|
Pelita Brunei - Cetusan Minda
CETUSAN MINDA 41
KRITIK DIRI SENDIRI
SEBELUM MENUNDING JARI
KEPADA ORANG LAIN!
Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara
1990 (The S.E.A Write Award 1990)
TUJUAN adalah sasaran, cita-cita. Tujuan bukan sekadar mimpi siang. Pun tujuan bukan sekadar igauan. Tujuan yang murni lagi berkebajikan adalah suatu cita-cita yang mahu diwujudkan. Tujuan bukan setakat suatu pernyataan yang kabur. Bukan!
Tidak ada yang terjadi, tidak ada langkah ke depan diambil hingga suatu tujuan ditetapkan. Tanpa tujuan, orang hanya berkeliaran dalam kehidupan ini. Maka nampaklah orang yang berjalan terhuyung-hayang. Ke kanan tidak jadi, ke kiri resah gelisah, lalu lompat ke atas, jatuh kembali ke bumi. Kenapa? Kerana tidak tahu hendak ke mana pergi. Lalu, tidak pernah sampai ke mana.
Nah, tujuan perlu bagi mencapai kejayaan sebagaimana perlunya udara bagi kehidupan ini. Dan sesungguhnya tanpa tujuan, tidak pernah seseorang itu berjaya hanya secara kebetulan. Bukan secara kebetulan. Bukan! Misalnya satelit melingkari bumi bukan kerana penemuan secara kebetulan tetapi kerana para ilmuwan sains menetapkan tujuan penerokaan ruangan angkasa lepas terlebih dahulu.
Kerana manusia itu sendiri tidak dapat hidup tanpa udara. Jadi, dapatkan dengan jelas apa yang hendak dicapai, apa tujuan anda. Apakah di atas sana, udara yang kita nafasi di bumi sama dengan udara di galaksi lain. Yang penting bukanlah di mana anda berada dahulu. Dan di mana anda berada sekarang, melainkan ke mana anda akan tiba! Apa dan ke mana tujuan anda.
Setiap tahap dari perkembangan manusia, dalam apa bidang sekalipun, semua lebih dahulu di damba gambar lakarkan tujuan murni dan berkebajikan dalam kepala sebelum menjadi kenyataan. Semua orang mahu berjaya di dunia ini! Benar, kita semua memiliki keinginan. Cuma hanya sedikit sahaja dari kita yang benar-benar menuruti keinginan murni dan cita-cita yang berkebajikan.
Ingat, satu-satu cara untuk mempertahankan kekuatan penuh, untuk mengembangkan minda dan energi untuk maju sepenuhnya adalah dengan mengerjakan apa yang anda ingin kerjakan. Turuti keinginan yang berkebajikan itu dan dapatkan energi antusiasme, semangat mental malah kesihatan yang tambah baik. Pertengahan bulan Mei lalu, saya berjumpa dengan seorang kenalan di sebuah pasar raya. Dia mengajak saya untuk berbual sambil menikmati minuman petang.
Saya penuhi undangan itu meski ketika itu saya ada urusan yang belum selesai. Lagipun sudah lama tidak berjumpa dengannya. Maka berceritalah dia tentang ketidaklurusan atau 'ketidakbijaksanaan' pentadbiran institusi sekian dan sekian. Banyak keburukan-keburukan orang lain yang diceritakan tapi tidak memberi sebarang cadangan. Semua yang dilakukan terutama pihak atasannya tidak betul. Yang betul dan amat dihargainya hanya ketika dia dinaikkan pangkat.
Memandangkan saya begitu dingin terhadap perbualan itu, dia agak maklum lalu membayar minuman. Tidak lupa saya ucap terima kasih atas rezeki petang itu. Saya pun beredar setelah bersalaman malah sempat berpelukan dan sempat saya membisik ke telinganya, “Banyak-banyak beristighfar. Masih banyak orang yang lebih malang di dunia ini!”
Manusia ini, sahabat, adalah makhluk yang agak aneh. Kita cepat menerima penghargaan untuk sebarang kejayaan dan kemenangan kita. Ketika kita berjaya, kita ingin orang lain mengetahui tentang kemenangan itu. Apabila kita dinaikkan pangkat misalnya, kita ingin orang memandang kita dan seboleh-bolehnya berkata, “Nah, itulah dia orangnya yang telah berhasil mengerjakan itu dan ini.”
Akan tetapi, maaf cakap, manusia sama cepatnya menyalahkan orang lain untuk tiap kemunduran dan kegagalan yang terjadi. Adakah wajar jika penjual menyalahkan pelanggan ketika penjualan tidak laku? Adakah wajar jika seorang ketua menyalahkan seorang pekerja bawahan ketika segalanya bercelaru? Atau adakah wajar bapa menyalahkan ibu, ibu menyalahkan bapa, jika anak tidak lulus periksa?
