|
BERSAING DENGAN CARA
DAN KEMAMPUAN KITA
Oleh : H.A. Manap
KITA sedang melalui arus perubahan yang begitu bergolak dalam kehidupan seharian ini. Pergolakan ini amat ketara dan ia menjadi suatu fenomena yang mencabar ketahanan diri dan keupayaan kita. Sama ada kita mahu atau tidak ia tetap mengundang penyertaan kita dan kita perlu berada bersama-sama dengan warga dunia yang sudah berada di gelanggang perlumbaan ini. Meskipun kita harus menempuhi liku-liku yang tidak mudah, namun masing-masing kita tetap meletakkan impian yang tinggi untuk berada di puncak kejayaan. Ramai yang menginginkan impian mereka menjadi kenyataan. Kenyataan itu nanti akan menjadi dorongan yang mengangkat keupayaan diri dalam melakukan sesuatu ke arah kejayaan. Generasi muda remaja masa kini mempunyai banyak peluang dan pilihan. Pada satu pihak ini adalah pengalaman yang amat menggalakkan sebab terdapatnya banyak pilihan terbentang, tetapi pada pihak yang lain pula menganggap perubahan itu menawarkan harga yang sangat mahal untuk diterokai. Justeru remaja belia perlu mengikut kecenderungan diri dan mengalami kehidupan untuk menikmati setiap detik dan peluang yang ditawarkan, sesuai dengan kemampuan kita. Ramai yang merasakan kehilangan dalam mencari diri mereka dalam era yang ada sekarang. Kita yakin ramai di kalangan mereka terhimpit kerana persoalan apakah yang ingin mereka capai dalam kehidupan sedangkan, mereka wajar memikirkan akan sesuatu yang menggembirakan mereka dan berusaha memanfaatkan perkara itu sepenuhnya.
CABARAN
Persekitaran yang kini dipenuhi dengan persaingan tidak boleh dianggap suatu yang ringan sahaja. Ia perlu kepada penilaian diri yang lebih teliti. Hal ini penting untuk setiap diri mereka memahami laluan yang patut mereka ikuti.
Hala tuju yang lebih terarah perlu menjadi ‘peta laluan’ dalam membina kekuatan diri untuk kejayaan yang cemerlang. Memandangkan kepada laluan yang akan ditempuhi merupakan suatu perubahan yang belum pasti, maka ia perlu kepada persiapan yang mencukupi. Generasi muda belia perlu bersiap dengan menambahkan ilmu pengetahuan, kecekapan dan kemahiran di berbagai bidang, di samping memperdalam hingga ke tahap yang membolehkan menjadi pesaing yang mempunyai kekuatan. Keupayaan untuk berfikir secara lebih konstruktif dan kreatif juga merupakan elemen penting dalam mengangkat keupayaan diri di tengah-tengah pergolakan yang berlaku. Inilah yang dinamakan perubahan yang menuntut kemahiran, kecekapan dan ketinggian pengetahuan. Kita perlu berusaha gigih dengan mengangkat kekuatan daya fikir kita. Justeru sekarang adalah masanya bagi generasi muda remaja kita menjadi ‘young achievers’ yang cemerlang, yang bukan setakat diiktiraf di tempat kita sendiri malahan ia perlu kepada pengiktirafan dunia antarabangsa.
BERANI MENGHADAPINYA
Rahsia kejayaan bukan mudah untuk diperolehi, ia memerlukan kekuatan iltizam dan keampuhan semangat. Memiliki akan kemampuan untuk berubah dan perubahan itulah nantinya menjadi modal ke dimensi baru dalam ruang lingkup kehidupan. Pada waktu yang sama tunjang kepada kemampuan berubah ialah bagaimana kita menggerakkan daya fikir kita ke satu tahap yang boleh membantu kita menjadi pesaing yang hebat dan berupaya tinggi. Persaingan yang dimaksudkan tidak dapat tidak akan menuntut berbagai keperluan. Namun keperluan yang sudah pasti menjadi hal utama ialah sejauh mana kita mempunyai kualiti diri yang bersendikan ketinggian ilmu pengetahuan dan berani menghadapinya.
