|
TAKTIK LICIK PENGEDAR DADAH ANTARABANGSA
MENJERAT PADAH WARGA TEMPATAN
Rencana Oleh : Dk. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor
fatimah.noor@information.gov.bn
NEGARA Brunei Darussalam memandang serius mengenai pengedaran sindiket antarabangsa yang mengeksploitasi rakyat negara ini dijadikan sebagai 'carrier' atau penghantar bagi tujuan mengedar dan menyeludup dadah di luar negara.
Dengan taktik licik pengedar dadah antarabangsa yang mana sindiket pengedaran dadah antarabangsa didalangi oleh warga Afrika Barat yang berpengkalan dan beroperasi secara berleluasa di rantau Asia, telah memperdayakan empat warga negara kita yang sepatutnya dijadikan iktibar.
Lebih-lebih lagi berita yang sangat menyedihkan baru-baru ini, seorang daripada mangsa itu melibatkan seorang wanita berusia 26 tahun dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah membawa masuk dadah heroin seberat 894.05 gram ke Republik Rakyat China pada awal tahun ini. Wanita terbabit dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Shanghai No.1 China pada 1 Jun lepas. Bayangkan jika kejadian ini terjadi pada keluarga kita.
Fenomena ini bukanlah dipandang ringan malah semua pihak berperanan berganding bahu memeranginya. Setiap lapisan masyarakat di negara ini mempunyai tanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran diri sendiri, ahli keluarga, sahabat dan masyarakat umum bagi mengekang sindiket itu daripada berleluasa.
Menurut Biro Kawalan Narkotik (BKN) sindiket pengedar dadah antarabangsa, dikenal pasti menyasarkan mangsa-mangsanya kepada warga Asia termasuk warganegara Brunei Darussalam untuk dijadikan sebagai 'penghantar' yang diperalat mengedarkan dan menyeludup dadah ke luar negara.
Sindiket tersebut pada awalnya menggunakan laman web sembang ataupun 'internet chatting' untuk memperdaya mangsa-mangsanya.
Antara taktik-taktik dan khidmat yang sering ditawarkan sindiket adalah bermula dengan berkenalan melalui internet dan bersembang-sembang sebelum memikat mereka dengan janji-janji manis.
Mereka kemudian menjadikan lelaki ataupun wanita tersebut sebagai kekasih dan berjanji untuk menjadi teman hidup. Mereka juga akan memperdayakan mangsa- mangsa dengan menawarkan pekerjaan dengan gaji yang lumayan dengan bertopengkan syarikat yang sah hanya sebagai 'penghantar' barang-barang yang tidak dimaklumkan kepada mangsa.
Dalam memperdayakan mangsanya jua, sindiket tersebut akan memberikan satu beg yang diseludupkan dengan dadah kepada mangsa apabila berada di lapangan terbang iaitu semasa hendak berangkat (check in).
Sindiket tersebut tidak akan memberi sebarang maklumat tentang dirinya atau nombor perhubungan kepada mangsa, jika mangsa tidak bernasib baik, sejurus ketibaan ke destinasi yang dituju mereka akan ditangkap oleh pihak berkuasa negara berkenaan.
Setelah ditangkap barulah mangsa menyedari akibat perbuatan mereka yang mudah diperalatkan oleh sindiket berkenaan. Akibatnya mangsa mungkin dijatuhkan hukuman mati ataupun penjara seumur hidup. Peranan ibu bapa dan orang ramai serta kaedah-kaedah untuk menghindarkan diri dari terjebak dalam sindiket dadah antarabangsa. Ibu bapa seharusnya mempunyai tanggungjawab untuk sentiasa memantau perkembangan anak-anak mereka.
Ibu bapa mestilah melindungi ahli-ahli keluarga mereka daripada tipu daya sindiket tersebut terutama dari aspek tawaran pekerjaan di luar negara dengan gaji lumayan kerana ia mungkin satu muslihat bahaya.
Ibu bapa hendaklah sentiasa memberi peringatan kepada anak-anak tentang ancaman sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan awasi siapa rakan- rakan rapat anak-anak mereka.
