Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Rabu , 11 Mac 2009
14 Rabiulawal 1430

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

MENGAMALKAN PRINSIP KASIH SAYANG, HORMAT-MENGHORMATI

DUA elemen iaitu prinsip kasih sayang dan hormat-menghormati antara yang menjadi fokus utama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada tahun 2009. Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Perhimpunan dan Perarakan Maulud di seluruh negara pada hari Isnin, 9 Mac yang lalu. Dengan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari telah membolehkan Negara Brunei Darussalam tegak berdiri sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat. Kedua-dua elemen itu bukan sahaja memperteguh kehidupan orang-orang Brunei malahan telah mengangkat darjat dan imej negara di mata dunia antarabangsa. Bumi Darussalam terus berdiri dengan megah dan membangun dengan jayanya.

Dalam meniti kedewasaan bernegara kita juga telah berhasil menciptakan kebahagiaan yang melimpah ruah yang kenikmatannya dikecapi oleh semua lapisan rakyat dan penduduk. Bertunjangkan akidah, kasih sayang dan sikap hormat-menghormati sesama kita telah dapat membangun tamadun yang tinggi dan hebat. Kerana kita juga percaya pembangunan dan kemajuan negara adalah lebih mudah diurus dan diungkayahkan melalui amalan saling menyayangi dan hormat-menghormati. Dalam erti kata yang lain dengannya unsur-unsur perpaduan sejati kita tidak menghadapi apa-pa jua masalah atau rintangan dalam mengungkayahkan landskap pembangunan, malah lebih mudah diurus serta dilaksanakan.

"Kita hidup harmoni dan aman damai adalah kerana kasih sayang. Kita teguh dan bersatu padu adalah kerana amalan hormat-menghormati sesama sendiri. Inilah punca rahmat Allah kepada kita. Kita telah mengamalkan ’Hablun Minannas’ iaitu menjaga hubungan dengan sesama manusia, di samping memelihara dengan kuatnya ’Hablun Minallah’ iaitu hubungan dengan Allah, dalam makna sentiasa membuat ketaatan," titah baginda.

Oleh yang demikian berasaskan kedua-dua prinsip berkenaan, janganlah sesiapa di antara kita yang berfikir untuk bertindak sebaliknya. Apa yang dimaksudkan baginda biarlah budaya yang kita amalkan selama ini yang membawa keberkatan dan kebahagiaan hidup kita teruskan dan dijadikan ikuatan dalam meniti kehidupan yang penuh dengan pelbagai pancaroba. Kerana itu kita janganlah cuba-cuba membawa unsur-unsur atau budaya yang tidak secocok dari kaca mata orang-orang Brunei iaitu yang sentiasa mengamalkan hidup bergotong-royong, memucang-mucang, saling bantu-membantu serta ’ringan tulang’ dalam apa kerja sekalipun.

Budaya kasih sayang dan saling hormat-menghormati telah bersemi di bumi bertuah ini sejak nenek moyang kita lagi yang kini berakar umbi dalam masyarakat. Orang-orang Brunei dalam apa keadaan sekalipun sama ada waktu senang apatah lagi keadaan susah terus mengguna pakai prinsip tersebut dalam mendepani segala rintangan melalui mekanisme berunding, bermuzakarah dan bertolak berambit serta mengharungi dengan bersama dan bukannya bersendirian. Tegasnya masyarakat Brunei mengamalkan budaya ’ringan sama dipikul berat sama dijinjing’.

Perpaduan dalam erti kata yang sebenar-benarnya akan dapat menjamin perkembangan dan kemajuan sesebuah negara. Oleh itu adalah mustahak bagi seluruh rakyat dan penduduk terutama generasi muda supaya hidup bersatu padu di dalam keadaan yang bersefahaman, saling bekerjasama dan hormat-menghormati di antara satu dengan yang lain. Sebaik-baik amalan ialah untuk terus mempunyai sikap berdisiplin supaya perpaduan yang sedia ada itu akan dapat dipertahankan dan akan terus dipelihara dan dipupuk di antara berbagai puak keturunan yang mencurahkan taat setia kepada raja dan negara.

Malah di peringkat antarabangsa kita juga terus dihormati dan digalati, kerana sejak merdeka lagi kita mengamalkan prinsip saling hormat-menghormati di kalangan negara di dunia. Sikap dan peranan kita amatlah dihormati serta diiktiraf sebagai adil dan bertanggungjawab oleh semua pihak. Melalui manifestasi dasar negara untuk berbaik-baik dan hormat-menghormati dengan negara-negara luar, pelbagai pemimpin luar negara mencurah-curah mengadakan lawatan, di samping itu negara juga diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah persidangan-persidangan yang bertaraf ’lima bintang’ yang kita jayakan dengan cemerlang dengan mendapat pengiktirafan dari pemimpin utama dunia.

Apa pun dalam melakukannya, kita jangan sekali-kali membelakangi hukum Allah dan Rasul dalam apa jua keadaan, malah terus berpegang kuat kepada ’tali Allah’ seperti mana yang berlaku dalam zaman Rasulullah dan para sahabat Baginda sehingga menjadikan mereka terus dihormati lagi digeruni. Maka bertolak dari itu elok rasanya kita meniru gaya kepimpinan Baginda Rasulullah dan para sahabat bagi mengekalkan kemuliaan, perlindungan dan kemakmuran daripada Allah jua. Amalkan perasaan berkasih sayang kerana ianya diyakini membawa kehidupan kita lebih harmoni dan aman damai. Amalkanlah hormat-menghormati sesama sendiri kerana ianya pasti meneguhkan lagi pola kehidupan yang penuh bersatu padu. Pendek kata biarlah semua kita besar damit menjadikan kedua-dua prinsip itu ’pakaian’ sehari-hari yang dipakai dalam mengurus kehidupan berkeluarga, mentadbir hal ehwal berkerajaan dan bernegara.


Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Negara Brunei Darussalam
hos Sambutan
Hari Komanwel 2009

JABATAN Belia dan Sukan memaklumkan bahawa Negara Brunei Darussalam akan menjadi hos acara Sambutan Hari Komanwel 2009 pada 8 hingga 11 Mac 2009 dan Bengkel Serantau mengenai Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia mulai 12 hingga 17 Mac 2009 pada tahun ini. Sambutan ini dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Program Belia Komanwel, Pusat Asia bertemakan 'Komanwel 60: Membantu Generasi Muda'. Acara itu membolehkan negara-negara anggota menyertai aktiviti-aktiviti yang menggalakkan persafahaman mengenai isu-isu global, kerjasama antarabangsa dan aktiviti-aktiviti bagi komanwel moden di samping memberikan peluang baik kepada mereka untuk bertukar-tukar idea, menggalakkan persefahaman dan kerjasama di samping meningkatkan hubungan yang harmoni di antara mereka. Sementara itu bengkel serantau mengenai Pencegahan Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia adalah untuk menyediakan satu platform kepada para belia untuk berkongsi maklumat tentang amalan-amalan terbaik dan belajar antara satu sama lain. Ia juga untuk meningkatkan pengetahuan dan persefahaman peserta tentang dimensi virus masalah penyalahgunaan dadah, menyediakan pelan-pelan tindakan untuk pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan penjagaan serta mengukuhkan kordinasi di kalangan kerajaan dan bukan kerajaan ke arah strategi efektif bagi pencegahan, rawatan dan penjagaan. Setiap negara ahli akan disertai oleh dua wakil berusia 18 hingga 29 tahun dari sektor kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan dengan pengetahuan dan pengalaman mengenai isu HIV/AIDS dan penyalahgunaan dadah.