Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Rabu , 14 Mac 2009
17 Rabiulawal 1430

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

BRUNEI MAMPU URUS DIRI SENDIRI

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelima Majlis Mesyuarat Negara (MMN) menekankan bahawa Negara Brunei Darussalam semenjak 25 tahun yang lalu sentiasa berada pada kedudukan terbaik di bidang apa saja hasil daripada pencapaian menerusi sistem yang kita miliki dan amalkan selama ini. Pencapaian kita bukan lagi andaian tetapi kenyataan yang benar-benar wujud sebagai negara yang merdeka lagi berdaulat. Malah yang lebih membanggakan kita mampu mengurus diri sendiri dengan sebaik mungkin. Dalam erti kata lain, Brunei mampu mengurus hal ehwal pentadbiran dan pengurusan negara dengan jayanya dan cemerlang tanpa bantuan daripada orang lain. Inilah sesuatu yang patut menjadi kebanggaan dan kehebatan sebagai bangsa yang terus dihormati dan disegani.

Sistem yang kita pakai ternyata telah berhasil membahagiakan seluruh lapisan rakyat dan penduduk. Berbanding beraneka sistem di merata dunia yang tidak mampu walau sekadar hanya untuk menstabilkan keadaan. Namun alhamdulillah, bumi Darussalam terus aman makmur dan sejahtera tanpa adanya sebarang kacau-bilau. Ini membuktikan betapa sistem yang kita jalankan selama ini yang bersandarkan falsafah Melayu Islam Beraja telah berjaya menciptakan kemakmuran yang berpanjangan yang realitinya semua itu dikecapi nikmatnya oleh setiap jelama yang menghuni bumi Darussalam.

”Kita melalui sistem yang ada telah membuktikan keupayaan dapat membawa negara ini menikmati pelbagai kebajikan, melebihi dari orang lain. Di samping kita mengekalkan kemakmuran dengan izin Allah, kita juga alhamdulillah menikmati keamanan dan ketenteraman, apa yang sungguh-sungguh sukar diperolehi, khasnya di masa akhir-akhir ini oleh orang lain,” titah baginda.

Begitulah ’kehebatan’ negara kita yang mampu menangani dan mendepani apa jua rintangan dan walau dalam apa keadaan sekalipun. Terbaru dan antara ujian berat yang kita lalu ialah krisis ekonomi global yang melanda dunia hari ini yang merimbat ke seluruh jagat tanpa memilih-milih. Kemelesetan yang dianggap paling parah sejak 80 tahun yang lampau di sekitar 1927 dan 1929. Kesannya pasaran merudum, nilai mata wang mengecil dan ramai pekerja dibuang bukan saja ribuan orang malahan mencecah jutaan pekerja dan yang parah struktur kewangan hancur. Inilah senario abad dunia global yang di ambang bahaya.

Namun, alhamdulillah, berkat kepimpinan raja kita, sosioekonomi negara masih terus dalam keadaan stabil dan kukuh, walaupun pendapatan kerajaan terjejas disebabkan penurunan harga pasaran minyak global. Penghidupan kita berjalan seperti sediakala. Ekonomi negara terus mantap dan kegiatan perekonomian berjalan lancar. Kemampuan kita bertahan menghadapi situasi ’sukar’ ini adalah ditolong oleh dasar dan sikap berbelanja kerajaan secara berhemah dan berjimat cermat yang membolehkan negara berjaya mengimbangi senario sedemikian. Kerajaan berjaya mengawal perbelanjaan dengan bijaksana dan mengurus kewangan penuh berhati-hati. Kegiatan dan pertumbuhan ekonomi kita yang tidak bergantung kepada hutang juga merupakan faktor utama, di mana pergantungan kepada hutang kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) adalah punca yang menjerumuskan banyak negara ke lembah kemiskinan lebih parah di serata dunia sejak mutakhir ini.

Jika teliti dan perhatikan dengan jujur, membuktikan bahawa sistem pemerintahan yang kita amalkan selama ini yang telah berjalan sekian lama itu, adalah kukuh dan malahan berjaya membawa kebajikan kepada rakyat dan negara. Jadi dari bukti yang ringkas ini, adalah cukup untuk memberikan jaminan dan keyakinan bahawa sistem pemerintahan beraja yang telah kita warisi dan pelihara itu telah berhasil menciptakan kebahagiaan dan keunggulan untuk Negara Brunei Darussalam.

Apa pun, kenyataannya, sistem yang kita ada yang terus kita pakai sehingga kini terbukti membawa bumi tercintai Negara Brunei Darussalam menikmati aneka ragam kebajikan, keamanan dan kemakmuran, sedangkan orang lain bergelut dengan bermacam-macam isu, masalah serta kemelut berpanjangan. Maka di persimpangan ini, seharusnyalah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang telah memberikan negara kita rezeki yang banyak, dan dalam pada itu, amatlah wajar bagi setiap rakyat dan penduduk sentiasa bersiap siaga dan bekerjasama dengan kerajaan dalam mengatasi apa jua rintangan di depan bukan setakat menjadi penonton tetapi yang penting turut sama memberi sumbangan dan menjadi ’pemain’ yang aktif, responsif dan inovatif bagi mengekalkan kemajuan dan pembangunan yang berpanjangan.


Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Negara Brunei Darussalam
hos Sambutan
Hari Komanwel 2009

JABATAN Belia dan Sukan memaklumkan bahawa Negara Brunei Darussalam akan menjadi hos acara Sambutan Hari Komanwel 2009 pada 8 hingga 11 Mac 2009 dan Bengkel Serantau mengenai Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia mulai 12 hingga 17 Mac 2009 pada tahun ini. Sambutan ini dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Program Belia Komanwel, Pusat Asia bertemakan 'Komanwel 60: Membantu Generasi Muda'. Acara itu membolehkan negara-negara anggota menyertai aktiviti-aktiviti yang menggalakkan persafahaman mengenai isu-isu global, kerjasama antarabangsa dan aktiviti-aktiviti bagi komanwel moden di samping memberikan peluang baik kepada mereka untuk bertukar-tukar idea, menggalakkan persefahaman dan kerjasama di samping meningkatkan hubungan yang harmoni di antara mereka. Sementara itu bengkel serantau mengenai Pencegahan Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia adalah untuk menyediakan satu platform kepada para belia untuk berkongsi maklumat tentang amalan-amalan terbaik dan belajar antara satu sama lain. Ia juga untuk meningkatkan pengetahuan dan persefahaman peserta tentang dimensi virus masalah penyalahgunaan dadah, menyediakan pelan-pelan tindakan untuk pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan penjagaan serta mengukuhkan kordinasi di kalangan kerajaan dan bukan kerajaan ke arah strategi efektif bagi pencegahan, rawatan dan penjagaan. Setiap negara ahli akan disertai oleh dua wakil berusia 18 hingga 29 tahun dari sektor kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan dengan pengetahuan dan pengalaman mengenai isu HIV/AIDS dan penyalahgunaan dadah.