurang sempurna dan sebahagian pengusaha sayur-sayuran telah mengurangkan penanaman sayur-sayuran di ladang mereka dan beralih kepada penanaman tanaman kontan seperti jagung manis.

Beberapa inisiatif telah dibuat bagi meningkatkan infrastruktur kawasan pengeluaran Kawasan Kemajuan Pertanian, Betumpu (KKP Betumpu). Kawasan ini telah dikenal pasti kawasan sayur-sayuran yang terbesar di negara ini yang menempatkan seramai 84 orang pengusaha sayur-sayuran yang aktif dan mengusahakan ladang seluas 186 hektar.

Jabatan Pertanian telah pun melaksanakan projek meningkatkan Infrastruktur Ladang KKP Betumpu, dengan harga kontrak BND 2,142,927.80 dan bermula pada tahun 2005 dan siap pada tahun 2007.

SASARAN

Pengeluaran tempatan bagi sayur-sayuran mempunyai sasaran bagi tahun 2023 sebanyak 21,900 tan metrik yang dijangka bernilai BND43.8 juta. Rancangan ini seterusnya menjangkakan:
* Pencapaian seratus peratus sara diri dalam pengeluaran sayur-sayuran jenis tropika dalam masa beberapa tahun lagi.
* Pengeluaran sayur-sayuran jenis tropika pada tahun-tahun berikutnya disasarkan juga bagi peningkatan pengeluaran produk tambah nilai, produk berproses dan juga untuk pasaran eksport.

Jabatan Pertanian telah menyasarkan hasil pengeluaran industri buah-buahan bagi mencapai 50 peratus sara diri iaitu 9,900 tan metrik pada tahun 2012 dengan anggaran nilai pasaran BND20 juta (BND2.00 / kilogram) setahun atau seratus peratus sara diri sebanyak 24,650 tan metrik menjelang tahun 2023 bernilai BND49 juta iaitu berdasarkan kepada keperluan per kapita sebanyak 55 kilogram pada tahun 2005 dan kadar pertumbuhan penduduk tiga peratus.

Ini berpandukan kepada purata produktiviti pengeluaran pada masa ini (iaitu purata dua tan metrik per hektar), lebih kurang 6,000 hektar kawasan tambahan diperlukan.

Menurut jabatan itu hala tuju masa depan industri buah-buahan ini akan menyediakan peluang kepada peningkatan dan mengembangmajukan keupayaan pengeluaran tempatan secara bersepadu bagi memenuhi sasaran pada tahun 2023.

Di samping itu, keperluan kepada penyediaan bahan mentah untuk segmen pasaran produk proses berasaskan produk buah-buahan dengan sasaran pengeluaran hasil bernilai BND20 juta menjelang tahun 2023 juga menyediakan peluang pelaburan dalam industri ini.

Bagi pengeluaran beras tempatan di negara ini, ianya adalah masih di tahap rendah dan negara bergantung sepenuhnya daripada import. Langkah menjamin bekalan beras di negara ini melibatkan urusan penyimpanan stok beras untuk keperluan negara yang dikendalikan oleh Jabatan Teknologi Maklumat dan Stor Negara, Kementerian Kewangan.

Pengeluaran beras di negara ini telah pun mencapai ke tahap 3.2 peratus sara diri iaitu sebanyak 983 tan metrik pada tahun 2007 berbanding 895 tan metrik pada tahun 2006. Ini bermakna, pengeluaran beras tempatan menunjukkan peningkatan sebanyak 5.5 peratus iaitu nilai pasaran BND2.86 juta pada tahun 2007 berbanding dengan BND2.71 juta pada tahun 2006. Dalam perancangan jabatan tersebut, pengeluaran beras akan ditingkatkan ke tahap lapan hingga sepuluh peratus dalam jangka masa lima hingga sepuluh tahun. Kawasan-kawasan tanaman padi yang sedia ada seperti Wasan Bebuloh, Daerah Brunei dan Muara, Lot Sengkuang, Labi Daerah Belait, Lekiun / Perdayan dan Selapon Daerah Temburong akan terus digunakan sepenuhnya, di samping perlunya untuk membuka kawasan-kawasan baru yang sesuai untuk tanaman padi.

PEMPROSESAN MAKANAN

Sektor yang paling berpotensi untuk dimajukan ialah pemprosesan makanan. Pada tahun lepas dicatatkan pengeluaran produk tambah nilai meningkat sebanyak 34 peratus iaitu BND40.2 juta berbanding dengan BND30.10 juta pada tahun 2006.

Dalam hubungan ini, Jabatan Pertanian mengenal pasti Taman Agroteknologi, Kampong Tungku sebagai tapak memajukan sektor ini melalui pelaburan asing atau sebagai projek usaha sama. Bagi mengurangkan kos pengeluaran, bahan mentah berkualiti boleh diperolehi dari negara-negara jiran dengan harga yang murah. Manakala negara ini mempunyai kelebihan bagi mendukung aktiviti-aktiviti ini kerana adanya infrastruktur seperti jalan raya yang baik, bekalan air dan elektrik yang murah.

Sementara itu permintaan bagi produk tambah nilai yang berasaskan daging dan tanaman semakin meningkat dari setahun ke setahun. Setakat terdapat 130 syarikat tempatan yang aktif dalam industri dan terdapat beberapa syarikat mempunyai kemudahan yang berteknologi tinggi serta keupayaan untuk menghasilkan produk yang berkualiti dan setanding dengan produk yang diimport dari luar negeri.

KEMUDAHAN

Jabatan Pertanian memberikan kemudahan-kemudahan atau skim intensif dihasratkan untuk dijadikan sebagai bantuan penggerak dan penggalak kepada pengusaha bagi mencapai dan memantapkan hasil pengeluaran mereka ke tahap komersial, bermutu tinggi, berdaya saing dan berterusan. Bantuan diberikan kepada pengusaha mengikut kepada pengusaha mengikut syarat-syarat tertentu dan dibahagikan kepada dua kategori iaitu bantuan asas dan bantuan asas khusus.

Bagi bantuan asas ialah dalam bentuk kawasan tanah dan infrastruktur asas. Tapak perusahaan ditawarkan kepada kadar sewa yang rendah bagi tempoh masa penyewaan yang bersesuaian. Kemudahan infrastruktur disediakan dalam bentuk jalan masuk utama, sumber air (kolam), saliran utama, bekalan elektrik dan air domestik secara percuma. Manakala bantuan khusus yang diberi bantuan ialah sebahagian daripada bahan input peladangan seperti baja, racun musuh, racun penyakit, anak benih tanaman, pagar berduri dan pam air dengan dikenakan separuh harga tawaran sementara perkhidmatan khidmat nasihat diberi percuma.

Menjelang tahun 2023, hasil daripada sektor ternakan meliputi 'primary' dan sekunder dianggarkan berpotensi untuk mencapai hasil BND2.4 bilion iaitu terdiri daripada B0.6 bilion hasil sektor primary dan B1.8 bilion hasil pemprosesan manakala hasil sektor tanaman pula dijangka sebanyak BND316 juta setahun menjelang tahun 2023 iaitu terdiri daripada BND267 juta dalam sektor primary dan BND49 juta dalam sektor pemperosesan. Jumlah besar hasil sektor pertanian pada tahun yang sama dijangka berpotensi mencapai lebih BND2.7 bilion.

Kembali ke muka utama