Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

MINDA PEMBACA

MINDA Pembaca yang terpilih minggu ini daripada tajuk yang telah kami kemukakan iaitu 'Ke Arah Sara Diri Pengeluaran Beras Tempatan'. Mereka akan menerima hadiah sebanyak BND40.00. Pendapat yang berjaya itu adalah seperti berikut: :

'Beras Laila' penuhi keperluan nasional

NEGARA Brunei Darussalam sememangnya berbangga apabila rakyat dan penduduk negara ini melihat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli berangkat turun ke sawah pada 27 April 2009 memulakan penanaman padi di Wasan, Daerah Brunei dan Muara. Detik itu bertambah erti lagi apabila baginda memperkenan nama beras jenis baru itu sebagai 'Beras Laila' mengambil sukut yang membawa pelbagai makna yang positif.

Apa yang kita saksikan itu merupakan satu peristiwa yang boleh menambah nilai kepada hasrat negara untuk mempelbagaikan ekonomi. Ini hendaklah dianggap sebagai satu pemangkin untuk meneruskan usaha ke arah menjadikan negara ini berupaya memenuhi keperluan kemajuan dalam pelbagai aspek ekonomi.

Keberangkatan baginda turun ke sawah yang berlumpur itu ialah satu usaha besar bagi melonjak mulakan proses untuk mencapai pengeluaran beras tempatan yang mencukupi bagi keperluan negara. Pasca dari itu, bola kini berada di gelanggang kita sebagai pelaku untuk meneruskan langkah yang telah dimulakan oleh baginda itu. Kejayaannya atau sebaliknya adalah tanggungjawab semua.

Dalam mengusahakan pengeluaran beras yang mencukupi kita perlu menyedari bahawa selama ini kita telah dilenakan oleh beras yang diimport dari luar. Kita seolah-olah lupa bahawa makanan yang kita nikmati itu adalah bahan asasi utama. Ini bermakna tanpa tidak disedari bahawa beras itu merupakan komoditi yang berunsur strategik. Dalam keadaan geopolitik yang kadangkalanya tidak menentu, begitu juga iklim ekonomi dunia yang sukar untuk diramal, boleh menjejaskan pengimportan beras dari luar. Jika sesuatu yang boleh menjejaskan import itu berlaku, nescaya keadaan bekalan beras negara ini akan turut terjejas.

Kita mengalu-alukan daya usaha yang dibuat oleh kerajaan. Namun demikian tindakan susulan bersepadu perlu dipertingkat bagi memastikan usaha itu mendatangkan hasil yang berlanjutan dengan kejayaan. Yakni usaha itu biarlah diasaskan ke dalam memberi pulangan yang berterusan sesuai dengan hasrat kita untuk mencapai cita-cita ke arah pengeluaran beras yang memenuhi keperluan nasional.

Dayang Amal Sohani binti Johari,
Simpang 63, No. 18, Jalan Beribi,
Kampong Beribi, Gadong BE1118
Bandar Seri Begawan.
No. k/p: 00-298777.


Menjamin sekuriti makanan negara

APABILA bercakap mengenai industri beras, mungkin ramai yang menyoal mengapa industri ini nampak lebih gah di Thailand berdasarkan kepada kualiti beras yang dihasilkan negara itu menyumbangkan 26 peratus jumlah eksport dunia yang menjadikan negara itu sebagai pengeksport utama beras dunia. Memandangkan negara kita masih bergantung kepada import beras, sebarang kenaikan sudah pasti akan memberi impak kepada harga pembelian bahan makanan ruji tersebut. Punca-punca kenaikan harga bahan makanan yang melonjak naik adalah disebabkan oleh pemberhentian eksport dari negara-negara pengeluar akibat dari pengeluaran hasil pertanian yang rendah dan masalah cuaca serta perubahan iklim dan bencana alam.

