Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
injauan
Sastera dan Budaya

KAWASAN PERTANIAN LOT SENGKUANG MENYUMBANG 28 PERATUS HASIL PADI NEGARA
Rencana Oleh : Dk. Hajah Saidah Pg. Haji Omaralli
saidah.omaralli@information.gov.bn

DAERAH Belait merupakan penyumbang padi yang kedua bagi Negara Brunei Darussalam selepas Daerah Temburong. Tahun lepas Daerah Belait telah mengeluarkan hasil padi berjumlah 392 tan metrik (tm) dan menyumbang sebanyak 28 peratus hasil pengeluaran padi negara dan sebahagian besarnya telah dihasilkan di Kawasan Pertanian Lot Sengkuang dengan pengeluaran padi berjumlah 192 tm.

Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Awang Yahya semasa melancarkan penanaman padi ke arah mencapai sara diri pengeluaran beras negara bertempat di Kawasan Ladang Padi Lot Sengkuang pada hari Selasa 26 Mei 2009 berkata, secara keseluruhan Mukim Labi menyumbang sebanyak 329 tm, Mukim Bukit Sawat 33 tm, Sukang 18 tm dan Mukim Lumut 12 tm.

Yang Berhormat selanjutkan menyatakan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU) sedang melaksanakan strategi peningkatan pengeluaran beras di negara ini dengan penglibatan pengusaha yang sedia ada secara pengurusan tradisional dan pelaburan komersial secara berskala besar dan ianya melibatkan pembukaan kawasan secara besar-besaran bagi meningkatkan lagi jumlah kawasan yang diperlukan seperti mana yang telah dirancang melalui Pelan Jangka Pendek dan Pelan Jangka Sederhana.

Sebagaimana titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan baginda tahun lalu bahawa, “Jika ada negara pengeluar beras yang sudah mampu memenuhi 70 peratus keperluan sendiri, masih sahaja sibuk menggubal dasar untuk sampai ke tahap 100 peratus mencukupi, mengapakah kita yang cuma baru setakat mampu menampung sekitar 3.12 peratus tidak menyinsing lengan meningkatkan industri penghasilan beras negara?”

Untuk itu, beberapa kawasan baru yang berpotensi mengeluarkan padi tempatan di Daerah Belait antaranya di kawasan Buau, Kandol, Labi Baru dan kawasan tambahan Lot Sengkuang dan beberapa pelabur asing telah menyatakan hasrat untuk mengadakan usaha sama dengan para pengusaha tempatan dalam membantu mencapai tahap sara diri pengeluaran beras negara.

Yang Berhormat berharap usaha sama tersebut akan menempatkan pengeluaran beras di negara ini sebagai perusahaan yang berteknologi tinggi dan moden sementara pengusaha tradisi yang ada di kawasan terbabit tidak akan diketepikan dan ditinggalkan bahkan KPSSU melihat bahawa ianya melengkapkan dan memberi motivasi kepada pengusaha yang sedia ada.

Yang Berhormat berharap dengan wujudnya sistem pengeluaran secara berskala besar itu nanti, pengusaha yang sedia ada akan dapat meniru secara positif dan secara langsung berpeluang menerima manfaat melalui peningkatan sistem pengurusan yang lebih berorientasikan kepada pasaran dan juga peningkatan infrastruktur saliran dan jalan ladang.

Dari itu Yang Berhormat menyeru para pengusaha tempatan agar mempunyai fikiran yang lebih terbuka dalam menerima sesuatu kaedah yang baru yang bertujuan untuk membantu dalam peningkatan hasil beras dan dalam pengawalan musuh serta penyakit.

“Segala nasihat dan syor yang diberikan oleh Jabatan Pertanian hendaklah dipraktikkan bagi pengeluaran padi yang berkualiti dan mapan,” saran Yang Berhormat.

Yang Berhormat seterusnya berkata dalam menuju ke arah sara diri 20 peratus dalam tahun 2010 dan 60 peratus dalam 2015 pengeluaran beras negara, di antara program Pelan Jangka Pendek dan Sederhana yang sedang dan akan dilaksanakan di Daerah Belait termasuklah meningkatkan infrastruktur ladang termasuk jalan raya utama, pengaliran dan saliran, penanaman jenis varieti padi yang berhasil tinggi dan berupaya ditanam dua kali setahun, meningkatkan pengurusan amalan agronomi ladang, teknologi perladangan dan lepas tuai serta menjalani latihan dan lawatan.

Yang Berhormat selanjutnya berkata KPSSU melalui Jabatan Pertanian berhasrat untuk menjadikan varieti padi sebagai benih yang akan dapat meningkatkan produktiviti keluaran hasil tanaman padi dengan memperkenalkan penanaman dua pusingan setahun.

Ke arah itu pendekatan melalui penanaman serentak bermula pada tahun ini, manakala jenis varieti padi tradisi yang diusahakan di kawasan Lot Sengkuang akan dikekalkan sebagai tambahan kepada beberapa jenis varieti padi hibrid yang lain, manakala padi ‘Beras Laila’ akan diberi keutamaan untuk dikembangkan, jelas Yang Berhormat.

Perkara tersebut, kata Yang Berhormat, merupakan peluang bagi pengusaha yang sedia ada untuk mengembangmajukan va- rieti padi dengan menggunakan teknologi dan amalan pengurusan ladang yang baik bagi sama-sama memaksimumkan keluaran hasil dari kawasan berkenaan.

Sejurus selepas pelancaran tersebut, Yang Berhormat berkesudian bagi penanaman padi ‘Beras Laila’ di salah satu kawasan Lot Sengkuang dengan menggunakan jentera penanaman padi.

Antara yang hadir di majlis tersebut, Timbalan Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Hamdilah dan Setiausaha Tetap KPSSU, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Hamid serta Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Shafiee bin Ahmad.

Majlis tersebut merupakan kesinambungan kepada pelancaran penanaman padi di Kampong Wasan yang dilancarkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 27 April lalu.

Penanaman padi di Mukim Labi telah diusahakan sejak tahun 60-an dan dalam tahun 80-an kawasan paya Lot Sengkuang telahpun ditinggikan tarafnya seperti digazet kawasan oleh Jabatan Pertanian dengan keluasan 50 hektar termasuk pemasangan blok serta paip air.

Sementara itu Jabatan Daerah Belait turut menyumbang bagi kemudahan pembinaan jalan raya bagi pengusaha ladang yang dibina bermula dari Kuala Jalan Rampayoh-Labi ke Jalan Labi Lama sepanjang 2.5 kilometer. Ketika itu pengusaha ladang hanya seramai sepuluh orang.

Pada tahun 2000 hingga sekarang apabila Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) wujud, Lot Sengkuang di bawah pentadbiran MPMK dan keluasan ladang menjadi bertambah begitu juga penyertaan juga bertambah hingga mencecah 250 orang serta hasil meningkat setiap tahun.

Wakil pengusaha padi Daerah Belait, Awang Haji Kamarhan Atma berkata bagi mencapai sasaran 20 peratus tahap sara diri bagi penghujung tahun 2008- 2010, 60 peratus pada tahun 2015, penduduk Daerah Belait akan terus mengusahakannya dan berharap melalui pelan tindakan melibatkan infrastruktur ladang hendaklah dilengkapi seperti membaiki jalan yang sedia ada dan membina jalan baru, membina dan meningkatkan sistem pengairan dan saliran dengan teratur serta membuka aliran air terutama Sungai Rampayoh dengan dibuat aliran menuju ke Sungai Teriam/ Semburu, Kuala Balai bagi mengelakkan kebanjiran di kawasan berkenaan.


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.-