Kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Darat dan juga Jabatan Immigresen dan Pendaftaran Kebangsaan telah mengenalkan perkhidmatan-perkhidmatan yang mesra pelanggan dengan menerima maklumat-maklumat tertentu melalui telefon bimbit dan juga inisiatif Jabatan Pengangkutan Darat menawarkan perkhidmatan untuk mengingati tarikh mansuh lesen memandu dan cukai jalan.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri, Pengiran Dato Paduka Haji Ismail bin Pengiran Haji Mohamed dalam temubual selepas Majlis Forum Kebangsaan Teknologi Think Big 2008 “Inovasi Penerokaan Media Baru” berlangsung di Hotel Empire and Country Club Jerudong, di sini.

Pengiran Dato Paduka menambah, teknologi semakin berkembang dan dapat dilihat terutamanya dalam penggunaan teknologi sama ada dalam kehidupan seharian, cara membuat kerja, sebagai contoh usaha kerajaan melalui inisiatif e-kerajaan telah dilaksanakan di kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.
Perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan, jelas Pengiran Dato Paduka lagi ,sebagai contoh Radio Televisyen Brunei (RTB) telah memberikan perkhidmatan online, siaran-siaran radio dan televisyen, sementara Jabatan Penerangan pula menyediakan perkhidmatan Pelita Online Harian.
“Walau bagaimanapun, pegawai-pegawai kerajaan akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan dan memperbaiki lagi perkhidmatan-perkhidmatan berkenaan. Itu adalah cabaran-cabaran yang kita hadapi untuk meningkatkan perkhidmatan-perkhidmatan dan pada masa yang sama untuk menepati kehendak para pelanggan,” tegasnya.
Setiausaha Tetap Jabatan Perdana Menteri menjelaskan tentang jangkauan ICT yang lebih berpengaruh iaitu subjektif yang kini beredar kepada media baru, termasuk bermacam-macam cara untuk mendapatkan maklumat.
”Berpengaruhnya media itu tertakluk kepada apa jua medianya dan kesahihan perisian dan kandungan pada media berkenaan di mana salah satu flatform yang popular adalah melalui internet,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, tegas Pengiran Dato Paduka ianya kini menjadi isu dari segi ketepatan dan kesahihan maklumat berkenaan. Jangkauan masyarakat haruslah berhati-hati dalam menggunakan media baru terutama dalam mendapatkan maklumat ataupun membaca maklumat-maklumat yang disajikan sebagai media-media baru tersebut kerana kebanyakan maklumat-maklumat di dalam internet tidak tepat dan kesahihannya diragukan.
Sementara itu, Pengiran Dato Paduka juga menjelaskan tentang potensi negara untuk turut serta dalam industri ICT sebagai salah satu harapan pihak kerajaan untuk meningkatkan kebolehan SME yang bergiat dalam bidang ICT.
Katanya, salah satu perkembangan yang baik ialah dengan tertubuhnya InfoCom Federation of Brunei Darussalam (IFB) iaitu persatuan syarikat tempatan yang bergiat dalam bidang ICT yang menubuhkan satu persatuan yang dikira sebagai satu perkembangan yang baik dengan harapan pihak kerajaan melihat lebih banyak tenaga tempatan terlibat secara langsung dalam bidang ICT tersebut.
Sebagai contoh jelasnya, Syarikat BAG Network Sdn. Bhd yang menganjurkan bengkel bersama antara kerajaan dan syarikat swasta mengambil inisiatifnya untuk mengembangkan tenaga tempatan yang pada masa ini telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 40 orang anak tempatan.
Pengiran Dato Paduka berkata, syarikat yang lain juga mengutamakan sesi pengambilan tenaga tempatan agar masyarakat melihat lebih banyak syarikat yang berkecimpung dalam bidang ICT yang menggunakan tenaga tempatan dan yang lebih penting untuk membimbing dan mengembangkan mereka kepada tahap kepakaran.
”ICT mempunyai banyak bidang kepakaran yang boleh diterokai. Jadi kita mahu melihat anak tempatan dapat diketengahkan sebagai pakar dari segi program pembangunan, sistem integrasi, dan menjadi harapan kepada IFB akan dapat menyediakan satu database yang dapat menyenaraikan orang-orang tempatan dengan ’specialist quary”, tegasnya.
(Oleh : Marzuki bin Haji Mohd. Seruddin)
Kembali ke muka utama