Saya faham, ada ketikanya orang lain mungkin merugikan kita. Tetapi adalah benar dan kenyataannya juga bahawa lebih sering lagi kita merugikan diri kita sendiri. Kita rugi kerana kekurangan peribadi termasuklah kesalahan peribadi yang langsung tidak kita sedari.
Maka, berdirilah di depan muka cermin. Lihat diri kita sebagaimana pihak ketiga yang tidak memihak akan memandang keadaannya. Biasalah sahabat, ya biasalah, seseorang akan menjadi begitu terbiasa dengan dirinya sendiri sehingga mereka lalai untuk melihat cara-cara untuk memperbaiki diri.
Mengkritik diri adalah konstruktif. Tindakan ini menolong anda untuk berjaya. Menyalahkan orang lain sesungguhnya bersifat merosak. Kritiklah diri sendiri secara sihat dan matang. Jangan melarikan diri dari kekurangan dan kelemahan. Selidik kelemahan dan kekurangan anda, kemudian perbaiki. Jangan pandai-pandai mencari kesalahan orang lain, sebaliknya lihatlah kesalahan anda sebagai, “Orang yang gagal adalah orang yang berbuat kesalahan, tetapi tidak dapat memanfaatkan pengalaman tersebut.”
Kekadang juga orang menyalahkan nasib. Akan tetapi berhentilah berfikir begitu. Jangan salahkan takdir. Kenapa? Segala sesuatu tidak bergerak ke arah tertentu tanpa sebab. Tiada sesuatu yang dilaksanakan secara kebetulan. Ikan boleh hidup di air bukan secara kebetulan. Burung boleh terbang di angkasa raya bukan juga kerana kebetulan.
Pantulan bola ditentukan oleh tiga perkara; bolanya, cara boleh ditendang atau dilemparkan dan permukaan yang terkena bola. Hukum fizikal yang pasti menjelaskan pantulan bola, bukan nasib. Nah, begitu juga besi boleh terbang, bukan kerana kebetulan ia dibuat menjadi kapal terbang. Bukan!
Sudahlah menyalahkan nasib. Menyalahkan nasib tidak akan membawa anda ke mana-mana. Daripada menyalahkan nasib, selidiki sebab-sebab anda tidak berjaya. Perbaiki diri sendiri. Sudahlah salahkan orang dengan berkata, “Kebetulan dia berada di situ, maka ia boleh buat apa dia suka. Sokong atau tidak!”
Walaupun dunia tidak mencatat perbuatan muhasabah diri anda dengan tinta emas, tapi tetap Tuhan dan para malaikat mencatat perbuatan anda. Jangan risau, Tuhan dan malaikat tidak akan pernah lupa untuk menuliskan perbuatan baik anda. Nah, berlumba-lumbalah kita dalam membuat kebaikan. Bukan terus-terusan menyalahkan orang lain. Dan terus-terusan menyalahkan takdir.
Benar, dalam kehidupan selalu berpasang-pasangan. Ada positif, ada negatif. Ada lelaki, ada wanita. Ada kalah, ada menang. Ada ketua dan ada pengikut. Kalanya berada di atas, sering juga berada di bawah. Kekadang marah, tapi ada juga senyum.
Kehidupan ini memang banyak hambatan-hambatan. Manusia tidak dapat lari dari pelbagai masalah. Lihatlah keliling kita. Lihatlah ke atas. Lihat dan perhatikan sungguh-sungguh.
Selidiki apa itu malam, apa itu siang. Sedutlah udara ciptaan Allah. Lihatlah bumi yang menumbuhkan pelbagai tanaman dan pelbagai pepohonan hijau. Lihat dedaunan yang tumbuh di pokok-pokok. Tidak sehelai pun daun itu gugur terlepas dari pengetahuan Allah. Lihatlah ombak. Lihatlah pantai. Lihatlah dan lihatlah panorama alam semesta. Bukankah anda orang yang berilmu!
Lalu lihatlah diri kita sendiri. Selidik diri sendiri. Dari anak damit menjadi remaja. Dari belia remaja menjadi dewasa lalu beingsut tua. Kemudian hayati firman Allah dalam Surah Ali 'Imran ayat 190 dan 191 yang kira-kira bermaksud :
“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata) : Wahai Tuhan kami! Tidakkah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakan kami dari azab neraka.”
Sesungguhnya sahabat, dalam kehidupan ini, setiap diri kita dari mana pun kita berasal harus memahami peranan masing-masing. Setiap diri kita mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing. Lalu kita perlu tahu dan memahami peranan apa yang kita mainkan dalam mengisi tanggungjawab yang diamanahkan itu.
