DARI SIDANG PENGARANG

Rabu, 11 Februari 2009
15 Safar 1430

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

KIBARKAN BENDERA SEMARAK JUBLI PERAK HARI KEBANGSAAN

MENAIKKAN dan mengibarkan bendera kebangsaan merupakan elemen yang penting dalam menyambut hari-hari kebesaran negara. Ianya sebagai simbol kebanggaan dan juga merupakan manifestasi negara. Lebih daripada itu ianya sebagai lambang kesetiaan dalam kita mengharungi kehidupan berbangsa dan bernegara. Namun apa yang diperhatikan ’sambutan’ sebahagian rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dalam sama-sama menaikkan dan mengibarkan bendera di rumah-rumah persendirian sempena Hari Kebangsaan saban tahun amatlah berkurangan dan seolah-olah tidak dipedulikan. Seolah-olah rakyat tidak mempunyai semangat patriotik yang cukup hebat. Perkara ini amat ketara dilihat di mana bilangan mereka yang mengibarkan bendera tidaklah sehebat mana berbanding dengan kepadatan rumah-rumah khususnya di kawasan-kawasan perumahan negara dan juga rumah-rumah pangsa kepunyaan kerajaan.

Mengapakah rakyat menyambut dingin perkara ini, sedangkan usaha mempromosi di media-media elektronik dan media cetak cukup ‘banyak’. Apakah orang kitani tidak mampu membeli sehelai bendera, sedangkan harganya tidaklah membebankan dan mahal? Atau apakah orang kitani malas ingau kerana memikirkan perkara itu sia-sia atau membuang masa? Atau mungkin tidak tahu apa pengertian di sebalik mengibarkan bendera? Untuk menjawab ’tepuk dada tanya selera’. Harga sehelai bendera janganlah terlalu kitani berkira sangat. Nilai yang amat tinggi ialah kesanggupan dan kesediaan bersama menyemarakkan sambutan hari yang bersejarah pada 23 Februari nanti. Sepatutnya sebagai bangsa merdeka, hendaknyalah kita berbangga dengan pencapaian kemerdekaan yang dicapai sejak tahun 1984. Kerana kitani merdeka tidak perlu menumpahkan darah atau berjuang menuntut kemerdekaan dengan revolusi dan sebagainya, tetapi kitani mencapai kemerdekaan dengan suasana aman damai penuh ketenteraman. Kalau kita meninjau sejarah bangsa-bangsa lain di rantau ASEAN misalnya, mereka berjuang bermati-matian dan terpaksa menumpahkan banyak darah semata-mata mengecap erti kemerdekaan.

Tetapi senario itu tidak terjadi kepada bangsa kita, bahkan kita menggenggam kemerdekaan dengan laungan 'Allahuakbar', sesuatu yang jarang berlaku di tempat lain.

Justeru itu, selayaknya kita dalam merayakan Sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-25 Tahun ini, beramai-ramai memacakkan tiang-tiang dan mengibarkan bendera yang menjadi lambang kebanggaan semua. Marilah kita hiasi rumah-rumah dengan kibaran bendera putih, kuning, hitam dan merah agar kita lebih patriotik serta lebih menyayangi Hari Kebangsaan terutama sekali bangsa dan negara yang tercinta selama 19 hari bermula dari 8 hingga 26 Februari. Perayaan pada tahun ini amatlah bermakna dalam diari kehidupan yang akan tetap menjadi ingatan sepanjang hayat.

"Wajarlah sepanjang tempoh Sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ini, semua rakyat dan penduduk yang bermastautin di negara ini akan lebih bersikap positif, menampakkan jati diri, bersemangat patriotik tinggi dengan mengibarkan bendera negara secara hormat dan sempurna sama ada di kampung-kampung dan mukim-mukim, di kawasan-kawasan perumahan dan perniagaan di seluruh negara", jelas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Ahmad di Upacara Menaikkan Bendera Besar Sempena Sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan baru-baru ini.

Perlu diketahui bahawa bendera negara adalah berkait rapat dengan maruah dan martabat bangsa kerana ia merupakan lambang kedaulatan negara. Oleh sebab itu pada setiap tahun Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengadakan upacara menaikkan bendera berukuran besar sebagai satu pembarigaan ke seluruh negara tentang sambutan hari yang bersejarah itu. Pada hakikatnya bendera negara dijadikan saluran penting untuk menyemai serta membangkitkan semangat cintakan bangsa dan tanah air serta memupuk wadah patriotik yang sejati kalangan rakyat dan penduduk yang bernaung di bawah bumi Darussalam. Oleh sebab itulah juga sebagai lambang kedaulatan negara, ianya tidak boleh kitani sambaranakan tetapi hendaklah sentiasa meletakkannya di kedudukan yang selayaknya dengan penempatannya mestilah dalam kedudukan yang mulia dan terhormat bukan selarah-larahnya seperti kain ’paraca’ yang tidak berguna. Begitulah tingginya martabat bendera negara.

Semogalah bersemaraknya sambutan Jubli Perak pada tahun ini dengan kita meramaikannya melalui kibaran bendera di seluruh pelusuk tanah air yang tercinta agar sambutan pada 23 Februari depan akan kita rayakan dengan selayaknya dan walih sedikit daripada sambutan-sambutan tahun lepas. Adalah diserukan kepada semua lapisan rakyat dan penduduk agar mengibarkan bendera kebangsaan sebagai lambang kesetiaan terhadap negara tercinta. Dengan tema ’Kedewasaan Bernegara’, biarlah Hari Kebangsaan itu akan terus menguatkan azam dan iltizam kita semua dalam kesinambungan pembangunan bumi Darussalam ke mercu kejayaan dan kegemilangan.

SELAMAT MENYAMBUT JUBLI PERAK HARI KEBANGSAAN KE-25.


Kembali ke muka utama