CETUSAN MINDA 25

PURNAMA BENDERANG DI ATAS KEPALA
Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)


Rangsangan Alamiah

CETUSAN Minda minggu ini ialah penghayatan dari sebuah puisi yang bertajuk ‘Purnama Benderang Di Atas Kepala’ hasil karya Badaruddin H.O. iaitu nama pena Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Puisi itu dicetus minda pada tahun 1966. Puisi ini tersiar dalam surat khabar terkemuka di Malaysia pada tahun 1966 kemudian dibukukan dalam antologi puisi ‘Puisi Hidayat II’ bersama dengan puisi-puisi para penyair tanah air terbitan Pusat Da’wah Islamiah, Negara Brunei Darussalam.

(Purnama benderang di atas kepala hari ini dan sebelumnya hari esok dan sesudahnya menguak mendung awan pesona).

Dalam gelap sinar zaman berawal atau
berakhir pun
O, Rasul - hati dunia ghairah
merinduimu
meski mereka orang Afrika atau mereka
orang Asia
meski mereka orang Eropah atau mereka
orang Amerika
lagu Tanah Hijaz iramanya mengalun
lagu pujaan kafilah kehidupan
bagaikan tiada puas telinga mendengar
lalu meresap mengelus di hati
dan engkau O, Junjungan telah
menapakkan kakimu
di alun-alun sepanjang perjalanan yang
nekad
dari rumah Maha Pengasih dan rumah
Maha Pencinta
dengan langkah berderap gegarnya di
setiap benua.

Bila saya mengulang membaca puisi-puisi serupa ini, di samping puisi-puisi lain yang dihasilkan oleh orang-orang katani terutama yang berpendidikan dari Sekolah Arab Al-Juned, Singapura ke Kolej Islam Malaya, Kelang dan seterusnya ke Universiti Al-Azhar, Mesir majoriti kita mendapati mereka menuangkan pemikiran tentang syiar tamadun Islam, menanamkan nilai-nilai murni agama yang universal iaitu Islam.

Menurut seorang ulama dari India bernama Abul Hasan An-Nadawi menggambarkan bahawa masyarakat ketika Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam belum diangkat menjadi Rasul, Baginda masih seperti manusia biasa seperti kita. Menurutnya, tidak ada bangsa yang lebih rosak akidahnya, tidak ada bangsa yang lebih hancur moralnya, tidak ada bangsa yang lebih buruk akhlaknya selain dari bangsa Arab pada saat itu.

Puisi di atas mendorong saya bertanya: Apa yang terjadi di kalangan bangsa Arab setelah diutus orang yang bernama Muhammad menjadi Nabi dan Rasul? Saya sendiri menjawab: hakikatnya, terjadi suatu perubahan yang sangat drastik, perubahan yang sangat revolusioner. Hanya dalam waktu 23 tahun saja terjadi perubahan yang sangat luar biasa, dari masyarakat yang begitu hancur dan buruk akhlak menjadi sangat beradab dan tertib, dari masyarakat yang biadab menjadi masyarakat yang berdisiplin, dari masyarakat yang jahiliah menjadi masyarakat yang islamiah. Baginda berjaya membina masyarakat Islam.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melakukan langkah pertama yang disebut dengan iman. Inilah pasak atau ketahanan yang sangat mendasar. Iman bukan hanya yang tersimpan di dalam fikiran, bukan sesuatu yang tersimpan dalam fizik kita, tapi iman yang tersimpan dalam hati kita. Itu langkah pertama yang dilakukan oleh Baginda.

Iman itu memerlukan pewujudan dan salah satu pewujudannya adalah khusyuk di dalam sembahyang. Tentu sahaja bukan sekadar gerakan-gerakan fizik yang dilakukan. Iman adalah sesuatu yang harus dihayati, diyakini dan direnungkan di dalam hati. Sungguh beruntung orang-orang yang beriman. Jadi, syarat mutlak untuk menjadi orang yang bahagia ialah menempatkan iman dalam hati. Baginda mengajak dan menyeru masyarakatnya agar menyembah Allah. Baginda berjuang bagi menyelamatkan umat daripada alam kejahilan dan kegelapan menuju alam yang disinari cahaya.