Dalam petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia sempena Hari Keputeraan baginda yang ke- 62 tahun pada 15 Julai 2008:

“... Jika ada negara pengeluar beras yang sudah mampu memenuhi 70 peratus keperluannya sendiri, masih sahaja sibuk menggubal dasar untuk sampai ke tahap 100 peratus mencukupi, mengapakah kita yang cuma baru setakat mampu menampung sekitar 3.12 peratus tidak menyinsing lengan meningkatkan industri penghasilan beras negara? Pada ingatan beta, perkara ini telah pun berulang kali beta timbulkan sejak beberapa tahun lagi. Jadi memang wajar untuk kita mempunyai pelan strategi dan dasar pertanian negara yang antara lain menjadikan jaminan sekuriti makanan negara (national food security) sebagai salah satu strategi utamanya ...”

Peranan Kerajaan Negara Brunei Darussalam adalah memastikan Kementerian perindustrian dan Sumber-Sumber Utama melalui Jabatan Pertanian akan terus berusaha bahawa sekuriti makanan akan terjamin dan mencukupi bagi penduduk negara ini. Ini dapat dilihat melalui visi pengeluaran beras negara adalah untuk memastikan tahap pengeluaran komoditi tempatan mencukupi sedia ada dan mapan. Selain itu harga pasaran yang berpatutan agar semua lapisan rakyat berkemampuan mendapatkannya dan pembekalan makanan yang berterusan dan mudah didapati.

Adalah diharap penglibatan semua pihak termasuk pihak swasta akan berusaha sama dalam meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan pergantungan kepada import beras. Negara Brunei Darussalam mampu mencapai sasaran pada tahap sara diri 20 peratus pada tahun 2010 hingga 60 peratus pada tahun 2015. Perancangan pelan tindakan kerajaan dalam pembangunan pengeluaran beras tempatan diharap mencapai matlamatnya ke arah sara diri yang diharap-harapkan selama ini.

Ke arah merealisasikan matlamat ini, penduduk negara ini perlu sedar dan berganding bahu dalam menjayakan sektor pertanian beras tempatan yang tidak semudah disangkakan. Menceburkan diri dalam pertanian beras tempatan yang tidak semudah disangkakan. Menceburkan diri dalam pertanian perlu berbekalkan ilmu pengetahuan, teknologi dan yang lebih penting ialah minat dan kesanggupan untuk berdaya saing.

Awang Haji Azreem bin Haji Ramli,
No. 6, Simpang 74-41-31,
Kampong Mata-Mata Gadong, BE1718.
No. k/p: 00-124710.


Sara diri pengeluaran beras tempatan

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Keempat Majlis Mesyuarat Negara supaya mempelbagaikan lagi ekonomi negara selain daripada penghasilan minyak dan gas terutama dalam bidang pertanian. Bidang pertanian adalah suatu bidang yang banyak menyumbangkan peningkatan ekonomi kepada negara-negara maju di seluruh dunia sama ada dalam bidang menyediakan makanan dengan cara menghasilkannya sendiri ataupun mengimport.

Baginda juga menekankan dalam titah di Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan baginda ke-62 tahun yang mana amatlah wajar bagi negara ini mempunyai pelan strategi dan dasar pertanian negara bagi menjamin sekuriti makanan negara sebagai satu strategi utama.

Bagi mencapai hasrat baginda ini, maka penanaman padi skala besar telah dilancarkan pada 27 April 2009 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Langkah penanaman padi secara besar-besaran yang dikepalai oleh baginda sendiri menjadi pendorong semangat rakyat dalam usaha mencapai sara diri kerana sudah masanya negara menghasilkan beras sendiri dari terus mengimport. Apatah lagi senario masa kini yang memperlihatkan dunia berdepan dengan krisis makanan global termasuk kekurangan hasil beras dunia. Jika senario ini terjadi duit berjuta tidak lagi berguna maka kita selaku rakyat hendaklah memandang berat perkara tersebut dengan mengambil langkah yang sewajarnya.

Usaha-usaha dengan melakukan dan melaksanakan pelbagai aktiviti telah dibuat oleh Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama seperti mengadakan program-program Pelan Jangka Pendek dan Sederhana yang diadakan di Kawasan Penanaman Padi Kampong Wasan bagi mencapai peningkatan tahap peratus sara diri yang lebih tinggi daripada yang ada masa ini sejajar dengan pertumbuhan dan keperluan negara.

