BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 16 Jun. - Pesilat muda dari Daerah Brunei dan Muara (DBM), Nurul Aimi Amalidya berjaya memungut pingat emas dalam acara pencak silat dalam kategori tunggal wanita di Pesta Sukan Remaja Kali Ke-4 yang diadakan di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas di sini.
Nurul Aimi Amalidya yang juga merupakan bekas pemenang emas dan perak di Kejohanan Terbuka Remaja Dunia 2007 di Singapura memperoleh 466 mata setelah berjaya membuat mempersembahan yang meyakinkan para juri.
Perak pula dimenangi oleh Khairunnadiya, wakil pesilat dari Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSSS) setelah memperoleh 378 mata, manakala pesilat dari Daerah Tutong, Dk. Sa’adatul Huda memperoleh gangsa dengan kutipan 369 mata.
Awal dari itu beberapa acara dalam kategori tanding peringkat separuh akhir juga telah dilangsungkan.
Nurul Aimi Amalinda pesilat dari DBM sekali lagi meneruskan persaingannya di peringkat akhir setelah menyingkirkan Nuramianadiatul dari MSSS dengan kiraan 5 – 0.
Manakala dalam kelas B wanita, pesilat dari MSSS, Nurhardiyanah berjaya melangkah ke peringkat akhir apabila menumpaskan pesilat dari DBM, Dk. Shazliyana dengan kiraan 5 – 0.
Dalam kelas B’ lelaki pula menyaksikan kemenangan pesilat dari Daerah Belait, Zainulariffin ke atas pesilat DBM, Md. Zharpan Habibullah dengan kiraan penuh juga 5 – 0.
Sementara pesilat dari Daerah Temburong, Abd. Muhaimin bakal beraksi esok diperingkat akhir setelah menumpaskan Zainorarif Zaini dari Daerah Belait dalam kelas C.
(Oleh : Abu Bakar Haji Abdul Rahman)
Kembali ke muka utama