|

Rukun perjalanan menuju
Allah melalui ilmu dan zikir
ILMU adalah yang menerangi jalan dan zikir adalah bekalan perjalanan dan keperluan pendakian. Kita berhajat kepada ilmu untuk mengenali segala perintah, petunjuk, bimbingan dan peringatan Allah Subhanahu Wata'ala dan mengenali hikmahnya agar kita dapat melaksanakan segala perintah tersebut serta mencapai hikmahnya, manakala kita berhajat kepada zikir agar Allah bersama kita dalam perjalanan kita menuju kepada-Nya.
Apa yang dimaksudkan dengan ilmu ialah ilmu tentang Al-Qur'an dan As-Sunnah serta ilmu tentang segala yang diperlukan oleh umat Islam dalam perjalanannya menuju Allah Subhanahu Wata'ala. Sekurang-kurangnya setiap umat mestilah melengkapkan dirinya dengan kesemua ilmu fardu ain, iaitu ilmu yang setiap Muslim dituntut mempelajarinya.
Setiap Muslim wajib mengetahui segala perbuatan yang wajib dilakukannya agar ia tidak meninggalkannya dan juga perbuatan yang haram dilakukannya agar ia terhindar daripada melakukannya. Setiap perbuatan yang wajib dilakukan wajib mempelajari ilmunya juga kerana tanpa ilmunya, maka seseorang tidak mungkin dapat melakukan sesuatu itu dengan betul, sesuai dengan kehendak syariat.
Imam Ghazali mengingatkan kita di dalam kitabnya Ihya Ulum Al-Din, bahawa di antara ilmu yang wajib dipelajari ialah ilmu mengenai jalan menuju ke akhirat. Apa yang dimaksud ilmu menuju jalan ke akhirat ialah ilmu cara membersihkan hati atau jiwa daripada sifat-sifat yang keji, yang tercela, yang dianggap sebagai kotoran yang menjadi penghalang daripada mengenali Allah Subhanahu Wata'ala dan daripada mengenali sifat-sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya. Tidak ada jalan untuk ke sana melainkan dengan amalan, ilmu dan pengajaran.
Sifat-sifat yang terpuji di dalam hati adalah seperti sabar, syukur, takut, harap, reda, zuhud, takwa, qana'ah (menerima dan berpuas hati dengan yang ada atau dengan apa yang Allah berikan), murah hati, ihsan, baik sangka, baik budi, baik pergaulan, jujur, ikhlas dan sebagainya, yang merupakan sumber atau punca daripada segala perbuatan taat dan ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Adapun yang tercela daripadanya adalah seperti; dengki, dendam, busuk hati, penipu, gila harta, gila kuasa, gila pengaruh, sombong, riyak, keras kepala, pemarah, benci, tamak kedekut, kufur nikmat, mengagungkan orang kaya, ujub, nifaq (hipokrasi), cintakan dunia, cinta harta, gopoh, lalai dan sebagainya yang merupakan sumber atau punca daripada segala perbuatan maksiat dan lain-lain perbuatan buruk atau keji, yang dilarang.
Ilmu tentang batasan segala sifat-sifat ini, sama ada yang terpuji ataupun yang tercela, hakikat, sebab-sebab, hasil atau natijahnya, cara memupuk, menanam atau cara mengubati, membuang atau mengikis daripada sifat-sifat tercela, kesemuanya itu merupakan ilmu jalan akhirat dan Imam Ghazali mengatakan bahawa ia merupakan ilmu fardu ain, mengikut fatwa ulama akhirat.
Adapun yang dimaksudkan dengan zikir ialah zikir yang diwariskan atau dianjurkan termasuk di dalam perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan Rasul-Nya.
Imam Nawawi di dalam kitabnya, Al-Adzkaar, telah menjelaskan pengertian zikir sebagai berikut:
"Ketahuilah bahawa fadilat zikir tidak terhad pada tasbih, tahlil, tahmid, takbir dan yang seumpamanya, tetapi setiap orang yang beramal kerana Allah Ta'ala dengan ketaatan, maka ia termasuk orang yang berzikir kerana Allah Ta'ala. Begitulah yang dikatakan oleh Sa'id bin Jubair Radiallahuanhu dan lain-lain ulama."
Beliau juga telah membawakan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al-Khudri Radhiallahuanhu bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
"Apabila seorang lelaki membangunkan isterinya pada waktu malam, kemudian keduanya solat dua rakaat, maka keduanya ditulis dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah."
Maka kedua-dua rukun berjalan menuju Allah menurut Sa'id Hawa adalah ilmu dan zikir dan tidak akan ada perjalanan melainkan dengan keduanya.
Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa golongan yang menempuh jalan menuju Allah itu terbahagi kepada dua golongan. Golongan yang pertama lebih banyak melibatkan diri mereka kepada Allah Subhanahu Wata'ala, di samping tidak melalaikan tanggungjawab mereka dalam menuntut ilmu agama sebagaimana yang dituntut oleh syarak.
Manakala golongan yang kedua pula mendekatkan diri mereka kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan bertungkus lumus mendalami ilmu agama, di samping tidak mengabaikan keperluan untuk berzikir. Akhirnya, mereka semua (insya-Allah) akan sampai ke satu arah tuju yang sama iaitu menuju keredaan Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Pembahagian tersebut adalah disebabkan kerana adanya perbezaan pada kecenderungan atau minat dan kemampuan atau kesanggupan manusia itu sendiri. Segolongan manusia, kecenderungan atau minatnya kepada ilmu lebih besar dan juga kemampuannya untuk mencapai ilmu tersebut ada dan segolongan lainnya kemampuannya untuk mencapai ilmu terhad dan kesanggupannya untuk beribadat, beramal dan berzikir adalah besar.
Jalan yang sesuai bagi golongan yang pertama adalah ilmu, tetapi mesti juga disertai dengan zikir dan jalan yang sesuai bagi golongan yang kedua adalah memperbanyakkan zikir, tetapi mesti juga disertai dengan ilmu.
Oleh yang demikian itu, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa setiap manusia yang berjalan menuju Allah atau mencari keredaan dan keampunan Allah, yang dengannya dicapai kebahagiaan akhirat dan terhindar daripada seksaan neraka, mestilah berusaha selain mengisi masanya dengan melaksanakan tugas peribadatan yang telah ditetapkan, seperti sembahyang lima waktu, puasa Ramadan dan lain-lainnya, juga dengan kegiatan menuntut ilmu dan berzikir.
Ia mesti menjadikan kegiatan menuntut ilmu dan berzikir ini sebagai agenda hariannya yang berterusan sepanjang hayat, kerana kedua-duanya merupakan ibadat yang sangat tinggi nilainya. Setiap umat mestilah berusaha menghindarkan diri daripada membazirkan masanya dengan sebarang perbuatan yang tidak ada manfaatnya. Membaca Al-Qur'an adalah ibadat dan zikir dan memahami kandungannya adalah ilmu yang paling tinggi nilainya. Setiap umat mesti menentukan masa yang tetap setiap hari untuk menuntut ilmu dan berzikir. Menetapkan masa tertentu untuk membaca Al-Qur'an dan memahami maknanya. Mereka boleh merancang untuk mengkhatamkan Al-Qur'an setiap seminggu sekali, dua minggu sekali, sebulan sekali atau lain-lainnya, mengikut kemampuan dan kesanggupan masing-masing. Perkara yang penting di sini ialah mereka menetapkan agenda yang tetap dan berterusan sepanjang hayat. Menuntut ilmu dalam Islam merupakan ibadat yang dituntut dan tinggi nilainya.
Kembali ke muka utama
|