O, Rasul - dada ini terharu sedang mata
hati
menembusi jaring-jaring waktu di
denyut jantung berdetik
umat yang pertama berjabatan saleh di
kota Yathrib
dengan yakin dan takwa mendendang-
kan gema takbir
dan engkau O, Junjungan sudah
menetapkan makrifat.

Kemudian langkah Baginda yang kedua ialah hijrah. Berpindah dari Mekah ke Madinah. Hijrah ini boleh kita fahami dari dua segi, berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Yang satu boleh juga diertikan hijrah secara mental, dari mental yang buruk kepada mental yang baik.

Baginda sememangnya telah menjalani seluruh liku-liku kehidupan. Semua tugas harian dan bidang kerjaya dilaluinya dengan tabah serta sabar. Baginda seorang peniaga dan mahir berjual beli. Baginda seorang penggembala kambing hingga kemudiannya menjadi pemimpin seluruh umat manusia. Baginda tidak silu-silu memerah susu kambing serta menjahit pakaian. Amat-amatilah rangkap di bawah:

Dari Yathrib udara menafaskan hangat
pejuang-pejuang yang gigih
meski mereka kaum bangsawan atau
mereka golongan hartawan
meski mereka rakyat bawahan atau
mereka hamba tebusan
telah menjalin benang halus di bawah
menara persaudaraan
telah membuhul simpulan kasih dan
khidmat kemanusiaan.

Langkah Baginda yang ketiga ialah jihad. Jihad adalah salah satu faktor keberhasilan dan kejayaan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dalam membentuk dan membina masyarakat yang bertamadun dan berperadaban, membangun masyarakat yang luar biasa.

Baginda adalah pemimpin ke atas seluruh umat. Baginda imam solat; teladan dalam kehidupan; guru dalam pendidikan, ikutan dalam akhlak; pakar dalam ilmu ekonomi; ahli dalam ilmu psikologi; panglima ketenteraan; peneraju perdamaian dan pemimpin peperangan. Mengenai langkah jihad ini boleh kita hayati melalui rangkap di bawah:

O, Rasul - betapalah akan bertolak kebenaran sedang
dengan apa pun
angin dari Tanah Hijaz alunnya ke puncak-puncak
mengusap kejauhan Sahara mengelus lembah dataran
sedang benang halus persaudaraan di bawah menara
tulus
dan buhulan kasih cinta khidmat suci kemanusiaan
tonggak tiangnya ialah tauhid
tonggak tiangnya ialah iman
terpasak di tengah pusaran arus
zaman demi zaman turunan demi turunan
dan seorang ibu kalau menangis terharu
adalah tangisan itu bisikan syukur jauh ke zamanmu.

Benar, hidup adalah perjuangan, tidak ada hidup tanpa perjuangan. Kerana itu, sesungguhnya mutu dan nilai seorang manusia diukur dari seberapa jauh nilai perjuangan yang dia punya dalam kehidupan ini. Bukan pada wang dan harta yang dikumpulkan. Bukan kerana jawatan atau apa-apa jua yang dipegang. Tapi, yang diukur ialah sejauh mana dan sebesar mana nilai perjuangan yang dipunyai dalam hidup ini. Bukti yang jelas ialah tentang nilai perjuangan hidup yang cemerlang yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Baginda tetap kekal sebagai pemimpin dan sebagai pahlawan. Lebih jauh, istilah pahlawan itu muncul kerana diakui keberadaannya sebagai seorang pejuang.

Baginda adalah seorang yang ummi iaitu buta huruf. Benar, memang benar Baginda tidak pandai menulis dan membaca tapi Baginda tidak pernah tersilap satu huruf pun semasa membaca Al-Qur’an. Allah melimpahkan wahyu ke dalam hati Baginda sehingga hafal seluruh Al-Qur’an dan As-Sunnah.

Nah, rangkap-rangkap dalam puisi ‘Purnama Benderang Di Atas Kepala’ memancarkan nilai-nilai Islam itu bukan sahaja di luar, tetapi masuk dalam diri kita. Ketika saya melihat anda berjalan, saya melihat kejujuran sedang berjalan. Ketika saya melihat anda, saya melihat ketulusan sedang berjalan. Bukan satu kalimat atau satu rangkap yang mati, tapi satu kalimat dan satu rangkap yang hidup.

