Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Pelita Brunei - Cetusan Minda

CETUSAN MINDA 34

ADA YANG TEGUH PEGANGAN HATINYA BERTULUS IKHLAS HINGGA MATINYA
Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)


CETUSAN Minda kali ini mendapat ilham dari pembacaan berulang kali Syair Muda Omar 'Ali Saifuddien bertajuk 'Syair Perlembagaan Negeri Brunei' yang menguntaikan falsafah pemikiran yang begitu mendalam bernada kreatif. Sudah berapa kali saya membaca syair ini namun masih juga meruntun gerak hati untuk mengulang baca.

Prakata dalam buku ini menulis bahawa melihat 'Syair Perlembagaan Negeri Brunei' ini bukan sahaja sebagai rincik karya sastera, tetapi sebagai dokumen ataupun artifak penting, malah perlulah ia dipelihara dan dikaji. Keunggulan sebagai sebuah karya sastera semakin ketara dengan adanya beberapa unsur; Pertama, isinya yang menjurus kepada pandangan tajam seorang putera diraja yang bercita-cita tinggi dan dapat menyelami hati nurani rakyatnya; Kedua, bibit-bibit peristiwa penubuhan Perlembagaan Bertulis yang mengharungi banyak rintangan terungkap jelas; Ketiga, unsur-unsur nasihat penuh dengan tamsil dan ibarat yang diasaskan kepada pengalaman dan kewibawaan daya kepimpinan; Keempat, perbendaharaan kata Melayu Brunei yang luas dan puitis.

Nah, bisai kita petik pendapat Dr. Anthony Storr, dalam bukunya, 'The Dynamics of Creation' (Pelican Books, 1976) yang mengatakan bahawa dorongan seni timbul sebagai percubaan manusia seni untuk memahami dan menyatukan alam sekitar (luaran) dengan alam dalaman (diri) mereka.

Pendapat ini saya fikir boleh diguna pakai dalam kita sama-sama memahami proses penciptaan syair, tidak terkecuali pantun Melayu, malah proses penciptaan kreativiti dalam apa bidang sekalipun. Namun, cetusan minda ini bukan bermaksud meninjau proses penciptaan kreativiti. Ianya meninjau daya fikir dan fungsi otak manusia secara umum.

Sebahagian ahli psikologi mengatakan bahawa manusia yang cukup kreatif lebih terarah menggunakan bahagian otak di sebelah kanan, yang dipanggil ‘minda kreatif’. Menurut mereka, minda ini tidak berfikir secara logik, tetapi menggunakan imaginasi bagi memahami sesuatu yang tidak dapat dijelaskan melalui akal yang saintifik.

Menurut kajian para pakar otak bahawa di sebelah kanan otak kita terletak unsur minda yang kita sebut perasaan atau emosi, yang membolehkan manusia menangis, marah, sedih berasa kasih, iri hati, sayang dan benci. Minda sebelah kanan ini dikatakan dapat memahami dan mencipta metafora, menikmati muzik, melihat dan cuba memahami hal-hal yang luar biasa, serta memandang alam sekitar secara ‘non-linear’ iaitu tidak selurus pemikiran yang logikal.

Manakala itu bahagian otak manusia yang berfikir secara logik, rasional dan intelektual adalah terletak di minda sebelah kiri. Dikatakan lebih 90 peratus daripada manusia di alam maya ini menggunakan minda rasional bagi menyelesaikan keadaan hidup seharian mereka.

Marilee Zdenek, melalui bukunya, 'The Right-Brain Experience (Gorgi Books, 1988) mencatatkan bagaimana seorang tentara Amerika yang cedera otaknya telah dibedah bagi membuang segumpal urat, yang dipanggil ‘carpus callosum’. Urat ini menyambung dua bahagian otak iaitu, otak sebelah kanan dan otak sebelah kiri. Urat tersebut dibuang agar bahagian otak yang rosak, yang mengakibatkan pesakit itu terkena semacam sawan babi, tidak akan mempengaruhi bahagian otak yang sebelah lagi. Dengan kata yang lain, otak sebelah kanan dan sebelah kiri dipisahkan, tidak lagi dipertautkan dengan urat penyambung yakni ‘carpus callosum’ itu.

Pembedahan ini berhasil membuktikan bahawa manusia memang memiliki dua bahagian otak yang berbeza sifat dan peranannya tetapi sering dan saling pengaruh-mempengaruhi. Lihatlah dan hayatilah dengan penuh kesedaran betapa misteri dan ajaibnya otak yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada manusia.

Ahli Sains mengakui bahawa konsep saintifik atau ilmiah sesungguhnya adalah ‘mental construct’ iaitu konsep abstrak yang dirumuskan oleh akal atau otak manusia berasaskan kaedah-kaedah tertentu, antaranya, kaedah deduktif - induktif, kaedah empiris - objektif, kaedah reduksi, eksperimen dan lain-lain kaedah lagi.

