Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya


GADIS MISTERI
Oleh : MAYA BRUNEI

WALAUPUN Firdaus belum melihat wajah sebenar gadis itu yang sentiasa berselindung di balik purdah hitamnya. Tapi dari alis keningnya yang lentik ditambah lagi dengan keayuan sinar matanya yang lembut itu, sudah cukup menggambarkan dia adalah seorang gadis yang jelita.

“Sudah lama di sini …?” Pengalaman banyak menolongnya fasih berbahasa Melayu, gadis itu berasal dari Pattani dan sudah lama menatap dan berbisnes di kota itu.

“Esok atau lusa saya akan pulang.”

“Dari mana …?” gadis itu bertanya lagi.

“Brunei Darussalam …!”

“Kalau macam itu elok beli satu untuk isteri.” Sambil gadis itu memberikan beberapa helai tudung yang memang cantik-cantik belaka.

“Saya belum punya isteri.”

“Maafkan saya …”

Saya Firdaus dan kamu …?

“Fatihah …”

“Kalau Fatihah yang memakainya tentu lebih cantik.”

“Macam mana Firdaus tahu Fatihah ini cantik atau …” Fatihah terhenti apabila Firdaus cepat mencelah.

“Fatihah mempunyai sepasang mata yang cantik.”

“Apakah cuma itu sudah cukup untuk menyatakan kecantikan seseorang …?”

“Sudah tentu. Firdaus tertarik dengan renungan mata Fatihah yang lembut itu.”

“Lelaki memang pandai menggoda.”

“Firdaus belum pernah menggoda apa lagi tergoda.”

“Fatihah tak percaya.” Fatihah cuba menyangkal.

“Di sini mana boleh cakap bohong Fatihah memang cantik.”

“Fatihah tidak berani menerima pujian itu.”

“Mengapa…?” Firdaus cuba memancing sesuatu.

“Kerana Fatihah tidak secantik sebagaimana yang Firdaus bayangkan itu.”

“Cantik atau hodoh tidak perlu dipersoalkan, kerana semua itu adalah pemberian Tuhan.” Firdaus meminjam kata-kata ustaz.

“Nabi kita ada menyebut. Pilihlah wanita kerana agamanya, keturunannya dan kecantikannya.” Fatihah pula menggunakan kata-kata ustazah.

“Semua itu sudah ada pada Fatihah.” Firdaus cuba meyakinkan Fatihah.

“Tidak … Fatihah masih kurang satu.” Fatihah menyangkal lagi.

“Apa yang kurang …?” Firdaus saja-saja bertanya begitu.

“Kecantikan wajah Fatihah tidak memilikinya …”

Seorang wanita berselubung hitam masuk terus menuju ke kaunter sambil membuka beg tangannya, tanpa disedari oleh wanita itu beg kecilnya terjatuh. Firdaus nampak dan segera mengambil beg kecil itu lalu memberikannya kepada wanita itu. Firdaus terperanjat kerana wanita itu adalah Fatihah gadis yang berjualan di lorong jalan pelintasan hendak ke hotel itu.

Firdaus terjaga sekali lagi apabila seorang Arab berteriak kerana tidak dapat masuk ke dalam lif yang sudah penuh di hotel itu. Itulah mereka dengan keangkuhan masing-masing siapa tinggi suara akan menang walaupun perkara itu terlalu kecil.

“Jangan dihairankan semua itu, di sini tidak ada yang mustahil jika sesuatu perkara hendak berlaku.” Azlan kawan sejemaahnya cuba mengingatkan.

“Apakah aku bermimpi atau berkhayal.”

“Jangan terlalu fikirkan mari kita ke masjid sembahyang dan tawaf. Kita berdoa moga Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita.”

Firdaus masih tercari-cari apakah itu khayalan atau kenyataan. Mengapa semua itu harus terjadi padanya. Sebelumnya ini Firdaus juga pernah mendengar cerita dari kawan-kawannya pelbagai kejadian yang aneh boleh berlaku di Tanah Suci yang kadang-kadang agak sukar untuk dipercaya.

Firdaus duduk bertafakur di hadapan pintu Ka’abah bertasbih dan berzikir. Kemudian Firdaus bangkit beredar hendak balik ke hotel. Sejurus naik tangga masjid untuk keluar di pintu Al Fath, Firdaus duduk dan bersandar di sebuah tiang dekat tangga itu sambil memandang Ka’abah dengan mengharapkan pahalanya akan bertambah.

“Aku memang suka pada gadis yang bertudung, sopan dan menarik.”

“Walau cuma untuk menutup sesuatu …?”

“Iyah … menutup aurat adalah tuntutan Islam.”

“Percayalah aku tidak cantik.”

“Yang penting adalah cinta …!”

“Kadang-kadang cinta itu diperelokkan oleh syaitan.”

“Ibuku tidak cantik tapi ayah menyintainya dan aku lahir.”

“Cinta yang sebegitu memang sukar diperolehi zaman ini, seperti juga iman dan takwa terlalu jauh jika dibandingkan dengan zaman Nabi kita dahulu.”

“Kau siapa …?” Seorang wanita terpacak di hadapannya dengan wajah yang sangat hodoh membuatkan Firdaus begitu ngeri memandangnya.

