|
MINDA PEMBACA
MINDA Pembaca yang terpilih minggu ini daripada tajuk yang telah kami kemukakan iaitu 'Meningkatkan Pertumbuhan Industri Bukan Minyak'. Mereka akan menerima hadiah sebanyak $40.00. Pendapat yang berjaya itu adalah seperti berikut :
MENINGKATKAN PERTUMBUHAN INDUSTRI BUKAN MINYAK
MENINGKATKAN pertumbuhan industri bukan minyak adalah salah satu usaha yang akan diambil alih oleh pakar perundingan perekonomian kerajaan atau pihak swasta untuk memajukan pelbagai perindustrian di negara kita ini. Oleh itu, dalam topik ini setentunya menyedarkan kita sebagai masyarakat untuk mengambil peluang yang ada bagi meningkatkan pertumbuhan industri selain bergantung daripada hasil perindustrian minyak yang menjadi sumber utama di negara kita.
Sebagai pengetahuan, kita telah peka dan didedahkan dengan cadangan-cadangan pihak kerajaan untuk penduduk negara agar pihak tertentu membuka perindustrian dalam berbagai bentuk seperti dalam sektor pertanian, perikanan, perkilangan membuat makanan dan minuman, perkilangan pakaian, perabot rumah dan keperluan yang lain.
Dalam hal ini, kita sudah maklum bahawa di setiap negara memerlukan sistem pembangunan dan perkembangan ekonomi yang sangat diperlukan kemantapannya serta kesejahteraan masyarakat bagi mengendalikan sistem tersebut. Dengan kata lain, dengan tertubuhnya sektor perindustrian di sebuah negara ia boleh membantu ekonomi negara dan secara tidak langsung dapat menangani krisis kegawatan ekonomi yang sering terjadi di negara lain. Tanpa tertubuhnya industri bagi sesebuah negara pasti negara tidak dapat berkembang maju dan sekali gus menjuruskan kepada kegawatan ekonomi. Ini boleh menyebabkan kenaikkan harga barangan seperti makanan, pakaian, kenderaan dan sebagainya untuk dibekalkan ke negara tersebut.
Dari apa yang dialami di era ini menyedarkan kita sebagai masyarakat perlu membuka minda dan bangun dengan penuh semangat memikirkan dan mengisi kemantapan untuk mendukung dalam membantu kerajaan mengukuhkan ekonomi negara, supaya kita berusaha dalam melibatkan diri dalam bidang perindustrian yang diminati oleh penguasa perkilangan. Contohnya, Kilang Sabli, Kilang Cerah, Kilang Syarikat Malar Setia dan sebagainya yang terdapat di negara kita. Semua kilang tersebut ditubuhkan supaya kita tidak hanya bergantung kepada penghasilan minyak dan gas di negara ini yang sudah lama bertapak.
Sememangnya kita sebagai anak bangsa dan penduduk jati di negara yang tercinta ini , seharusnya tabah untuk menghadapi kehidupan ini dan berusaha meningkatkan perindustrian di negara kita. Ini bermakna kita harus peka dengan sekeliling kita dan memberikan tumpuan kepada aspek perindustrian yang lain selain industri minyak seperti mengusahakan perindustrian pertanian, ladang padi, buah-buahan dan sayur-sayuran secara besar-besaran dan kecil-kecilan.
Oleh itu, masyarakat yang berminat dalam perindustrian bukan minyak ini hendaklah berani menceburi bidang yang diminati dengan berbekalkan kepintaran dan semangat yang mantap. Manakala masalah model menubuhkan sebuah industri di negara kita disediakan beberapa kemudahan dari pihak yang tertentu, misalnya membuat pinjaman dari bank dan pihak yang tertentu.
Sebagai kesimpulan, segala usaha-usaha perindustrian yang berjaya dalam perlaksanaan perindustrian ini pasti memberi imbalan yang setimpal dan keuntungan yang besar asalkan pengusaha sesebuah industri itu bijak dalam mempertingkatkan pertumbuhan industri tersebut.
Dayang Hajah Zabidah binti Haji Japar
No. 98, Jalan 11,
Kampong Perpindahan Lambak Kanan
BC 2915.
No. k/p : 00-059413
Menambahgiatkan perkembangan
prasarana ekonomi negara
PENGUKUHAN sektor ekonomi merupakan agenda utama negara tambahan lagi dalam keadaan krisis ekonomi yang sedang melanda pada masa ini. Ke arah itu kita amat perlu membuat perancangan bersepadu bagi mempertingkatkan pertumbuhan industri negara. Kita patut menfokus kepada kepelbagaian sektor ekonomi bagi mewujudkan industri-industri baru bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara. Beberapa strategi bagi merealisasikan pertumbuhan ekonomi negara, di antaranya ialah dengan beralih kepada sektor perkilangan, pembuatan, pertanian, perikanan, pelancongan, perkhidmatan, teknologi dan banyak lagi bagi mengimbangi pengeluaran hasil negara yang banyak bersandarkan kepada hasil minyak dan gas.
