Perbualan abang dan Pak Cik Kadir begitu rancak. Kadang kala setiap satu perbualan itu diakhiri dengan gelak ketawa. Aku tetap duduk diam sambil memegang sebiji cawan
berisi air kopi. Yang unik tentang Pak Cik Kadir di bulan Syawal ini, dia hidang kami dengan air kopi. Tidak seperti rumah-rumah lain yang menghidangkan bermacam-macam jenis minuman bergas. Pak Cik Kadir sudah lama bersara dari tentera.
Aku rasa bukan dia tidak mampu membeli minuman moden, tapi dia sudah terbiasa dengan kehidupan cara klasik. Dan selain itu juga mungkin dia ingin menghidupkan nostalgia lama iaitu sempena sambutan Hari Raya di zaman tahun 50-an dan 60-an.
Tapi ini tidak mencacatkan suasana raya Pak Cik Kadir. Bahkan cara ini mempunyai implikasi yang baik, baik dari segi kawalan ekonomi mahupun dari segi penjagaan kesihatan.
Dalam duduk diam-diam itu, mataku liar melihat perhiasan dinding rumah Pak Cik Kadir. Hampir separuh dinding rumahnya dihiasi dengan gambar-gambar lama berwarna hitam-putih. Di sudut tengah terpampang potret Pak Cik Kadir yang segak dengan pakaian seragamnya. Potret itu cukup besar sehingga nampak jelas tulisan di bahu bajunya bertulis ‘Askar Melayu Brunei’. Agaknya potret itu diambil sekitar awal tahun 60-an. Mengikut pengeta-
huanku, mungkin potret itu diambil ketika Pak Cik Kadir masih menjalani latihan ketenteraan di Tanah Semenanjung.
Aku memang suka melihat gambar-gambar lama seperti ini. Bagiku gambar-gambar sebegini menyuntik semangatku untuk menjadi seorang anak watan pembela tanah air. Memang dalam lubuk hati sudah ada terselit semangat juang yang perlu digilap. Pernah suatu waktu abang terkejut melihat aku meminta hantar ke Perkhemahan Bolkiah untuk mengikuti latihan pemilihan pegawai-pegawai tentera. Cuma sayangnya aku tidak dapat menghabiskan sesi pemilihan itu hingga ke penghujungnya.
“Bah laju tah kitani ke hospital,” isteriku mengajak sebaik saja selesai makan malam. Semua sudah selesai makan. Aku juga dikira selesai walaupun masih ada makanan yang belum habis di dalam piringku.
Sebaik saja selesai berpakaian, aku dan isteriku menuju ke kereta. Jarak jauh hospital dari rumahku kira-kira lapan kilometer saja. Anak-anak tidak ikut kerana keesokan harinya mereka ada ujian pertengahan tahun. Kereta Proton ku pandu keluar perlahan-lahan dari pekarangan rumah menuju ke jalan uta-
ma.
“Kalau kan mengilat kasut baru, sanang saja. Ambil sudu besi, tunu atas api dan kalau cukup panas, gosok arah permukaan kasut atu. Bila malar digosok permukaan kasut atu jadi rata. Kalau sudah rata gosok macam biasa, sama kiwi dan barus kasut.” Kata abang mengajar aku mengilatkan kasut baruku.
Ketika itu aku memasuki skim APO yang diperkenalkan oleh pasukan polis untuk membantu anggota polis menjelang pengisytiharan Hari Kemerdekaan bulan Januari 1984. Abang memang banyak membantu aku, dari perkara kecil seperti mengilat kasut hinggalah kepada pembinaan rumah. Abang menolong mendinding, memasang dek dan atap rumahku di kampung. Rumah itu masih berdiri ke hari ini dan didiami oleh orang tuaku.
“Payah mancari parking masa-masa macam ani. Orang inda keraja. Anitah peluang orang melawat. Lagipun masa melawat lama.” Kata isteriku memecah kesunyian dalam kereta kami. Memang sepanjang perjalanan agak sunyi. Biasanya lagu-lagu berirama dangdut selalu memenuhi suasana dalam kereta. Tapi kali ini radio juga tidak dipasang.
Aku tidak menyampuk kata isteriku itu mengenai dengan masalah letak kereta. Perkara ini sudah lumrah aku dengar. Lagipun ini bukan pertama kali aku ke sini. Sebelum ini sudah banyak kali aku melawat saudara-mara yang bertahan di hospital ini. Kadang-kadang siang dan ada kalanya malam.