“Kau tidak kenal aku lagi …?”

“Aku tidak pernah jumpa kau …!”

“Itulah namanya manusia mudah lupa, kita sering berjumpa dan berbincang tentang cinta dan kecantikan,” wanita itu cuba mengembalikan ingatan Firdaus.

“Kau jangan cuba nak mengelirukan aku, di tempat suci begini jangan cakap yang bukan-bukan,” Firdaus lebih seratus persen tidak kenal wanita itu.

“Tapi aku perlu berterus terang padamu, aku ini adalah Fatihah …!”

“Tapi Fatihah yang aku kenal bukan begini …?”

“Kerana Fatihah di hadapanmu sekarang hodoh.”

“Mustahil …!” Firdaus memejamkan matanya kerana tidak sanggup melihat wajah wanita itu.

“Atau kerana kecacatan wajahku ini, tapi kau telah memuji aku cantik.” Wanita yang mendakwa dirinya Fatihah itu menutup separuh wajahnya yang cuma kelihatan sepasang mata yang cantik.

“Jangan tambahkan lagi kebingunganku.” Firdaus yakin sekarang di depannya itu betul-betul Fatihah, tapi bagaimana boleh terjadi demikian.

“Kau pernah berkata kau suka dan cinta pada mata- ku.”

“Lalu apa maksudmu …?”

“Aku datang untuk memberikan kedua-dua belah mataku ini kepadamu.”

“Astaghfirullahal'azim …! Jangan kau lakukan perkara yang sia-sia itu.”

“Kau cuma menyintai kecantikan mataku dan bukan wajahku. Itu bermakna kau cuma menghendaki mataku.”

“Aku tidak menghendakinya pergilah kau dari sini …!”

“Aku tidak mahu kau terseksa, aku harus memberikan mataku kepadamu.”

Fatihah mencungkil kedua-dua biji matanya lalu memberikannya kepada Firdaus dengan berlumuran darah. Firdaus menjerit ketakutan dan cuba hendak lari, tapi kakinya tergelincir lalu terjatuh. Firdaus terjaga dari mimpinya yang menakutkan itu. Mujurlah keriuhan manusia di waktu itu dapat menenggelamkan jeritan Firdaus.

Firdaus berdialog lagi dengan Fatihah gadis yang sering muncul dalam mimpi-mimpinya yang nyata. Tapi kali ini Firdaus benar-benar bersua dengan wajah Fatihah yang sebenarnya. Wajah Fatihah tidak secantik seperti yang dibayangkannya. Apakah itu cuma lakaran sebuah khayalan …?

Dalam perjalanan pulang ke hotel seperti biasa, Firdaus memerhatikan satu demi satu setiap wajah yang berjualan di sepanjang lorong itu, namun Fatihah tidak diketemukannya. Ke manakah perginya gadis misteri itu …?

“Hadirkan dirimu betul-betul kepada Allah.” Azlan merasa simpati dengan apa yang dialami oleh Firdaus.

Firdaus melakukan tawaf sunat selepas waktu Subuh dan duduk berzikir di hadapan pintu Ka’abah sambil memohon petunjuk dan berdoa minta dijauhkan dari segala fitnah yang datang dari pelbagai penjuru.

Dalam kesesakan jutaan manusia di Kota Suci yang mempunyai kelebihan-kelebihan yang tersendiri yang telah dikurniakan Allah itu, Firdaus ligat mencari lubang-lubang kecil dan menyusup lalu untuk mempercepatkan perjalanannya balik ke hotel. Tiba di hotel Firdaus terus masuk ke dalam lif yang kebetulan terbuka tanpa menghiraukan siapa dalam lif itu. Firdaus mahu cepat-cepat sampai ke biliknya.

Pintu lif tertutup dan bergerak naik. Tiba-tiba lif terhenti tapi pintunya tidak terbuka. Firdaus melihat seorang perempuan bersamanya dalam lif itu. Belum sempat dia melakukan sesuatu tiba-tiba perempuan itu berpaling dan memandang tepat ke wajahnya. Firdaus memandang wajah perempuan itu bagai dipukau.

“Aku sudah memberikan apa yang kau inginkan dan sekarang aku telah buta.”

Fatihah datang lagi dengan wajahnya yang lembut dan sayu tanpa memiliki kedua-dua belah mata. Firdaus cuba bergerak tapi pintu lif terbuka lagi, seorang perempuan Arab gemuk pendek terhinggut-hinggut masuk. Pintu lif tertutup dan bergerak. Firdaus ingin bersuara tetapi Fatihah sudah tidak ada.


Kembali ke muka utama





Kembali ke muka utama

Waktu Perkhidmatan Kaunter

TABUNG Amanah Pekerja (TAP) memaklumkan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan kaunter di cawangan ibu pejabat di Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan mula beroperasi pada setiap hari Jumaat bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 2.30 petang hingga 3.30 petang.

Sehubungan dengan itu, waktu perkhidmatan kaunter di kesemua cawangan TAP adalah ditukar iaitu setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu waktu beroperasi bemula jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 1.30 petang hingga 3.30 petang.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.