Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Sabtu , 9 Mei 2009
14 Jamadilawal 1430

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

H1N1 - TINGKATKAN KEWASPADAAN

DALAMdunia menghadapi krisis kewangan global, kita dikejutkan dengan satu lagi penyakit yang berbahaya yang dikenali sebagai Influenza A H1N1. Dunia gempar dengan berita berkenaan, masyarakat global kini dalam ketakutan. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sehingga 6 Mei 2009 seramai 1,490 kes direkod di dunia dengan mengakibatkan 30 kematian. Wabak berkenaan mula dilaporkan berlaku di sebuah negara Latin Amerika, Mexico pada 17 Mac 2009, Amerika Syarikat pada 17 April 2009 dan kini merebak ke lebih 20 buah negara yang meliputi negara-negara Eropah, Kanada, Latin Amerika dan Asia. Sehingga kini WHO meletakkan virus berkenaan dalam tahap kelima iaitu satu tahap yang membimbangkan, namun belum bertindak untuk menguatkuasakan penutupan sempadan dan menghentikan penerbangan ke negara-negara yang dilanda virus berkenaan. Seluruh warga dunia kini cemas dan berada dalam ketakutan dengan wabak tersebut selepas dunia berdepan SARS dan Selesema Burung satu ketika dulu kerana ianya boleh membawa maut.

Negara-negara yang telah disahkan dijangkiti H1N1 ialah Amerika Syarikat, Austria, Kanada, Republik Perancis, Republik Persekutuan Jerman, Itali, United Kingdom, Denmark, Republik Ireland, Sepanyol, Belanda, Portugal, Switzerland, Israel, Mexico, New Zealand, Colombia, Costa Rica, Republik Rakyat China, Hong Kong dan Republik Korea.

Bagi Negara Brunei Darussalam, sungguhpun kita belum ada kes berkenaan, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan bertindak cepat dan mengambil langkah-langkah proaktif. Hasilnya sebuah jawatankuasa dinamakan ‘Jawatankuasa Pemantauan dan Menangani Selesema Khinzir (Swine Influenza) Negara Brunei Darussalam’ telah ditubuhkan berikutan dengan satu Mesyuarat Khas Majlis Bencana Kebangsaan pada 2 Mei lalu yang dipengerusikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Langkah awal ialah menempatkan ‘thermal scanner’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas di laluan ‘Arrival Hall’ bagi mengesan suhu kepanasan badan yang tinggi bagi para penumpang yang memasuki negara ini dan pengisian borang deklarasi kesihatan. Di samping itu Kementerian Kesihatan juga memantau kemasukan pengunjung dari negara jiran yang melalui pintu masuk jalan darat khususnya di pos-pos kawalan sempadan Sungai Tujoh dan Kuala Lurah dan Terminal Feri Serasa dengan menjalankan pemeriksaan kepada para pelancong bagi memastikan supaya virus berkenaan tidak memasuki negara ini. Penelitian dan penyediaan keperluan, rawatan dan pencegahan yang mencukupi, penyebaran maklumat mengenai wabak ini kepada pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan dan penyebaran maklumat mengenai wabak ini kepada orang ramai melalui media elektronik dan media cetak, laman web, poster dan risalah. Selain daripada itu, rumah-rumah sakit dan pusat kesihatan di seluruh negara juga digerakkan berjaga-jaga dan bersiap siaga bagi menghadapi kemungkinan wabak H1N1.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah semasa mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Bencana Kebangsaan menekankan negara sudah bersedia jika wabak ini meningkat ke peringkat pandemik iaitu dengan usaha pelbagai agensi di antara ‘health’ dan ‘non health’ dan juga kerjasama negara dengan WHO.

“Pada masa yang sama agensi-agensi yang berkenaan hendaklah bersedia untuk mengaktifkan pelan kontingensi masing-masing sebelum dan sesudah berlakunya pengisytiharan yang mungkin tidak dapat dielakkan. Ini termasuklah keperluan bagi menutup tempat-tempat awam tertentu dan kawalan persempadanan yang lebih ketat,” tegas DYTM.

Orang ramai perlu berwaspada mengenai wabak ini dengan mengambil 10 langkah untuk memastikan diri mereka daripada dijangkiti. Antaranya sentiasa mencuci tangan, elakkan mendampingi mereka yang sakit, berehat di rumah jika kurang sihat, tutup hidung dan mulut semasa batuk dan bersin, elakkan daripada menyentuh mata, hidung dan mulut kerana virus influenza boleh merebak melalui permukaan yang tercemar, jauhkan diri daripada orang lain jika sakit, amalkan cara hidup yang sihat (jangan merokok, dapatkan tidur yang mencukupi, bersenam secara tetap/sentiasa aktif, atasi stres, banyakkan minum air dan amalkan pemakanan seimbang dan berkhasiat), menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas oleh wabak ini. Begitu juga bagi mereka kurang sihat dan mengalami demam selesema supaya menangguhkan perjalanan mereka sehingga sembuh, jika menghadapi tanda-tanda demam selesema biasa hendaklah mendapatkan rawatan dan mengikuti perkembangan maklumat dari semasa ke semasa oleh Kementerian Kesihatan. Tanda-tanda Influenza A H1N1 ialah demam panas (38 darjah ke atas), sakit tekak, batuk selesema, sakit otot dan sendi, rasa letih, sesak pernafasan dan muntah serta cirit-birit.

Alhamdulillah, sehingga kini tiada kes yang dilaporkan. Pendek kata negara kini dalam keadaan berjaga-jaga dan berwaspada terhadap H1N1 agar ianya tidak dapat me- nyusup masuk ke negara ini. Bersama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala semoga diri kita, keluarga kita dan negara mendapat perlindungan serta selamat dari segala wabak penyakit dan bala bencana.


Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Tarikh tutup bagi penghantaran borang-borang penyertaan ialah pada 30 Julai 2009

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.