Menuju Keredaan Allah

SENYUM DAN KETAWA MEMBERI PENGARUH YANG BAIK DAN MENYIHATKAN

SALAH satu bentuk reaksi kejiwaan yang ditampilkan manusia adalah senyum dan ianya merupakan salah satu bentuk kegembiraan ataupun rasa senang di hati. Dengan itu senyum dapat kita fahami hanya dengan melihat mimik wajah seseorang. Senyum dapat melambangkan kegembiraan ataupun kepuasan yang ditampilkan melalui wajah. Tetapi tidak semua senyum menampilkan gambaran tersebut.

Dengan itu pengertian senyum mengandungi pelbagai makna, adakalanya sukar untuk membuat definisi mengenai senyum, kerana ia merupakan gerakan yang kadang-kadang muncul secara mengejut. Dorongan yang menimbulkan reaksi sukar kita perhitungkan, kerana gambaran ataupun reaksi kejiwaan itu banyak sekali. Suatu reaksi kejiwaan timbul sebagai akibat dua keadaan yang saling bertentangan, seperti misalnya menangis kerana sedih ataupun senang. Ketawa dapat lahir pada saat kita mencapai kejayaan tetapi ketawa dapat pula timbul pada waktu kekalahan menghimpit kita. Ada sebuah ungkapan yang berbunyi: "Kesedihan yang menggelikan dan kesedihan yang menimbulkan tangis".

Sememangnya demikian sebab reaksi kejiwaan lembut seperti senyum dapat kita fahami hanya dengan mempergunakan kata-kata ringkas saja ataupun dapat kita fahami dalam pengertian yang berbeza-beza. Di dalam bahasa Arab terdapat pengertian: "Senyum itu ialah ketawanya ialah ketawa kecil dan bermakna baik”. Sementara dalam banyak huraian tentang sifat-sifat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dikatakan: “Kebanyakan ketawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lahir dalam bentuk senyuman".

Senyuman dapat disimpulkan pada dua gambaran iaitu senyuman seorang diri dan senyuman bersama. Senyuman seorang diri dan sama sekali tidak ada orang lain yang turut serta. Senyuman yang demikian itu timbul tatkala seorang itu sedang sendirian, berfikir, termenung dan teringat kejadian yang baik, yang menyenangkan atau sedang memikirkan dan merancang sesuatu yang diharapkan akan dapat mendatangkan keputusan yang baik ataupun keuntungan yang banyak.

Manakala senyuman bersama adalah senyuman yang timbul antara seseorang dengan orang ramai atau dengan teman bicara. Sebuah senyuman muncul akibat ucapan atau perbuatan yang dilakukan oleh salah seorang atau oleh mereka bersama, yang dilihat oleh orang lain atau mereka bersama. Oleh kerana itu kita dapat menarik kesimpulan bahawa senyuman yang muncul oleh manusia itu adalah yang timbul secara bersamaan dengan reaksi-reaksi lainnya, yang memang dimiliki oleh setiap orang.

Tidak berlebihan kiranya untuk mengatakan senyuman, ketawa wajah yang berseri-seri, jenaka, senda gurau berasal dari sebuah sumber yang sama. Semua itu lahir sebagai akibat daripada watak, naluri dan tabiat manusia yang kerana bosan dengan menghadapi perkara-perkara yang menuntut kesungguhan hati, kelelahan batin serta kemuraman wajah lalu melepaskan diri dari kemelut yang demikian itu dengan mencari hiburan hati dan kegembiraan kalbu.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah memberikan petunjuk serta resipi pengubatannya dengan sabda Baginda:

"Janganlah terlalu membebani jiwamu dengan segala kesungguhan hati. Hiburlah dirimu dengan hal-hal yang ringan dan lucu, sebab bila hati terus dipaksakan dengan memikul beban-beban yang teruk, ia akan menjadi buta", (Sunan Abi Dawud).

Wajah yang sentiasa diliputi senyum benar-benar merupakan suatu kenikmatan Allah Subhanahu Wata’ala. Apabila hidup kita sentiasa diwarnai oleh senyuman yang datang dari hati yang tulus, maka bererti kita lebih kuat menghadapi segala cabaran dan perjuangan kehidupan. Para ahli ilmu jiwa sepakat ketawa dan senyuman akan memberikan pengaruh yang baik dan menyihatkan. Sesiapa yang selalu hidup dalam alam fikiran yang riang dan berjenaka, maka akan sentiasa pula jauh dari penyakit atau kecil kemungkinannya untuk diserang penyakit.

Ketawa dan senyuman itu dalam keseluruhannya dapat kita katakan sebagai bentuk pelampiasan tenaga yang tersimpan menumpuk yang dipersiapkan untuk menghadapi sesuatu keadaan atau sebagai pelampiasan perasaan. Dengan kesimpulannya ketawa dan senyuman itu merupakan suatu tindakan aktif yang diikuti oleh semangat dan kegiatan.

Para pakar jiwa juga menjelaskan bahawa ketawa serta senyuman tidak akan melemahkan atau menekan organ-organ muka, tetapi sebaliknya merupakan sejumlah latihan yang indah bagi pertumbuhan dan perkembangan organ-organ tersebut, yang menyebabkan jiwa manusia yang sempurna.

Sedangkan disebalik itu, kesusahan dan kesedihan yang secara terus-menerus menghimpit jiwa akan membebani organ-organ muka dan perlahan-perlahan tetapi pasti akan menghilangkan kesegaran wajah seterusnya denga cepat menampakkan ketuaan sebelum waktunya.

Oleh itu Islam merupakan agama dunia dan akhirat maka dikehendaki agar semua penganutnya menghadapi kehidupan dunia ini, sentiasa dengan perasaan dan sikap penuh optimisme melaksanakan pengabdian dan tugasnya sesuai dengan perintah Allah Subhanahu Wata’ala.

Penuhilah minda kita dengan perkara yang menggembirakan dan sentiasa senyum agar dapat mengurangkan segala bebanan dan menghadapi kesukaran dengan ketenangan. Hidup ini sentiasa menghadapi dugaan dan penuh cabaran. Hadapilah dengan penuh senyuman agar mendapat jalan yang penyelesaian yang baik dan memuaskan kerana ketawa dan senyuman itu satu penawar yang tidak ternilai harganya dan sangat mujarab sekali di dalam kehidupan kita.


Kembali ke muka utama