|

Wabak Influenza A (H1N1) antara
sebab pengharaman daging khinzir
MENURUT ahli-ahli sejarah, antropologi dan arkeologi, mereka mengesyaki bahawa pada zaman dahulu telah berlaku wabak besar yang berbahaya berpunca daripada binatang khinzir (babi) di kawasan Timur Tengah hingga menyebabkan dikenakan peraturan supaya menjauhi binatang tersebut. Sama ada sesuatu penyakit itu puncanya daripada khinzir atau haiwan lain, Islam mempunyai prinsip tegas dalam soal kebersihan dan kemudaratan terhadap sesuatu wabak. Bagi Islam, kebersihan adalah utama supaya manusia itu bukan sahaja sihat tetapi bebas daripada keburukan kotor lebih-lebih dalam kehidupan beribadat. Keseluruhan kehidupan Islam itu adalah ibadat dan sudah tentu ia menuntut kebersihan sepanjang masa.
Maka wabak Influenza A (H1N1) (Selesema Khinzir) yang melanda sekarang mesti dilihat dari sudut agama. Ia mengancam semua negara dan manusia lebih-lebih lagi pada zaman sekarang yang bersifat global dengan adanya pengangkutan sejagat melalui laluan udara yang cepat, pantas dan melibatkan ramai orang. Walaupun selesema khinzir ini namanya dikaitkan dengan binatang tersebut, tetapi ia berkaitan dengan campuran asal kuman daripada burung dan manusia sendiri.
Allah Subhanahu Wata’ala ada menjelaskan dalam Al-Qur'an tentang pengharamannya daging khinzir kerana kekotorannya yang mengandungi kuman, virus, parasit dan bakteria yang tidak dapat dihapuskan dan boleh mengakibatkan penyakit berjangkit.
Kotornya khinzir itu adalah kotoran yang luar biasa sehingga dihukumkan sebagai najis berat (Mughallazah) yang memerlukan cara menyucikannya dengan cara tersendiri dari najis-najis yang lain. Menurut Kitab Al-Mausu’ah Ath-Thibbiyyah Al-Fiqhiyyah iaitu Ensiklopedia perubatan bardasarkan Fiqah ada menyebutkan bahawa khinzir mempunyai perangai yang buruk dan jijik, suka mencari makanan di tempat longgokan sampah, sisa-sisa dan najis, suka makan bangkai malah akan sengaja membiarkan bangkai mangsanya beberapa hari sehingga busuk sebelum memakannya. Khinzir mengandungi virus dan parasit yang tidak mati walaupun dimasak.
Manakala ulama dalam Mazhab Imam Syafie sepakat berpendapat haram digunapakai semua barangan yang diperbuat daripada khinzir sama ada bulunya, kulitnya atau bahagian, peralatan atau sebagainya kerana menurut mereka tiada ubat yang dapat menghapuskan virus pada kotoran najis tersebut.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Maa-idah ayat 3 mafhumnya:
“Diharamkan atas kamu semua bangkai, darah, dan daging khinzir serta yang disembelih atas nama selain Allah …”
Dari hadis Imam Muslim dari Jabir bin Abdullah Radiallahuanhu katanya:
“Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan penjualan arak, bangkai, khinzir dan berhala. Kemudian Baginda ditanya: Wahai Rasulullah, bagaimana dengan lemak bangkai yang digunakan untuk mengecat perahu, untuk dilumurkan di kulit supaya berminyak dan untuk menyalakan lampu? Baginda menjawab: Tidak boleh. Ianya tetap haram.”
Antara Faktor Pengharaman Khinzir:
1. Khinzir diharamkan dalam Al-Qur'an. Terdapat tidak kurang dari empat surah yang berbeza tentang pengharamannya. Ianya ada di dalam Surah Al-Baqarah ayat 173, Surah Al Maa-idah ayat 3, Surah Al An'aam ayat 145 dan Surah An Naml ayat 115 yang mafhumnya cukup untuk memenuhi bagi umat Islam mengapa khinzir itu diharamkan.
2. Daging khinzir boleh menyebabkan tidak kurang dari 70 berbagai jenis penyakit. Seseorang dapat memiliki berbagai 'helminthes' (cacingan) seperti cacing pita, gelang, keremi, tambang dan sebagainya. Cacing pita adalah yang paling berbahaya sekali bagi manusia. Ia boleh hidup di dalam usus dan boleh berkembang melalui telur. Ianya boleh memasuki ke aliran darah dan mencapai hampir semua organ tubuh badan. Hal ini dapat merosakkan semua organ tubuh badan manusia.
3. Lemak khinzir mengandungi sedikit otot (lemak) yang boleh menjadi bahan untuk membina sebuah bangunan. Lemak ini mengendap di tubuh dan dapat menyebabkan 'hipertensi' dan serangan jantung.
4. Khinzir merupakan binatang yang paling kotor di bumi. Ia hidup dan membiak dikotoran binatang, kotoran manusia dan kotoran lain. Terdapat di negara-negara maju di mana khinzir dipelihara sangat bersih dan 'higienis', mereka menganggap ianya boleh menyucikan binatang tersebut tetapi ianya tetap kotor. Oleh kerana khinzir dijaga dalam kandang yang sama, mereka tetap memakan dan menikmati kotoran kawan mereka sendiri.
5. Khinzir mempunyai perangai yang tak tahu malu. Ini adalah satu-satunya binatang yang mengundang teman-temannya melakukan nafsu seks dengan pasangannya. Jika manusia memakan dagingnya, ianya akan mengkonsumsi sifat khinzir babi tersebut. Merelakan isteri mereka tidur dengan pasangan lain adalah satu perbuatan yang hina dan berdosa menurut Islam.
Pihak kesihatan di seluruh dunia telah mengeluarkan satu sistem pengawasan penyakit yang teratur dan komprehensif bagi pengesanan awal kes influenza baru seperti Influenza A (H1N1) (Selesema Khinzir) di kalangan masyarakat. Mereka mengeluarkan satu risalah atau langkah-langkah berwaspada agar penyakit itu dapat disekat dari merebak.
Oleh itu, umat Islam di berikan satu ilmu pengetahuan menurut Al-Qur'an dan hadis tentang mengapa daging khinzir itu haram selamanya kerana ianya boleh mendatangkan penyakit yang berjangkit dan berbahaya yang boleh menyebabkan kematian seseorang.
Kembali ke muka utama
|