Tetapi, ya ada tetapinya, manusia tidak terbentuk daripada otak sahaja. Setiap manusia waima mereka yang buta aksara atau yang buta huruf, memiliki fikiran atau minda masing-masing, memiliki hati, memiliki jiwa dan tentunya memiliki perasaan.

Dan lebih jauh, jika kita amati sejujur-jujurnya, bahawa setiap manusia itu dibekalkan roh oleh Allah Subhahanu Wata'ala. Mempercayai adanya roh adalah salah satu keyakinan yang diajarkan oleh Al-Qur'an dan mempercayai soal-soal ghaib merupakan salah satu sendi keyakinan beragama. Mempercayai adanya roh merupakan salah satu kepercayaan mengenai soal-soal ghaib yang dapat kita rasakan kelebihannya yang istimewa.

Semacam ia merupakan kenyataan inderawi yang mengharuskan manusia mempercayainya, meski ia sedar, bahawa soal-soal ghaib yang diketahuinya hanya sekubit belaka. Dengan iman ia berserah diri disertai keyakinan bahawa soal-soal ghaib itu berada di dalam lingkaran pengetahuan Allah jua.

Orang yang membaca Al-Qur'an dengan penuh pengertian dan mereka yang beriman pasti sesungguhnya mempercayai kebenaran firman Allah Subhanahu Wata'ala, dengan hati yang tawaduk tenteram, melalui Surah Al Israa' ayat 85 yang kira-kira maksudnya:

"Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; Dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja."

Dalam zaman kita ini, berpandukan kepada penelitian dan pengkajian para pakar sains dan teknologi serata dunia sepakat mengatakan bahawa akal fikiran telah mengetahui bahawa 'atom tanah' dan 'atom cahaya' berasal dari satu materi atau benda. Akal juga telah mengetahui bahawa batu kering jika unsur atomnya dipisah-pisah, ternyata ia adalah cahaya; sedangkan cahaya terpancar atau bertaburan bila dibekukan dan jika dipertemukan unsur-unsur atomnya, ternyata ia adalah batu.

Nah, adanya hal yang memisahkan antara cahaya falak dan cahaya akal merupakan soal yang tidak diragukan lagi. Tapi apa benda itu, di luar dari pengetahuan manusia! Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Yang pasti, soal-soal ghaib ini adalah di dalam lingkungan pengetahuan Allah jua. Lalu saya yang merupakan produk pendidikan Barat dalam tiga disiplin ilmu, iaitu pengurusan, kewartawanan dan falsafah dari tiga buah institusi pengajian tinggi berlainan di Eropah, kiranya belum lewat untuk mengajukan tanya kepada sesiapa pun termasuk ahli sains:

Pertama, apakah yang hendak dikatakan oleh para sarjana nuklear yang mempercayai adanya materi atau benda, tetapi tidak mempercayai adanya roh?

Kedua, apa pula yang hendak mereka katakan tentang otak dan akal, bagaimana akal dapat melihat sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata dengan sinar cahaya?

Faham-fahamlah, akal dan fikiran dari segi keterbatasannya diberi hak untuk menjangkau hal-hal yang mungkin, namun ia sama sekali tidak dapat menjangkau semua hakikat yang bersifat mutlak kecuali dengan iman dan ilham. Alhamdulillah, kita sedar kita ini siapa. Segala puji bagi Allah, selawat dan salam kepada Baginda Rasulullah, begitu juga kepada keluarga dan para sahabat Baginda.

Nah, untuk tenangkan minda sama-sama kita baca dan teliti sungguh-sungguh sebahagian rangkap-rangkap 'Syair Perlembagaan Negeri Brunei' di bawah ini.

Wahai malaiku muda budiman
Tuntutlah ilmu menegakkan iman
Ilmu berpandukan hadis dan firman
Ilmu Tauhid mengenal Tuhan.

Pertama, ilmu tauhid namanya
Usul dan kalam juga gelarannya
Kedua, fikah menyatakan hukumnya
Ilmu Tasawuf ialah senjatanya.

Tasawuf senjata yang amat tajam
Menjadi utap memutuskan kejam
Iblis dan syaitan tak dapat merejam
Ilmu yang karut dapat dipadam.

Tuhan menjadikan hamba makhluk-Nya
Bermacam budi tabiat perangainya
Ada yang teguh pegangan hatinya
Bertulus ikhlas hingga matinya.

Dalam konteks ini bagi sebahagian orang, sastera klasik hanya dianggap sebagai sastera hiburan ringan untuk bersantai-santai. Harus difahami bahawa sastera, baik sastera klasik mahupun sastera moden mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya dalam pembangunan suatu negara bangsa. Kebebasan pengkarya untuk berimaginasi tentang tema apa saja, apatah lagi tentang kemunculan suatu Perlembagaan Bertulis negara bangsa dan kebebasannya untuk melahirkan karya sastera klasik melalui struktur dan gaya yang disukainya, adalah merupakan kepuasan dan kemenangan. Kemenangan harus diperjuang dan dipertahankan oleh setiap penulis dan seniman tulen.