Bagi mengimbangi ketergantungan terhadap industri minyak dan gas, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa menggalakkan lebih ramai lagi anak tempatan yang berkemahiran di bidang industri tertentu untuk memainkan peranan yang lebih aktif bagi meningkatkan produktiviti negara. Peluang-peluang terbuka luas kepada mereka yang berkeinginan tinggi untuk berkecimpung secara serius dalam berbagai sektor ekonomi di negara ini. Apatah lagi negara kita mempunyai infrastruktur yang berpotensi tinggi dengan kedudukan negara yang strategik dalam pembentukan kawasan pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA). Infrastruktur perhubungan dan kemudahan seperti pelabuhan, jalan raya, lapangan terbang dan rangkaian telekomunikasi canggih yang sangat baik juga memainkan peranan dalam mendukung kegiatan-kegiatan ekonomi.
Umpamanya, sektor pertanian dan perikanan atau akuakultur sedang berkembang dengan pesatnya pada masa ini. Dalam industri pertanian, projek industri ayam pedaging dan telur serta industri penghasilan sayur telah banyak melaksanakan rancangan pembangunan yang berunsurkan kegiatan penghasilan komoditi makanan. Jabatan Pertanian selaku agen pembangunan ekonomi desa telah berusaha mebantu penternak meningkatkan produktiviti mereka dan menceburi bidang industri ayam pedaging secara komersial. Matlamat utama ialah bagi menghasilkan komoditi ayam pedaging dan telur yang mampu untuk menampung 100 peratus keperluan negara. Pelaksanaan pengeluaran 100 peratus keperluan negara bagi industri ayam pedaging dan telur ini akan dapat mengukuhkan lagi ekonomi negara dengan pengurangan import bahan makanan dari luar negara.
Industri perikanan melalui industri akuakultur juga sedang berkembang dengan pesatnya. Kegiatan utama dalam industri akuakultur ini ialah ternakan ikan dalam sangkar dan ternakan udang di dalam kolam. Kegiatan-kegiatan tersebut telah menyumbangkan kepada pengimportan hasil industri tersebut keluar negara. Bagi meningkatkan produktiviti penghasilan, jabatan pertanian mempunyai satu unit kecil yang ditugaskan untuk menangani kemajuan industri perikanan negara. Unit yang dinamakan sebagai Unit Teknikal Bergerak (Mobile Teknikal Unit), akan membuat lawatan-lawatan ke tempat-tempat industri perikanan berpotensi iaitu kapal menangkap ikan, ladang akuakultur atau tempat memproses ikan.
Salah satu lagi industri yang dapat dipertingkatkan di negara kita ialah industri pelancongan. Industri ini merupakan satu industri yang sangat menguntungkan kepada sesebuah negara. Dunia sekarang berlumba-lumba dengan memperbanyakkan tempat-tempat pelancongan bagi mengukuhkan lagi daya tarikan pelancongan di negara masing-masing. Negara kita juga tidak ketinggalan dalam usaha seperti ini. Sejak kebelakangan ini telah banyak cara yang difikirkan dan telah dilaksanakan untuk menggalakkan industri pelancongan di negara kita. Penglibatan semua pihak baik kerajaan, swasta atau individu adalah di alu-alukan bagi melipatgandakan lagi industri pelancongan ini sekali gus menambahkan lagi hasil pendapatan atau ekonomi negara. Banyak faktor yang boleh menarik perhatian pelancongan untuk datang ke negara ini. Di samping memiliki keindahan semula jadi serta kebersihannya juga banyak memainkan peranan. Para pelancong sangat mengambil berat akan kebersihan tempat yang hendak di kunjungi dan lawati. Apa yang lebih penting bagi pelancong ialah tahap keselamatan yang betul-betul terjamin.
Kesimpulannya, dalam menjamin pertumbuhan ekonomi yang sangat mencabar ini, negara sangat-sangat memerlukan buah fikiran dan tenaga kerja yang benar-benar berkualiti di mana mereka inilah yang dapat membantu meningkatkan produktiviti. Dengan bertambahnya produk yang berkualiti dan kepelbagaian sumber ekonomi pasti akan menambahgiatkan lagi perkembangan prasarana ekonomi negara.
Dayang Nur Afiqah Hazirah binti Mohamad Zaidi.
No. 4, Simpang 163, Jalan Kota Batu,
Kampong Mentiri, BU 1929.
No. k/p : 01-053590
TAJUK-TAJUK MINDA PEMBACA AKAN DATANG
1. 'Wujudkan Program Keselamatan dan Kesihatan Sekolah'. Tarikh tutup : 11 April 2009.
2. 'Kesedaran Bernegara' Menuntut Kita Lebih Rancak Membangun Ke arah Mencemerlangkan Negara'. Tarikh tutup : 18 April 2009.
3. 'Kesedaran Krisis Global'. Tarikh tutup : 25 April 2009.
Pendapat awda hendaklah ditaip jarak langkau dua baris dan panjang pendapat awda mestilah antara 200 hingga 300 patah perkataan. Nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat lengkap dan nombor telefon jika ada hendaklah disertakan dan hendaklah dihantar kepada :
Sidang Penyunting Minda Pembaca,
Unit Pelita Brunei,
Lapangan Terbang Lama, Berakas,
Bandar Seri Begawan, BB 3510,
Negara Brunei Darussalam,
jaafar.ibrahim @ information.gov.bn.
e-mel : pelita@ brunet.bn
Kembali ke muka utama
|