|
Pelita Brunei - Menyusur Mukim dan Kampung

MUKIM TAMOI TARIKAN PELANCONG DARI LUAR NEGARA
Oleh : Haji Kassim Haji Omar
APA rahsianya Mukim Tamoi jadi tarikan pelancong dari luar negara khususnya pembesar dunia? Ramai yang bertanya tentang perkara tersebut. Bukan apa, setiap kali pelancong baik orang biasa atau orang kenamaan pasti akan singgah ke rumah Penghulu Mukim Tamoi. Memanglah setiap kali pembesar datang pastinya (walaupun tidak semuanya) datang ke Mukim Tamoi khususnya ke rumah Penghulu Mukim Tamoi, Pengarah Awang Haji Mokti bin Mohd. Salleh (Mukim Tamoi yang terdiri dari tujuh buah kampung seperti Kampong Tamoi Ujung, Kampong Tamoi Tengah, Kampong Pengiran Tajuddin Hitam, Kampong Pengiran Bendahara Lama, Kampong Limbungan dan Kampong Ujong Bukit).
Layanan mesra dan kerjasama dari penduduk kampung menjadi kunci utama beliau dalam menarik pelancong dari luar negara. Apa yang jelas, layanan dan persembahan yang diberikan terutama dalam mempromosikan produk kampung dan juga kebudayaan Negara Brunei Darussalam menjadi tarikan untuk pelancong dan pembesar dari luar negara berkunjung ke tempat beliau. Hampir setiap bulan ada saja pelancong melawat ke tempat beliau.
PEMBESAR DUNIA
Antara pembesar dunia yang datang seperti Nelson Mandela, Raja Switzerland, Raja Kemboja, Sultan Terengganu (Agung Malaysia sekarang), Perdana Menteri Bahrain, Menteri Luar Iran dan ramai lagi (jika dilihat dari gambar-gambar yang tergantung di ruang tamu rumah Pengarah Awang Haji Mokti, sungguh menakjubkan, begitu ramai pembesar yang datang, hampir dari seluruh pelusuk dunia!)
Apa yang dipersembahkan / dihidangkan?
Pelancong dipersembahkan dengan berbagai-bagai persembahan seperti membuat makanan Melayu, membuat rambat, memburis perahu, membuat bintur dan lain-lain. Dari segi kebudayaan Brunei seperti tarian adai-adai, bermain gulingtangan, memukun dan berbalas pantun. Bagi makanan pula, pelancong dihidangkan dengan masakan Brunei seperti makan ambuyat dan beberapa jenis masakan Brunei seperti tahai masak api, liking, pais dan berbagai lagi. Apa yang jelas kebanyakan pelancong tertarik dengan apa yang dipersembahkan dan apa yang dihidangkan. Yang penting pelancong berpuas hati dan tertarik dengan keramahmesraan orang Brunei khususnya orang Kampong Ayer. Para penduduk yang membuat persembahan itu mudah dihubungi dan mudah pula memberi kerjasama.
Pernah juga satu ketika Pengarah Awang Haji Mokti berada di luar negara (London), para pelancong hendak datang ke rumahnya. Oleh kerana beliau di luar negara, maka pelancong itu dibawa ke kampung yang lain. Namun apa yang jelas, cara layanan dan persembahan tidak seperti apa yang dilakukan oleh Penghulu Mukim Tamoi ini. Bahkan ada yang cuba baibun (bergurau) dengan beliau:
''Apa penghulu pakai ani, ramai yang datang ke rumah penghulu ani ?!'' salah seorang pembesar negara baibun kepadanya.
''Pakai, ada, pakai baju, pakai seluar,'' disambut oleh gelak ketawa orang sekeliling.
''Sebenarnya, inda ada apa, cuma keikhlasan dan kemesraan melayan orang, baik pelancong dari luar ataupun dari dalam negara.''
Begitulah cara penghulu melayan tetamunya dengan penuh keikhlasan dan kemesraan membuatkan pelancong senang kepadanya. Nya orang Brunei, inda bakira, terutama dalam soal makan minum. Tambahan pula kedudukan Mukim Tamoi khususnya Kampong Tamoi Ujong tempat Pengarah Awang Haji Mokti tinggal begitu menarik, berhadapan dengan Kampong Burong Pinggai Ayer dan tidak jauh dari situ terletak Istana Darul Hana. Itu juga menjadi tarikan pelancong untuk menikmati keindahan istana dilihat dari Sungai Brunei, di samping melihat flora dan fauna yang ada di sekitarnya.