Inilah sepatutnya yang menjadi pengukur kepada kemampuan kita bersaing. Dalam banyak hal pun kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa kemahiran diri itu mestilah bertunjang kepada ketinggian ilmu pengetahuan yang dimiliki. Sebagai anggota masyarakat yang akan lahir sebagai pesaing yang hebat dan mempunyai kualiti yang tinggi, kita akan menjadi penggerak kemajuan dan perubahan sosial. Dalam arus kemajuan yang ingin kita capai tenaga muda yang berkemahiran, adalah amat diperlukan dalam mengisikan kekosongan dan keperluan kemahiran yang kita kehendaki. Berbagai sektor amat memerlukan tenaga mahir termasuklah bidang pendidikan, kejuruteraan, keagamaan, budaya dan bermacam lagi. Hatta di dalam bidang urus niaga dan perusahaan ia kini sudah menjadi satu keperluan yang amat dituntut kepada kalangan generasi muda terutama sekali kalangan mereka yang berkelulusan dan berpengetahuan tinggi. Dalam hal ini untuk memenuhi keadaan sedemikian generasi muda remaja perlu mempersiapkan diri dari sekarang dengan memenuhi kriteria diri tersebut.
Resipi inilah yang akan dapat dijadikan sebagai pemangkin dalam meneruskan pengisian keperluan yang diinginkan itu. Kemampuan untuk berdaya saing dan juga kemampuan untuk menerajui ke matlamat kecemerlangan perlu diiringi dengan kekuatan diri yang terisi dengan berbagai ilmu pengetahuan yang bertaraf tinggi. Kemajuan tidak akan dapat dilakukan andainya di kalangan masyarakat generasi yang ada tidak mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam dan berkemahiran. Kerana itu kepentingan ilmu pengetahuan itu diletakkan pada satu tahap di mana akan menjadi kunci kepada kejayaan yang ingin kita capai. Untuk mengisikan diri dengan kepelbagaian ilmu, kita tidak semestinya merasa puas dengan pencapaian yang ada pada diri kita.
Kita mesti giat berusaha meningkatkan daya kemahiran dan mencari kepelbagaian pendidikan hingga kepada satu tahap yang kita mampu menyaingi kalangan mereka yang sudah berada di hadapan kita. Sikap dan tindakan kita juga perlu seimbang agar setiap perancangan yang ingin kita gerakkan akan memenuhi kehendak perubahan dan kemajuan negara. Kita tanamkan sikap dan perangai untuk tidak terkongkong dengan kemelut dan stigma sosial yang hanya akan merosakkan kehidupan dan masa depan. Kita jadikan kehidupan yang dilalui ini sebagai landasan yang akan membantu meningkatkan kualiti kehidupan dan kejayaan di tahap cemerlang. Justeru sikap dan 'mind set' kita hendaklah segera berubah, ia perlu kepada menjana kemajuan dan mengerakkan kecemerlangan.
Dengan demikian mudah-mudahan kita akan dapat membina sebuah masyarakat dan negara yang maju berlandaskan kehidupan yang sempurna. Inilah juga yang akan melakar landskap kehidupan generasi muda belia kita. Landskap yang diletakkan pada asas-asas yang sempurna dan betul adalah penting menjadi asas pembinaan kemajuan yang kita inginkan. Bila kita memperkatakan mengenai dengan landskap sedemikian, ia amat jelas memberikan suatu gambaran yang begitu kemas. Struktur yang ingin dipamerkan ialah generasi yang terpimpin dan terasuh dengan pembinaan asas dan kesempurnaan yang menjadi modal dalam pembaharuan dan kemajuan negara. Landskap misalnya adalah merupakan susunan dan keindahan daya kreativiti yang menghiasi sesuatu perkara. Hal ini menjadi bahan-bahan dan asas penting pada mewujudkan suatu daya tarikan yang dapat dijadikan sebagai kekuatan dan tugu kegemilangan. Kekuatan yang ingin ditonjolkan ialah daya tarikannya sama ada dari segi idea, olahan dan pelaksanaan asas yang dibina itu.
