|
MINDA PEMBACA
MINDA Pembaca yang terpilih minggu ini daripada tajuk yang telah kami kemukakan iaitu 'E-Kerajaan Memudahkan Urusan Orang Ramai'. Mereka akan menerima hadiah sebanyak BND40.00. Pendapat yang berjaya itu adalah seperti berikut: :
Melicinkan aliran maklumat, proses kerja
PROJEK e-Kerajaan telah dilaksanakan melalui pengkajian semula dari segi infrastruktur seperti menyediakan pusat maklumat dan mendapatkan peralatan dan perisian terkini. Pelbagai kemudahan disediakan oleh e-Kerajaan antaranya seperti membaharui lesen kenderaan, e-Pasport, pembayaran bil kemudahan asas, pendaftaran perniagaan dan sebagainya dapat dilakukan secara terus dalam talian, akhirnya dapat dinikmati oleh orang ramai.
Kesedaran terhadap perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang semakin meningkat, secara tidak langsung telah menggesa semua kerajaan di seluruh dunia untuk melihat dengan impak fenomena ini, masyarakat keseluruhannya menilai kesungguhan kerajaan masing-masing ke atas tahap kesediaan melaksanakan ICT dalam perkhidmatan yang melibatkan kemudahan dari segi pencapaian maklumat, kecekapan pengurusan dan ketelusan dan memberikan perkhidmatan.
E-Kerajaan ini merupakan satu kegunaan yang dilaksanakan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan. Malah orang ramai dapat berurusan secara lebih berkesan bila-bila masa sahaja, selama 24 jam atau tujuh hari dalam seminggu, begitu mudah sekali dan cepat.
Dalam hal ini secara tidak langsung, ia dapat merungkai masalah yang berlaku dalam sistem penyampaian perkhidmatan. Ini kerana kita tidak perlu lagi beratur atau berbaris panjang di kaunter-kaunter untuk menjelaskan bila dan sebagainya. Ianya bermatlamatkan memberi keselesaan, ketelusan dalam segala hal. Ini sekali gus, membaikpulih taraf aliran maklumat di dalam kerajaan bagi membangunkan dasar, menyelaras dan menguatkuasakannya secara lebih baik kepada mereka.
Namun begitu, perkhidmatan-perkhidmatan e-Kerajaan ini menjanjikan cara berurusan yang lebih cepat, murah dan efisien kepada kedua-dua belah pihak pelanggan dan memberikan perkhidmatan. E-Kerajaan adalah satu konsep yang merujuk kepada sistem pentadbiran kerajaan berasaskan elektronik. E-Kerajaan diyakini memudahkan urusan orang ramai dengan pihak berkuasa tempatan itu dan juga memendekkan masa urusan.
Menyentuh Program e-Kerajaan yang masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, ia boleh dijadikan sebagai alat membantu anggota-anggota Perkhidmatan Awam dalam melaksanakan tugas-tugas mereka dengan cepat dan telus serta canggih dan jika keseluruhan program itu selesai nanti ia diharap akan dapat lebih memudahkan urusan orang ramai dengan agensi-agensi kerajaan.
Secara kesimpulannya, melalui e-Kerajaan secara tidak langsung ia dapat memudahkan pihak kerajaan itu sendiri dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih cekap terhadap pekerjaan yang dilakukan, di samping memudahkan interaksi dengan rakyat dan pihak swasta. Ini menunjukkan teknologi multimedia benar-benar membantu dalam memudahkan sebarang urusan yang perlu dilaksanakan dan ia amat menjimatkan masa.
ICT tidak mengenal sempadan, sama ada sempadan negara mahupun organisasi. Projek e-Kerajaan secara amnya bertujuan melicinkan aliran maklumat dan proses kerja dalam jabatan kerajaan bagi mempertingkatkan sistem penyampaian, penyelarasan dan penguatkuasaan.
Dayang Siti Norratna binti Mohamad Ali,
No. 47, Simpang 637 - 35,
STKRJ Kampung Lambak Kiri, BB1114.
No. k/p : 00-292997.
Meningkatkan imej dan kredibiliti kerajaan
KERAJAAN Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengambil berat tentang pentingnya teknologi maklumat komunikasi (ICT) kepada rakyat dan penduduk negara ini dalam pengurusan harian jentera pemerintahan. Kerajaan percaya pendedahan rakyat kepada maklumat dan pengetahuan yang penting melalui ICT adalah kunci kepada kejayaan sesebuah negara, lebih-lebih lagi kemahiran warga Perkhidmatan Awam dalam penggunaan ICT, ianya akan menjadi pemangkin ke arah kemajuan yang lebih pesat. Begitu juga dalam dunia urus niaga, tegasnya pihak swasta, penggunaan meluas ICT sudah setentunya akan menyemarakkan lagi rangkaian perhubungan yang lebih cepat dan berkesan pada setiap urusan dalam dan luar negeri.
