|
Persaraan mandatori genap 60 tahun dialu-alukan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 15 Julai. - Meskipun ramai yang menyahut baik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-63, berhubung umur persaraan mandatori bagi rakyat dan penduduk tetap negara ini yang menyertai skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Skim Persaraan Caruman Tambahan atau ‘Supplemental Contributory Pension’ (SCP), namun ada segelintir golongan yang bimbang akan meningkatnya jumlah pengangguran di negara ini sekiranya umur persaraan mandatori genap 60 tahun.
Dayang Noorikmal binti Awang Sidik berusia 20 tahun menyuarakan kebimbingan sedemikian kerana baginya semakin dilanjutkan tempoh perkhidmatan seseorang, maka semakin sukarlah bagi golongan muda sepertinya untuk mendapatkan peluang pekerjaan.
"Semakin dilanjutkan tempoh perkhidmatan seseorang, maka semakin sukarlah bagi golongan muda sepertinya untuk mendapatkan peluang pekerjaan.", penjelasan dari Dayang Noorikmal binti Awang Sidik, 20 tahun.
(Foto : Haji Mohd. Yussof Haji Mohd. Yassin)
“Sekarang ni pun sudah ramai penganggur lepasan universiti. Kalau umur persaraan dilanjutkan hingga 60 tahun bermakna semakin sempitlah peluang golongan seperti kami untuk mengisi ruang pekerjaan,” jelasnya yang akan melanjutkan pengajiannya ke Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) pada tahun ini.
Beliau berpendapat, “Usia berpencen 55 tahun itu sudah memadai. Lagipun kalau lelaki mungkin boleh, namun kalau untuk pekerja wanita untuk bekerja hingga 60 tahun mungkin agak sukar, di samping banyak komitmen lain yang perlu mereka penuhi. Lainlah halnya kalau atas kehendak mereka sendiri”.
Lain pula halnya bagi Dayang Hasniah binti Hashim, 37 tahun, yang bertugas di Zuellig Pharma Sendirian Berhad berpendapat, jika hendak melanjutkan tempoh perkhidmatan itu mestilah bergantung pada prestasi pekerja tersebut.
SEORANG petugas dari Zueling Pharma Sendirian Berhad, Dayang Hasniah Hashim, 37 tahun yang berpendapat, "jika hendak melanjutkan tempoh perkhimdatan itu mestilah bergantung pada prestasi pekerja tersebut."
(Foto : Haji Mohd. Yussof Haji Mohd. Yassin)
“Kalau mereka masih produktif semasa berusia 55 tahun itu, mereka sepatutnya meneruskan khidmat dan kepakaran mereka, kalau tidak kepakaran mereka itu akan terhenti di situ sahaja,” terangnya.
Namun bagi mereka yang sudah di alam pekerjaan menyambut baik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu dengan rasa gembira sebagaimana yang digambarkan oleh Dayang Ramlah binti Md. Noor yang kini berkhidmat di salah sebuah jabatan kerajaan.
MENURUT Dayang Ramlah binti Md. Noor, pengenalan SCP secara tidak langsung akan dapat ‘menampung’ sedikit sebanyak bebanan sara hidup dan sebagai tabungan pekerja bagi menghadapi persediaan hari persaraan dan hari tua nanti.
(Foto : Azmah Haji Ahad)
“Titah baginda itu mencerminkan betapa kerajaan baginda amat prihatin dan pemedulian terhadap kebajikan dan apa jua rintihan serta masalah yang dihadapi oleh rakyat dan tidak memandang ringan terhadap nasib masa depan rakyat baginda khususnya dalam menempuh hari-hari persaraan lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah pada setiap bulan,” jelasnya dengan riang.
Katanya lagi langkah sedemian secara tidak langsung akan dapat ‘menampung’ sedikit sebanyak bebanan sara hidup dan sebagai tabungan pekerja bagi menghadapi persediaan hari persaraan dan hari tua nanti.
Titah baginda itu, jelasnya secara tidak langsung juga menggalakkan rakyat agar membuat tabungan terutama sekali bagi menghadapi hari persaraan dan sebagai rakyat dan penduduk di negara ini, kita sewajarnya bersyukur di atas kemurahan baginda itu.
Bersama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga baginda dilanjutkan usia, kekal karar memerintah di atas singgahsana kerajaan DAULAT KEBAWAH DULI TUAN PATIK.
(Oleh : Hezlinawati Haji Abd. Karim)
Kembali ke muka utama
|