Para pelancong juga, di samping menggunakan kenderaan yang disediakan oleh agensi pelancongan ada juga yang menggunakan perahu tambang untuk menyelusuri Sungai Brunei. Pada ketika penulis duduk-duduk di lagun tempat menunggu, kelihatan para pelancong (mungkin dari Barat) menaiki perahu tambang melintasi Mukim Tamoi untuk melihat Istana Darul Hana dan seterusnya ke hulu sungai mungkin untuk melihat keindahan Istana Nurul Iman). Ini sudah menjadi lumrah dan kebiasaan bagi para pelancong untuk melihat bagaimana kehidupan orang Kampong Ayer yang pernah dikatakan Venice of the East.
Asal usul Kampong Tamoi?
Mengikut cerita orang dulu-dulu, Kampong Tamoi ini dapat nama dari peristiwa mempertahankan kampung itu dari amukan orang luar. Akibat dari amukan orang luar itu (mungkin untuk merampas atau membuat huru-hara) ramai orang kampung yang terkorban dan menjadi mangsa. Ada seorang yang bernama Liau Haris. Ketika itu (orang mengamuk) beliau tiada di rumah, dia sedang mencari kayu di Lumadan (tempat kedudukan Istana Nurul Iman sekarang), apabila diberitahu tentang peristiwa orang mengamuk beliau (Liau Haris) pun balik ke rumah. Berlakulah pertempuran. Liau Haris, orang yang 'pemandai dan berisi' melawan musuh yang mengamuk itu. Oleh kerana sama-sama handal, ketika bertarung itu, air pun sudah sampai ke punggung, Liau Haris menikamkan kerisnya ke tanah lalu musuh itu pun rebah. Melihat kehandalan Liau Haris itu maka orang kampung menggelar beliau. 'Tamamur Liau Haris atu eh' maknanya gagah sungguh Liau Haris atu eh. Maka perkataan Tamamur itu diambil dan menjadi Tamoi. Itulah asal usul Kampong Tamoi diperolehi. Ini yang diceritakan oleh Pengarah Awang Haji Mokti.
Bagimana pula nama Tamoi Ujong dan Tamoi Tengah itu diperolehi?
Ketua Kastam, En. Balau Li, berbangsa Cina, ketika itu (sekitar tahun 30-an), kerana sukar untuk memanggil orang yang duduk di Kampong Tamoi Ujong dan Tamoi Tengah. Kerana Kampong Tamoi itu agak besar jadi Balau Li mencadangkan agar Kampong Tamoi itu dibagi dua kerana jika dia memanggil seseorang yang tinggal di Tamoi Ujong umpamanya. Dia dengan mudah mengenal pasti seseorang yang hendak dipanggilnya itu untuk urusan pejabat dan hal-hal yang lain seperti lumba perahu. Orang Kampong Tamoi memang terkenal dengan kejaguhan dalam berlumba perahu. Ini terbukti sejak dulu lagi. Apa rahsianya kejayaan mereka ini? Penulis cuba mencungkil rahsia ini!
Menurut Pengarah Awang Haji Mokti, yang penting kesungguhan dan semangat kerjasama. Di samping itu, juga teknik dan pengalaman yang mereka perolehi terutama dalam 'mengusaha' perahu. Ada pantang larangnya. Yang penting perahu lumba itu diusaha sebaik mungkin, jika perahu tidak ngam (barat kalau dikayuhkan) maka orang yang pemandai (kalau dulu orang yang pemandai seperti aimulah Abd. Rahman, aimulah Awang Alim dan aimulah Haji Lakim ), mereka inilah yang akan mengusai perahu lumba itu supaya bisa menjadi perahu lumba yang boleh diayaukan. Dulu, perahu lumba yang terkenal seperti Tambuakar, (oleh kerana nama Tambuakar itu tidak berapa serasi, barat dan lambat untuk dikayuhkan ) maka ditukar kepada nama Taripas Terbang, Naga dan Selindang Delima.
Memang dahulu (sekitar tahun 60-an) acara lumba perahu ini merupakan acara yang ditunggu-tunggu. Kampung yang selalu bergagut (berlawanan) ialah antara Kampong Tamoi dan Kampong Saba. Dalam banyak acara Kampong Tamoi selalu memenangi perlumbaan perahu tersebut sehingga ada yang mengatakan orang Kampong Tamoi mambuyuk. Tapi sebenarnya bukan membuyuk, tapi lebih kepada teknik dan cara mereka berkayuh (ketika berlumba), mereka dapat membaca riak ayeng dan juga semangat berpasukan yang mereka praktikkan. Mereka dapat mambaca bila hendak berkayuh betinting dan bila masa kayuh berangat. Kesepaduan semangat peserta dan teknik perkayuhan serta perahu yang telah diusahakan maka hasilnya mereka (orang Kampung Tamoi) sentiasa mengungguli upacara lumba perahu. Itu dulu, tapi sekarang tidak tahulah. Mungkin cara dan teknik sudah berubah, Wallahu'alam.
Kembali ke muka utama
|