BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 Jun. - Penglibatan dalam apa jua program dan aktiviti sekolah merupakan pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit dan menjadi kenangan di kemudian hari, tetapi juga merupakan latihan ketahanan mental dan emosi yang baik untuk pembinaan peribadi, semangat, keazaman dan kepantasan bertindak seseorang.
Di samping itu, sukan pada dasarnya turut melatih seseorang untuk memiliki ciri-ciri kepimpinan dan daya juang yang amat berguna dalam menempuh rintangan dan kesukaran atau permasalahan dalam hidup sehari-hari.
Pemangku Ketua Unit Kaunseling, Bahagian Kaunseling dan Bimbingan Bakat Kerja, Jabatan Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan, Dayang Hajah Gambar binti Haji Gapar menekankan perkara itu semasa merasmikan Sukan Tahunan Sekolah Menengah Sayyidina Hassan (SMSH) Kali Ke-11, di Padang Kebajikan Belia dan Sukan, Berakas di sini.
”Mahir dalam satu jenis sukan dan permainan atau ‘games’ akan membantu penuntut-penuntut mengisi masa lapang dengan kegiatan dan aktiviti yang berfaedah kepada kesihatan, kecergasan minda dan di samping itu dapat pula melakukan kegiatan yang kita senangi,” tegasnya.
Beliau menjelaskan, sukan secara tidak langsung akan mengajar masyarakat kemahiran tentang bagaimana memberikan tumpuan dan fokus yang terbaik dalam perkara yang ingin dicapai serta bekerjasama dan bertolak ansur seperti penyertaan dalam sukan berpasukan.
Dari itu, beliau menyeru para pelajar mengambil iktibar daripada mereka yang berjaya di dalam bidang sukan yang memerlukan latihan yang banyak serta mengamalkannya setiap hari, di samping bidang akademik yang lain.
”Hanya dengan usaha yang berterusan, kejayaan itu dapat dicapai. Mudah-mudahan para pelajar SMSH akan terus melangkau jauh dan menggenggam cita-cita dan berwawasan tinggi untuk masa depan yang bermakna dan sejahtera,” tegasnya.
Lebih kurang 1000 orang terdiri dari pegawai, guru, kakitangan dan penuntut SMSH menghadiri Sukan Tahunan Kali Ke-11 yang melibatkan empat buah rumah iaitu Rumah Pejuang, Pahlawan, Satria dan Perwira bertanding bagi acara-acara padang dan balapan.
Sukan tahunan itu bertujuan memberi peluang yang luas kepada pelajar-pelajar sekolah tersebut membabitkan diri ke arena sukan selain memilih para pelajar yang berpotensi di bidang sukan untuk mewakili ke peringkat negara dan antarabangsa.
Di samping itu, sukan tahunan itu juga diharap dapat membentuk para pelajar berdisiplin, gigih dan mempunyai keyakinan diri sama ada dalam latihan atau perlawanan.
Ia juga bertujuan melatih kepimpinan, sikap bertoleransi dan bekerjasama dalam kerja-kerja berpasukan.
(Oleh : Marzuki Haji Mohd. Seruddin)
Kembali ke muka utama