
Sabtu, 14 Februari 2009
18 Safar 1430
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
BURUAN pingat emas adalah menjadi idaman setiap negara termasuk Negara Brunei Darussalam yang bertanding dalam apa jua kejohanan yang bertaraf antarabangsa. Namun bagi kita, negara bukan sahaja ketandusan bahkan kemarau pingat. Dalam sejarah penyertaan Sukan Negara-Negara Asia Tenggara ( Sukan SEA) sejak tahun 1977 pungutan pingat emas amatlah rendah dan jarang kita melimpasi angka ke 10. Terbaik kita hanya meraih empat pingat emas ketika kejohanan dwitahunan itu berlangsung di laman sendiri dalam tahun 1999. Sejak itu, kita kekeringan pingat dan yang terakhir di Sukan SEA Korat, Thailand tahun 2007 kita hanya mampu membawa sebutir pingat emas menerusi disiplin acara boling padang. Manakala dalam penyertaan Sukan Asia kita hanya ‘bermegah’ menggenggam pingat perak, sementara penyertaan di Sukan Komanwel apalagi Olimpik memang sesuatu yang mustahil untuk kita memiliki sebarang pingat.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) ketika bersabda di Majlis Perjumpaan Dengan Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan bagi persediaan menghadapi Sukan SEA Ke-25 di Laos Disember 2009, baru-baru ini mengingatkan kepada Jawatankuasa Kebangsaan Penilaian dan Pemilihan Atlet supaya lebih telus dan jujur dalam membuat sukat-sukat kelayakan dalam pemilihan untuk menyertai Sukan SEA Ke-25 nanti.
"Dalam penyertaan kontinjen negara ke sukan antarabangsa kita perlu mengetatkan sukat-sukat kelayakan atlet kerana dengan cara inilah sahaja kita berharap akan dapat meningkatkan mutu pencapaian atlet-atlet kita bagi meraih lebih banyak pingat-pingat kemenangan", sabda Presiden BDNOC itu.
Peringatan keras DYTM selayaknya diambil perhatian yang serius oleh semua pihak yang berkenaan dengan ’turun padang’, melihat dan menyaksikan sendiri serta memastikan sendiri pencapaian atlet-atlet. Jangan hanya mengharapkan 100 peratus menerima catatan pencapaian ataupun sokongan yang dibuat dan dihadapkan oleh jurulatih. Biarlah semuanya telus dan tidak ada terselindung ‘udang di sebalik batu’. Maksudnya biarlah atlet negara yang dipilih itu benar-benar mampu dan berkelayakan dan bukan sekadar pemilihan itu melepaskan batuk di tangga sahaja. Yang paling diingat jauhi daripada sifat ’pilih kasih’ tetapi mengutamakan yang terbaik sahaja yang dipilih.
Selain itu orang ramai juga sudah muak dengan alasan bahawa atlet kita kurang pengalaman, mempunyai fizikal badan yang kecil dan bermacam-macam lagi alasan, tetapi kitani percaya dengan ketelusan pemilihan yang mengutamakan yang layak sahaja, perkara ini mungkin tidak akan timbul, malah atlet negara mampu menyumbang pungutan pingat seperti yang menjadi idaman dan harapan seluruh rakyat Brunei.
Apa pun alasan, sebenarnya kita mampu untuk bersaing dan menyaingi setiap lawan dalam apa jua pertandingan. Cuma barangkali kadang-kadang para atlet kita selalu ‘kalah bulu’ dan mudah menyerah kalah sebelum bertanding. Apa yang mustahak kita jangan gerun dan takut melihat fizikal lawan, personaliti lawan dan kejaguhan pihak lawan. Mustahak para atlet mempunyai semangat juang yang tinggi dan jangan mudah mengaku kalah. Adat bertanding ada kalah dan menang.
Tetapi kita tidak mahu tewas berterusan. Dalam erti kata yang lain kita tidak mahu atlet negara tewas sebelum bertanding di medan perjuangan. Senario berkenaan sering dikurapakkan oleh orang ramai yang mengikuti kancah arena sukan tanah air. Jadi kita tidak rela wira-wira yang menjadi harapan rakyat dan negara ‘kalah sebelum bertanding’. Kita juga tidak mahu para atlet mudah ‘diratah’ dan ‘gulai’ oleh pihak lawan.
Setentunya, para atlet yang terpilih dalam meniti cabaran Laos supaya akan mengadakan latihan-latihan intensif seracara berterusan walaupun mereka telah terpilih dan mampu mencapai sukat-sukat kelayakan yang ditetapkan. Tunjukkanlah semangat kesukanan yang tinggi dalam usaha mencipta kejayaan serta menaikkan imej dan martabat negara di pentas dunia sukan. Dengan menguatkan azam dan semangat kesukanan yang tinggi bagi mencapai kejayaan dan kemenangan. Para atlet yang mewakili negara di Laos juga sepatutnya mempunyai keazaman sedemikian dalam misi kita memburu pingat.
Perlu diingat pemburuan pingat adalah merupakan satu mandat negara dan rakyat Negara Brunei Darussalam kepada setiap pegawai dan atlet yang terlibat untuk menanai dan melaksanakan tanggungjawab yang sangat berat bagi mengharumkan nama negara di arena sukan. Kita berharap semua atlet yang terpilih mestilah mempunyai azam dan semangat kesukanan yang tinggi untuk mencapai kemenangan dan bukannya ’makan angin’ tetapi misi kita ialah bertarung dan menggondol pingat.
Itulah misi yang mustahak ditanamkan dalam jiwa para atlet agar pertaruhan negara yang besar itu tidak menjadi sia-sia bahkan berbaloi.
Mesej ini bukan sahaja kita tujukan kepada para atlet negara ke Sukan SEA, tetapi kepada seluruh lapisan atlet yang dipilih mewakili negara di temasya-temasya sukan bertaraf serantau apalagi yang bertaraf antarabangsa. Kita mahukan atlet kita mengikis stigma ‘kalah sebelum bertanding’ dalam apa jua persada sukan antarabangsa yang disertai.
Dalam penyertaan ke Sukan Laos, negara hanya akan menyertai acara sukan yang mana atlet kita diyakini mampu mencapai suka-sukat kelayakan iaitu pingat gangsa di Sukan SEA yang lalu. Impian memburu pingat semudah itu, dalam menggapai realitinya kita terpaksalah meniti cabaran di Laos yang hanya tinggal 10 bulan sahaja dengan penuh semangat kesukanan yang tinggi, semangat juang yang jitu serta perjuangan yang akan meningkatkan imej negara di persada dunia sukan.