Bayangkan ketiga-tiga peringkat tersebut iaitu orang ramai, kerajaan dan pihak swasta terpaut rapat oleh ICT melalui inisiatif e-Kerajaan. Orang ramai sebagai pengguna atau pelanggan kepada perkhidmatan kerajaan akan dapat berurusan dengan mudah, masa yang berharga akan dapat dijimatkan dan yang amat penting ia akan dapat mengurangkan kos 'operational' dan juga faktor-faktor kos yang mungkin ditanggung oleh pengguna dan juga kerajaan sendiri. Pada jangka panjang ia akan dapat mengurangkan perbelanjaan kedua-dua belah pihak. Melalui penjimatan perbelanjaan kerajaan itu sudah setentunya kerajaan akan menggunakan peruntukan yang dijimatkan bagi projek-projek yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat negara ini.
Apa yang lebih menarik lagi ialah hubungan rapat di antara kerajaan dengan orang ramai melalui rangkaian e-Kerajaan akan meningkatkan imej dan kredibiliti kerajaan sebagai sebuah entiti yang cekap dan berkesan. Dengan sendirinya juga orang ramai akan dapat merasakan diri mereka itu dipeduli dan dihargai. Apabila ini dapat disemai bagi kalangan orang ramai nescaya akan timbul rasa memiliki atau 'a sense of belonging' terhadap negara ini. Faktor inilah yang amat penting untuk menyemai semangat patriotik di kalangan rakyat dan penduduk negara ini.
Apa yang disebutkan ini adalah faktor-faktor sampingan dan susulan yang terjalin dan terikat di antara rakyat dan kerajaan melalui e-Kerajaan selain daripada orang ramai yang dapat meraih kemudahan-kemudahan zahiriah dari ICT.
Dayang Amal Sohani binti Johari,
Simpang 63, No. 18 Jalan Beribi,
Gadong BE1118.
No. k/p : 00-298777.
Lebih kos efektif
ALHAMDULILLAH, kerajaan kita baru saja melancarkan Pelan Strategik e-Kerajaan dalam jangka waktu 2009 - 2014.
Pelan Strategik e-Kerajaan ini bertujuan untuk memberi tahap pengurusan perkhidmatan kepada orang ramai yang lebih berkesan, interaktif dan produktif. Pelan ini bukan sahaja dijayakan oleh sektor kerajaan malah sektor swasta juga turut serta.
E-Kerajaan dilihat sebagai jentera penggerak utama dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan dan orang ramai supaya sesuatu urusan dapat dilaksanakan dengan cepat, mudah, fokus pelanggan, kos efektif dan keseluruhnya lebih baik dari sebelumnya.
Kita sebagai pelanggan dan orang ramai bukan sahaja dapat melayari laman-laman web kementerian atau jabatan malah dengan mudah dapat berurusan dengan mereka secara 'on-line' dalam membuat pembayaran bil-bil utiliti, pertanyaan serta penyediaan borang-borang permohonan tanpa perlu bersemuka. Kerana kebanyakan kita sibuk dengan urusan masing-masing kekadang terlupa atau kesuntukan masa untuk membuat sebarang urusan terutamanya dalam urusan dengan pihak kerajaan.
Sistem e-Kerajaan bukan sahaja memudahkan orang ramai malah anggota Perkhidmatan Awam juga dapat melancarkan proses dan prosedur amalan bekerja supaya lebih baik, lebih efisien, mudah dan berkesan.
Kita selaku pelanggan yang banyak berurusan dengan pihak kerajaan dapatlah menikmati kemudahan ini kerana ia boleh dilayari bila-bila masa kerana kita sekarang berada dalam abad yang serba canggih dan sekurang-kurangnya setiap keluarga itu pasti mempunyai seorang ahli yang berkemahiran dalam menggunakan ICT.
Dalam kata lain penggunaan e-Kerajaan ini mendatangkan kemanfaatkan dan kemudahan kepada semua pihak dalam semua urusan.
Dayang Hasmahwati binti Haslan,
No. 817, Kampung Selangan,
Jalan Batang Duri, PD2751 Temburong.
No. k/p : 00-278241.
Merapatkan hubungan
kerajaan dan orang ramai
SISTEMe-Kerajaan atau e-Government sebenarnya sudah lama digunakan secara berperingkat-peringkat di Negara Brunei Darussalam. Ini jelas dengan inisiatif pertama iaitu penggunaan sistem kewangan secara berkomputer yang dikenali sebagai sistem TAFIS dalam institusi kerajaan sekitar tahun 2002 - 3003. Sistem ini telah menunjukkan kemajuan dalam pengurusan kewangan kerajaan khususnya dalam hal pembayaran kepada pelanggan. Dengan kejayaan ini kerajaan telah pun bergerak selangkah lagi dengan percubaan e-Kerajaan yang dilaratkan kepada semua kementerian dan jabatan.
Langkah kerajaan menubuhkan Pusat e-Kerajaan Kebangsaan, Jabatan Perdana Menteri adalah salah satu langkah yang disambut baik oleh semua pihak baik jabatan-jabatan kerajaan mahupun orang ramai. Hal ini kerana ianya menunjukkan inisiatif kerajaan dalam memajukan sektor Perkhidmatan Awam khususnya dari segi penyampaian maklumat kepada orang awam. Dengan adanya sistem ini ianya dapat merealisasikan misi kerajaan ke arah institusi Perkhidmatan Awam yang mantap dari semua segi sebelum Wawasan Brunei 2035.
