Pelita Brunei - Berita Ringkas
BERITA LENGKAP

300 Bendera Kecil Diagihkan

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 16 Februari. - Sebanyak 300 bendera Negara Brunei Darussalam (NBD) bersaiz kecil bagi kenderaan diagih-agihkan kepada orang ramai di Majlis Pengagihan Bendera NBD Bersaiz Kecil Sempena Sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Tahun 2009 bagi Daerah Brunei dan Muara.

PEGAWAI Daerah Brunei dan Muara, Dato Paduka Awang Haji Yussop ketika memasang bendera kecil ke atas salah sebuah kenderaan sempena sambutan Jubli Perak hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam tahun 2009. (Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid)

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis yang berlangsung di Dewan Muhibbah Jabatan Daerah Brunei dan Muara itu, Pegawai Daerah Brunei dan Muara Dato Paduka Awang Haji Md. Yussop bin Bakar.

Majlis pagi itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Faatihah diikuti penyerahan Bendera NBD bersaiz kecil oleh Awang Haji Ghazali bin Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri selaku Ketua Bersama Pembahagian Bendera NBD di atas kenderaan kepada tetamu kehormat.

Majlis diteruskan dengan pengagihan bendera kecil oleh tetamu kehormat kepada penghulu-penghulu mukim bagi Daerah Brunei dan Muara.

Tetamu kehormat seterusnya meletakkan bendera NBD bersaiz kecil di atas kenderaan-kenderaan dimulakan dengan kereta tetamu kehormat sendiri dan diteruskan dengan kereta kerajaan dan orang awam.

Ahli-ahli jawatankuasa majlis juga meletakkan bendera-bendera kecil di atas kenderaan yang berada di sekitar pejabat Daerah Brunei dan Muara.

Pada tahun ini sebanyak 30,000 helai bendera negara bersaiz kecil diagih-agihkan di seluruh negara yang mana sejumlah 24,500 helai di Daerah Brunei dan Muara, 3000 helai di Daerah Belait, 1500 helai di Daerah Tutong dan 1000 helai di Daerah Temburong.

Majlis seumpama itu dihasratkan dapat memeriahkan suasana Sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini.

(Oleh : Dk Siti Redzaimi Pg Haji Ahmad)

Kembali ke muka utama