BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 17 Julai. - Menderma darah adalah salah satu perbuatan amal yang berfaedah yang boleh membantu dan menyelamatkan nyawa seorang.
Tabung Darah Kebangsaan sering mengalami kekurangan darah terutama sekali darah yang rumit dan yang sukar ada.
Dengan adanya pendermaan darah kepada pihak yang tertentu ianya bukan sahaja dapat membantu seseorang insan tetapi lebih dari itu ianya juga boleh membantu dan menyelamat banyak nyawa manusia yang memerlukan darah.
Sehubungan dengan itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat serta kakitangan bomba di Cawangan Operasi D mengadakan Majlis Menderma Darah.
Perkara ini telah dinyatakan oleh Pemerintah Cawangan Operasi D, Bomba dan Penyelamat, Awang Haji Mohammad bin Haji Sulaiman semasa ditemu bual di Bomba Cawangan Operasi D.
Seramai 24 orang pegawai dan anggota bomba dan penyelamat dari Cawangan Operasi D telah menderma darah untuk kebaikan dan kesejahteraan masyarakat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.
"Projek menderma darah ini akan diteruskan tiga bulan sekali di Cawangan Operasi D sebagai aktiviti yang berterusan dan diharap ianya boleh memberikan kesedaran pada masyarakat mengenai pentingnya menderma darah," jelasnya.
Kembali ke muka utama