Pelita Brunei - Berita Ringkas
BERITA LENGKAP

Persiapan akhir bagi keperluan persekolahan anak-anak
Oleh : Ak. Jefferi Pg. Durahman
jefferi.durahman@information.gov.bn

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 1 Januari .- Kesibukan para ibu bapa membuat persiapan bagi persekolahan anak-anak dan yang baru memasuki alam persekolahan sudah terasa. Kedai atau gedung-gedung yang menyediakan peralatan persekolahan serta pakaian-pakaian persekolahan dipenuhi sejak kebelakangan ini dengan para ibu bapa membuat persiapan terakhir membeli barangan yang diperlukan oleh anak-anak mereka.

Walaupun pelbagai pilihan ditawarkan oleh kedai-kedai yang menyediakan peralatan persekolahan anak-anak mereka, namun masih ada juga sesetengah ibu bapa yang lebih suka membuat perbelanjaan mereka di luar negara. Menurut sesetengah ibu bapa ianya lebih murah berbanding dengan apa yang ada terjual di negara ini.

GAMBARAN di salah sebuah kedai buku yang sibuk dikunjungi oleh ibu bapa membeli keperluan persekolahan anak-anak. (Foto : Abdul Kadir Mohd. Tahir)

>Dalam kesibukan membuat persiapan di saat-saat akhir , wakil PELITA BRUNEI sempat membuat beberapa tinjauan dan wawancara bersama beberapa orang ibu bapa mengenai persiapan yang mereka buat bagi persekolahan anak-anak masing-masing.

“Bagi saya yang mempunyai empat orang anak yang masih bersekolah, perbelanjaan untuk membeli barangan peralatan persekolahan dari segi buku-buku tulis, peralatan tulis dan buku-buku teks yang diperlukan dan yang sememangnya sudah ditentukan oleh pihak sekolah tidaklah begitu membebankan, kerana kita sudah maklum berapa jumlah perbelanjaan yang kita perlukan, bagaimanapun ianya tertakluk kepada penilaian dan kemampuan seseorang itu,” jelas Awang Ali bin Haji Misir, 40 tahun berasal dari Kampong Badil, Lambak Berakas.

Menyentuh mengenai harga barang seperti buku-buku tulis dan teks di negara ini beliau menjelaskan bahawa ianya tidak begitu mahal dan adalah berpatutan. Seperti di tahun-tahun lepas beliau membeli dan membuat persiapan persekolahan dengan berbelanja di negeri sendiri dan berpendapat ianya adalah memadai dan tidak perlu berbelanja di luar negara. Bagaimanapun ianya terpulang kepada pilihan dan kemampuan individu masing-masing.

Manakala isteri beliau, Dayang Rosinah binti Haji Salleh pula berharap sistem penyediaan buku-buku dikekalkan seperti yang pernah diamalkan dahulu di mana buku-buku teks disediakan oleh pihak kerajaan secara percuma keseluruhannya berbanding dengan masa ini sesetengah buku-buku terpaksa dibeli sendiri oleh para ibu bapa. Jika buku-buku teks disediakan seperti dahulu akan membolehkan para ibu bapa berjimat cermat dan membeli keperluan persekolahan yang lain seperti baju-baju sekolah anak-anak.

DAYANG Jimiah binti Haji Tamin , dengan enam orang anak, empat bersekolah di sekolah rendah dan dua di sekolah menengah, seperti tahun-tahun lepas perlu berbelanja lebih seratus ringgit untuk membeli barangan persekolahan anak-anak. (Foto : Abdul Kadir Mohd. Tahir)

Dayang Jimiah binti Haji Tamin, berasal dari Berakas Kem iaitu ibu kepada enam orang anak yang masih bersekolah pula memberikan pandangan sedikit berbeza berhubung penyediaan buku- buku teks yang pernah disediakan oleh pihak kerajaan beberapa tahun dahulu.

“Bagi saya kebaikan yang dapat kita perolehi dari membeli buku-buku teks tersebut ialah ianya dengan sendirinya menjadi kepunyaan kita dan boleh digunakan lagi bagi anak-anak kita di tahun seterusnya bagi yang baru bersekolah yang memerlukan teks yang sama. Bagaimanapun bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak ianya mungkin susah untuk mereka kerana terpaksa berbelanja lebih dari yang dianggarkan, jadi bagi pendapat saya jika sistem yang dahulunya boleh dikembalikan mungkin ianya sedikit sebanyak dapat membantu terutama bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak yang masih bersekolah dan yang baru masuk ke alam persekolahan,” jelasnya.

Menurutnya dengan enam orang anak, empat bersekolah di sekolah rendah dan dua di sekolah menengah, seperti tahun-tahun lepas perlu berbelanja lebih BND100 untuk membeli barangan persekolahan anak-anak.

Menyentuh mengenai sikap sesetengah ibu bapa yang lebih suka berbelanja di luar negera dengan pertukaran mata wang ringgit Malaysia,beliau berpendapat harga yang dikenakan tidak jauh bezanya malahan jika membeli di luar negara hanya akan membazir masa kerana besar kemungkinan ada sesetengah buku-buku teks yang dibeli tidak dapat digunakan di sini.

Manakala bagi Mohd. Shahdan bin Haji Ghani, 45 tahun berasal dari Kampong Batu Marang, membeli sesetengah buku-buku tulis bagi anak-anak di luar negara kerana beliau berpendapat ianya lebih murah jika dibandingkan di negara ini.

AWANG Mohammad Shahdan bin Haji Ghani berasal dari Kampong Batu Marang, membeli sesetengah buku-buku tulis anak-anak di luar negara kerana beliau berpendapat ianya lebih murah jika dibandingkan di negara ini. (Foto : Abdul Kadir Mohd. Tahir)

“Semua ini tertakluk kepada penilaian individu masing-masing, cuma bagi buku-buku teks perlu dibeli di negara sendiri kerana ianya berbeza dengan negara luar. Jika perlu adalah lebih baik sistem yang dahulu digunakan oleh pihak kerajaan (Kementerian Pendidikan) di mana buku-buku teks diberikan secara percuma kepada anak-anak murid,” jelasnya dengan penuh harapan.

Penyediaan buku-buku teks seperti yang pernah dilakukan dahulu perlu bagi para ibu bapa yang berpendapatan rendah dan mempunyai ramai anak kerana mereka terpaksa berbelanja besar membeli buku-buku teks dan juga buku tulis, di samping peralatan tulis anak-anak mereka.

Sementara itu para peniaga di kedai-kedai buku pula rata-rata menyatakan bahawa sambutan orang ramai adalah sama seperti tahun-tahun sebelumnya dan memberikan keyakinan bahawa penyediaan buku-buku adalah mencukupi dan tidak menimbulkan sebarang masalah.


Kembali ke muka utama