Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Pelita Brunei - Hasrat Negara

HASRAT NEGARA



SABDA Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri di Mesyuarat Khas Bagi Membincangkan Mengenai Kejadian Wabak Influenza A (H1N1), pada hari Sabtu, 2 Mei 2009 / 7 Jamadilawal 1430 bertempat di Jabatan Bomba dan Penyelamat, Berakas.

SELARASKAN SEGERA PELAN TINDAKAN INFLUENZA


SABDA MUKADIMAH

ALHAMDULILLAH, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan rahmat-Nya jua, maka dapatlah kita mengadakan perjumpaan pada pagi ini bagi membincangkan persediaan kita berikutan laporan dari WHO khususnya mengenai peningkatan tahap amaran pandemik daripada tahap 4 kepada 5 yang diperkuatkan lagi oleh laporan klinikal mengenai jangkitan luar biasa di kalangan manusia.

Seperti yang dimaklumi, wabak Influenza A (H1N1) telah dilaporkan berlaku sejak 17 Mac 2009 di Mexico dan Amerika Syarikat 17 April 2009.

Menurut laporan pihak WHO, setakat ini sebanyak 11 buah negara telah melaporkan kes jangkitan wabak Influenza A (H1N1) yang keseluruhannya berjumlah 331 kes.

Di samping itu, kerajaan Amerika Syarikat juga telah mengesahkan 109 laporan makmal kes jangkitan manusia dan 1 kematian. Sementara Mexico telah mengesahkan 156 kes jangkitan manusia dan 8 kematian.

Dalam masa yang singkat sejak ianya dilaporkan, penularan aktif wabak ini diambil serius oleh semua negara termasuk Negara Brunei Darussalam terutama sekali dalam persediaan negara menghadapi fasa pandemik.

Alhamdulillah, sejauh ini tiada kes dilaporkan di negara kita sungguhpun terdapat dua orang yang baru kembali ke negara ini dari mengunjungi negara Kanada, seorang dari New Zealand dan seorang dari United Kingdom telah disyaki namun pemeriksaan klinikal serta penyiasatan epidemiologi telah menunjukkan bahawa mereka tidak mempunyai risiko jangkitan wabak tersebut.

Wabak penyakit adalah bukan fenomena yang baru. Wabak SARS dan Avian Flu telah memberi kita pengalaman dalam pengawalan dan mengurangkan risiko wabak flu ini masuk ke Negara Brunei Darussalam.

Saya percaya, negara sudah bersedia jika wabak flu ini meningkat ke peringkat pandemik. Saya juga percaya dengan usaha sama pelbagai agensi di antara ‘health’ dan ‘non-health’ dan juga kerjasama negara dengan WHO, kita akan dapat mengatasi cabaran ini, insya-Allah.

Setakat ini pihak WHO belum menasihatkan pengawalan ke atas mana- mana orang yang hendak membuat perjalanan ataupun penutupan sempadan- sempadan. Namun demikian, pihak berkenaan seterusnya menasihatkan bahawa adalah wajar bagi mana-mana orang yang sakit untuk menangguhkan perjalanan ke luar negara dan bagi sesiapa yang mengalami tanda-tanda atau simptom jangkitan setelah kembali dari perjalanan luar negara untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera.

Beberapa tindakan telah pun diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan melalui kerjasama agensi- agensi berkaitan sebagai langkah awal atau ‘preventive measures’ dalam menangani situasi sedemikian berlaku di negara kita.

Ianya antara lain meneruskan pemeriksaan kesihatan melalui kaedah ‘thermal scanner’ di pintu utama keluar dan masuk penumpang-penumpang ke negara ini, di samping pemberitahuan kepada orang ramai melalui media massa serta risalah-risalah mengenai situasi wabak tersebut dan perkara-perkara mitigasi dan amalan- amalan kesihatan pada menghindari dari jangkitan.

Saya juga mengambil maklum bahawa pihak Kementerian Kesihatan telah juga berhubungan dengan ASEAN Sekretariat bagi berkongsi maklumat dan membincangkan tindakan- tindakan terhadap perkara- perkara yang telah dipersetujui di peringkat serantau.

Kita sedar bahawa ancaman utama wabak ini adalah ke atas kesihatan mana-mana individu, maka perhatian khusus haruslah diberikan dalam semua aspek persediaan bagi menangani bukan sahaja rawatan pesakit malahan setiap yang terdedah kepada risiko jangkitan.

