"Sebaliknya masih dilihat begitu banyak perokok baru di kalangan anak muda termasuk para pelajar walaupun ianya merupakan satu tabiat yang merosakkan dan sukar untuk dibendung jika sudah ketagih kepada tembakau," jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman semasa berucap di Majlis Konvokesyen Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) Ke-3 yang berlangsung di Dewan IGS, Kompleks Setia Kenangan, Kampung Kiulap di sini.
Menyentuh mengenai pendidikan, Yang Berhormat berkata pencarian bagi mendapat pendidikan yang lebih tinggi adalah semakin meningkat ke arah memperolehi pengetahuan dan mempelajari kemahiran sama ada secara formal atau tidak formal dan ianya menjadi buruan secara berterusan.
Dalam hubungan ini Yang Berhormat melahirkan penghargaan dan rasa kagum atas kegigihan para pelajar dan mereka yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dalam sama-sama mengejar pendidikan tinggi walaupun menghadapi banyak cabaran.
Ini menurut Yang Berhormat menampakkan suatu pertanda baik sejajar dengan aspirasi kebangsaan Brunei Darussalam untuk menjadi sepuluh negara terbaik dunia menjelang tahun 2035.
Di kesempatan ini Menteri Kesihatan juga menggariskan lapan panduan dasar di bawah strategi pendidikan yang antaranya termasuk melabur dalam pendidikan awal kanak-kanak; mengamalkan amalan-amalan terbaik antarabangsa di bidang pengajaran dan pengajian; mengukuhkan kemahiran di bidang ICT; meningkatkan penyelidikan, perkembangan dan inovasi masing-masing di institusi-institusi yang dibiayai kerajaan dan melalui perkongsian awam, swasta dan antarabangsa serta memperbaiki pengurusan di semua institusi-institusi pendidikan.
Bagaimanapun jelas yang Berhormat, semua strategi dan dasar pembangunan banyak bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh rakyat bagi memastikan objektif kebangsaan negara dapat dicapai.
Apa yang penting menurutnya, setiap tambahan baru untuk tenaga kerja bukan sahaja mempunyai ilmu dan kemahiran yang relevan, tetapi juga komitmen dan ketabahan yang akan membawa pembangunan nasional ke tahap yang lebih tinggi.