Lantas saya pun teringat kepada pembacaan saya sedekad yang lalu mengenai satu peristiwa yang terjadi antara seorang tuan dengan hamba-Nya iaitu yang bernama Bilal bin Rabah. Ketika Bilal menyatakan Islam di hadapan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, apa yang berlaku?

Bilal bin Rabah menerima padah yang begitu hebat dan parah. Tuannya menjemurnya di tengah padang pasir yang panas. Kaki dan tangannya diikat. Perutnya ditindih dengan batu yang besar kemudian dirotan berkali-kali. Namun dia tetap mengaku Islam. Syahdan, banyak darah menitis di tubuhnya tapi Bilal bin Rabah tetap mengucapkan, "Ahad, Ahad, Ahad." Meskipun diseksa begitu kejam, dia tetap teguh dengan pendiriannya, "Allah Yang Maha Esa. Allah Yang Maha Esa. Allah Yang Maha Esa."

Malah dalam satu riwayat dikatakan bahawa ia berkata, "Seandainya ada kalimat yang lebih menyakitkan dari kalimat Allahuahad, akan aku ucapkan."

Kemudian seorang sahabat bertanya kepada Bilal, "Kenapa engkau mengatakan demikian Bilal?"

Bilal menjawab, "Supaya aku boleh merasakan betapa nikmatnya diseksa orang kafir."

Kita pun bertanya bagaimana mungkin ia justeru merasa nikmat diseksa orang kafir. Jawabnya mudah, kerana Bilal bin Rabah sudah mendapatkan pencerahan. Apa yang dikatakan proses pencerahan? Proses pencerahan itu akan terjadi apabila antara nilai-nilai agama itu sudah tidak dapat dipisahkan dari kehidupannya. Membekam dan menyelusuri urat nadi dan jiwanya.

Dalam sinar zaman berawal atau berakhir pun
O, Rasul - mata dunia melirik sinar wajahmu
bagaikan cemburu, tapi di lurah hati
suara halus menujang tauhid ajaranmu
satu zat yang berhakikat selamanya ditagih selalu
di mana-mana di Tanah Greek bandar Athena
di mana-mana di Tanah Mesir lembahan Nil
adalah penagihan itu berpusar-pusar lantas mengalir
di lembah dataran Hindi di lembah dataran China
di mana awalnya di mana akhirnya lalu terunjuk jua
ke kelopak tanganmu di saat-saat syahdu
ke kelopak matamu di saat-saat mengharu.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengajarkan umat manusia, ketika itu, dengan kalimah "Lailahaillallah" sehingga gema dan dengungnya terdengar oleh masyarakat ke seluruh dunia. Dengan kalimah "Lailahaillallah" persisir Sungai Dajlah dan Efrat di Iraq ditakluki. Merebak kalimah suci itu di Sungai Nil, ke Syam lalu menyusur ke Sevilla, Cordova, Tunis, Carthage, Sind, Tukistan, Tasqkand di samping melakar kejayaan dan kemenangan hingga ke Afrika, India dan China.

Kemudian hingga kini, di masa-masa mendatang malah untuk sepanjang zaman, selagi ada bulan dan matahari, selagi ada siang ada malam, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tetap sentiasa hidup bersama kita meskipun telah wafat sejak 15 abad yang silam. Ingatlah, ketika kita hendak makan, Baginda berpesan kepada kita, umat manusia, supaya membaca "Bismillah" dan selepas makan kita disuruh membaca "Alhamdulillah." Nah, cetusan minda kali ini diakhiri dengan rangkap kedua terakhir puisi ‘Purnama Benderang Di Atas Kepala’ karya Badaruddin H.O.:

Dan taman kemanusiaan danaunya berkocak galur
satu-satu bendira berkibar tegak tiangnya mengimbau
di bumbung kilang orang berjouis di busut ladang orang
komunis
dalam denyut jantung seharian kafilah berlalu jua
jalannya di mana hujungnya dimana lorong gelap
langkah meneroka jua
tapi engkaulah O Junjungan meski jauh dalam
kenangan
Tuhan yang mengutusmu menjadikan kafilah ini umat
pertengahan.

Kembali ke muka utama