Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Sabtu , 11 April 2009
15 Rabiulakhir 1430

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

UNDANG-UNDANG BRUNEI DALAM LAMAN WEB

KERAJAANKebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Pejabat Peguam Negara kini mengorak langkah dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi menyebarluaskan Undang-undang Negara Brunei Darussalam untuk pengetahuan orang ramai. Pejabat Peguam Negara kini telah menyediakan Undang-undang Negara Brunei Darussalam dalam laman web yang boleh dilayari secara online melalui alamat www.agc.gov.bn. Ini bermakna orang ramai kini boleh mengakses undang-undang negara ini dengan mudah, cepat dan menjimatkan masa. Pewujudan khas laman web berkenaan memberikan kemudahan dan ’kesenangan’ kepada orang awam khususnya penuntut-penuntut mencari fakta undang-undang sebagai bahan rujukan bagi sebarang keperluan. Ini secara langsung akan juga memberikan kemudahan dengan tidak perlu mengunjungi perpustakaan dan seumpamanya kerana semua maklumat kini berada di hujung jari.

Sememangnya langkah kerajaan dalam menyediakan kemudahan laman web seperti ini amatlah memberangsangkan dalam erti kata menyebarluaskan apa jua maklumat penting yang berhubung dengan undang-undang negara bagi diketahui umum. Perkara ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan penggunaan e-Kerajaan secara meluas di kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan. Selayaknya usaha yang murni lagi penuh dengan manfaat ini akan meningkatkan imej kerajaan di mata masyarakat. Bukan itu sahaja, rakyat luar negara juga berpeluang mengakses undang-undang negara kita bagi mengetahui secara mendalam tentang undang-undang dan akta yang terdapat di negara ini.

Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Awang Haji Kifrawi semasa mengumumkan perkara itu di Pembukaan Tahun Undang-Undang 2009 baru-baru ini menegaskan bahawa kebanyakan naskhah undang-undang utama yang mengandungi perintah dan akta kini boleh didapati secara online dan boleh dimuat turun dengan melayari laman web berkenaan. Undang-undang amatlah penting diadakan bagi mengekalkan keamanan dan menjamin keselamatan negara dan segala isi di dalamnya. Tanpa adanya undang-undang tertentu, negara akan menjadi kucar-kacir dan akan mudah diperkotak-katikkan oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab. Oleh sebab itu mana-mana negara sekalipun ianya negara kecil, undang-undang adalah merupakan ’instrumen’ penting dalam mengawal ’law and order’ sesebuah negara.

Sehubungan dengan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenan bagi kelulusan empat lagi undang-undang iaitu Perintah Pendaftaran Penjenayah 2008; Perintah Kastam (Pindaan) 2008; Perintah Perbankan Islam 2008 dan Perintah Takaful 2008. Sementara itu semenjak Tahun Undang-undang 2008, sebanyak 10 lagi undang-undang telah disemak iaitu Akta Penghutang (Penggal 195); Akta Transaksi Elektronik (Penggal 196); Akta Membanteras Pengganasan (Kewangan dan Langkah Lain) (Penggal 197); Akta Konvensyen Tokyo (Penggal 198) dan Akta Distres (Penggal 199).

Walaupun pelbagai undang-undang telah dicipta dan dikuatkuasakan, namun kadar jenayah dari tahun ke tahun semakin meningkat dengan ketara dengan merujuk kepada laporan Pasukan Polis Diraja Brunei pada setiap hari melalui media massa. Ada-ada saja jenayah yang dilakukan. Menurut Ketua Hakim Negara, Yang Amat Arif Dato Seri Paduka Mohammad Saied, Mahkamah Bandar Seri Begawan merekodkan 3,412 kes jenayah; Kuala Belait 366, Tutong dengan 79 kes dan Temburong dengan 47 kes. Sementara kes-kes sivil yang didaftarkan dalam Mahkamah-mahkamah Majistret di ibu negara 1,533, Kuala Belait 273 dan Tutong 239 kes. Begitu juga kes-kes jenayah dalam Mahkamah Tinggi meningkat 21 kes tahun 2008 berbanding 11 kes pada tahun 2007. Manakala 192 kes sivil didaftarkan dalam Mahkamah Tinggi jika dibandingkan 161 tahun terdahulu. Fenomena yang tidak sihat ini setentunya amatlah menggusarkan dan merungsingkan kita semua. Pendek kata, tidak ada lagi istilah ’aman’ bahkan kehidupan kita sentiasa dibayangi oleh pelbagai ketakutan yang ’diciptakan’ oleh tangan-tangan manusia yang antikeamanan dan kesejahteraan.

Sebagai negara undang-undang, kita sama sekali tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dari mana-mana pihak. Mereka yang bersalah dan melakukan jenayah sama ada ’kecil’ mahupun yang ’besar’, semuanya akan diadili secara saksama di mahkamah, tidak ada pilih kasih, yang bersalah tetap bersalah dan akan dijatuhkan hukuman setimpal dengan perbuatan mereka. Tinggal saja lagi dalam mengharungi kehidupan yang aman tenteram ini, ada baiknya kitani meningkatkan kewaspadaan dan beringat-ingat selalu seperti kata pepatah Melayu ’air tenang jangan disangka tidak berbuaya’.


Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Waktu Perkhidmatan Kaunter

TABUNG Amanah Pekerja (TAP) memaklumkan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan kaunter di cawangan ibu pejabat di Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan mula beroperasi pada setiap hari Jumaat bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 2.30 petang hingga 3.30 petang.

Sehubungan dengan itu, waktu perkhidmatan kaunter di kesemua cawangan TAP adalah ditukar iaitu setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu waktu beroperasi bemula jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 1.30 petang hingga 3.30 petang.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.