Seniman tulen tidak sekadar melakar apa yang dilihatnya, mencanang apa yang dialaminya malah mampu menterjemahkan kenyataan dan melukiskan tindak balas emosi serta daya inteleknya. Seniman bukan setakat menulis fikirannya bahkan mengungkapkan perasaan dan intuisinya yang di luar dari kuasa dan hukum-hukum fikiran yang logis!

Sehubungan ini mengkaji dan penelitian sastera klasik adalah merupakan cabaran. Bukan setakat dalam ruang lingkup peminat, penggiat dan pengkaji sastera, bukan! Kita perlu menyelidiki apa yang tersirat dan di situlah letaknya kepentingan-kepentingan ciptaan kreatif. Hemat saya, sastera klasik apa pun bentuknya adalah merupakan penjelmaan pemikiran pengkaryanya yang dihubung kait dengan sejarah, psikologi dan nilai kemasyarakatan yang hidup dalam zaman keberadaannya.

Pegangan saya ini bersesuaian dengan disiplin pengkajian sastera yang antara lain menekankan suatu dasar iaitu menghubungkan suatu karya klasik itu dengan sejarah, psikologi dan kemasyarakatan yang harus ditekankan. Maka atas dasar yang sedemikian kita akan dapat merungkai pengertian dan kepentingan karya klasik itu.

Nah hayati dan lihatlah, betapa indahnya madah rangkap-rangkap syair di atas yang jelas mempunyai tujuan. Dengan kata yang lain, seseorang yang hanya melihat tanpa tujuan, mengkaji tanpa matlamat, dia hanya akan akan dapat melihat di permukaan sahaja, dan hasilnya hanya akan tampak secara luaran sahaja!

Namun mereka yang melihat suatu objek dengan tujuan yang jelas, matlamat yang jitu maka dia akan melihat dan menyingkap semua sesuatu yang berada itu dengan andaian-andaian yang pelbagai. Menyingkap apa yang tersirat. Tidak sekadar apa yang tersurat.

Menyentuh mengenai dengan tujuan yang jelas ini. Maka saya ingin menuliskan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Qashash ayat 77 yang kira-kira maksudnya:

"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari Akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; Dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya) yang melimpah-limpah; Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan."

Kehidupan ini memerlukan tunjuk arah. Dan mereka yang tidak punya arah adalah ibarat layang-layang putus tali. Tidak ada arah, hendak ke mana pun tidak jelas. Nah, apakah anda dalam hidup ini sudah berada di landasan yang benar dan betul?

Pastinya dalam hidup ini kita mahu menjadi seorang yang beriman. Landasan kita adalah iman. Jadi sesungguhnya sudah jelas bahawa arah seorang mukmin yang beriman adalah akhirat, tetapi dalam proses menuju akhirat, jangan lupakan dunia. Dan orang yang beriman tidak boleh meremehkan kewajipannya terhadap jasad dalam usahanya memenuhi kewajipan terhadap roh. Demikian juga sebaliknya, ia tidak boleh meringankan kewajipannya terhadap roh dalam usahanya memenuhi kewajipan terhadap jasad. Roh dan jasad adalah dua esensi pokok dan dengan kedua-duanya itu manusia hidup. Yang satu tak mungkin terpisah dari yang lain selagi ia hidup.


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Negara Brunei Darussalam
hos Sambutan
Hari Komanwel 2009

JABATAN Belia dan Sukan memaklumkan bahawa Negara Brunei Darussalam akan menjadi hos acara Sambutan Hari Komanwel 2009 pada 8 hingga 11 Mac 2009 dan Bengkel Serantau mengenai Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia mulai 12 hingga 17 Mac 2009 pada tahun ini. Sambutan ini dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Program Belia Komanwel, Pusat Asia bertemakan 'Komanwel 60: Membantu Generasi Muda'. Acara itu membolehkan negara-negara anggota menyertai aktiviti-aktiviti yang menggalakkan persafahaman mengenai isu-isu global, kerjasama antarabangsa dan aktiviti-aktiviti bagi komanwel moden di samping memberikan peluang baik kepada mereka untuk bertukar-tukar idea, menggalakkan persefahaman dan kerjasama di samping meningkatkan hubungan yang harmoni di antara mereka. Sementara itu bengkel serantau mengenai Pencegahan Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia adalah untuk menyediakan satu platform kepada para belia untuk berkongsi maklumat tentang amalan-amalan terbaik dan belajar antara satu sama lain. Ia juga untuk meningkatkan pengetahuan dan persefahaman peserta tentang dimensi virus masalah penyalahgunaan dadah, menyediakan pelan-pelan tindakan untuk pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan penjagaan serta mengukuhkan kordinasi di kalangan kerajaan dan bukan kerajaan ke arah strategi efektif bagi pencegahan, rawatan dan penjagaan. Setiap negara ahli akan disertai oleh dua wakil berusia 18 hingga 29 tahun dari sektor kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan dengan pengetahuan dan pengalaman mengenai isu HIV/AIDS dan penyalahgunaan dadah.