Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Jerayawara tingkatkan kesedaran orang ramai

SERIA, Sabtu, 9 Mei.- Jabatan Kesihatan Kuala Belait hari ini mengadakan Jerayawara Program Kesedaran Penyakit Tibi Sempena Hari Tibi Sedunia Tahun 2009 yang telah dilancarkan oleh Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Datin Paduka Dr. Hajah Intan Haji Salleh di Daerah Tutong pada 30 April lalu.

Pegawai Kesihatan Kanan Kuala Belait, Dr. Hajah Budi Rusitawati binti Haji Budi Iswardi dalam temubual dengan wartawan PELITA BRUNEI berkata jerayawara yang diadakan selama dua hari di Bangunan Plaza Seria bertujuan bagi mempertingkatkan pengetahuan kepada orang ramai mengenai penyakit tersebut.


PEGAWAI Kesihatan Kanan Kuala Belait, Dr. Hajah Budi Rusitawati Haji Budi Iswardi menerangkan kepada Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail Linap yang mengunjungi jerayawara mengenai perangkaan penyakit Tibi di negara ini.

Beliau berkata semasa jerayawara itu pihaknya berusaha menyebarluaskan sebanyak-banyak maklumat mengenai penyakit berkenaan agar setiap lapisan masyarakat peka dan sama-sama berganding bahu menghentikan penyakit tersebut daripada menular sebagaimana tema Hari Tibi Sedunia tahun ini ‘Saya Hentikan Tibi’ dan seterusnya akan dapat mencapai hasrat supaya negara bebas daripada penyakit tersebut.

Selaku warga Jabatan Kesihatan pula katanya mempunyai tanggungjawab bagi mengenal pasti pesakit Tibi pada peringkat awal dan memberi ubat yang tepat dengan demikian akan mengurangkan risiko penyebaran penyakit Tibi kepada orang ramai.

Di Negara Brunei Darussalam jumlah pesakit Tibi dari tahun 2000 hingga 2008 adalah menurun. Pada tahun lalu jumlah pesakit Tibi kira-kira 200 orang, terang beliau.

Beliau berharap dengan meningkatkan pengetahuan orang ramai mengenai penyakit tersebut kadar penurunan tersebut akan lebih cepat lagi dan seterusnya negara akan bebas daripada penyakit berkenaan.

Katanya penyakit Tibi boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina tetapi yang pasti akan mudah menyerang mereka yang mempunyai sistem pertahanan tubuh yang kurang seperti pesakit yang menghidap penyakit AIDS, pesakit yang menghidap penyakit kronik, pesakit yang memakan ubat steroid dalam jangka waktu yang lama dan warga emas.


MURID Sekolah Rendah yang mengunjungi pameran berkesempatan menyaksikan
Tibi Bacilli Slide.

Beliau menerangkan bagi mengelakkan peyakit tersebut daripada merebak hendaklah menjalani cara hidup yang sihat seperti permakanan yang baik, rehat yang cukup dan melakukan aktiviti senam.

Dalam jerayawara tersebut juga diadakan pameran mengenai penyakit tersebut yang dibuka dari pukul 9.30 pagi hingga 7.00 malam dan ujian ‘mantoux’ secara percuma bagi menyiasat sama ada individu itu dijangkiti kuman Tibi. Ujian tersebut dibuka dari pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan dari pukul 2.00 petang hingga 4.00 petang serta kuiz yang menyediakan berbagai hadiah istimewa.

Penyakit Tibi merupakan sejenis penyakit berjangkit disebabkan oleh kuman ‘Mycobacterium Tuberculosis’ (Kuman Tibi). Mereka yang mempunyai sistem pertahanan badan yang kuat akan dapat menghalang jangkitan namun jika sistem pertahanan badan seseorang itu menurun Tibi menjadi aktif menjadikan seseorang itu menghidap penyakit tibi.

Penyakit Tibi berjangkit melalui cecair mulut dan hidung yang mengandungi kuman Tibi apabila pesakit Tibi batuk, bercakap dan bersin. Sesiapa yang menyedut udara yang mengandungi cecair berkenaan akan menghadapi risiko dijangkiti kuman Tibi.

Kuman Tibi biasanya menyerang bahagian paru-paru dan boleh merebak mana-mana bahagian tubuh badan melalui aliran darah di dalam badan. Tanda-tanda penyakit Tibi antaranya batuk yang berpanjangan melebihi dua minggu, batuk berdarah, demam berpeluh terutama pada waktu petang dan malam, kurang selera makan, berat badan menurun dan mudah letih dan lemah badan.

(Berita dan foto: Dk. Hjh. Saidah Pg. Hj. Omaralli)

Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Tarikh tutup bagi penghantaran borang-borang penyertaan ialah pada 30 Julai 2009

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.