Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Adakah sedekah itu
berupa wang ringgit atau harta benda sahaja?

ORANG yang bersedekah ataupun berinfaq mengikut jalan Allah adalah seperti memberikan 'pinjaman' kepada Allah. Maksud 'pinjaman' di sini begitu berharga dan dipandang tinggi di sisi Allah. Perkataan 'pinjaman' dalam konteks bersedekah juga membawa makna 'hutang piutang' yang bakal dibayar oleh Allah kerana janji Allah adalah benar.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah Al Baqarah ayat 245, tafsirnya:

"Siapakah orang yang mahu memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasan-Nya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan."

Sedekah juga boleh menjadi benteng dan pelindung kepada orang mukmin daripada kepanasan api Neraka. Dalam sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang berkemampuan untuk melindungi dirinya daripada api Neraka walaupun dengan hanya bersedekah sebelah buah tamar, hendaklah dia melakukannya." Dalam hadis ini Baginda menegaskan bersedekah dengan hanya sebelah buah tamar boleh menghalang orang mukmin daripada terkena azab api Neraka.

Harta adalah nikmat paling berharga dalam kehidupan di dunia ini. Orang yang bersyukur dengan nikmat Allah tentunya akan membelanjakan sebahagian harta yang dikurniakan dengan bersedekah ke jalan yang diredai oleh Allah. Ini termasuk memberi makan fakir miskin, membantu umat seagama untuk membantu syiar dan meninggikan lagi kalimahNya.

Sedekah selain dari harta benda dan wang ringgit dibahagikan kepada dua bahagian. Kedua-dua bahagian ini mendapat balasan dari Allah sebagaimana balasan terhadap sedekah harta benda dan wang ringgit.

Sedekah yang pertama yang dilakukan seorang dengan cara mengerjakan kebaikan atau ihsan kepada orang lain. Adakala sedekah seperti ini lebih utama dari sedekah harta. Seperti usaha menyuruh dengan kebaikan dan melarang kejahatan yang bererti mengajak kepada mentaati Allah dan mencegah dari melakukan maksiat. Manfaat dari usaha ini tentulah besar kesannya dari bersedekah harta benda. Perkataan yang baik yang disampaikan oleh seseorang mengikut kerjaya dan profesion masing-masing juga dianggap sedekah sekiranya dituturkan dengan tujuan yang baik.

Seorang hakim, juruhebah, pensyarah, guru, peguam dan banyak lagi yang menjadikan tutur kata sebagai aset utama sumbangan mereka dalam pembangunan insan secara keseluruhannya akan tetap dinilai sebagai sedekah. Begitu juga dengan membantu seseorang untuk menaiki kenderaan juga diberi pahala sedekah. Membantu seseorang yang ditimpa kemalangan jalan raya, kebakaran, banjir, ribut dan sebagainya untuk memudahkan mereka menuju ke sesuatu destinasi juga dianggap sedekah oleh Allah.

Orang ramai yang sentiasa berebut-rebut ketika menaiki kenderaan seperti bas, teksi dan sebagainya ketika inilah konsep bersedekah dimulakan. Memberi laluan kepada orang yang terdahulu menaikinya, orang tua, cacat, perempuan yang hamil dan mereka yang tidak berkeupayaan untuk duduk di atas kerusi kenderaan yang dinaiki juga dianggap sedekah.

Pertuturan yang baik sesama insan seperti lafaz salam kerana salam adalah doa kesejahteraan yang diucap dan dijawab oleh dua orang atau lebih Muslim, semata-mata mengharapkan keberkatan dari Allah. Begitu juga dengan langkah ke masjid atau musalla dengan tujuan menunaikan solat turut diberi pahala sedekah.

Manakala sedekah yang kedua sedekah yang dilakukan seseorang kepada dirinya sendiri dan faedahnya adalah untuknya. Seperti zikir iaitu takbir, tasbih, tahmid, tahlil, istighfar, membaca Al-Qur'an dan berjalan menuju ke masjid. Semua ini adalah sedekah untuk diri sendiri iaitu pahalanya bagi diri orang yang melakukannya.

