
Terdahulu Keberangkatan tiba baginda di Kawasan Padang Kompleks Kemasyarakatan Tutong dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan; Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Dewa Pahlawan Dato Paduka Haji Awang Dani; Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwa Dalam Negeri (KHEDN)l ; Pengiran Abdul Haris dan Awang Haji Mohd. Mahdi; Timbalan Setiausaha Tetap KHEDN, Dato Paduka Awang Haji Adnan dan Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Jamain bin Momin.
Suasana keberangkatan baginda berserta ahli kerabat diraja yang lain di Pentas Diraja dimeriahkan lagi dengan pukulan hadrah serta taburan bunga rampai oleh pelajar-pelajar sekolah yang terlibat di majlis itu.
Majlis diikuti dengan sembah kesyukuran dan taat setia oleh Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Jamain yang antara lain menyembahkan bahawa dengan berkat daulat kepimpinan bijaksana Kebawah DYMM, rakyat serta penduduk di daerah itu terus menikmati kehidupan dalam suasana yang aman, selesa, selamat, sejahtera dan bersatu padu.
Awang Haji Jamain menambah, Daerah Tutong terus menikmati arus pembangunan dan kemajuan yang begitu pesat sekali dalam semua bidang dan telah menyumbang kepada menaikkan taraf hidup rakyat dan penduduk di daerah tersebut.
Menurut Awang Haji Jamain lagi, dari segi perekonomian, Bangunan Gerai Utama Daerah Tutong yang baru adalah di antara usaha bagi menggalakkan rakyat serta penduduk di Daerah Tutong untuk bergiat aktif dalam perniagaan kecil dan sederhana.
Di samping itu katanya, Majlis-Majlis Perundingan Mukim dan Kampung serta pertubuhan bukan kerajaan turut bergiat mengungkayahkan berbagai aktiviti perekonomian termasuk dalam bidang pertanian dan perladangan sebagai usaha bagi meningkatkan lagi sumber pendapatan penduduk setempat.
Acara diteruskan dengan persembahan khas disertai 700 peserta terdiri dari pegawai dan kaitangan kerajaan, penuntut-penuntut dan murid-murid sekolah menengah dan rendah serta sekolah swasta dan penduduk-penduduk kampung dari berbagai etnik.
Persembahan khas bertemakan 'Raja Disanjung Titah Dijunjung' mengandungi 5 segemen di mana segemen pertama memepersembahkan sebuah tarian medly berjudul, Sirih Pinang Tari Melayu, segemen kedua pula persembahan tarian dalam lagu berjudul Joget Cinta Sakti, segmen ketiga sebuah tarian oleh pelajar diiringi lagu Rindu, segemen empat gabungan tarian puak dan masyarakat etnik Daerah Tutong diiringi lagu Ta'at dan segemen terakhir sebuah tarian dengan lagu O.E.O.
Persembahan Khas diakhiri 'Grand Finale' dengan lagu 'Raja Khalifah Islam' hasil ciptaan DYTM Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah.
Selepas persembahan khas baginda berserta kerabat diraja lain berkenan bercemar duli bagi majlis junjung ziarah bersama para peserta yang terlibat dan kemudian berangkat ke kem-kem mukim dan kampung, masyarakat India, Tionghoa, Perkhidmatan Awam terdiri dari jabatan-jabatan kerajaan, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Penjara, Gabungan Persatuan Belia, kebajikan, wanita dan pertubuhan bukan kerajaan, Parti Pembangunan Bangsa, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Anak-anak Istimewa.
Pada majlis ini semua lapisan rakyat dan penduduk serta orang ramai berpeluang menjunjung ziarah dan beramah mesra ke hadapan majlis baginda.
Ia merupakan peluang yang amat berharga untuk menyembahkan tahniah sempena puja usia baginda, di samping dapat beramah mesra secara lebih dekat dengan seorang raja yang dikasihi dan disayangi oleh rakyat dan penduduk negara ini.
Dalam majlis ramah mesra itu baginda juga berkenan menyaksikan pameran Projek Seismik 3D Tutong yang dikendalikan oleh Brunei National Petroleum Company Sdn. Bhd, Loo Brunei Limited, Qaf Brunei dan National Petroleum.
Kajian Seismik 3D Tutong meliputi dua buah blok kawasan daratan untuk meneroka sumber-sumber minyak dan gas yang terdapat di perut bumi.
Salah satu darinya ialah Blok L yang mempunyai kawasan seluas 2,253 kilometer persegi meliputi keseluruhan Daerah Brunei dan Muara dan sebahagian Daerah Tutong.
Dari Kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, baginda kemudian berangkat ke Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemsyarakatan Daerah Tutong bagi Majlis Santap Tengh Hari.
Pada tahun ini Daerah Tutong menjadi pembuka tirai bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat yang merupakan acara kemuncak dan tradisi sambutan Hari Keputeraan Kebawah DYMM setiap tahun.
PERSEMBAHAN Khas di Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong
Berangkat sama di majlis itu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
SEMBAH Kesyukuran dan Taat Setia oleh Awang Haji Jamain bin Momin, Pegawai Daerah Tutong.
"Segala nikmat yang dikecapi merupakan rahmat Allah yang dilimpahkan kepada rakyat dan penduduk di Daerah Tutong yang bernaung di bumi bertuah Negara Brunei Darussalam yang sentiasa dirahmati dan diberkati di bawah payung pimpinan bijaksana Kebawah DYMM, raja yang berdaulat yang hamba-hamba Kebawah Duli Tuan Patik sanjung dan sayangi, sembah Awang Haji Jamain.
Kembali ke muka utama