Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

KONSEP KEPIMPINAN DALAM ISLAM

KEPIMPINAN adalah suatu peranan dan proses yang mempengaruhi orang lain. Pemimpin adalah sebahagian daripada sebuah organisasi yang diberi kedudukan tertentu dan dijangka bertindak sesuai dengan kedudukannya. Pemimpin juga seorang ahli dalam organisasi yang diharapkan menggunakan pengaruh dalam melaksanakan dan mencapai matlamat. Pemimpin yang amanah ialah seorang yang memimpin dan bukan seseorang yang menggunakan kedudukan untuk memimpin.

Kepimpinan menjadi tunggak kepada tertegaknya Islam di muka bumi dan keteguhan umat. Kepimpinan Islam adalah natijah daripada keimanan dan amal salih. Seorang pemimpin yang mementingkan diri, kedudukan, kebendaan, jawatan dan sebagainya bukanlah daripada pimpinan Islam sebenar walaupun dilabelkan dengan nama Islam.

Kepimpinan dalam Islam merupakan usaha menyeru manusia kepada kebaikan dan melarang manusia daripada keburukan. Kepimpinan adalah bagi mereka yang layak dan berhak sahaja. Dianggap telah melakukan satu pengkhianatan terhadap agama apabila diangkat seorang pemimpin yang tidak layak. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah memberi peringatan dengan sabda Baginda yang bermaksud :

“Sesiapa yang melantik seorang lelaki sebagai pemimpin untuk sesuatu golongan, sedangkan di kalangan mereka masih ada orang lain yang lebih diredhai oleh Allah daripada lelaki itu, maka dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan mengkhianati seluruh umat Islam. (Hadis riwayat Al-Hakim dan As Sayuti).

Kepimpinan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam merupakan contoh terbaik dalam menghayati nilai-nilai kepimpinan. Baginda telah meletakkan kepentingan umat Islam mengatasi segala kepentingan diri dan keluarga. Sifat-sifat kepimpinan yang dihayati dan ditonjolkan Baginda telah menjadi ikutan para pengikutnya di sepanjang zaman dan setiap generasi. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Ahzab ayat 21 tafsirnya :

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasullullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

Kepimpinan yang baik hanya layak bagi orang yang berjiwa mulia, memandangkan sifat kemuliaannya itu dapat membawa orang kepada perbuatan baik, mencegah daripada perbuatan jahat dan dosa. Walau bagaimanapun orang zalim tidak mempunyai ciri-ciri kepimpinan untuk menjawat jawatan ini.

Al-Qur'an dan Hadis ada menetapkan empat sifat yang dipenuhi oleh para Nabi dalam pimpinan mereka untuk dijadikan contoh dan ikutan kepada ketua ataupun pemimpin yang dilantik. Iaitu As-Siddiq (melaksanakan kebenaran serta kesungguhan dalam melaksanakan tugas), Al-Amanah (memelihara sebaik-baiknya apa yang diserahkan atau diamanahkan kepadanya), Al-Fathanah (kecerdasan yang mampu menangani permasalahan semasa) dan Al-Tabligh (penyampaian yang jujur dan bertanggungjawab serta mengamalkan sikap terbuka).

Kadangkala kelayakan yang menjadi syarat utama dalam pemilihan pemimpin itu dengan disalahfahamkan dengan pelbagai cara dan gaya, sehingga kekuatan itu ditukar dengan kekayaan atau asas kekeluargaan dan sebagainya. Sedangkan kekuatan itu bermaksud kemampuan dan kelayakan sekalipun tidak berharta dan sebagainya.

Syarat utama yang sesuai untuk dilantik sebagai seorang pemimpin adalah mempunyai ilmu, kekuatan fizikal, keterampilan bermasyrakat, wibawa, akhlak mulia, mahir berkomunikasi, bakat dan takwa kepada Allah. Ini memandangkan berat dan besarnya tanggungjawab yang akan dipikul kelak.

Terdapat juga dua perkara asas yang patut ada dalam konsep kepimpinan dalam Islam. Pertama, kepimpinan menurut pandangan Al-Qur'an bukan sekadar kontrak atau perjanjian sosial antara pemimpin dengan masyarakat, tetapi ia juga merupakan ikatan perjanjian antara pemimpin dengan Allah Subhanahu Wata’ala. Dalam ertikata lain, ia merupakan satu amanah daripada Allah Subhanahu Wata’ala yang perlu ditunaikan sebaik-baik mungkin. Dan perkara kedua ialah kepimpinan itu adalah mementingkan keadilan dalam melaksanakan sesuatu tanggungjawab.

Ciri-ciri terpenting dalam kepimpinan Islam bagi tahap yang paling minima haruslah ia mampu membaca ayat Al-Qur'an dan petikan-petikan hadis serta memahami maksudnya. Lebih mulia lagi sekiranya ia dapat menghafal ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut untuk dijadikan sumber utama dalam menyampaikan hujah atau menyelesaikan masalah yang selalu diajukan.

Kesimpulannya mewujudkan kepimpinan yang diredai oleh Allah merangkumi semua peringkat kehidupan bermula daripada individu membawa kepada masyarakat. Pimpinan didalam Islam mengajak manusia kepada yang makruf dan mencegah yang mungkar bagi mewujudkan kehidupan yang aman dan damai.

Pemimpin yang memiliki ciri-ciri kepimpinan Islam akan melayakkannya memikul teraju kepimpinan sama ada organisasi, masyarakat mahupun negara. Kepimpinan adalah satu amanah. Ia bukanlah gelanggang untuk mencari publisiti diri, kepentingan, mengaut kekayaan diri, keluarga dan saudara-mara daripada kepercayaan yang diberikan. Apa yang pasti adalah setiap amanah itu akan dipersoal di hadapan Allah Subhanahu Wata’ala.

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendegar, lagi sentiasa Melihat.


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Waktu Perkhidmatan Kaunter

TABUNG Amanah Pekerja (TAP) memaklumkan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan kaunter di cawangan ibu pejabat di Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan mula beroperasi pada setiap hari Jumaat bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 2.30 petang hingga 3.30 petang.

Sehubungan dengan itu, waktu perkhidmatan kaunter di kesemua cawangan TAP adalah ditukar iaitu setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu waktu beroperasi bemula jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 1.30 petang hingga 3.30 petang.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.