Hadis dari Abi Addarda, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: "Sesungguhnya Allah telah memilih untuk kamu dari perkataan sebanyak empat jenis dan semuanya dari Al-Qur'an. Iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Laillahaillallah dan Allahuakbar." Hadis ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa empat kalimah ini adalah kalimah yang afdal sesudah Al-Qur'an. Ianya menjadi nas atau keterangan yang menetapkan pahala yang besar dan ganjaran yang banyak bagi orang yang berzikir dengan-Nya. Setiap satu dari kalimah-kalimah ini diberi nilai sebanyak sepuluh kebaikan. Yang demikian ini adalah suatu kelebihan Allah yang Maha Luas dan Kurniaan yang Maha Besar.

Oleh demikian itu bagi orang yang tidak mempunyai wang dan harta yang banyak untuk dilaburkan dalam amalan sedekah maka hendaklah mengambil peluang melakukan apa saja perlakuan dan pertuturan yang berunsurkan sedekah. Manakala bagi mereka yang dilimpahi rahmat Allah dengan kurniaan harta dan wang ringgit yang banyak maka berusahalah mendidik hati agar tidak bersifat kedekut. Keluarkan sebahagian daripadanya untuk dijadikan amalan sedekah.

Perlu diingatkan juga janganlah kita menolak orang yang datang meminta sedekah kepada kita kerana adakalanya yang datang kepada manusia itu malaikat ataupun jin yang hendak menguji dan melihat sejauh mana manusia menyambutnya dan selebihnya menilai tahap kesyukuran seseorang itu terhadap harta kekayaan dan kesenangan yang dimilik.

Walau bagaimanapun apa sahaja bentuk sedekah yang diberikan, yang amat penting adalah kejujuran dan keikhlasan. Ini kerana sifat itulah yang mula-mula dinilai Allah dalam memberi ganjaran pahala kepada hamba-hamba-Nya.


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Waktu Berkhidmat Kaunter TAP di bulan Ramadan

Negara Brunei Darussalam
hos Sambutan
Hari Komanwel 2009

JABATAN Belia dan Sukan memaklumkan bahawa Negara Brunei Darussalam akan menjadi hos acara Sambutan Hari Komanwel 2009 pada 8 hingga 11 Mac 2009 dan Bengkel Serantau mengenai Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia mulai 12 hingga 17 Mac 2009 pada tahun ini. Sambutan ini dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Program Belia Komanwel, Pusat Asia bertemakan 'Komanwel 60: Membantu Generasi Muda'. Acara itu membolehkan negara-negara anggota menyertai aktiviti-aktiviti yang menggalakkan persafahaman mengenai isu-isu global, kerjasama antarabangsa dan aktiviti-aktiviti bagi komanwel moden di samping memberikan peluang baik kepada mereka untuk bertukar-tukar idea, menggalakkan persefahaman dan kerjasama di samping meningkatkan hubungan yang harmoni di antara mereka. Sementara itu bengkel serantau mengenai Pencegahan Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia adalah untuk menyediakan satu platform kepada para belia untuk berkongsi maklumat tentang amalan-amalan terbaik dan belajar antara satu sama lain. Ia juga untuk meningkatkan pengetahuan dan persefahaman peserta tentang dimensi virus masalah penyalahgunaan dadah, menyediakan pelan-pelan tindakan untuk pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan penjagaan serta mengukuhkan kordinasi di kalangan kerajaan dan bukan kerajaan ke arah strategi efektif bagi pencegahan, rawatan dan penjagaan. Setiap negara ahli akan disertai oleh dua wakil berusia 18 hingga 29 tahun dari sektor kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan dengan pengetahuan dan pengalaman mengenai isu HIV/AIDS dan penyalahgunaan dadah.