Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
injauan
Sastera dan Budaya

Peningkatan pengeluaran beras: Pertanda baik capai sara diri
Rencana oleh : Dk. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor
fatimah.noor@information.gov.bn

USAHA untuk meningkatkan hasil pertanian tempatan akan sentiasa diambil perhatian oleh Jabatan Pertanian, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, walaupun negara ini bukan sebuah negara yang ekonominya bersandarkan kepada pertanian.

Menurut jabatan tersebut dalam perkembangan sektor padi atau beras, pencapaian sara diri sangatlah rendah. Jumlah import beras ialah sebanyak 32,109 tan metrik setahun, di mana keperluan penduduk Brunei adalah lebih kurang 31,082 tan metrik setahun (Jabatan Teknologi Maklumat dan Stor Negara, 2006). Ini bererti bahawa indeks keperluan per kapita dalam setahun ialah 81.2 kilogram. Pengeluaran beras tempatan telah meningkat dari 895 tan metrik pada tahun 2006 kepada 983 tan metrik pada tahun 2007 dan ianya hanya dapat menampung 3.16 peratus daripada keperluan negara.

Ini bermakna, pengeluaran beras tempatan menunjukkan peningkatan sebanyak 5.5 peratus iaitu nilai pasaran BND2.86 juta pada tahun 2007 berbanding dengan BND2.71 juta pada tahun 2006.

Dalam Program Peningkatan Padi Negara Brunei Darussalam bagi jangka pendek menjelang tahun 2010 sasaran pengeluaran beras tempatan ialah di tahap 20 peratus sara diri, manakala bagi jangka sederhana menjelang tahun 2015 sasaran pengeluaran beras tempatan di tahap 60 peratus sara diri.

Ke arah itu, ia memerlukan beberapa langkah kritikal yang perlu diambil termasuklah penambahan keluasan kawasan penanaman padi dari 1,354 hektar kepada 2,783 hektar menjelang tahun 2010 dan 5,380 hektar pada tahun 2015.

Selain dari itu, peningkatan infrastruktur ladang dan penggunaan jenis padi ‘variety’ berhasil tinggi yang tidak peka kepada fotokala adalah perlu.

Tambahan kepada itu, peningkatan pengurusan agronomi ladang, peningkatan kemahiran peladang dan kakitangan pertanian, penubuhan pusat penyelidikan beras serta peningkatan teknologi perladangan dan lepas tuai akan terus diusahakan.

Perangkaan pada 2007 keluasan sawah padi 1,355 hektar serta jumlah peladang seramai 1,233, manakala jumlah import beras pada 2007 adalah sebanyak 29,552 tan metrik dengan jumlah stok simpanan 46,380 tan metrik di mana jumlah jual/guna bagi 2007 ialah 30,259 tan metrik.

Sementara itu sasaran pengeluaran beras tempatan jangka pendek bagi 2010 adalah 5,800 tan metrik (20 peratus) dan jangka sederhana pada 2015 ialah 18,000 tan metrik (60 peratus).

Usaha-usaha sedemikian adalah juga menyokong hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengajak rakyat dan penduduk negara ini supaya menggerakkan bidang pertanian lebih pantas ke arah meningkatkan tahap peratus ‘sara diri’ yang lebih tinggi daripada yang ada masa ini sejajar dengan pertumbuhan dan keperluan.

Baginda berharap dengan usaha ini akan meningkatkan taraf hidup, sesuai dengan matlamat mencapai tahap kemiskinan sifar.

Penggunaan sumber alam ini menurut baginda, tentu saja boleh menyuntik minda kita sebagai satu kaedah yang dikembangkan bagi mengatasi masalah kemiskinan, di samping lain-lain kaedah lagi. Tinggal saja kita ini, mahu ataupun belum mahu lagi mencuba.

Ke arah ini baginda mengulangi beberapa kali isu pertanian dan bertitah agar kita mempunyai pelan strategi dan dasar pertanian negara bagi menjamin sekuriti makanan negara sebagai satu strategi utama.

Dalam hubungan ini baginda menegaskan bahawa negara perlu mengambil langkah tegas meningkatkan penghasilan tanaman, khasnya beras dan memastikan bahawa kita akan berjaya juga menyara diri sendiri dengan hasil kita sendiri.

SEKURITI MAKANAN

Pameran Sekuriti Makanan Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam 2008 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas pada 11 November 2008, memperlihatkan perangkaan terkini, pengeluaran beras tempatan bagi 2008 ialah 883.5 tan metrik dengan keluasan sawah padi 1,300 hektar dan seramai 1,199 peladang.

Sekuriti makanan di Brunei lebih fokus kepada beras kerana ianya adalah makanan asasi negara ini dengan peranan kerajaan adalah untuk memastikan sekuriti makanan beras terjamin menerusi pelbagai cara termasuk pengeluaran beras tempatan dan komoditi lain. Ke arah ini, Jabatan Pertanian berperanan menyelaras pengeluaran beras tempatan menerusi Skim Intensif Pertanian yang membantu kos pengeluaran dan kesan kawalan harga pasaran beras keluaran tempatan serta memberi perkhidmatan analisis makanan untuk mengemaskinikan makanan yang selamat untuk dimakan. Manakala Jabatan Teknologi Maklumat dan

Stor Negara, Kementerian Kewangan berperanan mengimport, menyimpan dan membekalkan beras.

