Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

MANFAATKAN PERUBAHAN DAN KEMAJUAN SEKELILING
Oleh : H.A. Manap

SEKARANG adalah merupakan era perubahan pesat yang mewujudkan persaingan yang amat ketara dan juga menagih keupayaan setiap kita untuk memainkan peranan. Zaman yang sudah dihiasi dengan berbagai kemudahan dan berteknologi kini menjadi budaya dan komoditi kehidupan seharian masa kini. Ramai yang sudah berada di gelanggang perubahan berada di dalam keadaan persaingan yang mewujudkan kemahiran tinggi dan juga melahirkan inovasi yang berprestij untuk dijadikan sebagai sumber pelaksanaan karier dan kerjaya. Paling ketara ialah di kalangan generasi belia yang berpengatahuan tinggi kini mewujudkan sebuah persekitaran yang sangat kompetitif mewujudkan pembaharuan. Keperluan dan juga kehendak semasa menjadikan perubahan sedemikian semakin menjadi-jadi. Namun dalam arus dan juga gejolak perubahan sedemikian ramai yang sudah menyedari bahawa pemainnya adalah kita. Kita yang berperanan dalam mencorakkan kehendak yang diperlukan berdasarkan kepada sejauh mana kita mampu menjadikan diri kita sebagai seorang yang berilmu dan berkemahiran. Dua faktor ini amat menyumbang besar dalam kancah perlumbaan perubahan ini.

PASARKAN IDEA YANG BERNAS

Idea-idea bernas kini menjadi pasaran yang semakin laku untuk menjadi pemangkin perubahan. Ledakan idea yang membawa kepada pendekatan pembaharuan semakin ketara berada di dalam gelanggang perubahan semasa. Justeru adalah wajar dalam keadaan sedemikian ini generasi muda belia kita tidak terpinggir dan juga akan membuka minda dan cara berfikir yang lebih mencabar serta berdaya saing. Perubahan dan kemajuan sekeliling semestinyalah dipergunakan dan dimanfaatkan sebagai kancah menabur bakti dan juga mengangkat keupayaan diri ke tahap yang lebih proaktif dan konstruktif.

Perubahan itu adalah kehendak semasa, jika kita tidak mempergunakan peluang yang ada, maka kita akan dilihat sebagai tidak aktif dan sentiasa pasif. Kendatipun sedemikian perubahan itu sendiri tidak boleh berlaku dengan modal yang sedikit. Modal dan pertaruhan yang mampu menggerakkan perubahan dan kemajuan sedemikian ialah ilmu pengetahuan yang tinggi dan kemahiran yang berbagai bidang. Kemampuan mengurus dengan lebih cekap dan mempunyai visi ke hadapan yang lebih tangkas dan berani akan membantu meletakkan keadaan dan kemampuan setiap diri kita. Justeru sebagai generasi yang membawa dan pencorak perubahan, adalah penting untuk setiap peranan itu akan akan lebih fokus sifat ke arah yang lebih bermakna. Kita amat memerlukan kalangan generasi muda belia yan memenuhi ciri- ciri perubahan yang dibawakan. Untuk mewakili zaman yang amat mencabar dan juga dengan kepesatan ketinggian ilmu pengetahuan, adalah wajar setiap individu belia itu mempersiapkan diri dengan faktor yang akan membantu ke arah perubahan dan kemajuan semasa ini.

JANGAN MUDAH MENGALAH

Ramai yang sedia maklum dan memahami bahawa kehidupan yang kita lalui masakini di era kemajuan yang meledak dengan berbagai penemuan dan teknologi, adalah terlalu keras untuk ditempohi. Justeru kita perlu kepada pendirian hidup yang ideal dan terarah. Maknanya kita perlu kepada pendirian yang kukuh tidak rapuh dan tidak mudah untuk dipengaruhi. Cuba bayangkan kalau kita tidak mampu memiliki ciri sedemikian, bagaimanakah orang lain akan melihat kepada kita. Ada orang mengeluh merasakan kehidupan ini terasa begitu sukar dan menyakitkan baginya. Ia tidak tahu bagaimana menghadapinya dan hampir menyerah kalah dalam kehidupan. Kemampuan untuk menghadapi ujian dan cabaran mendatang terlalu letih untuk di tentang. Masalah terus datang melanda, meskipun baru selesai satu masalah datang lagi masalah yang baru. Keadaan ini terlalu menekan kehidupan.

Akan tetapi apakah kerananya kita perlu mengalah, sedang apa pun yang kita hadapi kehidupan mesti diteruskan. Hujan lebat pastikan berhenti, lautan bergelora pasti akan kembali tenang, malam pasti akan ada siangnya begitulah seterusnya. Persoalannya ialah pendirian kita ke mana mahu dihalakan. Setiap individu belia remaja itu perlu memahami dengan mendalam bahawa, masa depan yang kita rancangkan adalah apa yang kita mahukan hari ini. Hari ini adalah masa depan kita. Kalau kita bersiap dengan berbagai persiapan dan mewujudkan kemahiran diri yang tinggi itulah nantinya yang akan menjadi bekal dalam merempuh dan merentasi laluan kehidupan kita.

