BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 11 Jun. - Pameran e-Kerajaan
2009 anjuran Jabatan Perdana Menteri akan diadakan di Gedung Membeli Belah,The Mall Gadong selama tiga hari bermula esok, 12 Jun.
Pameran bertujuan bagi menanamkan kesedaran dan mempromosikan
inisiatif program e-Kerajaan kepada orang ramai. Sebanyak 15 buah ruang pameran telah disediakan bagi memberikan peluang orang ramai untuk menyaksikan pameran e-Kerajaan yang disertai oleh beberapa kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan iaitu pengunaan sistem e-Kerajaan antaranya PMONet - perkhidmatan maklumat on-line termasuk pengunaan e-mel untuk kegunaan kementerian-kementerian; perkhidmatan SMS bagi pembaharuan paspot; E-Registration - pendaftaran nama-nama perniagaan secara on-line; Perlaksanaan portal dan kios-kios maklumat perkhidmatan hal ehwal ugama; Sistem Pengangkutan Darat; Sistem e-Kastam; Pelita Brunei Online dan Brunei Diary; RTB City - perkhidmatan netRadio dan news video streaming dan interactive learning serta SMS untuk keputusan peperiksaan.
Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah dialu-alukan datang dan menyaksikan pameran yang diadakan pada 12, 13 dan 14 Jun bermula dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam dan akan berpeluang mengikuti
pelbagai aktiviti seperti kuiz dan peraduan mewarna yang menawarkan pelbagai hadiah istimewa.
Menurut Awang Azhar bin Haji Ahmad, Pemangku Pengarah Pusat Kebangsaan E-Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri ketika ditemui oleh pihak media menyatakan pameran ini diadakan sempena Pelancaran Pelan
Strategik e-Kerajaan 2009-2014 yang telah diadakan pada 30 Mei 2009. Pameran ini juga akan dilaratkan ke daerah-daerah lain.
Pengertian e-Kerajaan disini atau lebih dikenali ramai dengan
'e-Government' adalah bererti penggunaan teknologi info-kommunikasi
(ICT) bagi menjadikan pentadbiran awam lebih efisien dan efektif.
E-Kerajaan adalah satu perjalanan yang melibatkan empat elemen penting iaitu strategi, orang, proses dan teknologi.
Menurutnya lagi, inisiatif e-Kerajaan telah bermula sejak tahun 2000 dengan adanya pelan tindakan rangka kerja strategik e-Kerajaan bagi tahun 2001 - 2005 atau 'E-Government Strategic Framework For Action 2001-2005'. Jawatankuasa tertinggi pada masa itu ialah Jawatankuasa Program Eksekutif e-Kerajaan atau EGPEC yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap di Jabatan Perdana Menteri.
Program e-Kerajaan ini adalah merupakan salah satu aktiviti strategi pengurusan yang mana melalui pengunaan ICT yang meluas akan dapat memodenisasikan perkhidmatan awam; menambahbaikan usaha pemberian perkhidmatan awam (public service delivery) secara elektronik yang
menepati ekpektasi orang ramai; dan akan dapat menguruskan permintaan pengguna yang sangat mencabar dalam suasana persekitaran yang dinamik.