Kerajaan dalam memastikan sekuriti makanan dijamin turut melaksanakan pelbagai dasar pembelian dan penjualan beras termasuk kawalan harga beras import, kawalan import beras dan kawalan jualan beras import, memastikan keselamatan makanan menerusi penguatkuasaan Akta Makanan, memastikan makanan yang halal serta menguatkuasakan Perintah Awam (Makanan).

Justeru untuk mencapai hasrat meningkatkan pengeluaran beras tempatan bagi sasaran jangka pendek dan sederhana, tujuh pelan tindakan dikenal pasti di mana pelan tindakan pertama melibatkan peningkatan infrastruktur ladang dengan membaiki jalan-jalan yang sedia ada dan membina jalan baru, membina dan meningkatkan sistem pengairan dan saliran serta meratakan tanah.

Pelan tindakan kedua melibatkan peningkatan hasil ladang menerusi penggunaan variety HYV yang mempunyai Good Eating Quality dengan rasa yang dapat diterima seperti beras tempatan.

Pelan tindakan ketiga melibatkan peningkatan pengurusan ladang dan meningkatkan produktiviti ladang ke tahap maksimum dengan pengawalan musuh dan penyakit secara bersistematik dan pengenalan

kepada sistem pengawalan musuh secara bersepadu. Pelan tindakan keempat pula mengenal pasti keperluan ladang dan meningkatkan pembekalannya. Peralatan ladang yang diperlukan dalam penanaman padi adalah seperti tractor, transplanter, thresher dan mini-harvester, manakala pelan tindakan kelima melibatkan menampung peningkatan hasil yang mendadak naik dengan menambah pusat pengisaran, sistem pengangkutan padi dan menyediakan stor-stor penyimpanan padi.

Pelan tindakan keenam melibatkan penggunaan teknologi yang bersesuaian dalam proses menanam padi (transplanter) adalah digalakkan supaya proses menanam akan lebih cepat dan efisien manakala pelan tindakan ketujuh melibatkan pembangunan kapasiti tempatan termasuk latihan dalam sistem penanaman serta peningkatan kualiti beras bagi kakitangan pengembangan pertanian dan mereka seterusnya akan memberi latihan kepada para peladang menerusi ‘Farmers Field School’.

Menurut Jabatan Pertanian lagi, antara intensif yang diberi untuk mencapai sasaran ini ialah pembekalan biji benih secara percuma pada tanaman pertama, pemberian harga bantuan separuh harga bagi input-input pertanian termasuklah baja, racun musuh dan penyakit padi dan peralatan ladang seperti jentera dan mesin-mesin, di samping penyediaan infrastruktur asas ladang dan skim bantuan padi yang mula diperkenalkan dalam Rancangan Kemajuan Negara Ke-5 (1986-1990) juga masih diberikan kepada peladang-peladang yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian.

CAPAI SARA DIRI

Bagi mencapai sasaran 20 peratus sara diri pada tahun 2010, empat aspek akan diutamakan iaitu penambahan kawasan-kawasan yang sedia ada iaitu daripada 1,354 hektar dengan pembukaan 4,906 hektar kawasan baru. Antara kawasan-kawasan berkenaan yang dikenal pasti di Daerah Belait ialah Buau (2,000 hektar), Kandol (600 hektar) dan Labi Baru, dengan 300 hektar dan Limau Manis di Daerah Brunei dan Muara dengan 300 hektar.

Aspek seterusnya ialah peningkatan infrastruktur ladang termasuk kawa

san-kawasan yang sedia ada; penukaran biji benih

dari variety padi berpenghasilan tinggi dan boleh ditanam dua kali setahun dan memberi kursus yang berkaitan kepada kakitangan Jabatan Pertanian dan pengusaha-pengusaha yang terlibat.

Bagi mencapai sasaran 60 peratus sara diri pada tahun penghujung tahun 2015 akan membuat tiga aspek iaitu tidak ada kawasan baru yang akan dibuka tetapi akan ditingkatkan tahap infrastruktur di ladang padi yang sedia ada iaitu seluas 6,269 hektar; penanaman padi berpenghasilan tinggi dua kali setahun di kesemua ladang; dan meneruskan usaha- usaha peningkatan teknologi dan keupayaan sumber tenaga manusia.

Dalam konteks ini, Jabatan Pertanian juga bekerjasama dengan pihak luar melalui kerjasama di antara kerajaan dengan kerajaan serta dengan pihak swasta bukan sahaja di bidang peningkatan kepakaran malah juga penggunaan teknologi terkini dalam pengurusan ladang secara mekanisasi.

Ke arah ini, tegasnya, Jabatan Pertanian juga membeli biji benih padi berkualiti dari negara luar, yang diketahui mempunyai cita rasa dan tekstur yang sesuai dengan permintaan pengguna untuk penanaman ujian di ladang-ladang padi yang sedia ada.


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Waktu Perkhidmatan Kaunter

TABUNG Amanah Pekerja (TAP) memaklumkan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan kaunter di cawangan ibu pejabat di Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan mula beroperasi pada setiap hari Jumaat bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 2.30 petang hingga 3.30 petang.

Sehubungan dengan itu, waktu perkhidmatan kaunter di kesemua cawangan TAP adalah ditukar iaitu setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu waktu beroperasi bemula jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 1.30 petang hingga 3.30 petang.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.