Justeru itu, saya berharap agar Kementerian Kesihatan akan mengambil langkah-langkah bagi memastikan keperluan rawatan yang mencukupi ter- utamanya stok ubat-ubatan serta keperluan-keperluan lainnya.

Di sinilah peranan setiap kita dalam majlis ini untuk berkongsi pengalaman dan pendapat bagi mengukur sejauh mana kesediaan keupayaan kita dalam setiap sudut perancangan serta pelaksanaan tindakan pada memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat serta penduduk negara ini sentiasa terlindung dan terpelihara.

Kerajaan Paduka Ayahanda sentiasa mengambil berat tentang kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini. Dalam hal ini, saya turut menyeru agar langkah-langkah dalam menghadapi ancaman wabak diurus dengan sebaiknya bagi mengelakkan timbul perasaan cemas di peringkat masyarakat.

SABDA PENUTUP

ALHAMDULILLAH, selesai sudah perbincangan kita pada pagi ini. Saya sekali lagi menekankan kepentingan bagi memperkukuhkan Pelan Pandemik Influenza yang sedia ada kerana ancaman wabak Influenza A (H1N1) ini amat tinggi memandangkan dalam jangka lebih kurang seminggu mengenainya telah menyebabkan banyak jangkitan termasuk kematian dan jarak luas penyebarannya di negara-negara yang dilaporkan terlibat.

Kita juga bersyukur bahawa kerjasama dari pihak-pihak yang terlibat dan berkepentingan di peringkat antarabangsa seperti WHO membolehkan pelan tindakan global dapat dikongsikan. Terpulanglah kepada kita untuk mengambil tindakan-tindakan padu terhadap saranan pihak-pihak yang berkenaan.

Saya percaya banyak lagi ruang bagi kita untuk memperbaiki Pelan Tindakan Influenza Kementerian Kesihatan dan agensi yang berkaitan dan perlunya segera diselaraskan dengan Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan sebagai sebahagian dari Pelan Tindakan Awam bagi rujukan semua agensi berkepentingan termasuk orang awam.

Pelan tersebut juga amat perlu bagi memastikan keupayaan setiap agensi dapat ditanai bersama dalam usaha kita mengurangkan dan menangani risiko pandemik.

Seperti mana jua di peringkat global, penyaluran dan penganalisaan maklumat awal di peringkat nasional perlu diselaraskan melalui Kementerian Kesihatan selaku agensi teras atau ‘lead agency’, manakala, pihak pusat pengurusan akan bersedia untuk membuat penyelarasan strategik dengan agensi-agensi berkepentingan lainnya dari masa ke semasa.

Saya sarankan pihak yang berkenaan akan juga mengadakan pemantauan dan kajian berterusan terhadap keberkesanan komunikasi antara agensi dan orang awam mengenai pelan tindakan dan tahap pengetahuan masing-masing terhadap langkah-langkah pencegahan khususnya dan respons pada amnya.

Kita juga hendaklah memastikan sumber- sumber termasuk kepakaran yang diperlukan mencukupi, di samping mempertingkatkan rujukan kepada pakar-pakar dalam bidang tertentu bagi memastikan tindak balas yang bersesuaian.

Melaratkan pemantauan dan ‘Health Awareness Program’ di kalangan yang berkepentingan seperti penuntut-penuntut, pengurus-pengurus bangunan, pemilik-pemilik restoran dalam kaedah menutup mulut ketika bersin di tempat-tempat awam dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri, di samping kebersihan persekitaran akan juga dapat diusahakan. Langkah-langkah ini adalah merupakan langkah utama di dalam pencegahan dan pengawalan penyakit influenza.

Di dalam langkah negara berwaspada terhadap ancaman pandemik ini, perhatian awam terhadap peraturan Kementerian Kesihatan khususnya agar tidak membawa kanak-kanak di bawah umur 7 tahun ke hospital-hospital terkecuali untuk maksud rawatan.

Pada masa yang sama, agensi-agensi yang berkenaan hendaklah bersedia untuk mengaktifkan pelan kontingensi masing-masing sebelum dan sesudah berlakunya pengisytiharan yang mungkin tidak dapat dielakkan. Ini termasuklah keperluan bagi menutup tempat-tempat awam tertentu dan kawalan persempadanan yang lebih ketat.

Akhirnya, sekali lagi diperingatkan bahawa sebarang keperluan logistik guna sama atau perkara-perkara yang memerlukan penyelarasan lanjut ada baiknya segera dirujuk kepada Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan untuk tindakan dan dirujuk selanjutnya kepada majlis ini jika perlu.

Sekian, Wabillahit Taufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.-