Kementerian telah merancang untuk meningkatkan pengeluaran beras daripda 3.15 peratus kepada 20 peratus sara diri pada tahun 2010. Perkara ini tidak menjadi suatu yang mustahil memandangkan padi 'Beras Laila' ini boleh ditanam dua kali setahun dan juga penanaman ini diadakan di keempat-empat daerah, apatah lagi dengan adanya penglibatan semua lapisan masyarakat tidak lagi menjadi perkara mustahil kita akan berjaya menghasilkan beras kita sendiri dengan penghasilan sara diri yang dirancang.

Dayang Sariwati binti Haji Kahar,
No. 8, Simpang 1761-30-55,
Jalan Tanjong Langir,
Kampong Kulapis, BG2521.
No. k/p: 00-255667.


Bersama-sama menjayakan program kerajaan

BARU-BARU ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan mengisytiharkan nama baru bagi salah satu varieti beras tempatan yang dihasilkan di negara ini iaitu 'Beras Laila'.

Beras Laila ini diusahakan sendiri oleh penduduk tempatan dengan bantuan Jabatan Pertanian. Dari apa yang kita lihat sekarang ekonomi global sudah tidak menentu yang mana ini akan menjejaskan ekonomi negara. Jadi dengan adanya penanaman padi kita sendiri ini boleh meningkatkan sumber ekonomi dalam jangka masa pendek dan panjang. Dalam pelaksanaan program peningkatan beras di Negara Brunei Darussalam bagi menyahut titah baginda, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama telah merancang untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan. Kementerian juga ada menyasarkan beberapa peratus kenaikan tan metrik dalam masa dua ke lima tahun akan datang.

Untuk melaksanakan program tersebut kita sebagai penduduk negara ini harus sama-sama berusaha untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan dengan membeli beras tempatan sebagai makanan harian serta sama-sama mejayakan dengan mengesyorkan kepada kawan, jiran tentang kelazatan serta kandungan karbohidrat dan serat (nutrient mokro) yang rendah. Malah ia juga mengandungi protein yang lebih tinggi berbanding beras luar negara.

Seperti yang disebut-sebut 'Beras Laila' ini boleh menjadi salah satu hasil pertanian yang berjaya jika diusahakan bersungguh-sungguh kerana ia boleh dihasilkan dua kali dalam masa setahun. Ia pasti akan menjadi salah satu pengeluaran yang menguntungkan jika ia sudah menjadi makanan terpenting bagi penduduk negara ini. Dan itu pasti menjadi kenyataan dalam mencapai matlamat sara diri dalam pengeluaran beras tempatan.

Oleh itu kita sebagai penduduk negara ini haruslah sama-sama menyahut program peningkatan beras di Negara Brunei Darussalam. Meskipun ia masih baru di kalangan masyarakat kita 'Beras Laila' ini akan menjadi menu utama bagi santapan kita setiap hari jika kita sendiri membuat pilihan yang bijak, bukan hanya untuk kesihatan malah ekonomi negara juga terus meningkat.

Dayang Hasmahwati binti Haslan,
No. 817, Kampong Selangan,
Jalan Batang Duri, Temburong PD2751.
No. k/p: 00-278241.


TAJUK-TAJUK MINDA PEMBACA AKAN DATANG

1. 'E-Kerajaan Memudahkan Urusan Orang Ramai'. Tarikh tutup : 29 Jun 2009.

2. 'Hari Keputeraan Lambang Perpaduan dan Kerjasama'. Tarikh tutup : 6 Julai 2009.

3. 'Bersama Rakyat Manifestasi Yang Meneguhkan Institusi Beraja'. Tarikh tutup : 13 Julai 2009.

Pendapat awda hendaklah ditaip jarak langkau dua baris dan panjang pendapat awda mestilah antara 200 hingga 300 patah perkataan. Nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat lengkap dan nombor telefon jika ada hendaklah disertakan dan hendaklah dihantar kepada :

Sidang Penyunting Minda Pembaca,
Unit Pelita Brunei,
Lapangan Terbang Lama, Berakas,
Bandar Seri Begawan, BB 3510,
Negara Brunei Darussalam,
jaafar.ibrahim @ information.gov.bn.
e-mel : pelita@ brunet.bn

Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.-