
Rabu, 12 Julai 2008
9 Rejab 1429
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
SELASA, 15 Julai 2008 seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam akan menyambut perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-62. Perayaan yang menjadi tradisi setiap tahun merupakan manifestasi negara yang berjaya memupuk dan menyuburkan lagi taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja yang sentiasa menjadi kesayangan rakyat jelata. Dimensi negara beraja sudah subur di bumi Darussalam sejak zaman-berzaman yang telah menciptakan pelbagai kemajuan, kesejahteraan kepada seluruh lapisan jalama yang bernaung di bawah payung baginda.
Dalam masa tiga hari lagi persiapan terus rancak berjalan di seluruh pelusuk tanah air. Tradisi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat tetap ditunggu-tunggu oleh rakyat jelata yang merupakan kemuncak perayaan di daerah-daerah. Majlis Ramah Bersama Rakyat Daerah Tutong diadakan pada 17 Julai, Kuala Beliat 19 Julai, Daerah Brunei dan Muara 20 Julai dan Daerah Temburong pada 22 Julai.
Sejak menaiki takhta pada 5 Oktober 1967 dan memerintah selama 41 tahun, karisma kepimpinan baginda telah menempa kejayaan yang gilang-gemilang. Pembangunan negara terus rancak. Perkembangan nur Islam terus bersinar. Taraf kehidupan rakyat dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus meningkat, pendidikan, kesihatan negara terus tinggi dan maju, politik dan ekonomi negara semakin stabil dan mantap. Pendek kata, kita menikmati segala-galanya. Basar damit rakyat jelata menikmati segala bentuk kesejahteraan, keamanan, keselamatan dan kemakmuran yang berkekalan hingga ke hari ini meskipun dunia diwarnai rencah seperti kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barangan. Namun, kita alhamdulillah terus aman sentosa. Kita sepatutnya bersyukur bernegarakan Negara Brunei Darussalam yang kecil molek dan penuh dengan cahaya kemakmuran dan kedamaian.
Boleh dikatakan tidak seorang pun jalama dari sebesar-besarnya hingga ke anak damit terlepas dari menikmati hasil 'buah' pembangunan yang telah diungkayahkan oleh kerajaan baginda. Semua rakyat 'ampit' dan tidak terkecuali daripada menghirup nikmat kesejahteraan dan ketenteraman. Malah baginda mengutamakan kepentingan dan kesejahteraan rakyat dari segala-galanya. Baginda seorang raja yang berjiwa rakyat, seorang raja yang penyayang dan pemedulian terhadap kebajikan rakyat jelata tidak mengira di mana, baginda tetap memimpin rakyat kekal bahagia sepanjang zaman. Baginda menjadi simbol kesayangan rakyat jelata.
Kepimpinan baginda dari singgahsana telah meletakkan negara sebaris dengan negara-negara maju dalam peta dunia. Karisma dan ketokohan baginda disanjung pemimpin kuasa besar dunia. Hatta baginda terus bekerja kuat bagi kemakmuran negara tanpa mengenal penat lelah tetap berusaha gigih ke arah membawa kesinambungan sinar kemakmuran. Sebenarnya inilah pancaran kepimpinan baginda yang mahu meneruskan kegigihan paduka ayahanda baginda dalam tampuk pemerintahan negara.
Sebagai seorang raja, baginda tetap mengutamakan laila pembangunan dan laila kemajuan negara. Inilah janji yang baginda titahkan semasa menaiki takhta pada 4 Oktober 1967, yang antara lain berbunyi "Maka beta selaku sultan dengan sedaya upaya beta akan berusaha pada menjalankan dasar-dasar paduka ayahanda dan akan sentiasa memelihara keamanan, ketenteraman dan laila usaha bagi kemakmuran negara serta memelihara nama baik Negara Brunei Darussalam. Juga mementingkan laila usaha dan meninggikan taraf rakyat melalui laila rancangan dan kesejahteraan perkembangan negara yang telah dan sedang dibuat oleh paduka ayahanda dahulu. Mudah-mudahan dengan izin Allah beta juga sentiasa menjaga dan memelihara dengan tidak kendur-kendurnya laila usaha mengenai agama Islam yang benar-benar dan adat istiadat Negeri Brunei."
Janji yang baginda titahkan 41 tahun yang lalu diterjemahkan dalam dimensi Brunei yang ada sekarang. Tegasnya berkat dari usaha yang agung itulah, kita dapat menikmati segala macam kebajikan yang tidak ternilai, tidak dapat dihitung dengan jari. Dalam zaman pemerintahan baginda itu banyak peristiwa-peristiwa penting berlaku yang tidak dapat diperkirakan satu persatu. Nikmat pembangunan dan kesejahteraan meliputi semua disiplin kehidupan yang kita hirup masa kini.
Mengambil sukut perayaan tahun ini, maka sudah tiba masanya bagi kita membaharui dan membulatkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja yang kita kasihi dan sayangi serta berazam lebih kuat untuk sentiasa mendukung segala harapan baginda dalam memajukan negara kita yang tercintai ini.
Marilah kita semua umat Islam di negara ini sama-sama menghadirkan diri di masjid-masjid, surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara pada petang hari Isnin, 14 Julai bagi Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, bertahlil dan membaca doa kesyukuran dengan menadah tangan memohon doa kesihatan, afiat kepada raja yang kita kasihi.