|
e-Kerajaan lebih mesra pelanggan dan pemedulian
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 12 Jun. -Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sememangnya berhasrat untuk menggalakkan projek-projek e-Kerajaan agar mempunyai unsur 'connectivity', 'interaksi' dan transaksi yang membolehkan orang ramai dan pelanggan berurusan dengan mana-mana agensi kerajaan termasuk perkhidmatan-perkhidmatan seperti pembayaran tuntutan bil utiliti, pertanyaan serta penyediaan borang permohonan secara 'online'.
 TIMBALAN Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri Awang Haji Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato paduka Haji Mohd Yusof.
(Foto : Hernie Suliana Haji Othman)
Menurut Timbalan Setiausaha Tetap, Jabatan Perdana Menteri Awang Haji Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato paduka Haji Mohd Yusof, ketika ditemui oleh wakil Pelita Brunei, menegaskan dengan tercapainya kaedah pengurusan perkhidmatan tersebut, akan dapat mengurangkan kos pentadbiran selain pengendalian perkhidmatan akan lebih mesra pelanggan dan efisien sekali gus tekad pemedulian juga akan lebih bermakna kepada semua pihak.
Beliau menambah antara perkara yang juga dihasratkan difahami orang ramai adalah mengenai penekanan ke atas keperluan tenaga sumber manusia dan kepakaran dalam bidang teknologi dan infokomunikasi (ICT) yang masih kekurangan di sektor kerajaan mahupun swasta.
"perkara ini adalah salah satu teras utama bagi menjayakan inisiatif e-Kerajaan dan ianya akan lebih mencabar di masa akan datang apabila mana perlaksanaan projek-projek e-Kerajaan bertambah. Dalam hubungan ini kerajaan melalui Pusat penubuhan e-Kerajaan (EGNC) sedang berusaha dalam proses membuat perancangan menangani isu sumber tenaga ICT di sektor kerajaan dengan tujuan perlaksaan inisiatif e-Kerajaan menepati sasaran yang dihasratkan" menurut Awang Haji Mutalib lagi.
Menurut Awang Haji Mutalib lagi, mengimbas kembali sedikit latar belakang mengenai inisiatif e-Kerajaan di negara ini mulai pertengahan tahun 2007, kerajaan KDYMM melalui Jabatan Perdana Menteri telah mengorak langkah bagi perlaksanaan dasar e-Kerajaan. Beberapa organisasi teras e-Kerajaan yang bersesuaian telah mula ditubuhkan iaitu Forum kepimpinan E-Kerajaan (EGLF) yang bersidang pertama kalinya pada bulan November 2007, Badan Berkuasa Teknikal e-Kerajaan (EGTAB) yang mula beroperasi pada Okober 2007, perlantikan semula Ketua-Ketua Pegawai Maklumat dan bersidang melalui Forum Dialog CIOs dan penubuhan Pusat Kebangsaan e-kerajaan (EGNC) yang beroperasi mulai bulan April 2008. Tumpuan diberikan kepada memberikan perkhidmatan yang "Citizen-Centric" serta reformasi perkhidmatan awam dalam pemberian perkhidmatan kepada orang ramai
efektif
Bagi Awang Azhar bin Haji Ahmad, Pemangku Pengarah Pusat Kebangsaan e-Kerajaan, Jabatan Perdana ketika ditemui oleh pihak media menyatakan pameran ini diadakan sempena pelancaran pelan strategik e-Kerajaan 2009-2014 yang telah diadakan pada 30 Mei 2009. Pameran ini juga akan dilaratkan ke daerah-daerah lain.
 PEMANGKU Pengarah Pusat Kebangsaan e-Kerajaan, Jabatan Perdana, Awang Azhar bin Haji Ahmad
(Foto : Hernie Suliana Haji Othman)
Pengertian e-Kerajaan di sini atau lebih dikenali ramai dengan 'e-Government' adalah bererti penggunaan teknologi info-kommunikasi (ICT) bagi menjadikan pentadbiran awam lebih efisen dan efektif. e-Kerajaan adalah satu perjalanan yang melibatkan empat elemen penting iaitu strategi, sumber tenaga manusia, proses dan teknologi.