Di tahap ini nanti, kita tidak perlu bertanya lagi kenapa ramai tidak mampu menandingi orang lain dalam bidang usaha, sedangkan kita juga mempunyai daya fikir, kekuatan dan pengetahuan yang sama dengan mereka. Kenapa kita tidak boleh jadi masyarakat yang maju ke hadapan lebih jauh dari mereka, sedangkan kita juga mempunyai peluang yang luas untuk menerokai bidang yang mereka terajui. Persoalan-persoalan sedemikian ini memang perlu kita perhatikan, apakah kita benar-benar berada di dalam garis yang memisahkan kita dengan kecekapan orang lain.
JADI MANGKIN PERUBAHAN
Persaingan yang ada sekarang, sekurang-kurangnya ramai yang sudah mempersiapkan diri untuk berada di dalam gelanggang percaturan yang matlamatnya menuju ke arah puncak kejayaan seperti mana juga pencapaian yang dilalui oleh mereka yang sudah maju dari kita. Kerana itu bila kita sudah mempersiapkan diri persoalan sedemikian itu akan terjawab dengan sendirinya. Persoalan sama ada kita mampu atau sebaliknya tidak akan timbul lagi. Kerana di ketika ini kita akan banyak melahirkan kalangan mereka yang mempunyai pengetahuan dan kecekapan di berbagai lapangan. Kita perlu menjadikannya satu realiti yang mana pelaksanaannya adalah kita dan mangkinnya adalah cara kita dan ilmu berkemahiran yang tersedia ada pada kita juga harus ikut serta. Bangsa kita memang tidak asing dengan kecemerlangan kerana sejarah yang lalu telah memperlihatkan bagaimana kita pernah mewujudkan suatu tamadun yang tidak ada pada yang lain. Kita pernah memilik tukang-tukang yang sangat mahir dengan kecekapan minda dan tangan yang menghasilkan penghasilan berkualiti tinggi. Kita pernah ada tukang besi, tukang emas, tukang perak, tukang tenun, kita juga mahir bertenun kain yang berkualiti tinggi, kita mahir berniaga, membuat kuih- muih, anyaman tikar dan banyak lagi tidak terkecuali pertukangan kayu dan kemahiran membuat rumah, perahu dan sebagainya. Semua yang pernah kita miliki ini perlu kembali ke arena perkembangan dan percaturan kemajuan masa kini.
Ia perlu disantuni dengan kemudahan dunia moden masa kini. Ia pasti akan lebih menyerlah dengan adanya kemudahan teknologi masa kini, peralatan yang mudah diperolehi dan banyak lagi yang akan membantu memperkemas kini kemahiran sedemikian. Inilah sebenarnya cara kita yang perlu kita angkat semula sebagai 'trade mark' yang mampu bersaing dengan cara kita sendiri. Sekarang adalah masanya untuk kita mengumbang semula, mencari ke mana hilangnya kemahiran yang pernah mengukir kegemilangan kehidupan berbangsa dan bernegara yang kita ada. Kita perlu mencari jalan bagaimana ia patut kembali ke pangkuan masyarakat di tengah-tengah pergolakan yang semakin membuka ruang kepelbagaian. Inilah sebenarnya yang perlu diungkayahkan oleh generasi muda remaja kita. Mereka perlu berani dan berupaya untuk mengunjar dan membawanya ke tengah-tengah pergolakan semasa yang menghendaki ketinggian daya saing. Kita tidak lagi perlu untuk sentiasa melihat orang lain sahaja yang mampu mengukir kegemilangan. Kita mesti mampu menunjukkan kegemilangan yang unik, yang boleh kita lahirkan dengan hasil kerjaya dan kemahiran tempatan kita.
Kembali ke muka utama
|