Di samping itu, ibu bapa juga tidak seharusnya percaya seratus peratus apa yang dinyatakan oleh anak- anak. Pantau pergerakan- nya terutama apabila hendak pergi ke luar negara walaupun bersama ahli keluarga, rakan sebaya dan orang yang dikenali. Mereka juga seharusnya periksa kegiatan mereka terutama sekali apabila berinternet dengan menggunakan program 'chatting'.
KAEDAH SINDIKET
Menurut buku terbitan sempena Hari Menentang Penyalahgunaan Dadah yang dikeluarkan oleh BKN, beberapa modus operandi atau kaedah yang digunakan oleh sindiket ini telah dikenal pasti antaranya mengarahkan mangsa untuk membawa beg yang diserahkan kepada mangsa di lapangan terbang. Kandungan beg tersebut tidak dimaklumkan kepada mangsa (atau dimaklumkan sebagai ubat-ubatan dan sebagainya); anggota sindiket terlebih dahulu akan membuka ruang- ruang tempatan di dalam beg yang mana sukar untuk diketahui tanpa pemeriksaan dan penelitian yang rapi atau jika tidak ada maklumat risikan; semua anggota sindiket berkenaan (courier) dimestikan 'menukar pasport mereka setiap tiga bulan sekali'; ahli sindiket pengedaran dadah antarabangsa ini juga dipercayai mempunyai pengimbas objek (scanner). Mengikut maklumat risikan sebelum berisi beg dadah berkenaan dibawa ke lapangan terbang untuk dihantar oleh anggota sindiket berkenaan dan beg tersebut terlebih dahulu akan diuji beberapa kali dengan menggunakan pengimbas objek yang mereka miliki itu.
Kaedah seterusnya ahli sindiket juga melaporkan akan menyemburkan minyak wangi pada sebelah dalam beg kulit yang mereka bawa, seterusnya menyapukan minyak 'balsam' kepada dinding beg sebelah luas dan juga menyapukan minyak ini pada lengan atau badan. Tujuan berbuat demikian agar anjing pengesan tidak dapat menghidu bau atau mengelak dari tercium bau dadah yang telah disembunyikan di dalam beg berkenaan yang mereka bawa bersama. Mangsa juga diarahkan beroperasi berseorangan dan tidak ditemani oleh ahli sindiket.
Malang tidak berbau! Jika mangsa tidak bernasib baik, sejurus ketibaan ke destinasi yang dituju mereka akan ditangkap oleh pihak berkuasa negara berkenaan. Akibatnya mangsa mungkin dijatuhkan hukuman mati atau penjara. Ini yang sudah terjadi seorang warga negara Brunei dijatuhi hukuman seumur hidup.
Sementara itu seorang lagi lelaki warga Brunei berusia 29 tahun juga ditahan oleh pihak berkuasa China pada 23 Jun setelah ditahan oleh Biro Anti Penyeludupan, Kastam Tianjin, China jam 3.00 petang kerana didapati membawa masuk dadah jenis heroin seberat 995.73 gram yang disembunyikan di dalam lapisan dinding beg pakaian lelaki berkenaan dipercayai mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa. Lelaki terbabit ditahan setibanya di Lapangan Terbang Binhai, Tianjin dengan menaiki pesawat D72612 dari Kuala Lumpur, Malaysia. Lelaki berkenaan kini ditahan untuk oleh pihak berkuasa China di Tianjin untuk siasatan.
Manakala dua lagi kes melibatkan tangkapan dua warga Brunei di Santiago, Chile dan Sydney, Australia masih lagi dalam sia- satan pihak berkuasa di sana.
BKN mengingatkan kepada orang ramai terutama ibu bapa akan sentiasa memerhatikan anak-anak mereka agar tidak mudah terpedaya dengan janji- janji dan tawaran-tawaran pekerjaan atau melancong ke luar negara yang diberikan oleh orang yang tidak dikenal pasti.
Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah dialu- alukan untuk memberikan kerjasama dan sebarang maklumat yang mencurigakan berhubung dengan kegiatan penyalahgunaan dadah bolehlah menghubungi telefon 2448877 dan talian 8777444 selepas waktu bekerja.
Kembali ke muka utama
|