
Pada majlis yang berlangsung di Istana Nurul Iman itu, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima mengadap Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Persekutuan Jerman, Tuan Yang Terutama Pehin Datu Inderasugara Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Awang Haji Mohammad Yusof bin Abu Bakar, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Kesatuan Myanmar, TYT Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Hamid bin Pengiran Haji Mohammad Yassin, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Thailand, TYT Dato Paduka Haji Kamis bin Haji Tamin dan Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Persekutuan Russia TYT Dr. Haji Emran bin Bahar.
Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Persekutuan Jerman yang baru , TYT Pehin Datu Inderasugara Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Awang Haji Mohammad Yusof, 58 tahun, mula berkhidmat sebagai Leftenan dengan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) pada tahun 1975 dan sebelum ini merupakan Duta Besar negara ini ke Kesatuan Myanmar.
Sementara Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Kesatuan Myanmar yang baru, TYT Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Hamid bin Pengiran Haji Mohammad Yassin pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 2003 hingga 2007, Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan pada tahun 2007 hingga 2008 dan berkhidmat di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan bermula 2008.
Duta Besar Negara Brunei Darussalam yang baru ke Thailand TYT Dato Paduka Haji Kamis bin Haji Tamin, 56 tahun, memulakan karier sebagai Pegawai Penyelidik di Pejabat Pertanian pada tahun 1976 dan pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri bermula 2006 hingga 2008.
Manakala, Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Persekutuan Russia TYT Dr. Haji Emran bin Bahar, 47 tahun, memulakan karier sebagai Pegawai Pentadbir Tingkat 1 pada 22 Julai 1986 di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.
Sebelum ini TYT pernah menjadi Perwakilan Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York dan menjawat jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan sebelum dilantik menjadi Duta Besar ke Persekutuan Russia.
Tuan-Tuan Yang Terutama yang baru di lantik telah menjunjung Watikah Perlantikan masing-masing dari ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 10 Februari yang baru lalu.
(Oleh : Abdullah Asgar)
Kembali ke muka utama