Sebaik saja kami terjumpa satu kekosongan letak kereta, aku cepat-cepat memberi lampu isyarat supaya kekosongan itu tidak diisi oleh kenderaan lain. Setelah itu kami terus menuju ke Wad SICU. Dari jauh sudah kelihatan beberapa orang saudara-mara berjalan mundar-mandir di luar wad itu. Kami terus masuk. Di sana kakak sedang duduk di sisi abang. Abang betul-betul tidak sedarkan diri. Matanya pejam, mulutnya disumbat dengan hos yang agak besar. Aku sedih melihatnya. Rasanya hampir tidak percaya yang terbaring di atas katil itu ialah abang.
Air mataku terasa membasahi pipi. Biasanya aku dapat menahan air mata bila menghadapi situasi seperti ini. Tapi kali ini aku tewas. Melihat anak-anaknya berdukacita di sisi katilnya, menambahkan air mataku mengalir dengan banyak.
“Kalaulah abang dapat melihat aku ketika ini, dia pasti gembira. Kitani sudah lama tidak bertemu. Kali terakhir kitani berbual-bual, dua tahun yang lalu. Semasa menghadiri hari perkahwinan anak abang bapa di kampung,” bisik hatiku.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kami jarang berjumpa. Aku sudah tinggal dan berkeluarga di bandar, manakala abang tinggal di kampung sebaik saja ia bersara setelah berkhidmat selama dua puluh lima tahun dengan tentera.
Suasana di wad itu agak suram. Kerisauanku semakin meningkat apabila doktor memberitahu kami supaya tidak meninggalkannya. Doktor tahu dan aku juga tahu bahawa abang mempunyai harapan tipis untuk sembuh. Untuk kepastian, aku cuba bertanya pada doktor itu, yang juga turut duduk di situ memantau skrin monitor. Menurut doktor itu, kandungan oxygen dalam darah abang berkurang. Abang betul-betul dalam keadaan kritikal.
Aku tidak dapat bayangkan, apa akan terjadi seterusnya. Kakak nampak begitu sedih dan sekali sekala mengesatkan air mata dengan lengan baju kurungnya. Kami berdiri di situ dengan rasa penuh cemas.
Jam tanganku menunjukkan pukul satu pagi. Suasana sunyi dan sejuk. Sekali sekala kelihatan ahli keluarga pesakit di katil sebelah datang menjenguknya. Dia juga nampak tenat, cuma mungkin harapannya untuk sembuh masih cerah.
Oleh kerana suasana amat sejuk, aku keluar dari wad. Di luar ada bangku panjang disediakan untuk para pelawat duduk menunggu. Ketika aku hendak melabuhkan punggungku di atas bangku itu, tiba-tiba …...
“Kita ahli keluarga pesakit katil nombor 2?” seorang jururawat muda keluar memanggil ku.
Aku terus masuk mendekati abang. Rupa-rupanya abang sudah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Aku tidak sempat berbuat apa-apa. Kakak yang juga isteri abang, sedang mengesatkan air matanya yang mengalir berterusan.
Air mataku jatuh bercucuran. Aku cuba sedaya upaya menahankan air mataku. Namun ia tetap keluar juga. Kesedihanku tidak dapat aku sembunyikan. Hatiku hancur melihat pemergian abang, tanpa sempat meninggalkan kata-kata walau sepatah pun.
“Okay, kau tarus ke kampung ni? Ambulans hantar malam ani jua. Orang di kampung sudah ku hubungi tadi.” Kata salah seorang abangku yang juga ada bersama ketika itu.
“Aku besok pagi. Ke sekolah dulu, meminta kebenaran keluar,” balasku pendek.
Aku dan isteriku balik ke kereta kami. Sebelum balik aku ikut menyurung jenazah abang bersama-sama dua orang jururawat ke kereta ambulans yang sedia menunggu di luar lobi hospital. Sebenarnya aku tidak pernah mendekati jenazah sebelum ini. Inilah pertama kalinya aku berbuat sedemikian, demi mengenang jasa abang padaku semasa hidupnya.
Sampai ke rumah kami pun tidur menunggu hari siang.
Kembali ke muka utama