Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Pelita Brunei - Hasrat Negara

HASRAT NEGARA



KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika bertitah Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-63 Tahun yang disiarkan melalui Radio dan Televisyen Brunei.

BERILITIZAM MENINGKATKAN USAHA MEMELIHARA
KESEJAHTERAAN DAN KESELAMATAN BERTERUSAN


Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Pagi

ALHAMDULILLAHIRabbil- ‘alameen Wabihee Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunyaa Waddeen, Wassalaatu Wassalaamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa’alaa Aalihiee Wasahbihee Ajma’een, Waba’du.

Alhamdulillah, syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata’ala, di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita sama-sama menyambut Hari Keputeraan beta yang ke-63 tahun.

Walaupun semua majlis, kecuali Majlis Membaca Do’a Kesyukuran di Masjid-masjid, telah ditangguhkan, namun beta dapat merasakan, semangat 15 Julai adalah tetap hangat dan segar, sebagaimana juga biasanya pada setiap tahun.

Beta tidaklah lupa menghargai semangat ini dan mengucapkan rasa penghargaan yang amat tinggi kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di atas dukungan mereka itu.

Beta juga dengan sukacita merakamkan penghargaan yang sama kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat mereka kepada beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.

Kita di Brunei, sayugia bersyukur, kerana negara terus menikmati suasana aman dan tenteram.

Ini hendaknya menjadikan kita lebih beriltizam lagi untuk meningkatkan usaha memelihara kesejahteraan dan keselamatan yang berterusan dengan izin Allah.

Walaupun kesan dari krisis kewangan global masih dirasakan oleh kebanyakan negara, tidak terkecuali juga negara kita sendiri, namun alhamdulillah, dalam keadaan yang demikian itu, ekonomi negara masih sahaja mampu bertahan, kerana adanya usaha-usaha kita yang konsisten dalam mengukuh dan mengembangkan asas ekonomi yang dilakukan dari sejak krisis kewangan pada tahun 1997 lagi.

Ini disokong oleh laporan positif IMF baru-baru ini yang menyatakan negara telah mengamalkan dasar makroekonomi yang mantap, serta pengurusan sumber-sumber minyak dan gas yang berkesan dan bijak.

Beta amatlah menghargai penglibatan semua pihak, khasnya mereka yang sama-sama menghulurkan bantuan, termasuk sumbangan tenaga dalam menangani pemulihan.

Dengan semangat ini, beta yakin, akan menambah lagi kebajikan dan keutuhan negara.

Selain kita telah mengalami ujian bencana alam, banjir dan tanah susur, negara juga sekarang turut dilanda pandemik Influenza A H1N1.

Sebagai bangsa yang bertauhid, kita tidak hanya menanganinya dengan cara biasa sahaja, malahan juga menambah dengan membaca do’a, qunut nazilah dan sembahyang hajat.

Apapun yang berlaku, negara insya-Allah, akan terus bergerak kepada pembangunan. Rancangan Kemajuan Negara, RKN 2007 - 2012 adalah merupakan satu pakej yang membolehkan ekonomi negara berkembang, infrastruktur dibina dan pembangunan sosial ditingkatkan.

Maka berbangkit dari itu, RKN 2007 - 2012 telah menyediakan 9.5 bilion ringgit Brunei untuk melaksanakan projek-projek pembangunan.

Melalui RKN, kerajaan mengambil langkah untuk mempelbagaikan lagi ekonomi negara.

Sebanyak 1.1 bilion ringgit Brunei disediakan untuk kemajuan perindustrian dan perdagangan. Tumpuan juga diberikan untuk memudahkan lagi kegiatan-kegiatan perindustrian serta untuk melahirkan pengusaha-pengusaha tempatan yang dinamik lagi progresif.

Manakala dalam sektor perniagaan, beta mengambil maklum bahawa usaha- usaha sedang dibuat oleh pihak-pihak tertentu kerajaan bagi memudah cara proses memulakan perniagaan yang lebih efisien serta setanding dengan standard di negara-negara lain.

Baru-baru ini kerajaan beta telah meluluskan beberapa inisiatif, seperti ‘land strata title’, penurunan kadar yuran tawaran negara dan terus meneroka kemampuan teknologi infokomunikasi (ICT), bagi memudah dan memajukan lagi perindustrian dan perniagaan.

Sejak beberapa tahun lalu, beta telah menekankan betapa pentingnya meningkatkan tahap jaminan sekuriti makanan.

Maka sehubungan itu, baru-baru ini, telah pun dilancarkan satu inisiatif bagi mencapai tahap sara diri dalam pengeluaran beras kepada 20 peratus pada tahun 2010, dan 60 peratus menjelang tahun 2015.

Alhamdulillah, pada bulan April yang lalu, penanaman padi yang boleh dilakukan sekurang-kurangnya dua kali setahun dengan menggunakan padi berhasil tinggi, telah pun dimulakan.

Insya-Allah, rakyat akan mula berpeluang untuk menikmati hasilnya di musim menuai pada bulan depan nanti.

Seiring itu, lebih banyak kawasan baru akan ditawarkan kepada sektor swasta, dari dalam dan luar negara, bagi penanaman padi secara komersial, dan menjadikannya sebagai satu perusahaan yang ‘viable’.

Berhubungan isu kemiskinan pula, kerajaan beta akan terus meningkatkan usaha sejajar dengan masa dan keadaan.

Sebagai contoh ialah pelaksanaan projek bantuan perumahan bagi golongan daif, fakir dan miskin.

Projek ini melibatkan usaha sama dan kerjasama beberapa agensi kerajaan, badan korporat dan orang ramai iaitu selaku penyumbang dana melalui penunaian kewajipan zakat.

Menyebut tentang zakat, beta masih menunggu apa yang dibuat oleh pihak berkenaan mengenai beberapa perkara yang telah beta timbulkan di dalam Persidangan Majlis Ugama Islam enam bulan yang lalu.

Salah satu dasar pengukuhan ekonomi ialah amalan jimat cermat dan budaya suka menabung. Kerajaan amatlah menggalakkan perkara ini. Kerana itu, beta berharap supaya institusi-institusi kewangan akan dapat menyediakan banyak lagi peluang dan cara, untuk orang ramai boleh menabung dengan pulangan yang baik.

Selain itu, undang-undang atau peraturan juga perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan rakyat dari diperdayakan oleh kegiatan-kegiatan yang salah, seperti skim cepat kaya.

Di antara komitmen penting kerajaan beta untuk menjamin kemakmuran dan keselamatan rakyat, beta bersama dengan bekas Perdana Menteri Malaysia pada awal tahun ini, telah menandatangani ‘Ex- change of Letters’ mengenai dengan pengehadan sempadan laut negara ini dengan Malaysia.


Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.-