Menurutnya lagi, Inisiatif E-Kerajaan telah bermula sejak tahun 2000 dengan adanya pelan tindakan rangka kerja strategik e-Kerajaan bagi tahun 2001 - 2005 atau 'E-Government Strategic Framework For Action 2001-2005'. Jawatankuasa tertinggi pada masa itu ialah Jawatankuasa Program Eksekutif e-Kerajaan atau EGPEC yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri.
Program e-Kerajaan ini adalah merupakan salah satu aktiviti strategi pengurusan yang mana melalui pengunaan ICT yang meluas akan dapat memodenisasikan perkhidmatan awam; menambahbaikan usaha pemberian perkhidmatan awam (public service delivery) secara elektronik yang menepati ekpektasi orang ramai; dan akan dapat menguruskan permintaan pengguna yang sangat mencabar dalam suasana persekitaran yang dinamik.
Mengenai dengan pameran ini, Ketua Bahagian Teknologi Maklumat (IT) Kementerian Hal Ehwal Ugama Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don, melahirkan pandangannya mengenai pameran yang julung-julung kali diadakan adalah untuk memberigakan kepada orang ramai mengenai dengan apa jua perkhidmatan-perkhidmatan kerajaan secara online yang boleh di akses atau dimanfaatkan
 KETUA Bahagian Teknologi Maklumat (IT) Kementerian Hal Ehwal Ugama Awang Haji Abu Bakar bin Haji Mohd Don.
(Foto : Hernie Suliana Haji Othman)
"dengan adanya pameran ini tegasnya ianya adalah satu usaha yang baik dan perlu dilaratkan kepada daerah-daerah lain. Ini sebagai satu inisiatif yang berguna kepada masyarakat" ujarnya
Menyentuh mengenai penyertaan Kementerian Hal Ehwal Ugama katanya telah menyediakan sistem online melalui projek SISMI (Sistem Maklumat Islam) dengan mempunyai 5 modul iaitu perkhidmatan seperti pendaftaran Kursus Pra Nikah, pendaftaran Kursus Pengislaman dan sistem aduan secara online
Pameran tiga hari bermula hari ini hingga 14 Jun itu antara lain dihasratkan untuk memberi kefahaman kepada orang ramai mengenai Projek-projek e-Kerajaan bukan sahaja dari segi teknologi sebagai 'enabler', tetapi juga dari segi 'connectivity' dan interaksi antara kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi kerajaan dengan pelanggan serta orang ramai.
Pameran bertujuan bagi menanamkan kesedaran dan mempromosikan inisiatif program e-Kerajaan kepada orang ramai. Sebanyak 15 buah ruang pameran telah disediakan bagi memberikan peluang orang ramai untuk menyaksikan pameran e-Kerajaan yang disertai oleh beberapa kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan iaitu pengunaan sistem e-Kerajaan antaranya PMONet - perkhidmatan maklumat on-line termasuk pengunaan emel untuk kegunaan Kementerian-Kementerian; Perkhidmatan SMS bagi Pembaharuan Paspot ;E-Registration - pendaftaran nama-nama perniagaan secara on-line; Perlaksanaan portal dan kios-kios maklumat perkhidmatan hal ehwal ugama; Sistem Pengangkutan Darat Sistem; e-Kastam; Pelita Brunei online dan Brunei Diary; RTB City - perkhidmatan netRadio dan news video streaming dan interactive learning serta SMS untuk keputusan peperiksanaan
(Oleh : Dk hjh Fatimah Pg Hj Md Noor / Siti Zuraihah binti Haji Sulaiman)
Kembali ke muka utama
|