E-Kerajaan dikatakan dapat memudahkan urusan orang ramai. Hal ini direalisasikan dengan beberapa percubaan jabatan-jabatan kerajaan dalam e-Kerajaan. Misalnya Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah berjaya dalam Projek 'Kiosk' KHEU. Melalui projek ini, KHEU telah meletakkan komputer khas yang dikenali sebagai 'Kiosk' di tempat-tempat strategik seperti pusat membeli-belah, institusi pengajian tinggi dan jabatan-jabatan kerajaan, Dengan adanaya sistem ini orang ramai telah dapat menjawab persoalan mereka tanpa perlu pergi ke pejabat-pejabat kementerian itu di keempat-empat daerah. Hal ini memudahkan orang ramai kerana pihak kementerian berkenaan telah menyimpan segala maklumat mengenai soalan yang lazim ditanya berserta dengan jawapannya. Maklum balas dari orang awam turut mengatakan yang sistem 'kiosk' ini amat berguna dan memudahkan urusan mereka.
Sistem e-Kerajaan turut membantu orang ramai di dalam bencana alam dan segala kesusahan yang dialami. Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) misalnya telah menggunakan sistem yang dikenali sebagai Sistem Pengurusan Bomba dan Penyelamat (Fire Rescue Management System - FRMS) dan sistem C4i yang bakal digunakan PPBK. Melalui sistem ini orang ramai cuma perlu memberitahu sedikit maklumat mengenai kejadian yang berlaku dan pihak jabatan cuma merujuk kepada pangkalan data mengenai lokasi kejadian dan menghantar bantuan secepat yang mungkin. Walaupun sistem FRMS ini masih di tahap permulaan tetapi keberkesanannya telah terbukti.
Penggunaan e-mel adalah salah satu daripada bahagian e-Kerajaan. Kerajaan melalui Pusat e-Kerajaan Kebangsaan telah menggalakkan setiap jabatan kerajaan mempunyai akaun e-mel. Ini bertujuan bagi memudahkan orang awam berurusan dengan jabatan-jabatan kerajaan secara terus (direct). Selain itu dengan penggunaan e-mel juga mengurangkan penggunaan kertas kepada perkara-perkara kecil misalnya menghantar memo, surat-surat permasalahan dan seumpamanya. Secara tidak langsung ini turut merealisasikan misi kerajaan ke arah penjimatan kertas dan konsep pejabat mesra alam.
Laman-laman web turut memudahkan orang awam untuk mengetahui hal ehwal semasa sesebuah jabatan kerajaan. Ini bersesuaian dengan penggunaan internet yang hampir meliputi keseluruhan Negara Brunei Darussalam. Maka dengan adanya laman-laman web jabatan-jabatan kerajaan orang awam khususnya mereka yang mempunyai akses kepada internet dapat mengetahui dengan mudah. Penggunaan laman sosial seperti 'Facebook' yang semakin terkenal di kalangan golongan muda dewasa ini turut menarik perhatian beberapa jabatan dan kementerian untuk menjadikan laman sosial tersebut untuk merapatkan hubungan dengan masyarakat khususnaya golongan muda. Langkah ini terbukti berkesan untuk menyampaikan maklumat terkini kementerian atau jabatan dan ia jelas dengan adanya sambutan yang baik dari pengguna laman sosial khususnya golongan muda mengenai langkah jabatan menggunakan laman sosial sebagai wadah penyampai maklumat.
Kesimpulannya, jelas dilihat yang e-Kerajaan adalah satu kemudahan yang sangat berguna untuk merapatkan hubungan kerajaan dengan orang awam. Oleh itu marilah kita sama-sama memberi sokongan yang padu kepada setiap inisiatif kerajaan di dalam memajukan dan memantapkan e-Kerajaan. Ini bertepatan dengan misi e-Kerajaan iaitu untuk memudahkan orang awam berkomunikasi dengan kerajaan di alam siber.
Awang Haji Afiq bin Haji Julah
Peti Surat 702, Seria KB1190.
No. k/p : 01-033690
TAJUK-TAJUK MINDA PEMBACA AKAN DATANG
1. 'Hari Keputeraan Lambang Perpaduan dan Kerjasama'. Tarikh tutup : 14 Ogos 2009.
2. 'Bersama Rakyat Manifestasi Yang Meneguhkan Institusi Beraja'. Tarikh tutup : 21 Ogos 2009.
Pendapat awda hendaklah ditaip jarak langkau dua baris dan panjang pendapat awda mestilah antara 200 hingga 300 patah perkataan. Nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat lengkap dan nombor telefon jika ada hendaklah disertakan dan hendaklah dihantar kepada :
Sidang Penyunting Minda Pembaca,
Unit Pelita Brunei,
Lapangan Terbang Lama, Berakas,
Bandar Seri Begawan, BB 3510,
Negara Brunei Darussalam,
jaafar.ibrahim @ information.gov.bn.
e-mel : pelita@ brunet.bn
Kembali ke muka utama
|