|

TELITI DAN SELIDIKI SEBELUM
MEMBUAT SESUATU ANDAIAN
MARILAH kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dalam melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Agama Islam, agama yang menganjurkan umat-Nya untuk mengeratkan silatulrahim dan hidup rukun damai. Kerana itu kita dilarang dari melakukan perkara yang boleh menjejaskan dan merosakkan hubungan baik sesama manusia, antaranya bertelangkah, bermusuh-musuhan, bersangka buruk dan sebagainya. Allah Subhanahu Wata’ala ada berfirman di dalam Surah Al Hujuraat ayat 12, tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang."
Maka berdasarkan ayat Al-Qur’an tadi, sesungguhnya sebahagian prasangka itu merupakan perbuatan dosa. Kerana prasangka itu timbul dari perasaan iri hati atau dengki teerhadap seseorang, yang kemudiannya akan timbullah tuduhan-tuduhan yang tidak berasaskan kepada seseorang, sehingga menyakiti hati orang tersebut dengan perkataan yang jahat, yang didasari prasangka yang salah tanpa meneliti dan menyelidiki perkara yang sebenar.
Kita mestilah ingat, setiap perbuatan yang kita lakukan sama ada yang baik atau yang buruk itu akan menerima pembalasan di akhirat nanti.
Oleh itu, sebagai hamba yang beriman kepada Allah Subhanahu Wata’ala dan hari Akhirat, maka kita hendaklah menjaga pertuturan dengan berbicara yang baik atau lebih baik diam.
Maksudnya : "Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka hendaklah ia berkata-kata yang baik atau hendaklah ia diam." Riwayat Al-Imam Al Bukhari.
Adapun bagi mengelakkan berburuk sangka, apabila kita menerima sesuatu berita, maka kita hendaklah meneliti dan menyelidiki atau bertanya terlebih dahulu tentang sesuatu perkara sebelum membuat sebarang andaian. Allah mengingatkan kita dalam Al-Qur’an, Surah Al Hujuraat ayat 6, tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah untuk menentukan kebenarannya."
Ketahuilah bahawa berburuk sangka boleh membawa kepada perkara yang tidak diingini berlaku seperti pertelingkahan dan benci membenci dan tidak mustahil boleh menyebabkan terputusnya silatulrahim, yang akhirnya boleh membawa kerosakkan dalam perpaduan umat Islam. Oleh itu kita hendaklah memelihara diri dari berburuk sangka. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Jauhilah oleh kamu perasangka, kerana sesungguhnya prasangka itu sedusta-dusta perkataan." Riwayat Al-Imam Al Bukhari.
Ulama membahagikan prasangka itu kepada beberapa bahagian, di antaranya :
1) Prasangka yang mendatangkan dosa dan haram.
2) Prasangka yang tidak mendatangkan dosa.
Adapun prasangka yang mendatangkan dosa dan haram itu ialah prasangka yang tidak baik terhadap Allah Subhanahu Wata’ala dan juga terhadap orang yang baik (orang yang tidak fasik) dan orang yang tidak melanggar hukum syarak. Sementara prasangka yang tidak mendatangkan dosa itu ialah prasangka yang hanya dalam hati saja tanpa meluahkan atau menzahirkannya.
Sebagai umat Islam yang inginkan keharmonian dan kebahagiaan dalam kehidupan, maka sewajarnya kita mengamalkan sifat berkasih saying dan belas kasihan sesame manusia. Hindarilah dari berburuk sangka yang hanya akan merosakkan perpaduan kehidupan berkeluarga, beragama, bermasyarakat dan bernegara. Sama-samalah kita berdoa semoga kita dapat hidup rukun damai, berbahagia hidup di dunia dan di akhirat. Amin Ya Rabal’alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Hujuraat ayat 12, tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakkan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa. Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang. Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Jika demikian keadaan mengumpat maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Oleh itu, patuhlah larangan-larangan yang tersebut dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat, Lagi Maha Mengasihani."
Kembali ke muka utama
|