Kita perlu merumuskan peranan yang harus dimainkan. Tahu peranan yang wajar dilakukan dalam sesebuah institusi di mana kita berkhidmat untuk menyarai keluarga. Faham mengenai peranan yang dimainkan oleh kelompok masing-masing yang ada dalam lingkungan tersebut. Baik ianya lingkungan keluarga, lingkungan masyarakat ataupun lingkungan perusahaan. Masing-masing harus mengerti malah sama-sama memainkan peranan.
Kerana itu, antara satu kelompok dengan kelompok yang lain perlu bekerjasama. Perlu bermuafakat. Saling berhubungan agar pergerakan setiap perkara itu berjalan dengan lancar dan terkawal.
Dalam pengurusan, seseorang pemimpin hendaklah membuat kerja setakat yang terdaya sahaja. Secara analogi, boleh dikatakan bahawa, “Pikullah balak yang hanya terdaya kita pikul, jika memikul balak yang tak terdaya kita pikul, maka kita akan dihempap olehnya dan mungkin kita mendapat bencana.”
Nah sahabat, hendaklah kita melakukan sesuatu setakat yang terdaya. Janganlah sampai membahaya dan membinasakan diri sendiri atau menyalahkan orang lain, dan menjahanamkan orang lain. Tiada berguna langsung, sahabat, jika sentiasa mendabik dada dan mengimbau-imbau kemenangan masa lalu. Kemudian menguar-uarkan kepada orang lain bahawa dia mempunyai pelbagai kelulusan, sijil yang berjela-jela, tak putus-putus menghadiri ceramah dan seminar tetapi sayang kecundang menjadi seorang pengurus yang baik. Kecundang menjadi pengurus yang dihormati dan dikasihi.
Pengucapan yang tidak dapat dibuktikan, tidak akan berguna. Benar, ramai orang yang suka mendabik dada. Konon semua perkara dia boleh buat tetapi selalunya orang sebegini satu pun tidak nampak hasilnya.
Saya pernah mendengar cerita bahawa terdapat orang yang begitu pandai berfalsafah. Pendapatnya bukan main. Begitu pandai berteori tetapi ternyata hingga ke umur tua dan bersara, dia tidak dapat membanggakan apa-apa. Dalam kehidupan keluarga pun, dia gagal. Dalam erti kata, dia tidak dapat menyediakan sebuah kediaman untuk isteri dan anak-anaknya meskipun peluang untuk itu ampai-ampai di depan mata.
Ya, ampai-ampai. Kerana dia memiliki tanah. Sebagai penjawat awam dia dapat merebut kemudahan-kemudahan pinjaman untuk membina sebuah rumah. Demi prinsip, konon-kononnya, dia tidak mahu menyusahkan pihak tertentu!
Berpada-padalah dalam mendukung prinsip. Berpada-padalah dalam berfalsafah. Benar, memang benar, kita harus melihat setiap orang itu dengan keunikan masing-masing. Bukan maksud kita, untuk menyamaratakan setiap orang. Yang dimaksudkan di sini ialah tahap keberhasilan, maka kita lihat berbeza-beza setiap orang.
Nah, mari kita lihat seseorang itu dengan keunikannya. Seorang ibu akan berjaya mendidik anakanaknya ketika dia melihat semua anaknya dengan keunikan masing-masing dan menghargai keunikan itu. Ketika anda menjadi ketua, misalnya, anda berhasil menjadi pemimpin yang baik ketika anda melihat orang-orang bawahan anda dengan keunikan masingmasing kemudian menghargai pendapat orang itu. Bukan menyalahkannya kono itu bertentangan dengan prinsipnya.
Sesungguhnya, sesuatu aktiviti yang sempurna adalah aktiviti yang dilakukan dalam jangka panjang. Dan untuk jangka panjang ini, diperlukan daya tahan dan motivasi diri. Dengan meningkatnya motivasi ini, maka akan tambah bersemangat kita untuk bekerja dan mencapai tujuan yang dihasratkan.
Para ilmuan Islam pernah berkata bahawa kalau anda sudah jadi bahagian dari pemecahan masalah, maka anda akan hilang dari bahagian masalah itu sendiri. Tetapi sebaliknya, kalau anda tidak menjadi bahagian dari pemecahan masalah, maka anda sebenarnya menjadi bahagian dari masalah itu sendiri.
Negeri kecil orangnya banyak
Empat perkara rundingan bijak
Empat perkara lawan bertolak
Memeliharakan orang yang banyak.
Pertama jangan memakai
tegahan
Kedua jangan bersalah-
salahan
Ketiga muafakat serta
sekalian
Keempat mesyuarat membicarakan.
Demikan cetusan minda saya kali ini dengan diakhiri dua rangkap syair dari Syair Rakis Dua Belas karangan, Pengiran Shahbandar Mohammad Salleh yang digubahnya kira-kira pada tahun 1847 / 1848 dahulu.
Kembali ke muka utama
|