IKTIBAR

Carilah iktibar yang boleh dijadikan sebagai rangsangan dan yang akan mampu menjadi pencorak perubahan diri dan persekitaran kita. Misalnya lobak, telur dan kopi jika kita masukkan ke dalam periuk yang berlainan dan dimasak sehingga mendidih akan menghasilkan suatu hakikat yang berbeza dari asalnya. Apakah yang terjadi untuk kita jadikan iktibar dan pengajaran darinya. Cubalah setelah mendidih ketiganya kita sisihkan dan simpanlah telur di dalam mangkuk, lobak dimangkuk yang lain dan kopi dituangkan dimangkuk yang lain, apakah yang akan dapat kita lihat. Hasilnya lobak yang masak jika dirasa akan menghasilkan rasa yang enak dan sedap dimakan, telur yang sudah direbus pula akan bertukar menjadi isi yang keras berbanding sebelumnya ia merupakan cairan sahaja, kopi pula jika dirasakan dibubuh dengan aromanya yang khas menghasilkan rasa yang sedap. Ketiganya menghasilkan senario yang berbeza berbanding sebelumnya yang juga kurang mendatangkan manfaat jika mahu digunakan. Timbul persoalan apakah ertinya semua ini? Sebenarnya ketiganya telah melalui satu proses yang agak sulit iaitu direbus dalam suhu kepanasan yang agak tinggi. Meskipun ketiganya melalui proses sedemikian hasilnya juga memperlihatkan reaksi yang berbeza. Lobak sebelum direbus kuat, keras dan sukar dipatahkan.

Tetapi setelah direbus, lobak menjadi lembut dan lunak. Telur sebelumnya mudah pecah. Kulit tipisnya melindungi isinya yang berupa

cairan. Tetapi setelah direbus, isinya menjadi keras. Serbuk kopi mengalami perubahan yang unik. Setelah berada di dalam rebusan air, serbuk kopi merubah air tersebut. Jika kita mahu menghubungkaitkannya dengan pendirian dan sikap kita di manakah kita di antara yang tiga ini. Pengajaran yang boleh kita ambil ialah air panas yang mendidih itu adalah umpama kesukaran dan cabaran kehidupan yang sedang kita lalui. Jika kesukaran dan kesulitan yang mendatangi kita, bagaimanakah kita untuk menghadapinya? Apakah kita akan seperti resmi lobak, telur ataupun kopi? Bagaimana dengan kita? Persoalan ini amat berharga untuk kita santuni, Apakah kita adalah lobak yang kelihatannya keras, tapi dengan adanya penderitaan dan kesulitan, kita menyerah, menjadi lembut dan kehilangan kekuatan.

JATI DIRI

Atau ... Apakah kita akan mengikut resmi telur, yang awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang dinamismi? Namun setelah adanya penderitaan misalnya kematian, patah hati, atau kegagalan kita menjadi keras dan kaku. Meskipun hakikat dari luarnya kelihatan sama, kita menjadi pahit dan keras dengan jiwa dan hati yang kaku? Ataukah kita mengikut resmi serbuk kopi? Serbuk kopi merubah air panas, sesuatu yang menimbulkan kesakitan, untuk mencapai rasanya yang maksimal pada suhu 100 darjah Celsius. Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi terasa semakin nikmat. Jika kita seperti serbuk kopi, ketika keadaan menjadi semakin buruk, kita akan menjadi semakin baik dan membuat keadaan di sekitar kita juga menjadi semakin baik. Ketiganya memberi pengajaran yang berbeza akan tetapi membawa makna yang besar untuk menentukan bagaimana pendirian kita perlu dibentuk. Renungkanlah bahawa semuanya yang kita lalui akan sentiasa beriring dengan cabaran. Kerana itu kita perlu bijak dalam menentukan arah mana tujuan terbaik untuk menjamin kehidupan yang baik dan sempurna untuk dunia dan akhirat nanti.

Usia muda hanya datang sekali dan tua adalah usia terakhir untuk dilalui. Mereka yang bijak menguruskan kehidupan di waktu muda belia akan senang di hari tuanya, sebaliknya yang lalai akan terhantuk di waktu tuanya. Jadi apa pun perubahan dan kemajuan sekeliling yang berlaku kita mesti memenfaatkannya dan setiap perubahan kita perlu menjadi pemain didalamnya. Hatta kemajuan yang berlaku di sekeliling kita, kita mesti menjadi sebahagian dari mereka yang dapat menyumbang dan menikmatinya. Kalau ini terjadi barulah kita dapat menuju matalamat kehidupan yang lebih bermakna dan berfaedah. Maka barulah jati diri yang lebih kental dan berwibawa besar.


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Waktu Berkhidmat Kaunter TAP di bulan Ramadan

Waktu Perkhidmatan Kaunter

TABUNG Amanah Pekerja (TAP) memaklumkan kepada orang ramai bahawa perkhidmatan kaunter di cawangan ibu pejabat di Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, Jalan Kebangsaan mula beroperasi pada setiap hari Jumaat bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan 2.30 petang hingga 3.30 petang.

Sehubungan dengan itu, waktu perkhidmatan kaunter di kesemua cawangan TAP adalah ditukar iaitu setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu waktu beroperasi bemula jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi dan 1.30 petang hingga 3.30 petang.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Pusat Panggilan TAP di talian 2382800.