MUSCAT, Rabu, 15 April. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Qaboos bin Said Al-Said melahirkan persetujuan untuk sama-sama bekerja bagi mengukuhkan lagi kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Kesultanan Oman.
Baginda dan Sultan Oman melahirkan persetujuan itu semasa mengadakan Perjumpaan Rasmi bertempat di Istana Al-Alam sejurus selepas Majlis Sambutan Rasmi Mengalu-alukan Keberangkatan baginda di sini, hari ini.
Kedua-dua pemimpin Islam itu juga melahirkan dan menyatakan rasa puas hati dengan perkembangan hubungan di antara Bandar Seri Begawan (BSB) dan Muscat.
Hadir sama di perjumpaan rasmi itu ialah Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Awang Lim Jock Seng; Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Paduka Haji Awang Mohammad Yasmin; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi; Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Kesultanan Oman, Tuan Yang Terutama Awang Haji Muharram bin Piah dan Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Dato Paduka Osman.
Negara Brunei Darusslam dan Kesultanan Oman telah menjalin hubungan diplomatik pada 24 Mac 1984. Kedua-dua buah negara telah menubuhkan kedutaan di ibu negara masing-masing iaitu di Muscat pada 1 Februari 1990 dan di BSB pada 25 Ogos 1986.
Sepanjang tempoh 25 tahun , BSB - Muscat telah mencapai hubungan yang begitu cemerlang. Hubungan diperkukuhkan dengan adanya pertukaran lawatan antara pemimpin, menteri kabinet dan pegawai kanan kedua-dua negara.
Pada 1984,1985 dan 1992, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan mengadakan lawatan rasmi ke Oman. Pada 1995,1997 dan 2000, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador At-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan berangkat ke negara Teluk itu bagi menghadiri Mesyuarat Konsultasi Dua Hala (BCM).
Sebagai timbal balik, Duli Yang Teramat Mulia Sayyid Fahd bin Mahmood Al-Said, Timbalan Perdana Menteri juga mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam dan Duli Yang Teramat Mulia Sayyid Haitham bin Tariq bin Taimour Al-Said, Menteri Kebudayaan dan Warisan melawat pada Jun 2004.
Negara Brunei Darusslam dan Oman sepanjang tempoh 25 juga telah menjalin beberapa hubungan-hubungan kerjasama yang meliputi pendidikan, kesihatan, minyak dan gas, serta bidang pertahanan. Dalam bidang kerjasama kesihatan, pada 8 - 11 Februari 2009, Menteri Kesihatan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi melawat Oman dan seterusnya menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU).
Dalam bidang kerjasama minyak dan gas, pada 16 - 20 Ogos 2007, Tuan Adel bin Abdullah Al-Raisi, Penasihat Projek Gas Cecair Asli, Kementerian Ekonomi Kebangsaan Oman melawat negara ini dan mengadakan mesyuarat dengan Bahagian Tenaga, Jabatan Perdana Menteri dan melawat Brunei Gas Cecair Asli (BLNG). Di samping itu seramai 21 anak Brunei dari Syarikat Minyak Shell Brunei bekerja bagi Perkembangan Petroleum Oman (PDO) dan Oman LNG. Manakala 12 rakyat Oman pula bekerja di Brunei Shell Petroleum dan Brunei LNG.
Di bidang pertahanan pula, Angkatan Tentera Diraja Oman menyertai persembahan Tatto Antarabangsa Brunei 2006 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Ke-60. Pertukaran antara penuntut kedua-dua buah negara sering berlaku. Sebagai misal pada 19 - 24 Februari 2009, sekumpulan penuntut-penuntut sekolah menengah melawat Oman. Sementara itu 13 rakyat Oman telah pun memperoleh ijazah dari Universiti Brunei Darussalam (UBD).
Statik perdagangan dari 2003 - 2007 antara BSB dan Muscat adalah memihak kepada negara kita di mana pada tahun 2007, jumlah eksport bermilai BND602,913 juta, sementara jumlah import di tahun yang sama mencecah BND69,519. Jumlah eksport negara ke Oman ialah BND432,344 juta (2003); BND685,921 (2004); BND583,790 (2005) dan BND683,041 (2006).
Pelbagai kerjasama dan Memorandum Persefahaman (MOU) sepanjang tempoh 25 itu juga ditandatangani. Antaranya Perjanjian Perkhidmatan udara pada 10 Sepember 1988; MOU dalam bidang Perkhidmatan ’Express Mail’; MOU dalam bidang penerangan, MOU dalam bidang kerjasama hal ehwal Islam; MOU di bidang Perkhidmatan Kerja Kebudayaan dan Warisan; MOU dalam pendidikan tinggi, pendidikan dan latihan dan MOU di bidang Perdagangan.
Muscat bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat negara ini, kerana sehingga kini seramai 94 orang rakyat Brunei tinggal dan bekerja di Oman.
(Oleh : Jaafar Ibrahim & Zubaidah Hj. Salat)
Kembali ke muka utama