Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Pelita Brunei - Hasrat Negara

HALUAN

UCAPAN Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar di Majlis Perasmian Hari Alam Sekitar Sedunia 2009, pada 15 Jamadilakhir 1430 / 7 Jun 2009, bertempat di Dewan Bertabur, Kementerian Pembangunan.

PENGLIBATAN BELIA PERLU BAGI PEMBANGUNAN MAPAN NEGARA

Bismillah Hirrahmanir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

SEGALA puji-pujian hanya bagi Allah, selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kaum kerabat, para sahabat dan pengikut-pengikut Baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir zaman.

Pertama, saya ingin mengajak awda untuk meluangkan sedikit masa untuk melihat sekeliling para hadirin yang hadir pada acara pagi ini. Awda akan mendapati bahawa hampir separuh yang hadir dalam dewan ini adalah para belia. Dan situasi ini juga berkaitan dengan struktur demografi penduduk Negara Brunei Darussalam. Tidak kira sama ada belia didefinisikan sebagai mereka yang dalam lingkungan umur antara 15 hingga 25 tahun atau dalam lingkungan 15 hingga 30 tahun atau dalam lingkungan 15 hingga 40 tahun, belia terdiri daripada satu kumpulan yang besar, kira-kira 50 peratus dari jumlah penduduk kita. Disebabkan ini, adalah penting untuk kita berkhidmat dan menangani keperluan pembangunan mereka.

Sebagaimana visi Kementerian Pembangunan, ‘Pembangunan Mapan, Kehidupan Berkualiti dan Negara Berdaulat’, kita perlu melibatkan dan memperkasakan belia dalam matlamat kita dalam membangun negara. Asas terhadap perkara ini akan terwujud sebagai mana kita berusaha untuk mewujudkan ‘Pembangunan Mapan’. Suruhanjaya Pembangunan Mapan dunia mendefinisikan pembangunan mapan sebagai ‘Pembangunan yang memenuhi keperluan generasi kini tanpa mempertikaikan keupayaan generasi masa depan memenuhi keperluan mereka sendiri’. Sebagai sebahagian daripada kedua-dua generasi kini dan masa depan, kita hendaklah memberikan para belia peluang melibatkan diri serta mengambil peranan memimpin dan membimbing bagi merealisasikan matlamat pembangunan mapan.

Atas sebab ini Kementerian Pembangunan melalui jabatan yang berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan Jabatan Perkhidmatan Air dengan kerjasama Pusat Rakan Kongsi Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) telah melakukan berbagai program dan aktiviti kebangsaan dua hala dan serantau bagi mendidik dan mempromosikan kesedaran alam sekitar di kalangan belia. Sukacita saya memaklumkan bahawa kita hari ini akan menyaksikan satu lagi pelancaran inisiatif kebangsaan yang diberi nama ‘Program Wakil Belia Alam Sekitar Brunei’ (Brunei Environmental Youth Envoy, EYE Program). Saya difahamkan bahawa program ini merupakan program pembangunan kepimpinan belia. Di samping usaha-usaha terdahulu yang ditumpukan bagi memperluaskan pengetahuan dan kesedaran para belia mengenai pemeliharaan dan mengekalkan alam sekitar, Brunei EYE membawa para belia mengorak langkah ke hadapan yang akan membolehkan mereka mengambil peranan pengawasan ataupun kepimpinan dalam mengekalkan dan mengu- rus alam sekitar.

Pada acara ini, saya ingin berkongsi pendapat saya dengan para peserta Program Brunei EYE tentang dua nilai yang menyumbang kepada kejayaan kepimpinan. Pada nilai yang pertama, saya tidak mengelak menyentuh mengenai pengertian ‘berkorban’. Apabila seorang pemimpin berkehendakkan sesuatu, ia bukanlah semata-mata untuk kejayaan diri sendiri. Tetapi sebab yang lebih kukuh adalah sebagai seorang pemimpin dengan sifat tanggungjawabnya untuk membuat sesuatu yang signifikan terhadap manusia yang mana akan membuatkan rakan, keluarga, masyarakat, negara, alam sekitar dan dunia menjadi satu tempat yang lebih baik daripada yang ada sekarang.

Nilai kedua adalah kepimpinan merupakan satu hubungan. Ia merupakan satu hubungan di antara yang berhasrat untuk memimpin dan yang memilih untuk mengikuti. Kepimpinan memerlukan hubungan yang baik (resonant), melibatkan dan memenangi hati dan fikiran orang lain di atas perkara-perkara yang berkaitan dengan perasaan. Ada beberapa perkara dalam hidup ini kita boleh nyatakan ia terlaksana tanpa bantuan pihak lain. Dalam kepimpinan, tidak ada yang kita capai hanya satu perkara sahaja. Ia adalah kualiti hubungan seseorang pemimpin dan para pengikut yang menentukan sama ada satu tempoh kepimpinan itu hanya sementara atau berpanjangan.

Mengakui kepentingan peranan belia dalam pembangunan negara, Kementerian Pembangunan akan terus menarik dan melibatkan para belia dalam melindungi dan mengekalkan alam sekitar. Sebagai tambahan kepada penyertaan di peringkat kebangsaan, Kementerian Pembangunan telah memudahkan penyertaan para belia dalam aktiviti-aktiviti alam sekitar di peringkat dua hala, serantau dan antarabangsa. Pada peringkat dua hala, Program Pertukaran Negara Brunei Darussalam- Singapura telah ditubuhkan yang hasil dari kerjasama program belia tersebut, belia dari Negara Brunei Darussalam telah menyertai Bengkel Wakil Belia Alam Sekitar di Singapura pada bulan Mac yang lalu. Negara Brunei Darussalam telah mengungkayahkan dan menjadi tuan rumah kepada Forum Belia ASEAN+3 Mengenai Alam Sekitar pada 2007 yang melibatkan lebih dari 50 orang belia dari Negara Brunei Darussalam dan 39 orang belia dari ASEAN, China, Korea dan Jepun.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan kepada para belia di Negara Brunei Darussalam bahawa pada awal bulan Disember tahun ini, Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi sekali lagi akan mengungkayahkan Forum Belia ASEAN+3 Mengenai Alam Sekitar Kali Ke-2. Sehubungan dengan ini, saya ingin menyeru kepada para belia kita merebut peluang ini untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan rakan-rakan mereka sama ada dari dalam mahupun luar negara pada bengkel yang akan datang itu.

Kepada para peserta Bengkel Program Brunei EYE yang pertama, semoga berjaya dalam apa jua yang awda laksanakan. Kejayaan Brunei EYE terletak di tangan awda.

Untuk mengakhiri, saya ingin mengucapkan syabas kepada Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan STEP, Kementerian Pendidikan di atas inisiatif bersama yang tidak ternilai dalam menjayakan Program Brunei EYE.

Wabillahit Taufeq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.-