|

Keampunan sentiasa ada
bagi orang yang bertaubat
SESUNGGUHNYA kita umat manusia juga selaku keturunan Nabi Adam Alaihissalam tidak terlepas dari melakukan sebarang kesilapan dan keterlanjuran sama ada secara sengaja atau tidak. Sebaik-baik insan yang melakukan kesilapan itu ialah mereka yang segera bertaubat kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan menyesali segala yang telah dilakukan. Kebanyakan manusia, walaupun tidak semua, masing-masing pernah terlanjur melakukan kesilapan. Keterlanjuran itu membuat mereka berdosa kerana telah melakukan maksiat.
Kita sentiasa mendengar perkataan bahawa manusia ini dengan segala sifat kemanusiaannya sentiasa terdedah kepada keterlanjuran. Tidak kira sama ada orang bertakwa atau tidak tetapi bezanya orang-orang takwa apabila mereka melakukan kesilapan yang dihasut oleh hasutan syaitan, mereka akan segera ingat lalu menyedari hakikat sebenarnya. Berlainan dengan keterlanjuran orang yang kurang bertakwa, apabila terlanjur mungkin saja dia berterusan dalam dosa dan noda. Tidak ada keinginan untuk kembali dan terlalai untuk bertaubat.
Lebih menyedihkan lagi, terdapat di kalangan kita yang meremehkan perbuatan maksiat itu kerana sudah terbiasa melakukannya. Walau bagaimanapun orang seperti itu perlu diberi keyakinan bahawa masih ada jalan untuk pulang. Masih ada peluang untuk mereka kembali serta mendapat keampunan dari Allah Subhanahu Wata’ala.
Allah menuntut kepada umat manusia agar sentiasa meminta atau memohon keampunan kepada-Nya. Maksudnya kita diwajibkan memohonkan keampunan itu, dan Allah yang bersifat Pengampun bersedia untuk mengampunkannya. Kita pohonkan keampunan setentunya adalah kerana keinsafan. Apabila kita insaf akan keterlanjuran, menzalimi diri sendiri dengan kejahatan dan dosa, maka kita segera ingatkan Allah.
Tentunya keinsafan itu didorong oleh takutkan balasan atau akibat buruk dosa atau kesalahan yang dilakukan. Kita takut kepada Allah yang kita ketahui berkuasa mendatangkan balasan itu sama ada lambat atau cepat, di dunia ataupun di akhirat. Ketakutan sedemikian itu dapat kita terima sebagai tanda takwa. Walaupun datangnya, timbulnya, munculnya setelah melakukan kesalahan. Sepatutnya takwa itu dari mula lagi sudah kita miliki menerusi asuhan kerohanian. Tetapi selaku manusia, lalai dan lupa adalah sifat dominan kita.
Yang penting ialah kita sedar akan kesalahan. Kita insaf akan keterlanjuran. Kita tahu ianya dosa yang amat membebankan. Keadaan sedemikian itu ada digambarkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala sebagaimana firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran ayat 135 - 136 yang mafhumnya:
“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.”
Adapun perkara yang utama di dalam kita insaf atau bertaubat dari kesalahan yang kita lakukan ialah:
1. Insaf akan kesalahan.
2. Sedar dan sentiasa ingat akan Allah Subhanahu Wa- ta’ala.
3. Segera memohon keampunan.
4. Tidak berterusan dengan dosa atau bergelumang dengannya.
5. Yakin hanya Allah yang dapat mengampunkan dosa.
Makanya janji Allah untuk kita yang bersikap demikian ialah 'maghfirah' iaitu pengampunan dan 'jannaat' iaitu syurga-syurga yang kita kelak dikekalkan di dalamnya.
Bertaubat banyak di ertikan dengan menyesal, kerana apabila telah melakukan sesuatu tetapi hasilnya tidak seperti diharapkan, maka kebanyakannya akan mengatakan menyesal sama ada benar-benar kesal atau juga serik. Tetapi dalam keadaan perbuatan yang terlanjur dan membawa dosa bagi erti kata taubat itu memang maknanya menyesali keterlanjuran berbuat dosa lagi. Dalam erti kata lain taubat itu kembali ke pangkal jalan atau kembali ke jalan Allah.
Menyesali dosa itu ertinya insaf bahawa dosa itu jadi pendinding daripada beroleh hidayat, rahmat dan berkat Allah. Mungkin tidak semudah itu timbulnya keinsafan. Sebab di dalam diri orang yang bergelumang dosa ia melihat dirinya terus- menerus beruntung dan bertuah. Tetapi jangan lupa tuah untung yang dilihat, dikecapi, dinikmati dalam keadaan bergelumang dosa tidak akan kekal selamanya malah ianya boleh membuatkan manusia semakin jauh daripada hidayat rahmat dan berkat.
Maka kita perlu ditimbulkan kesedaran, dipupuk keinsafan. Dari situ akan ada rasa menyesal yang disertai dengan memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan berazam tidak melakukan dosa seterusnya. Perkara itu dibuat dengan menaruh harapan bahawa Allah Yang Maha Pengampun akan memberi ampun. Dengan harapan lalu bertaubat. Taubat itu malah diwajibkan untuk beroleh keampunan. Sebagaiman firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Tahriim ayat 8 yang mafhumnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (cara bertaubat dan meminta ampun yang sungguh-sungguh, untuk membersihkan segala kekotoran dosa), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan- kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”
Kita yakin taubat kita diterima oleh Allah. Kita yakin kerana kita memohonkannya. Kita yakin kerana kita insaf setelah terlanjur dan ingin kembali ke jalan Allah. Kita tidak boleh berlengah-lengah. Kita takut tempoh yang diberikan terlepas. Sebab kita tidak tahu bila nafas kita akan terhenti selamanya.
Yang pasti kita sama sekali tidak ingkarkan Allah Subhanahu Wata’ala sekalipun pernah terlanjur berdosa, kita tetap bertuhankan Allah dan bernabikan Rasul-Nya Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Kita akur kepada rukun-rukun Iman dan rukun-rukun Islam. Kita jadikan Al-Qur'an dan Hadis sumber utama kita dalam kehidupan. Kita beragama Islam. Kita adalah umat yang dikasihi dan disayangi oleh Allah sepanjang zaman.
Kembali ke muka utama
|